Kuil Luxor – Kuil Tamadun Mesir Purba

677

Kuil Luxor merupakan salah sebuah kompleks kuil yang paling masyhur di Mesir. Kompleks kuil ini terletak di tebing timur Sungai Nil, di Luxor, iaitu kota utama nome keempat Mesir Hulu. Kuil Luxor ditubuhkan pada era Kerajaan Baru dan menjadi salah sebuah kompleks keagamaan yang paling penting di Mesir.

Hal ini kerana Festival Opet dilangsungkan secara tahunan di kuil ini. Selepas zaman kefiraunan, tapak Kuil Luxor terus mengekalkan signifikasi keagamaannya, walaupun para dewa yang dipuja di sana telah diubah.

SEJARAH LUXOR

Kota Luxor disebut oleh orang Mesir purba sebagai Waset, boleh membawa maksud ‘Kota Tongkat’. Akan tetapi, orang Yunani mengenali kota ini sebagai Thebes. Nama tersebut diambil daripada perkataan Ta-ope, yang boleh dimengerti sebagai ‘Kuil’. Nama moden kota tersebut pula berasal-usul dari sebuah perkataan Arab, iaitu ‘al-Uqsur’ yang bermaksud ‘Istana’ atau ‘Kubu Benteng’. Hal ini merujuk kepada kubu yang dibina oleh orang Rom di kawasan tersebut.

Kota Thebes sudah pun wujud sejak era Kerajaan Lama. Namun semasa hari-hari awalnya, Thebes hanya merupakan sebuah petempatan yang tidak signifikan. Kota ini mula meraih kepesatan pada penghujung Zaman Pertengahan Pertama. Pada tempoh tersebut, yakni kurun ke-21 Sebelum Masihi, Mesir terbahagi kepada dua buah dinasti yang memerintah.

Deretan tiang purba di Kuil Luxor, Mesir


Salah sebuah dinasti ini berpangkalan di Heracleopolis dan para pemerintahnya menguasai kawasan Mesir Hilir. Mesir Hulu pula dikuasai oleh sekumpulan raja lain yang berpangkalan di Thebes. Salah seorang raja Thebes, iaitu Mentuhotep II, berjaya menyatukan semula Mesir dan menamatkan Zaman Pertengahan Pertama sekaligus membawa kepada bermulanya era Kerajaan Tengah.

Mentuhotep dan firaun-firaun lain dari Dinasti Ke-11 memerintah Mesir dengan memusatkan kuasanya di Thebes. Namun dalam Dinasti Ke-12, ibu kota Mesir dipindahkan semula ke Memphis yang telah berfungsi sebagai ibu kota Mesir sejak era Kerajaan Lama. Apapun, menjelang tempoh tersebut, Thebes sudah pun menjadi sebuah tapak keagamaan yang penting.

Kota ini juga dikenali sebagai Nowe atau Nuwe, yang membawa maksud ‘Kota Amun’, di mana Amun dijadikan sebagai ketua dewa di kota tersebut. Memandangkan mereka berasal daripada Thebes, maka firaun-firaun Dinasti Ke-11 memuja Amun sebagai dewa utama mereka. Walaupun firaun-firaun Dinasti Ke-12 berpangkala di Memphis, mereka masih menyembah Amun sekaligus membina sejumlah kuil khusus untuknya di Thebes.

Kuil Besar Amun di Karnak, Mesir

Thebes meraih semula signifikasi politiknya pada Zaman Pertengahan Kedua. Pada zaman tersebut, Mesir sekali lagi terbahagi kepada dua. Mesir Hilir ditakluk oleh sekumpulan penceroboh yang dikenali sebagai Hyksos, manakala Mesir Hulu pula diperintah oleh kerabat diraja Mesir yang berpusat di Thebes.

Zaman Pertengahan Kedua berakhir apabila para pemerintah Thebes berjaya mengusir Hyksos, menyatukan semula Mesir, dan menubuhkan Kerajaan Baru. Sama seperti para pendahulu dari Dinasti Ke-11, firaun-firaun dari dinasti ini memerintah Mesir dari Thebes (kecuali Akhenaten, yang memindahkan ibu kota ke kota baru bernama Akhetaten, atau juga disebut sebagai Amarna).

RUMAH PERLINDUNGAN SELATAN

Kuil Luxor boleh dijejak tarikhnya kembali pada era Kerajaan Baru. Kebanyakan struktur pada kompleks kuil ini dibina oleh Amenhotep III, firaun kesembilan Dinasti Ke-18 yang memerintah pada separuh pertama kurun ke-14 SM. Amenhotep merupakan seorang pemerintah yang berpengaruh, dan Mesir mengalami kemajuan di bawah pentadbirannya.

Hal ini dicerminkan menerusi kerja-kerja pembinaan berskala besar yang dilaksanakan olehnya, antaranya seperti menara besar ketiga di Kuil Karnak dan kuil permakamannya yang tersendiri. Namun, tidak banyak yang dapat kita lihat daripada runtuhan kuil permakamannya, melainkan Patung Memnon (sepasang patungnya yang bersaiz gergasi dan berpostur duduk) yang berupaya memberikan gambaran terhadap saiz kuil. Apapun, Kuil Luxor dianggap sebagai projek pembinaan Amenhotep yang paling ulung.

Diandaikan bahawa sebelum pembinaan Kuil Luxor dijalankan oleh Amenhotep, terdapat sebuah kuil lama yang berdiri di tapak tersebut. Kuil atau rumah suci tersebut dibina pada awal Dinasti Ke-18, berkemungkinan semasa era Hatshepsut, kalau bukan sebelumnya lagi. Apa yang tinggal daripada struktur lama itu hanyalah sebuah astaka kecil. Amenhotep memperbesarkan lagi kuil lama ini dan membina bangunan baru untuk dewa Amun.

Kuil Luxor juga dikenali oleh masyarakat Mesir purba sebagai ipet resyt (‘Rumah Perlindungan Selatan’). Penamaan ini bertujuan untuk membezakan antara Kuil Luxor dan Kuil Karnak, yang terletak kira-kira 3 km (1.86 batu) di utaranya. Kedua-dua kuil ini pernah disambungkan oleh Jalan Sphinx, iaitu sebuah jalan perarakan yang diapit oleh patung-patung Sphinx di kedua belah sisinya.

Jalan ini pada asalnya mungkin dibina oleh Hatshepsut, dan Amenhotep menambahkan lagi patung-patung berkepala-kerbau pada jalan tersebut. Pada masa-masa kemudian, patung-patung sphinx berkepala-manusia ditambah oleh Nectanebo I, firaun Dinasti ke-30, pada kurun ke-4 SM.

alan Sphinx yang menghubungkan Kuil Karnak dengan Kuil Luxor, Mesir, di mana ritual perjalanan Festival Opet dilangsungkan


FESTIVAL OPET – DARI KARNAK KE LUXOR

Selain daripada Jalanraya Sphinx, Kuil Luxor dan Kuil Karnak juga saling dihubungkan oleh Festival Opet. Keraian ini dikenali secara rasmi sebagai ‘Jamuan Indah Opet’, dan Opet dipercayai sebagai sebutan yang merujuk kepada ruangan dalam rumah perlindungan di Kuil Luxor. Festival ini disambut secara tahunan pada bulan kedua kalendar lunar Mesir. Tempoh tersebut diketahui sebagai tempoh pasang Sungai Nil, justeru dianggap sebagai tempoh yang wajar untuk diraikan.

Festival Opet juga berfungsi sebagai satu cara bagi para firaun Dinasti Ke-18 untuk menyambut kekuasaan mereka. Tempoh keraian ini meningkat seiring peredaran zaman. Misalnya, pada era Thutmosis III sekitar kurun ke-15 SM, Festival Opet berlangsung selama 11 hari. Menjelang permulaan era Ramses III pada 1187 SM, festival ini berpanjangan selama 24 hari. Sekitar waktu kemangkatannya pada tahun 1156 SM, festival tersebut disambut selama 27 hari.

Perkara yang paling ditekankan dalam Festival Opet ini adalah ritual perjalanan Tiga Dewa Thebes (Amun, Mut si isterinya, dan Khonsu si anaknya) dari rumah perlindungan mereka di Kuil Karnak ke Kuil Luxor. Menerusi gambaran-gambaran tentang upacara ini pada beberapa buah monumen Mesir purba, maka kita berupaya memiliki serba-sedikit maklumat berkenaannya.

Salah sebuah monumen yang mengandungi gambaran tersebut boleh ditemukan di bahagian selatan Biara Merah Hatshepsut di Kuil Karnak.  Secara kebetulan, monumen tersebut merupakan gambaran tertua berkenaan Festival Opet setakat yang diketahui. Relif-relif yang terdapat pada monumen ini menunjukkan bahawa pada waktu itu, hanya Amun sahaja yang melakukan perjalanan dari Karnak ke Luxor.

Biara Merah Hatshepsut di Kuil Karnak

Dewa-dewi rumah suci tersebut diangkut oleh para pendeta yang berjalan kaki di sepanjang Jalan Sphinx. Dalam perjalanan, mereka akan berhenti di enam buah altar yang dibina oleh Hatshepsut. Setelah berada di Luxor selama beberapa hari, para pendeta dan dewa-dewi rumah suci akan pulang ke Karnak dengan menaiki perahu.

Sebagai perbandingan, lukisan-lukisan tentang Festival Opet pada deretan tiang Kuil Luxor yang dihasilkan pada era Tutankhamun menunjukkan bahawa pada era tersebut, Amun sudah pun disertai oleh Mut dan Khonsu.

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Selain itu, relif-relif tersebut turut menunjukkan bahawa dewa-dewi diangkut di dalam perahu bagi melalui jalan-jalan kota menuju ke Luxor, setelah mana mereka terlebih dahulu dimasukkan ke dalam tongkang. Setelah berada di Kuil Luxor selama 24 hari, dewa-dewi ini kembali ke rumah mereka di Kuil Karnak melalui jalan yang sama. Sepanjang keberadaan para dewa di Kuil Luxor, kota akan mengadakan keraian.

Relif pada Kuil Luxor menggambarkan perarakan Festival Opet

PEMBINAANNYA MERENTAS ZAMAN

Walaupun pembinaan Kuil Luxor sudah pun bermula pada era Amenhotep, ia hanya siap semasa era Tutankhamun. Dalam bentuknya yang lengkap-siap, kompleks Kuil Luxor merangkumi Jalan Sphinx, dua buah perkarangan, sebuah deretan tiang perarakan, dan ruangan dalam keramat tempat biara-biara Mut, Khonsu dan Amun diletakkan.

Firaun-firaun pada era terkemudian menambahkan lagi sentuhan mereka yang tersendiri ke atas kompleks kuil berkenaan. Misalnya, Akhenaten membina sebuah rumah perlindungan yang didedikasikan kepada dewa Matahari, Aten, di sebelah Kuil Luxor. Namun, struktur ini kemudiannya dihancurkan oleh Horemheb.

Firaun yang melakukan penambahan yang paling mengagumkan ke atas Kuil Luxor ialah Ramses II, firaun ke-3 bagi Dinasti Ke-19 dan mungkin merupakan pemerintah Mesir purba yang paling masyhur. Pada era pemerintahannya yang berpanjangan dari tahun 1279 hingga 1213 Masihi, Ramses membina menara pertama yang menjadi gerbang masuk Kuil Luxor.

Penambahan menara ini juga merupakan pemasyhuran buat beliau sendiri, lantaran Ramses menghiasinya dengan lukisan-lukisan yang memperingati kecemerlangan kempen ketenteraannya, terutama sekali Pertempuran Kadesh. Ramses turut menambah enam buah patung besar yang menggambarkan dirinya sendiri – dua buah patung berpostur duduk dan empat buah berdiri, berlokasi di gerbang kuil.

Selain menara pertama, Ramses juga menghancurkan perkarangan pertama yang dibina oleh Amenhotep dan menggantikannya dengan perkarangannya sendiri. Patung gergasi Amenhotep turut digantikan dengan patungnya sendiri.

Patung-patung Ramses II di Kuil Luxor

Kepentingan Kuil Luxor sebagai sebuah pusat keagamaan terbukti menerusi pengubahsuaian yang dilakukan terhadap kompleks tersebut pada era sesudah era Kerajaan Baru. Misalnya, Taharqa, firaun Nubia keempat bagi Dinasti ke-25 (dinasti terakhir Zaman Pertengahan Ketiga) membina sebuah rumah suci buat dewi Hathor.

Sementara itu, pendahulunya yang bernama Shabaka pula membina sebuah deretan tiang. Namun, kedua-dua struktur ini telah musnah. Para pemerintah dari Nubia juga menambahkan lukisan-lukisan yang memperingati kemenangan mereka pada deretan tiang Ramses.

Selepas Mesir ditakluk oleh Yunani, biara Amun dibina semula oleh Alexander Agung dan dalam ukiran yang dihasilkan, beliau digambarkan sebagai seorang firaun Mesir. Maharaja Rom, Hadrian juga mendirikan binaan tersendiri di Kuil Luxor. Direkodkan bahawa beliau membangunkan sebuah rumah suci untuk dewa Serapis. Namun, rumah suci tersebut tidak lagi wujud dan tinggalannya yang dapat disaksikan pada hari ini hanyalah patung Isis dan puing-puing runtuhannya.

Sebahagian dari deretan tiang di Kuil Luxor, Mesir


KEHILANGAN SIGNIFIKASI DAN PENGHIDUPAN SEMULA: ERA ROM, KRISTIAN & ISLAM

Walaupun rumah suci di kompleks Kuil Luxor dibangunkan oleh Hadrian, signifikasi keagamaan Kuil Luxor sudah pun merudum dengan begitu ketara menjelang zaman Rom. Masyarakat Rom melihat kompleks kuil tersebut sebagai lokasi yang sesuai untuk membangunkan kubu tentera. Antara faktor yang menyumbang kepada tanggapan sedemikian adalah kewujudan bahan-bahan mentah.

Beberapa buah pertukangan batu dari kompleks kuil ini digunakan oleh orang Rom untuk membina bangunan-bangunan ketenteraan. Selain itu, saiz kompleks kuil ini berupaya menampung jumlah tentera yang ramai dan dianggarkan kira-kira 1500 orang tentera Rom ditempatkan di kubu tersebut.

Walau bagaimanapun, signifikasi keagamaan Kuil Luxor tidaklah hilang sepenuhnya. Sebaliknya, lebih sesuai jika disebutkan bahawa Tiga Dewa Thebes yang dipuja oleh masyarakat Mesir sudah digantikan oleh sesuatu yang baru. Misalnya pada era Rom, kuil tersebut didedikasikan kepada kultus maharaja.

Kemudian, setelah Empayar Rom menganut agama Kristian, gereja Kristian dibangunkan di sekitar kuil. Bahkan, salah sebuah gereja tersebut dibina di dalam kuil itu sendiri, tepatnya di perkarangan Ramses. Setelah Mesir dikuasai oleh bangsa Arab, gereja tersebut diubah menjadi masjid dan masih berdiri pada hari ini. Masjid yang dikenali sebagai Masjid Abu Haggag (Hajjaj) ini dinamakan bersempena seorang lelaki tempatan yang bernama Youssef.

Masjid Abu Haggag boleh dilihat di perkarangan Ramses II di Kuil Luxor


Youssef dipercayai berasal dari Damsyik. Lalu, beliau berpindah ke Mekah pada usia 40an dan seterusnya berhijrah ke Luxor untuk diluangkan baki usianya. Ketika berada di Luxor, Youssef menyampaikan dakwah Islam kepada penduduk tempatan dan didakwa kononnya masjid tersebut dibina sendiri oleh beliau. Youssef meraih reputasi yang tinggi lantaran sikapnya yang prihatin terhadap kebajikan jemaah haji yang menuju ke Mekah. Oleh hal yang demikian, beliau menerima nama timangan ‘Abu Haggag’ yang bermaksud, ‘Bapa Para Jemaah Haji’.

Menurut sebuah legenda tempatan, selepas Youssef membina masjid di perkarangan Kuil Luxor, seorang pegawai tinggi berhasrat untuk menghancurkannya. Walaupun dibantah oleh Youssef, pegawai tersebut bertekad mahu melaksanakan hasratnya itu. Pada suatu hari, pegawai itu bangun daripada tidur dalam keadaan tubuhnya lumpuh.

Beliau mengandaikan bahawa kelumpuhan secara mengejut ini berpunca daripada keputusannya yang bersikeras mahu menghancurkan masjid tersebut. Justeru, beliau pun menggugurkan arahannya. Masjid lantas terselamat dari dirobohkan dan beliau pula pulih daripada lumpuh. Menariknya, ulang tahun lelaki tersebut disambut secara tahunan pada awal November dengan melibatkan perarakan perahunya di sekitar Luxor. Keraian ini bagaikan memperingati Festival Opet di zaman silam.

Masjid Abu Haggag masih digunakan sebagai tempat ibadah sehingga ke hari ini. Tambahan lagi, ekskavasi-ekskavasi arkeologi turut dijalankan di kompleks Kuil Luxor. Misalnya pada tahun 1988, sejumlah patung dari Dinasti Ke-18 ditemukan di perkarangan kuil. Usaha pemeliharaan dan penyimpanan juga dilakukan di tapak berkenaan.

Di samping itu, kuil ini juga merupakan sebuah destinasi perlancongan yang masyhur dan ekonomi bandar banyak disumbangkan oleh industri pelancongan. Pada tahun 1979, Kuil Luxor diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO sebagai sebahagian daripada ‘Thebes Purba dan Nekropolis-Nekropolisnya’.

TERJEMAHAN:

Wu Mingren. (4 Mei 2020). Luxor Temple: The Sacred Sanctuary With An Eternal Legacy. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places-africa/luxor-temple-0013664

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.