Azula: Penjahat Yang Tersayat

1,967

“Air. Tanah. Api. Angin.

Dulu, keempat-empat bangsa hidup aman dan damai. Namun segalanya berubah apabila Bangsa Api menyerang.

Hanya Avatar, penguasa kesemua empat unsur, mampu menghalang mereka. Tetapi apabila dunia sangat memerlukannya, dia menghilang.

Seratus tahun berlalu dan abang dan saya telah menemui Avatar yang baharu, seorang Pelentur Angin yang bernama Aang, dan walaupun kemahiran Lenturan Anginnya hebat, dia tetap perlu banyak belajar sebelum bersedia untuk menyelamatkan semua orang.

Apapun saya percaya yang Aang boleh selamatkan dunia.”

PENGENALAN:

Kepada sesiapa yang mengikuti siri Avatar: Pelentur Angin Yang Terakhir (ATLA), barangkali masih terngiang-ngiang dalam telinga. Pengenalan selama empat puluh enam saat itu mula dimainkan dari Bab 2 dalam Buku Satu: Air sehinggalah Bab 21 dalam Buku Tiga: Api.

Secara ringkasnya, ATLA mengisahkan tentang pemerintah Bangsa Api yang sedang meluaskan kuasanya di hampir seluruh dunia. Perluasan tersebut bermula dengan pembersihan etnik Pengembara Angin oleh Fire Lord Sozin dan berakhir dengan kekalahan Fire Lord Ozai ke tangan Avatar Aang.

Puak Air, Kerajaan Tanah, Bangsa Api dan Pengembara Angin. Dalam keempat bangsa itu, Bangsa Api yang paling dikisahkan dalam siri berkenaan. Dalam siri tersebut, mereka digambarkan dengan banyak isu negatif. Baik daripadanya dan baik terhadapnya.

Dalam banyak-banyak watak dalam ATLA, penulis artikel ini agak tertarik dengan seorang watak perempuan. Watak tersebut adalah Azula. Artikel ini membincangkan tentang beliau.

HARI KEPUTERIAN BAGINDA

Azula adalah seorang puteri dari Bangsa Api. Hasil perkahwinan Ozai dan Ursa, baginda diputerikan pada tahun 85 AG. Untuk pengetahuan, Azula dua tahun lebih muda daripada Zuko. Adik-beradik tersebut adalah keturunan keempat dalam peristiwa perluasan kuasa.

85 AG. Itulah tahun yang dikira oleh peminat siri ATLA dan prequel serta sequelnya. AG adalah singkatan kepada Selepas Pembersihan Etnik Pengembara Udara oleh Fire Lord Sozin. 85 AG menunjukkan 85 tahun peristiwa selepas peristiwa itu manakala 85 BG menunjukkan sebelum.

KEMUNCULAN PERTAMA

Kemunculan pertama Azula dapat dilihat dalam bab “The Storm”. Tidak ada sebarang dialog dilontarkan Azula. Kemunculannya hanyalah sekadar imbas kembali bersama dengan bapa saudaranya iaitu Jeneral Iroh. Kelihatannya, Azula sedang melihat abangnya, Zuko dengan bapanya.

Pada masa itu, Zuko terlibat dalam Pertarungan Api (Agni Kai) dengan bapanya Fire Lord Ozai. Ozai berkeras mahukan anak lelakinya berlawan. Namun, Zuko tidak sanggup melawan dengan bapanya. Azula dengan gembiranya melihat abangnya menerima parut daripada bapanya sendiri..

Selepas Agni Kai yakni tahun 97AG, Azula berpisah dengan abangnya. Abangnya telah dibuang negara. Zuko dititahkan untuk memburu Avatar, penguasa yang telah menghilangkan diri sejak tahun 0 AG. Maruah dapat dikembalikan jika berjaya.

ZUKO DAN AZULA DALAM KACA MATA OZAI

Pada musim sejuk dalam tahun 99 AG, angkatan tentera Bangsa Api telah menyerang Puak Air Utara. Serangan tersebut diketuai oleh Laksamana Zhao. Serangan tersebut dilakukan dipercayai untuk menangkap Avatar dan mengalahkan musuh terkuatnya.

Zuko dengan bantuan bapa saudaranya, Jeneral Iroh telah berjaya menculik Avatar Aang. Zuko mengangkat Aang merentasi ribut salji dalam kawasan kutub utara sebelum menemui sebuah gua. Pada masa yang sama, roh Aang telah meninggalkan jasad untuk meminta bantuan di dunia roh.

Semasa berlindung di dalam gua. Zuko bercerita tentang hidupnya kepada jasad Aang. Hidup keluarganya secara ringkas. Zuko mendakwa yang bapanya telah mengatakan adiknya dilahirkan untuk menjadi tuah manakala dirinya dianggap bertuah sebab dilahirkan. Pastinya, luahan Zuko tidak didengari Aang.

Berdasarkan luahan Zuko, dapat dipastikan yang bapanya membeza-bezakan kasih sayang antara Zuko dan adiknya, Azula.

PUTERI AZULA MENUJU PUNCAK

Dalam “The Avatar State”, itulah kemunculan pertama Azula dengan lontaran dialognya. Puteri Azula dipercayai telah diamanahkan bapanya, Fire Lord Ozai untuk menangkap anak dan abangnya. Jeneral Iroh si pengkhianat dan Zuko si penggagal.

Azula kelihatannya tenang dan bijak dalam menyelesaikan banyak masalah. Beliau berkebolehan untuk melentur dan mengubah hala kilat. Lenturan Kilat adalah salah satu sub-kemahiran dalam Lenturan Api.

Azula bertemu dengan kawannya Thy Lee dan Mai di Omashu untuk menubuhkan satu pasukan. Azula dipercayai mengugut Thy Lee untuk menyertai Azula. Pada masa itu, Omashu berada di bawah kekuasaan Bangsa Api lalu ditukar kepada New Ozai.

TUMBANGNYA BA SING SE

Tidak ada seorang pun yang berjaya menakluk Ba Sing Se sejak dari zaman Chin Si Penakluk, Fire Lord Sozin, Fire Lord Azulon dan sehinggalah ke Jeneral Iroh Ba Sing Se adalah ibu kota Kerajaan Tanah. Jika berjaya pun hanyalah setakat tembok luaran.

Kebijaksanaan Azula berjaya mengadakan satu pakatan antara Long Feng dengan Dai Li. Tentera dan yang sewaktu dengannya berjaya digulingkan di Ba Sing Se. Long Feng kemudiannya ditendang daripada pakatan itu setelah Dai Li berpaling tadah.

Azula berjaya menumbangkan Kerajaan Tanah dari dalam. Dai Lee akhirnya meruntuhkan sebahagian tembok untuk membolehkan Bangsa Api menakluk Ba Sing Se. Pada masa itu hanya Puak Air sahaja yang masih bertahan.

Terbaru: Fiksyen Mahakarya

AZULA ADALAH RAKSASA

Dalam “The Beach”, Azula, Zuko, Thy Lee dan Mai telah bercuti di Pulau Ember. Pulau tersebut terletak di negara Bangsa Api. Menurut pengawal peribadinya iaitu Lo dan Li, pulau berkenaan menyimpan suatu rahsia yang besar.

Masa berlalu, mereka berkumpul di tepi pantai. Mereka memanaskan badan dengan unggun api. Ketika itu, masing-masing meluahkan isi hati mereka masing-masing. Thy Lee dengan sebab menyertai sarkas, Zuko yang celaru mindanya dan Azula yang kelihatannya cuba menahan sedih.

Azula memandang ke arah unggun api lalu berkumat-kamit. Azula teringat akan ibunya, Ursa yang mengatakan Azula diibaratkan sebagai raksasa. Azula menyambung lagi, mengatakan tetap terasa hati walaupun betul dakwaan ibunya.

KAWAN YANG BERPALING TADAH

Di Batuan Mendidih, tempat di mana pesalah ditempatkan. Tempat tersebut dikelilingi oleh tasik yang mendidih. Tempat yang dikenali sebagai penjara itu terletak di kawasan gunung berapi.

Dalam episod “The Boiling Rock”, Sokka bersama Zuko dalam misi untuk mencari bapanya, Hakoda yang ditawan. Bukan hanya Hakoda, tetapi Suki juga berjaya ditemui. Mereka berjaya keluar dari tempat itu dengan bantuan Mai.

Tindakan Mai dipertikaikan oleh Azula. Mai berbuat demikian kerana perasaan cintanya terhadap Zuko lebih tinggi daripada ketakutannya terhadap Azula. Thy Lee yang berada di persimpangan melihat kedua kawan-kawannya bertikam lidah.

Penonton ATLA barangkali terkejut kerana Thy Lee lebih memihak Mai daripada Azula. Persahabatan mereka telah terputus. Mai dan Thy Lee kemudiannya dipenjarakan Azula.

KEMEROSOTAN AZULA

Keadaan Azula semakin menurun. Azula kelihatannya cepat marah. Buktinya, seorang dayang telah dibuang negara kerana penemuan biji anggur. Bukan itu sahaja, Dai Lee dan pembantunya yakni Li dan Lo juga menerima nasib yang sama.

Dengan bantuan Komet Sozin, Fire Lord Ozai menukar gelarannya kepada The Phoenix King. Ozai melantik anaknya Azula sebagai Fire Lord yang baharu. Perlantikan tersebut dilakukan kerana kesetiaan terhadap tanah air.

Akhirnya, Zuko dan Azula terlibat dalam Agni Kai. Menurut peminat ATLA, pertarungan itu sungguh menakjubkan. Hal ini kerana, gaya perlawanan antara Lenturan Api dan Lenturan Kilat kelihatannya seperti air yang mengalir. Bunyi yang menyeramkan juga kedengaran ketika itu.

Lenturan Air daripada Katara berjaya mengalahkan Azula. Setelah itu, Azula meraung-raung menyembur api berwarna biru. Kelihatannya, Azula dalam keadan terikat sedang menangis teresak-esak. Tangisan tersebut seolah-olah meluahkan tentang orang lain yang lebih bertuah berbanding dirinya.

KEADAAN AZULA DALAM DUNIA SEBENAR

Menurut peminat siri ATLA, Azula menghidap penyakit Schizoaffective Disorder. Penyakit tersebut secara ringkasnya adalah perasaan murung yang disebabkan oleh meracau, meroyan dan berhalusinasi akibat ditinggal orang yang disayanginya.

Minta tolong kepada ahli dalam bidang berkenaan harap dapat memberikan penjelasan mengenai keadaan Azula di dalam ruangan komen di bawah.

AKHIR KALAM

Kesimpulannya, itu adalah antara kisah Azula dalam siri Avatar: Si Pelentur Angin Yang Terakhir (ATLA). Pada awalnya, hubungan antara Azula dan Zuko sungguh baik. Pertelingkahan orang tuanya yakni Ozai dan Ursa akhirnya telah menyebabkan hubungan antara Zuko dan Azula renggang.

Apakah pendapat anda tentang Puteri Azula? Harap berikan maklumbalas anda kepada kami di dalam ruangan komen di bawah.

RUJUKAN:

Opening sequence | Avatar Wiki | Fandom. Dicapai pada 5hb Mei 2020 dari https://avatar.fandom.com/wiki/Opening_sequence

“Avatar: The Last Airbender” Theme Song (HQ) | Episode Opening Credits | Nick Animation. Dicapai pada 5hb Mei 2020 dari https://m.youtube.com/watch?v=d1EnW4kn1kg

List of Avatar: The Last Airbender episodes | Avatar Wiki | Fandom. Dicapai pada 5hb Mei 2020 dari https://avatar.fandom.com/wiki/List_of_Avatar:_The_Last_Airbender_episodes

Azula | Avatar Wiki | Fandom. Dicapai pada 5hb Mei 2020 dari https://m.youtube.com/watch?v=HhLNG1nccWw

The Fire Nation Royal Family Tree. Dicapai pada 5hb Mei 2020 dari https://www.pinterest.com/pin/126382333269293886/

History of the World of Avatar. Dicapai pada 5hb Mei 2020 dari https://avatar.fandom.com/wiki/History_of_the_World_of_Avatar

Schizoaffective Disorder. Dicapai pada 5hb Mei 2020 dari https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/schizoaffective-disorder/symptoms-causes/syc-20354504

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.