Pada penulisan kali ini, penulis ingin berkongsi beberapa fakta menarik berkenaan Raja-Raja Melayu sepanjang sejarah institusi kesultanan-kesultanan Melayu yang masih kekal berdaulat sehingga kini di negara kita Malaysia dan Brunei Darussalam:

1) Kesultanan Kedah adalah kesultanan tertua di Semenanjung Tanah Melayu dan masih kekal berdaulat memerintah sehingga kini. Bahkan antara institusi monarki yang tertua di dunia masih memerintah. Sejarahnya boleh ditelusuri seawal abad ke-12, bahkan jauh lebih awal seawal abad kedua Masihi kerana Kesultanan Kedah adalah kesinambungan daripada Kerajaan Purba Langkasuka. Jauh sebelum pengasasan Kesultanan Melaka dan khilafah Bani Abbasiyyah yang berpusat di Baghdad masih memerintah ketika itu (abad ke-12).

2) Kesultanan Kedah bukan sahaja kesultanan tertua di dunia yang masih kekal memerintah, bahkan susurgalur pemerintahnya masih belum putus dari jurai lelaki.

3) Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang mempunyai sembilan orang raja berdaulat yang memerintah sembilan negeri masing-masing serta mengamalkan sistem penggiliran dan pemilihan jawatan Yang Dipertuan Agong dalam kalangan Raja-Raja Melayu tersebut sebagai ketua negara bagi Persekutuan Malaysia.

4) Sungguhpun Kesultanan Melaka tidak lagi wujud sejak tahun 1511, tetapi legasi kesultanan tersebut telah melahirkan Kesultanan Perak, Pahang dan Johor yang masih kekal memerintah sehingga kini. Daripada Empayar Kesultanan Johor-Riau-Lingga-Pahang pula, lahirnya Kesultanan Terengganu dan Selangor yang juga masih kekal memerintah sehingga kini.

5) Empayar Kesultanan Kedah suatu ketika dahulu begitu luas sehingga ke selatan Burma (kini Myanmar). Perlis dan Pulau Pinang yang kini menjadi negeri-negeri berasingan dalam Persekutuan Malaysia, pada asalnya merupakan sebahagian daripada wilayah Kesultanan Kedah. Antara kerajaan / kesultanan lain yang pernah wujud daripada Kesultanan Kedah ialah seperti Kerajaan Kubang Pasu dan Kerajaan Setul. Wilayah Kerajaan Kubang Pasu kembali bersatu semula dalam Kesultanan Kedah, sementara wilayah Kerajaan Setul diserap menjadi wilayah Siam (Thailand) yang pada masa kini dikenali sebagai Satun.

6) Negeri Kelantan pada abad ke-17 pernah diperintah oleh seorang ratu bernama Paduka Cik Siti Wan Kembang yang mewarisi takhta Kerajaan Tanah Serendah Sekebun Bunga. Negeri Kelantan sehingga kini amat sinonim dengan gelaran Negeri Cik Siti Wan Kembang kerana kemasyhuran kisah sejarah pemerintahan baginda. Takhta kerajaan baginda diserahkan pula pada anak angkatnya yang juga berketurunan raja iaitu Puteri Saadong setelah kemangkatannya.

7) Tahukah anda bahawa dalam sejarah kegemilangan Kesultanan Aceh dahulu terdapat dua orang putera Sultan daripada dua kesultanan di Tanah Melayu yang pernah ditabalkan sebagai Sultan Aceh? Pertama, ialah Raja Alauddin, putera kepada Sultan Perak kedua iaitu Sultan Mansur Shah I, yang ditabalkan sebagai Sultan Aceh kelapan pada tahun 1579 menggantikan ayahanda mentuanya, Sultan Ali Ri’ayat Shah, dengan gelaran Sultan Alauddin Mansur Shah. Kali kedua, ialah Raja Hussein, putera kepada Sultan Pahang ke-11 iaitu Sultan Ahmad Shah II, yang juga mengambil alih takhta ayahanda mentua baginda iaitu Sultan Iskandar Muda selepas kemangkatannya pada tahun 1636 dengan memakai gelaran Sultan Iskandar Thani (Thani dalam bahasa Arab bermaksud “kedua”).

8) Tujuh daripada sembilan institusi kesultanan di Malaysia mengamalkan sistem pewarisan takhta seperti biasa, iaitu keutamaan pada setiap jurai lelaki waris putera sulung. Tetapi berlainan dengan sistem pewarisan takhta Kesultanan Perak dan Negeri Sembilan. Kesultanan Perak mengamalkan sistem giliran iaitu waris lelaki bagi tiga jurai keluarga kerabat diraja berhak atas takhta dengan syarat perlu melalui enam langkah perlantikan jawatan Raja-Raja Bergelar, bermula daripada hierarki jawatan Raja Kecil Bongsu, Raja Kecil Tengah, Raja Kecil Sulung, Raja Kecil Besar, Raja DiHilir, Raja Muda, barulah menaiki takhta sebagai Sultan. Walau bagaimanapun, perubahan boleh dilakukan oleh Dewan Negeri Perak atas beberapa faktor seperti masalah kesihatan, akhlak atau atas kerelaan individu waris itu sendiri yang memberi laluan kepada waris di bawahnya. Bagi institusi Kesultanan Negeri Sembilan pula, pewarisan takhta Yang Dipertuan Besar juga tidak semestinya pada putera sulung pemerintah sebelumnya, tetapi berdasarkan pemilihan dan permuafakatan kesemua empat orang Datuk Undang dalam kalangan kerabat diraja mereka.

9) Selain gelaran Sultan, terdapat juga institusi Raja Melayu di Malaysia yang menggunakan gelaran Raja seperti Raja Perlis dan gelaran Yang Dipertuan Besar seperti Negeri Sembilan.

10) Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah al-Haj daripada Kesultanan Selangor merupakan Raja Melayu yang paling singkat tempohnya menjawat jawatan Yang Dipertuan Agong iaitu kurang daripada enam bulan kerana kemangkatan baginda pada tahun 1960.

11) Almarhum al-Sultan Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah daripada Kesultanan Kedah merupakan satu-satunya Raja Melayu yang pernah menjawat jawatan Yang Dipertuan Agong sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1970-1975 dan sekali lagi pada tahun 2011-2016 melalui sistem giliran. Bahkan baginda memegang rekod sebagai Yang Dipertuan Agong tertua pernah menyandang jawatan tersebut pada usia 88 tahun.

12) Sebelum kemangkatan Almarhum al-Sultan Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, baginda merupakan pemerintah monarki kedua paling lama masih memerintah di dunia selepas Ratu Elizabeth II dari kerajaan United Kingdom dengan jarak tempoh pemerintahan antara baginda berdua hanya enam tahun. Kini, kedudukan kedua tersebut dipegang oleh Sultan Hassanal Bolkiah, Sultan Brunei yang masih kekal memerintah sehingga kini dengan jarak tahun pemerintahan antara baginda berdua dalam 14 tahun.

13) Walau bagaimanapun, Raja Melayu paling lama memerintah direkodkan dalam sejarah setakat ini masih dipegang oleh Kesultanan Kedah iaitu Almarhum Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin II yang memerintah Kedah selama 68 tahun (1710-1778). Ini menjadikan Almarhum baginda merupakan antara pemerintah monarki paling lama memerintah di dunia.

14) Kesultanan Perlis (pemerintahnya menggunakan gelaran Raja Perlis) yang pada asalnya merupakan sebahagian daripada Empayar Kesultanan Kedah merupakan kesultanan termuda dalam sejarah Tanah Melayu yang diasaskan pada tahun 1843.

15) Sebelum kedatangan James Brooke, Kesultanan Brunei menguasai hampir seluruh utara Kepulauan Borneo yang pada masa kini meliputi negeri Sarawak dan Sabah.

16) Negeri Sarawak pernah mempunyai kesultanannya sendiri yang sempat diperintah oleh seorang sahaja sultan daripada waris Kesultanan Brunei iaitu Sultan Ibrahim Ali Omar Shah (Sultan Tengah) yang memerintah pada awal abad ke-17.

17) Makam Sultan Brunei yang kedua iaitu Sultan Abdul Majid yang memerintah sekitar tahun 1402-1408 berada di Kota Nanjing, China dan menjadi antara pusat tarikan pelancong di sana. Walaupun maklumat berkenaan baginda ada dalam catatan sejarah China, namun Batu Tarsilah yang mencatatkan salasilah keturunan Sultan-Sultan Brunei tiada maklumat berkenaan baginda.

18) Raja-Raja Melayu yang memerintah Kesultanan Johor, Pahang dan Terengganu pada masa kini jika ditelusuri susurgalur sebelah lelaki ketiga-tiga kesultanan tersebut, mereka berkongsi seorang tokoh leluhur yang sama, iaitu Tun Habib Abdul Majid, Bendahara Johor yang mentadbir Kesultanan Johor pada akhir abad ke-17. Daripada jurai keturunan salah seorang puteranya iaitu Tun Abdul Jalil yang kemudiannya bergelar Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV, berkembangnya nasab sultan-sultan Johor daripada dinasti Bendahara, Kesultanan Riau-Lingga dan Kesultanan Singapura. Daripada jurai keturunan salah seorang cucunda baginda pula iaitu Tun Abdul Jamal ibni Tun Abbas ibni Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV, lahirnya nasab sultan-sultan Johor dinasti Temenggung yang memerintah negeri Johor sehingga kini. Adinda kepada Sultan Abdul Jalil IV iaitu Tun Zainal Abidin ibni Bendahara Tun Habib Abdul Majid pula ditabalkan di Terengganu menjadi Sultan Terengganu pertama dengan gelaran Sultan Zainal Abidin dan waris baginda terus memerintah negeri Terengganu sehingga kini. Seterusnya, daripada jurai Tun Abdul Majid ibni Tun Abbas ibni Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV, berterusannya nasab keturunan sultan-sultan Pahang dinasti Bendahara yang memerintah sehingga kini.

19) DYMM Sultan Dr. Nazrin Muizzuddin Shah, baginda Sultan Perak yang memerintah negeri Perak pada masa kini merupakan satu-satunya Raja Melayu di Malaysia yang mempunyai kelulusan akademik Ijazah Doktor Falsafah (PhD). Baginda memperoleh PhD dalam bidang Politik, Ekonomi dan Kerajaan daripada Universiti Harvard, Amerika Syarikat. Sebelum itu, baginda merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi di Universiti Oxford, UK, dan Ijazah Sarjana dalam bidang Pentadbiran Awam di Universiti Harvard, Amerika Syarikat.

20) DYMM Sultan Mizan Zainal Abidin, baginda Sultan Terengganu yang memerintah negeri Terengganu pada masa kini bukan sahaja seorang Raja Melayu yang pernah bergelar atlet sukan negara dan pernah dua kali memenangi pingat emas dalam acara sukan kuda lasak peringkat Sukan SEA, bahkan baginda juga pernah memecahkan rekod kebangsaan dan rekod Sukan SEA bagi acara sukan tersebut pada tahun 2017 yang lalu.

21) DYMM Sultan Hassanal Bolkiah, baginda Sultan Brunei yang memerintah negara Brunei Darussalam pada masa kini bukan sahaja tergolong dalam kelompok beberapa orang pemerintah berkuasa mutlak yang masih memerintah di dunia pada masa kini, bahkan baginda juga diiktiraf sebagai antara pemerintah monarki paling kaya di dunia. Antara negara lain yang masih mengekalkan institusi pemerintahan berkuasa mutlak seperti kerajaan Arab Saudi, Oman dan Eswatini. Baginda bukan sahaja seorang Sultan, bahkan baginda juga memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Menteri Kewangan Brunei. Istana Nurul Iman di Bandar Seri Begawan diiktiraf sebagai antara istana kediaman rasmi pemerintah terbesar di dunia.

22) Almarhum Tuanku Syed Harun Putra Jamalullail, Raja Perlis keenam merupakan Yang Dipertuan Agong paling muda pernah ditabalkan dalam sejarah institusi Yang Dipertuan Agong yang mana ketika pertabalan tersebut baginda baru berusia 40 tahun (1960).

23) DYMM Sultan Muhammad V, baginda Sultan Kelantan yang memerintah negeri Kelantan pada masa kini merupakan satu-satunya Raja Melayu yang turun dari takhta Yang Dipertuan Agong ketika masih dalam tempoh pemerintahan. Baginda juga merupakan satu-satunya Yang Dipertuan Agong yang ditabal tanpa mempunyai Raja Permaisuri Agong.

24) Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah, Sultan Selangor kelima yang memerintah pada tahun 1898-1938 merupakan antara Raja Melayu yang amat dikenali berjiwa ulama. Baginda amat dikenali sebagai seorang pemerintah yang suka mendampingi para ulama’, sering menyampaikan khutbah dan pernah mengarang beberapa buah kitab berkenaan akidah dan akhlak.

25) Almarhum Sultan Abu Bakar, Sultan Johor yang masyhur dikenali sebagai Bapa Pemodenan Negeri Johor merupakan Raja Melayu terawal yang pernah mengelilingi dunia terutamanya melawat benua Eropah dan Asia sekitar abad ke-19 serta menjalinkan hubungan diplomatik dengan kerajaan-kerajaan besar di tempat-tempat yang dikunjungi oleh baginda. Antaranya lawatan baginda ke England (1866), Turki Uthmaniyah (1866), Paris, Vienna, Prussia, China, Jepun, Kepulauan Jawa dan Itali. Baginda turut dianugerahi beberapa darjah kebesaran daripada pemerintah-pemerintah kerajaan besar tersebut sepanjang lawatan baginda. Bahkan, baginda mangkat ketika kunjungan baginda di London pada tahun 1895 dan jenazah baginda dibawa pulang semula ke Johor untuk disemadikan.

26) Almarhum Tuanku Abdul Rahman, iaitu Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan kelapan dan juga Yang Dipertuan Agong pertama berkelulusan Ijazah Sarjana Muda undang-undang daripada Inner Temple di United Kingdom. Bahkan, baginda pernah dilantik sebagai Presiden pertama Kesatuan Melayu United Kingdom (KMUK/MSGB), iaitu persatuan pelajar Melayu terawal di Eropah ketika baginda menuntut di sana, dan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj merupakan Setiausaha Agong pertamanya. Bukan itu sahaja, isteri pertama baginda adalah seorang wanita berbangsa Eropah yang bernama Dulcibella Campbell atau nama Islamnya, Cik Puan Maimunah. Bagindalah bonda kepada Almarhum Tuanku Ja’afar yang mewarisi takhta Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-10 dan juga Yang Dipertuan Agong ke-10.

27) Almarhum Sultan Abdul Samad, Sultan Selangor keempat, merupakan Raja Melayu paling tua direkodkan pernah memerintah. Baginda ditabalkan pada tahun 1857 ketika berusia 53 tahun, memerintah negeri Selangor selama 41 tahun sehingga baginda mangkat pada tahun 1898 ketika berusia 94 tahun. Walau bagaimanapun, terdapat rekod tidak rasmi lain yang mencatatkan bahawa Almarhum Sultan Abdul Momin iaitu Sultan Brunei ke-24 yang memerintah pada tahun 1852-1885 mangkat ketika memerintah pada usia melebihi 100 tahun.

28) Ketika zaman pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu, tiga orang putera Raja-Raja Melayu dari tiga negeri berasingan telah ditabalkan sebagai sultan atau raja oleh pihak Jepun kerana sultan atau raja sebelum itu telah mangkat atau diturunkan secara paksa dari takhta mereka. Mereka ialah Almarhum Tuanku Syed Hamzah Jamalullail Raja Perlis yang menggantikan takhta Almarhum kakandanya yang mangkat, Almarhum Sultan Ali Sultan Terengganu yang menggantikan takhta Almarhum ayahandanya yang mangkat dan Almarhum Sultan Musa Ghiathuddin Riayat Shah Sultan Selangor yang menggantikan takhta adindanya yang diturunkan oleh pihak Jepun. Walau bagaimanapun, setelah Jepun kalah dalam Perang Dunia Kedua dan berundur dari Tanah Melayu, diikuti dengan penguasaan semula pihak British di Tanah Melayu, ketiga-tiga orang Raja Melayu tersebut telah diturunkan dari takhta dan ditabalkan waris yang lain atau ditabalkan semula sultan sebelumnya.

29) Persidangan Raja-Raja Melayu (Durbar) kali pertama diadakan pada tahun 1897 di Istana Negara Kuala Kangsar, Perak, menghimpunkan empat orang Raja-Raja Melayu daripada Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (Selangor, Perak, Pahang, Negeri Sembilan) yang memerintah ketika itu beserta residen-residen British. Persidangan Durbar tersebut merupakan pelopor kepada pembentukan Majlis Raja-Raja Melayu pada tahun 1948.

30) Pada asalnya, undian penggiliran perlantikan jawatan Yang Dipertuan Agong pertama kali diadakan dalam kalangan Raja-Raja Melayu adalah berdasarkan kepada senioriti tempoh pemerintahan. Calon pertama paling senior berdasarkan tempoh pemerintahan ketika itu ialah Almarhum Sultan Johor, Sultan Ibrahim al-Masyhur yang memerintah negeri Johor sejak tahun 1895, tetapi baginda menolak jawatan tersebut atas sebab tua dan keuzuran. Kemudian, tumpuan beralih pula kepada Almarhum Sultan Pahang ketika itu, Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin yang memerintah negeri Pahang sejak tahun 1932, tetapi baginda pula tidak mendapat mandat penuh. Seterusnya, undian bergerak pada calon ketiga iaitu Almarhum Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ketika itu, Tuanku Abdul Rahman yang memerintah Negeri Sembilan sejak tahun 1933. Baginda mendapat mandat penuh dan akhirnya ditabal sebagai Yang Dipertuan Agong pertama. Sejak itu, sistem penggiliran jawatan Yang Dipertuan Agong bermula daripada Negeri Sembilan, kemudian Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.

31) Majlis Raja-Raja Melayu yang ditubuhkan setelah pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948 dan dianggotai oleh kesemua sembilan orang Raja-Raja Melayu yang sedang memerintah negeri masing-masing beserta keempat-empat orang Yang Dipertua Negeri berfungsi sebagai majlis mesyuarat diraja untuk memilih Yang Dipertuan Agong dan Timbalan Yang Dipertuan Agong selain membincangkan persetujuan sama ada meluluskan atau tidak apa-apa rang undang-undang, perbuatan dan upacara agama di seluruh persekutuan. Majlis Raja-Raja Melayu juga berfungsi menentukan pengampunan, tunda hukum, lega hukum, menggantung atau meringankan hukuman-hukuman.

32) Almarhum Yang Dipertuan Agong (YDPA) pertama merupakan ayahanda kepada Almarhum YDPA ke-10. Selain itu, Almarhum YDPA pertama juga merupakan ayahanda mentua kepada Almarhum YDPA kelima yang juga YDPA ke-14. Almarhum YDPA kedua pula merupakan ayahanda kepada Almarhum YDPA ke-11 dan juga besan dengan Almarhum YDPA keempat. Almarhum YDPA ketiga merupakan ayahanda kepada YDPA ke-12. Almarhum YDPA keempat merupakan nenda kepada Almarhum YDPA ke-13. Almarhum YDPA keenam merupakan nenda kepada YDPA ke-15. Almarhum YDPA ketujuh merupakan ayahanda kepada YDPA ke-16 yang kini sedang bertakhta dan juga besan dengan Almarhum YDPA kelapan. Almarhum YDPA kelapan pula berbesan dengan Almarhum YDPA ke-11, selain merupakan ayahanda mentua kepada YDPA ke-16 sekarang.

33) Daripada 15 orang Raja-Raja Melayu yang pernah ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Agong sehingga kini, empat orang daripadanya mangkat ketika masih dalam tempoh pemerintahan YDPA iaitu YDPA pertama, kedua, keenam dan ke-11.

34) Sehingga tahun 2021 ini, tujuh daripada sembilan kesultanan telah melalui dua kali pusingan perlantikan Yang Dipertuan Agong. Baki lagi dua kesultanan yang masih belum lagi melalui dua kali pusingan tersebut ialah Johor dan Perak.

35) Sekiranya KBDYMM YDPA sekarang iaitu Al-Sultan Abdullah tidak menggantikan takhta ayahanda baginda, Sultan Haji Ahmad Shah yang diturunkan dari takhta kerana keuzuran pada awal tahun 2019, sudah tentu Sultan Haji Ahmad Shah menjadi Raja Melayu kedua yang dilantik sebagai YDPA kali kedua. Almarhum baginda mangkat pada bulan Mei 2019.

36) Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, Sultan Perak ke-34, bukan sahaja berkelulusan Ijazah Sarjana Muda undang-undang, bahkan Almarhum baginda pernah mencatat rekod negara pada tahun 1965 sebagai hakim termuda dalam sejarah negara-negara Komanwel apabila baginda dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada usia baru 37 tahun. Pada tahun 1979, baginda dilantik sebagai Hakim Besar Malaya dan seterusnya pada tahun 1982, baginda dilantik pula sebagai Ketua Hakim Negara. Ini menjadikan Almarhum baginda merupakan satu-satunya Raja Melayu yang pernah menyandang jawatan tertinggi dalam sejarah institusi kehakiman negara.

37) Sewaktu DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah, baginda Sultan Selangor yang memerintah pada masa kini bergelar Raja Muda Selangor suatu ketika dahulu, baginda pernah mencatat dua rekod negara. Pertama, baginda adalah individu pertama yang berjaya belayar mengelilingi dunia merentasi lautan dengan sebuah kapal layar diraja bernama Jugra. Baginda memulakan pelayaran pada tanggal 4 Februari 1995 daripada Pelabuhan Klang dan tiba semula ke tanah air pada tanggal 6 November 1996 setelah belayar mengelilingi dunia sejauh 27,940 batu nautika dan singgah di 155 pelabuhan seluruh dunia sepanjang 644 hari pelayaran baginda tersebut. Rekod negara kedua yang berjaya dilakukan oleh baginda ialah baginda bersama rakan sepasukannya, Richard Curtis, merupakan individu pertama yang berjaya melengkapkan cabaran pengembaraan kenderaan bermotor dari Peking, China ke Paris, Perancis pada tahun 1997. Baginda bersama rakan sepasukannya memulakan pemanduan pada tanggal 6 September 1997 dengan kelajuan maksimum 45 batu sejam, merentasi negara China, Nepal, India, Pakistan, Iran, Turki, Greece, Itali, Jerman dan akhir sekali tiba di Paris, Perancis pada tanggal 18 Oktober 1997.

38) DYMM Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa billah Shah, baginda Sultan Pahang dan juga KBDYMM Yang Dipertuan Agong yang sedang memerintah pada masa kini pernah mencatatkan rekod dunia sebagai pemegang gelaran Putera Mahkota kedua paling lama di dunia selepas Putera Charles United Kingdom. Baginda mula dilantik sebagai Tengku Mahkota Pahang pada tahun 1975 ketika berusia 16 tahun dan memegang jawatan tersebut selama 44 tahun sehinggalah baginda menaiki takhta pada tahun 2019 yang lalu menggantikan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah. Putera Charles dari United Kingdom masih lagi sehingga kini memegang gelaran Putera Mahkota paling lama di dunia sejak bondanya, Ratu Elizabeth II menaiki takhta pada tahun 1952.

39) Tahukah anda, selain daripada baginda Sultan Terengganu DYMM Sultan Mizan Zainal Abidin, KBDYMM Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah juga pernah memenangi pingat emas dalam acara sukan polo ketika Sukan SEA tahun 1983.

40) Untuk rekod, KBDYMM Raja Permaisuri Agong pada masa kini memiliki nama pertabalan paling panjang berbanding Raja-Raja Permaisuri Agong terdahulu. Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar al-Haj yang juga adinda kepada DYMM Sultan Johor yang memerintah pada masa kini pernah menjelaskan bahawa nama baginda yang panjang diberikan oleh Almarhum ayahanda baginda berasal daripada nama-nama keluarga baginda sendiri: Azizah (moyang saudara), Aminah (nenda), Maimunah (moyang) dan Iskandariah (versi perempuan nama Almarhum ayahanda baginda). Baginda terkenal dengan panggilan mesra Che Minah.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

MA. (Malaya), BUs. (IsHis&Civ)(Malaya)

Comments are closed.