Dalam sejarah China, kalau bercakap mengenai para srikandi dan wanita yang terkenal, kita tidak akan terlepas bercakap mengenai 4 jelitawan ini yang sudah menempah nama mereka dalam sejarah, lantas mengundang pelbagai kisah yang sangat menakjubkan untuk diteliti oleh kita.

Tentunya selain kisah-kisah yang mengasyikkan, kita juga akan terpukau pada naratif yang dipersembahkan. Justeru dalam artikel kali ini, aku akan senaraikan empat jelitawan yang entah bagaimana, nama mereka sangat dekat dalam jiwa aku. Ahh, mungkin aku terlalu memuja keindahan TUHAN pada wanita barangkali.

1. Xi Shi (西施)

Xi Shi hidup pada sekitar 506 SM (sezaman dengan tamadun Melayu Purba, Sungai Batu). Dalam empat jelitawan purba ini, Xi Shi dinamakan yang terindah antara empat yang paling indah dalam sejarah purba China. Xi Shi lahir di sebuah kampung yang dinamakan sebagai Xi Cun. Xi Shi lahir dalam keluarga sederhana pada zaman purba China dahulu di mana ayahnya bekerja sebagai seorang tukang kayu manakala ibunya menjahit sutera sebagai mata pencarian. Sejak kecil lagi, Xi Shi akan mengikuti ibunya untuk membasuh kain sutera di sungai.

Ketika inilah lahirnya frasa yang sangat terkenal dalam mengambarkan keindahan dan kejelitaan yang dimiliki oleh Xi Shi. Kononnya kalau dia melalui di tepian sungai itu, ikan-ikan yang sedang berenang kalau terlihat wajahnya, akan terlupa untuk berenang lalu membiarkan tubuh mereka ditarik graviti sehingga ke dasar sungai. Tidak kiralah walau ketika wajahnya sedang sedih, kecewa, tidak menunjukkan sebarang reaksi atau menguap sekalipun, ia tetap indah.

Bahkan diceritakan juga betapa gadis-gadis di kampung itu cuba untuk mencontohi keindahan yang terpamer pada wajah Xi Shi ketika menguap, namun hasilnya hodoh dan tidak seindah Xi Shi. Sekarang para lelaki, bayangkan ya anda jumpa seorang wanita yang gaya menguap pun, orang cuba jadikan contoh. Bayangkan betapa indahnya kejelitaan yang dimiliki oleh Xi Shi ini.

Ya, sekarang kita nak belajar pula bagaimana namanya kekal masyur dalam sejarah. Kejelitaan semata-mata tidak cukup. Jawapannya terletak pada zaman di mana Xi Shi hidup iaitu Zaman Musim Bunga Dan Musim Luruh, iaitu zaman di mana China terbahagi kepada kerajaan-kerajaan dan negara kota yang saling berperang. Xi Shi hidup di bawah pemerintahan Negara Yue yang ketika itu sudah ditawan oleh Negara Wu.

Raja Yue ketika itu iaitu Gou Jian sedang mencari jalan untuk memastikan pemerintah Yue ketika itu, Putera Fu Chai berjaya digulingkan. Maka diceritakan bahawa mereka mendapati bahawa kelemahan Fu Chai ialah kaum wanita. Dipendekkan cerita, Gou Jian berkenalan dengan Xi Shi dan berpendapat kejelitaan yang ada pada Xi Shi boleh jadi duri dalam daging dalam pemerintahan Putera Wu.

Seorang menteri yang baik hati dan bijaksana bernama Fan Li ditugaskan untuk mengiringi Xi Shi ke Negara Wu. Malangnya dalam perjalanan, kedua-dua mereka saling jatuh cinta. Boleh sahaja mereka berdua lari dan hidup dalam buangan. Tetapi kedua-duanya pula setia pada negara. Lantas pasangan bercinta ini saling berikrak menutur janji. Sesungguhnya suatu hari nanti mereka akan disatukan selepas segala-galanya selesai. Maka dihadiahkan Xi Shi kepada Putera Wu. Mulai hari itu, seperti mana yang dilipurkan kepada kita oleh sejarah, Putera Wu terlalu asyik menghabiskan masanya sehingga mengabaikan pentadbiran.

Negara Wu semakin melemah kerana memiliki pemerintah yang sedang asyik dengan wanita. Yue pula sedang membina kembali kekuatan yang hilang. Apabila semuanya lengkap, maka Wu berjaya ditawan oleh Yue semula. Si gadis dilepaskan selepas berjaya menunaikan misi untuk negaranya. Lantas ikrar cinta yang dilafazkan dulu menjadi kenyataan. Bersama Fan Li, Xi Shi membawa diri, hidup bersama jauh dari sepak terajang dunia.

2. Wang Zhaojun (王昭君)

Wang Zhaojun dilahirkan pada tahun 52 SM pada zaman pemerintahan Dinasti Han. Kejelitaan yang dimiliki oleh Wang Zhaojun ini dikatakan akan bikin burung yang sedang terbang terlupa untuk mengepakkan sayapnya lantas terjatuh menyembah bumi. Wow, dengar naratif tentang Wang Zhaojun pun dah sehebat itu. Tetapi ada kisah lagi hebat berbanding kejelitaan yang dimiliki oleh Wang Zhaojun. Contohnya bagaimana kejelitaan menghentikan persengketaan dua bangsa iaitu Hun dan Dinasti Han.

Kisahnya bermula dengan tradisi pelukis istana akan melukiskan potret para gundik di istana. Oleh kerana terlalu banyak perempuan dalam istana, Maharaja Han ketika itu tidak sempat untuk berjumpa dengan seluruh gundik untuk memilih mereka yang akan mendampinginya. Jadi diamanahkan kepada Mao Yanshou, pelukis istana ketika itu. Pelukis ini akan melukiskan semua gundik-gundik maharaja lalu mempersembahkan kepada maharaja. Maharaja hanya akan memilih melalui potret semata-mata.

Tetapi malangnya ketika itu ada amalan merasuah pelukis untuk melukis si gundik dengan lukisan tercantik sekali supaya nanti apabila potret mereka nanti dipersembahkan depan maharaja, maka akan ada versi naiktaraf. Kiranya macam mengupah tukang photoshop ler untuk sekarang bagi buat muka kita jadi lebih cantik. Malangnya Wang Zhaojun enggan membayar rasuah itu sehingga dia dilukiskan antara yang terhodoh antara semua. Hasilnya, maharaja enggan untuk memilihnya sebagai pendamping maharaja.

Dipendekkan kisah, ketika itu ketua puak Hun dari padang rumput Monggolia yang menjalinkan hubungan dengan Dinasti Han meminta seorang wanita Cina untuk dijadikan isteri sebagai tanda memperkuatkan lagi hubungan antara dua bangsa. Tentunya sang maharaja menggunakan potret lukisan pelukis istananya untuk menilai wanita mana yang bakal diberikan kepada etnik Hun. Wang Zhaojun dipilih kerana dia paling hodoh, sekurang-kurangnya pada potret itu.

Apabila melihat kecantikan Wang Zhaojun, Maharaja berasa sangat terkejut. Namun semuanya sudah terlambat kerana betapa ketika itu, dia sudah berjanji dan hubungan antara dua bangsa itu perlu dijaga demi menjaga zaman keamanan tanpa serangan orang gasar dari utara China. Apabila berangkatnya Wang Zhaojun meninggalkan China, si pelukis terus dibunuh oleh Maharaja.

Dikatakan bahawa sepanjang perjalanan ke kawasan Mongolia, tempat yang agak asing buatnya, Wang Zhaojun seringkali digambarkan memakai baju berwarna merah sambil bermain Pipa, sejenis alat tradisional China. Lagu yang dimainkan bernada sedih, mengambarkan perasaannya. Dikatakan seekor angsa liar yang mendengar lagu yang dimainkan oleh Wang Zhaoujun terlupa untuk terbang!

Selepas setahun perjalanan yang lama, akhirnya Wang Zhaoujun tiba di kawasan penempatan etnik Hun. Kedatangan Wang Zhaoujun disambut dengan gembira oleh ketua puak Hun. Wang Zhaojun dilayan layaknya seorang puteri. Hidupnya bahagia dan aman bersama dengan puak baru.

Budaya Cina yang lebih maju dibawa masuk ke dalam masyarakat Hun. 15 tahun hidup Wang Zhaojun sebelum meninggal dunia, meninggalkan dua orang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Namun, legasi paling besarnya ialah berjaya menyambung lagi hubungan damai selama 60 tahun antara dua puak yang berdamai!

Makamnya pula dikenali sebagai Makam Hijau oleh dunia moden, kononnya dinamakan sedemikian kerana rumput yang mengitari makamnya tidak pernah berubah warna walau musim berubah sekalipun. Wang Zhoujun dikebumikan di bahagian selatan bandar Huhhot sekarang ini, iaitu di kaki gunung Daqing, di tebing Sungai Kuning.

3. Diao Chan (貂蟬)

Diao Chan selalu diletakkan kedua terindah dalam senarai 4 jelitawan purba ini. Kejelitaannya dikatakan mampu membuatkan sang bulan berlindung segan dan malu disebalik awan. Dalam sejarah, posisi Diao Chan masih didebatkan sama ada ia sekadar watak fiksyen dalam novel fiksyen sejarah pada zaman abad ke-14 iaitu Hikayat Tiga Kerajaan atau benar-benar wujud. Adapun demikian, kewujudan Diao Chan dalam sejarah adalah tentang bagaimana kejelitaannya digunakan untuk mengalahkan tirani yang berkuasa ketika zaman kejatuhan Han.

Pelbagai cara digunakan oleh para warlord ketika itu untuk mengalahkan tirani bernama Dong Zhuo ini, namun semuanya gagal. Semuanya kerana yang berkhidmat untuk Dong Zhuo ialah seorang panglima perang hebat bernama Lu Bu yang didabik terkuat di seluruh China pada waktu itu. Sehinggalah salah seorang menteri Dong Zhuo bernama Wang Yun terfikirkan cara untuk menggunakan kejelitaan anak angkatnya bagi memisahkan kedua-duanya.

Maka diperkenalkan Wang Yun kepada Lu Bu kepada Diao Chan. Ditawarkan untuk dikahwinkan antara Lu Bu dan Diao Chan. Pada cinta pandang pertama, kejelitaan yang dimiliki oleh Diao Chan benar-benar meluluhkan hati serigala yang dimiliki oleh Lu Bu. Kemudian, si anak itu dibawa kepada Dong Zhuo lantas dijanjikan perkara yang sama seperti mana pada Lu Bu.

Dipendekkan cerita, suatu hari Diao Chan berlari ke arah Lu Bu lalu menangis mengadukan kononnya dia dipaksa untuk bersama dengan Dong Zhuo. Lu Bu yang naik berang dengan apa yang didedahkan oleh Diao Chan lantas membunuh Dong Zhuo, yang merupakan bapak angkatnya juga. Maka berakhirlah hayat Dong Zhuo, salah seorang tirani yang mengucar-kacirkan Dinasti Han pada zaman kejatuhannya.

4. Yang Guifei (杨贵妃)

Pada ketika zaman Dinasti Tang, dunia menyaksikan kemunculan seorang gadis jelita dalam sejarah yang kemudiannya akan menjadi duri dalam daging kepada kejatuhan Dinasti Tang. Yang Guifei, adalah pemilik nama kepada seorang bidadari dunia yang sedang kita bicarakan. Bidadari yang pada perkiraan saya telah bikin seorang raja menjadi gundah gulana kerana cinta. Kejelitaanya dibandingkan sehingga mampu bikin seluruh bunga di sebuah taman menguncup malu.

Pada usia 17 tahun, Yang Guifei telah dinikahkan dengan anak kepada Maharaja Tang ketika itu, Maharaja Xuanzong. Namun, tidak sampai enam tahun perkahwinan putera Maharaja Xuanzong dengan Yang Guifei, kejelitaan yang dimiliki oleh Yang Guifei telah membuatkan hati lelaki Maharaja Xuanzong menjadi gundah-gulana ketika kunjungan Maharaja Xuanzong di sebuah istana yang diduduki oleh Yang Guifei di sebuah kaki gunung di China.

Maharaja mahu melupai si wanita yang sudah berpunya itu, namun dia tidak dapat menahan nafsu dan cintanya. Maka, dengan hati yang cekal tanpa mempedulikan mulut-mulut yang akan mengatanya, maka si Maharaja menyuruh puteranya menceraikan Yang Guifei. Mahu atau tidak, maka terpaksalah si anak mematuhi.

Namun, Maharaja Xuanzong tahu apa yang akan dilakukannya ialah sebuah larangan dalam masyarakatnya. Mahu mengalihkan perhatian, maka maharaja menyuruh Yang Guifei menjadi biarawati agama Tao sebelum akhirnya dia sendiri mengahwini Yang Guifei.

Yang Guifei selepas mengahwini Maharaja Xuanzong, telah memiliki segala-galanya. Dia telah dihadiahkan rambut emas, istana yang khas untuk dirinya, serta pelbagai gelaran yang menjadikan Yang Guifei sebagai isteri Maharaja Xuanzong yang paling disayangi oleh maharaja. Bahkan Maharaja pernah membuatkan sebuah lagu yang menyamakan Yang Guifei dengan sebiji permata yang berkilauan.

Baginda sering menyanyi atau memainkan alat muzik ketika Yang Guifei menari. Puisi yang ditulis tentang Yang Guifei juga sangat indah, hingga ke hari ini masih dibaca oleh kalangan rakyat. Menurut ceritanya, “meskipun dalam istana terhadap tiga ribu orang gadis yang cantik, kasih sayang baginda terhadap tiga ribu orang gadis ini dicurahkan kepada gundik ini seorang sahaja.”

Dengan menggunakan pengaruh baginda Maharaja kepada dirinya, maka sepupu Yang Guifei, iaitu Yang Guozhong telah dilantik menjadi Perdana Menteri untuk Dinasti Tang, manakala tiga kakak perempuannya pula diberi gelaran bangsawan. Disebabkan terlalu asyik dengan kecantikan Yang Guifei, baginda tidak lagi mempedulikan urusan negara. Maka kuasa pemerintahan telah dipegang oleh Yang Guozhong dan Li Linfu.

Kedua-dua pegawai ini yang menguasai istana pada saat si maharaja terlalu lupa perihal negara sehingga membawa kepada korupsi besar-besaran. Pemerintahan Dinasti Tang menjadi semakin teruk, hingga mengakibatkan krisis dalam negara.

Pada tahun 755 Masihi, An Lushan, seorang gabenor telah memberontak dengan alasan untuk membunuh Perdana Menteri Yang Guozhong sang koruptor Tang. Sebuah negara bernama Yan ditubuhkan oleh An Lushang, sebahagian daripada pemberontakkannya.

Maharaja Xuanzong terpaksa membawa Yang Guifei melarikan diri dari ibu negara. Ketika menuju ke arah Mawei (di provinsi Shaanxi), pasukan tentera pengawal baginda tidak mahu bergerak lagi. Jeneral pasukan tentera tersebut telah membunuh Perdana Menteri Yang Guozhong dan bapanya, dan dia menuntut supaya Yang Guifei dibunuh, barulah pasukannya bersedia untuk menjaga keselamatan baginda dan menghapuskan pemberontak.

Jeneral itu tahu bahawa yang menjadi duri dalam daging kepada kejatuhan Empayar Tang ketika itu ialah Yang Guifei. Kalau mereka mahu melihat Dinasti Tang terus bernyawa, maka gadis itu harus mati.

Mahu memastikan dinastinya dan empayar Tang terus hidup, maka Yang Guifei terpaksa dibunuh oleh maharaja, meski terdapat kisah lain mengatakan sebenarnya maharaja menghantar gadis jelita itu ke Jepun untuk hidup aman di sana tanpa gangguan pemberontak. Matinya Yang Guiefei ialah pada usia 37 tahun pada tahun 756 Masihi.

Rujukan:

  1. Føhrby, Christian & Deng, Jie (2018). The Four Legendary Beauties Of Ancient China. Mingbai. https://supchina.com/2018/03/14/mingbai-the-four-legendary-beauties-of-ancient-china/
  2. Shanghai Daily (2017) Xi Shi, the Fairest Beauty of Ancient China. https://www.shine.cn/archive/sunday/now-and-then/Xi-Shi-the-Fairest-Beauty-of-Ancient-China/shdaily.shtml
  3. Wu, David (2014) Wang Zhaojun: Beauty of Peace. The Epoch Times. https://www.theepochtimes.com/wang-zhaojun-beauty-of-peace_1069045.html
  4. Raitisoja, Geni (2017) The Chinese Beauty Who Brought Down A Dynasty. GB Times. https://gbtimes.com/chinese-beauty-who-brought-down-dynasty
  5. Mikalauskaite, Fauta (2013) Historical Profile: Diao Chan. GB Times. https://gbtimes.com/historical-profile-diao-chan
  6. Off the Great Wall (2014). The Four Most Beautiful Chinese Women Ever. Youtube.com. https://www.youtube.com/watch?v=dZffx3eQO20
  7. The Chen Dynasty (2017). The Most BEAUTIFUL Women in Chinese History: Part 1 Xi Shi. https://www.youtube.com/watch?v=Ke4x5MJ1Fcw
  8. The Chen Dynasty (2017). The Woman Whose Beauty SAVED China: Most BEAUTIFUL Chinese Women Part 2. https://www.youtube.com/watch?v=d32bsXWMWGs
  9. The Chen Dynasty (2017). A Beauty’s SELFLESS Sacrifice: The Most BEAUTIFUL Women In Chinese History Part 3 Diao Chan. https://www.youtube.com/watch?v=Dv9ADGvKlt8
  10. The Chen Dynasty (2017). The Woman Who DESTROYED an EMPIRE With her Beauty: Yang Gui Fei. https://www.youtube.com/watch?v=61IH9TIzXkg

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 16 buah buku (setakat Mac 2021). Merupakan pengasas bersama The Patriots, dan memegang jawatan Chief Content Officer untuk Patriots Holding Sdn Bhd. Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!

Comments are closed.