Warga Maya China Dedah Dan Malukan Orang Melanggar Kuarantin

19,874

Semua sedia maklum dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan di seluruh negara bermula 18 Mac lepas hingga 31 Mac ini, pergerakan rakyat dihadkan kecuali untuk membeli makanan, bekerja (bagi sektor penting dan kritikal) atau ke hospital/klinik.

Malangnya, masih ramai yang mengganggap tempoh ini sebagai tempoh bersuka-ria dan merayap tak tentu hala sehingga ditegur pihak berkuasa. Dan ada pula yang mengambil keputusan melawan dan memperlekeh langkah PKP ini.

Justeru, tidak hairanlah jika anda membaca akhbar hari ini, anda disajikan dengan kisah-kisah ini:

  1. Perakam ‘kenduri kepala kambing’ direman 4 hari (Harian Metro). – https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/03/556834/perakam-kenduri-kepala-kambing-direman-4-hari

  1. Tak pasal-pasal kena tahan. (Harian Metro). – https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/03/556920/tak-pasal-pasal-kena-tahan

  1. Kawalan pergerakan: Lelaki ditahan. (Berita Harian). – https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/03/667048/kawalan-pergerakan-lelaki-ditahan

  1. Sengaja cari pasal. (Berita Harian). – https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2020/03/667621/sengaja-cari-pasal

Sikap sesetengah ‘lembu’ ini bukan saja mengundang kemarahan rakyat tetapi juga keresahan DYMM Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana matlamat memotong kenaikan kes Covid-19 dipandang sepi oleh golongan ini.

‘Lembu-lembu’ ini bernasib baik kerana identiti mereka tidak dikesan dan didedahkan secara terbuka oleh orang ramai di laman media sosial. Tetapi bayangkan jika ‘lembu-lembu’ ini cuba ulangi perangai sama di China? Dimalukan habis-habisan dan tanpa henti.

Ini berlaku kepada seorang wanita China-Australia yang memilih berjoging tanpa mengenakan topeng muka. Video wanita itu bertengkar dengan seorang pegawai keselamatan di Beijing tular di internet sekaligus mengundang kemarahan ramai.

Wanita yang hanya dikenali dengan nama keluarga Liang tidak menyangka reaksi warga maya amat dahsyat. Warga maya segera mendedahkan semua butiran kehidupannya secara terbuka. Kecaman jangan cakaplah, tak henti-henti.

Kena buang kerja.

Akibatnya, syarikat farmasi Bayer China memutuskan memecat wanita itu atas alasan gagal mematuhi peraturan kerajaan yang ditetapkan. Selain itu, Liang juga diarah keluar dari China atas arahan kerajaan wilayah Beijing tanpa menyatakan tempoh yang diberi untuknya keluar.

Sementara itu, akhbar Nanguo Morning Post melaporkan seorang penjual buah di Wuhan bakal dibicarakan di mahkamah atas dakwaan melanggar perintah kuarantin kerajaan selepas kembali ke kediamannya di Laibin City sempena Tahun Baru Cina.

Promosi Buku DTT

Lelaki yang hanya dikenali dengan nama samaran Wei Zhan dimalukan habis-habisan di internet dengan jirannya memanggil dia sebagai raja r4cun. Ini berikutan tindakannya yang keluar dari Wuhan dan tidak memberitahu keberadaannya kepada pihak berkuasa.

Zhan kemudiannya disahkan positif Covid-19 dan menerima rawatan yang diperlukan. Di sebalik itu, dia juga bakal berdepan tindakan undang-undang kerana melanggar perintah kuarantin.

Semasa ditemubual akhbar berkenaan, dia mengakui komen-komen negatif ini memberi kesan buruk kepada keluarganya termasuk anak perempuannya yang bersekolah rendah. Walaupun anaknya memberitahu Zhan bahawa dia tidak menyalahkannya, dia merasakan seolah-olah dia telah mengecewakan anaknya itu.

Menurut Prof You Wei dari  East China University of Political Science and Law, apa yang dilakukan oleh warga maya China ini boleh memberi kesan buruk kepada orang yang dituduh melakukan kesalahan termasuk diskriminasi dan kemurungan.

Tambah beliau lagi, pihak berkuasa dan media arus perdana harus mengetuai usaha mengemudi pendapat orang awam dalam membicarakan kes-kes sebegini dan melindungi privasi mereka yang terlibat.

Walaupun hujah beliau difahami tetapi percayalah, apa yang berlaku ialah respon rakyat terhadap kelompok minoriti yang memandang sepi usaha kerajaan membanteras wabak Covid-19. Kelompok ini bukan sekadar memandang enteng bahaya wabak berkenaan malah dilihat mencabar usaha pihak berkuasa menghentikan penularan Covid-19.

Justeru, nasihat saya kepada ‘lembu-lembu’ di luar sana. Bersyukurlah kerana identiti anda tidak dibocorkan. Bersyukurlah anda tidak dimalukan berbakul-bakul sehingga memalukan keluarga dan kenalan anda.

Ubahlah sikap untuk baki hari-hari penguatkuasaan PKP seterusnya. PKP dibuat untuk menghentikan trend penularan Covid-19. PKP bukannya dibuat secara semberono dan demi keselamatan rakyat amnya.

Enggan berubah, bersedialah dis3rang t3ntera-t3ntera bawang negara di laman media sosial bak tsunami!

RUJUKAN:

Yan, Alice. (2020). Covid-19: Chinese web vigilantes name and shame people for breaking quarantine. The Star. https://www.thestar.com.my/tech/tech-news/2020/03/21/chinese-web-vigilantes-name-and-shame-people-for-breaking-covid-19-quarantine

Ruangan komen telah ditutup.

PROMO

LAWATI LAMAN SESAWANG UNTUK MELIHAT HARGA PROMOSI JUALAN KECEMASAN COVID-19.

 

https://www.thepatriots.store

16108