Jesse Owens – Wira Amerika Syarikat Yang Tidak Diiktiraf

1,360

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Setiap perkara di dalam dunia ini pasti mempunyai titik permulaannya. Sama juga seperti sukan, pasti ada yang pelopor kepada sesuatu sukan itu di sesuatu negara. Tidak kiralah sukan apa, bola sepak, bola keranjang bahka juga olahraga. Pasti ada pemangkin kepada kemajuan sukan tersebut.

Di Amerika Syarikat pada sekitar tahun 1930-an, sukan olahraga bukanlah lagi sebuah sukan yang asing di negara itu. Namun, sukan tersebut hanya dikuasai oleh golongan berkulit putih sahaja kerana pada ketika itu, tahap penindasan terhadap orang berkulit hitam masih lagi tinggi.

Segalanya bermula apabila seorang jurulatih olahraga di Universiti Negeri Ohio berjaya mengesan bakat larian dalam diri seorang pelari muda berkulit hitam. Jurulatih bernama Larry Snyder inilah yang telah membangunkan bakat pelari muda itu sehingga menjadi seorang pelari terbaik dunia pada ketika itu.

Latar Belakang Jesse Owens

Jesse Owens atau nama penuhnya, James Cleveland Owens dilahirkan pada tarikh 12 September 1913 di Oakville, Alabama di Amerika Syarikat. Beliau yang masih lagi kecil pada ketika itu sudah perlu keluar bekerja membantu keluarganya mencari rezeki.

Namun begitu, kehidupannya menjadi lebih baik apabila beliau bersama-sama dengan keluarganya mengambil keputusan untuk berpindah ke Cleveland di Ohio. Di sinilah tempat mata Owens terbuka dengan lebih luas apabila melihat kawasan yang lebih membangun dan maju daripada tempatnya berasal.

Di Ohio, Owens telah berjaya menamatkan persekolahannya di East Technical High School sebelum berjaya melanjutkan pelajaran di Universiti Ohio.

Penglibatan Jesse Owens Dalam Sukan Olahraga

Owens telah pun menunjukkan bakatnya dalam sukan olahraga ini semenjak di bangku persekolahan. Beliau telah mencatat banyak rekod baru dalam acara 100 meter, 200 meter dan lompat jauh semasa masih berada di East Technical School.

Bakatnya mula berkembang dengan lebih luas apabila beliau menyertai Universiti Ohio. Di situlah kisah pertemuannya bersama jurulatihnya, Larry Snyder. Larry Snyderlah insan yang bertanggungjawab mengesan bakat yang ada dalam diri Owens.

Setahun sebelum berlangsungnya Temasya Sukan Olimpik 1936 di Jerman, beliau telah menunjukkan aksi yang memukau apabila beliau telah mencatatkan rekod dunia baharu pada ketika itu dalam acara lari pecut 100 yard dan 220 yard, 220 yard berpagar dan juga acara lompat jauh. Hal ini juga adalah merupakan antara faktor beliau mendapat perhatian jurulatih terbaik di Universiti Ohio, Larry Snyder.

Temasya Sukan Olimpik 1936 Jerman

Tahun 1936, negara Jerman di bawah pimpinan Adolf H1tler sedang pesat membangunkan kekuatan angkatan tenteranya. Kerajaan pimpinan pemimpin yang cukup terkenal itu berpendapat bahawa temasya Temasya Sukan Olimpik adalah medium terbaik untuk mereka mempamerkan keagungan bangsa Aryan.

Oleh itu, negara Jerman telah mempersiapkan para atletnya untuk memberi saingan terbaik dalam usaha untuk memenangi Temasya Sukan Olimpik edisi tahun 1936 yang diadakan di Jerman itu.

Jesse Owens pada awalnya enggan untuk menyertai Kontinjen Sukan Olimpik Amerika oleh kerana tekanan daripada atlet-atlet berkulit putih. Lebih berat daripada itu ialah tekanan daripada orang atasan dalam kerajaan Amerika Syarikat itu sendiri.

Namun begitu, The National Association for the Advancement of Colored People, sebuah pertubuhan yang memperjuangkan hak asasi manusia, telah berjaya memujuk Owens untuk menjadi sebahagian daripada kontinjen Amerika Syarikat untuk Temasya Sukan Olimpik di Jerman itu.

Tanggal 1 Ogos 1936, Temasya Sukan Olimpik Jerman pun bermula dengan nyalaan obor petanda berlangsungnya temasya yang hanya diadakan 4 tahun sekali itu. Temasya tahun 1936, tahun di mana Owens berjaya membuka mata jutaan orang bukan sahaja di Amerika Syarikat tetapi juga di dunia.

Selang dua hari, 3 Ogos 1936, hari di mana H1tler dimalukan oleh Jesse Owens. Pemimpin negara Jerman itu meletakkan harapan yang tinggi dalam acara reben biru itu. Namun, tuah jelas memihak kepada Jesse Owens yang telah memenangi acara tersebut dengan catatan masa 10.30 saat.

Dalam acara lompat jauh, Owens yang berada dalam tekanan telah gagal dalam dua lompatan pertamanya. Lompatan ketiga adalah harapan terakhirnya untuk layak ke peringkat akhir. Beliau menarik nafas panjang sambil diberi sokongan oleh seluruh isi stadium pada ketika itu. Mujur sekali, lompatan ketiganya melayakkan dirinya ke peringkat akhir acara tersebut.

Pada peringkat akhir acara lompat jauh, Jesse Owens berlawan sengit dengan atlet tuan rumah. Namun berbekalkan semangat yang ada, Owens berjaya memintas catatan jarak lompatan terakhir atlet tuan rumah pada lompatan keduanya.

Lompatan terakhirnya pula menyaksikan yang beliau berjaya membuat rekod Olimpik baharu dalam acara tersebut dengan catatan 8.06 meter.

Hari kelima temasya itu pula, Owens sekali lagi telah berjaya memukau mata peminat sukan lari pecut daripada segenap pelusuk dunia. Pada hari tersebut, beliau telah berjaya merangkul sekalung lagi pingat emas kali ini dalam acara 200 meter di mana beliau telah mencatatkan masa 20.70 saat dalam acara tersebut.

Acara 4×100 meter, Owens berjaya membantu pasukan negaranya untuk memenangi pingat emas. Kemenangan pingat emas dalam acara tersebut menjadikannya pingat emas Olimpik keempat dalam koleksi peribadi Jesse Owens.

Jesse Owens Selepas Olimpik 1936

Kejayaan Jesse Owens membawa pulang 4 pingat emas Olimpik untuk negara kelahirannya sudah tentu merupakan suatu hal yang amat membanggakan. Tetapi, Owens tidak dilayan bak seorang juara apabila pulang ke Amerika Syarikat.

Hal ini sudah tentu berkaitan dengan warna kulitnya. Tidak seperti kebiasaan yang berlaku kepada pemenang-pemenang pingat di Olimpik, Owens tidak disambut oleh Presiden Amerika Syarikat pada ketika itu, Franklin D. Roosevelt. Owens yang sudah tentu berasa kecewa mengambil keputusan untuk tidak mengendahkan hal tersebut.

Owens bersara daripada sukan olahraga sebelum membuka perniagaannya sendiri di Chicago. Sepanjang menguruskan perniagaannya, Owens telah terbang ke serata negara hanya atas urusan perniagaannya dan bukan atas kejayaannya sebagai wira negara Amerika Syarikat di Olimpik 1936.

Beliau hanya menerima pengiktirafan daripada kerajaan Amerika Syarikat pada tahun 1976, 4 dekad selepas Temasya Sukan Olimpik di Jerman. Presiden Amerika Syarikat pada ketika itu, Gerald Ford telah menganugerahkannya Pingat Kebebasan Presiden atas jasanya mengharumkan nama Amerika Syarikat di Temasya Sukan Olimpik 1936.

Jesse Owens atau James Cleveland Owens kemudian menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tanggal 31 Mac, 1980 di Arizona, Amerika Syarikat. Beliau jelas sekali telah membina legasi terhadap sukan lari pecut di Amerika Syarikat.

RUJUKAN :

  1. Biography (27 April 2017). Jesse Owens Biography. https://www.biography.com/athlete/jesse-owens
  2. Medium (12 Ogos 2019). Jesse Owens: The man who humiliated both Hitler and the 1936 Olympic Racial Hierarchy. https://medium.com/@hmach0892/jesse-owens-the-man-who-humiliated-both-hitler-and-the-1936-olympic-racial-hierarchy-197b5e1656d4
Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.