Kucing Yang Mengarang Kertas Kajian Fizik

656

Jack H. Hetherington merupakan seorang profesor dalam bidang fizik di Michingan State University. Pada tahun 1975, beliau berjaya menyiapkan kertas kajian yang bertajuk “Two-, Three-, and Four-Atom Exchange Effects in bcc 3He”.

Sebelum menghantar kertas kajian itu untuk diterbitkan oleh Physical Review Letters (penerbit jurnal fizik yang berpengaruh), Hetherington memberikan kertas kajian tersebut kepada rakan sekerja beliau untuk bacaan. Dan pada masa ini, rakan beliau sedar akan kesilapan di dalam kertas kajian tersebut.

Di mana silapnya?

Kesilapan Hetherington adalah dengan menggunakan perkataan seperti “we” dan “our”. Sedangkan beliau merupakan pengarang tunggal dalam kertas kajian tersebut.

Rakan Hetherington menegaskan bahawa kertas kajian yang menggunakan kata ganti nama dalam bentuk jamak seperti “we” dan “our” hanya akan diterbitkan pihak Physical Review Letters sekiranya kertas kajian tersebut dikarang oleh lebih dari seorang pengarang.

Dan sudah tentunya, pada tahun 1975, mana ada fungsi “find-and-replace” pada mesin taip untuk membetulkan kesilapan ini . Keseluruhan kertas kajian tersebut perlu ditaip semula menggunakan mesin taip.

Selepas berfikir panjang, Hetherington berbuat keputusan bahawa kertas kajian ini harus disegerakan penerbitannya. Tidak mahu berpatah balik dan perbetulkan kesilapan, beliau mengambil langkah berani dengan menambah “seorang” lagi pengarang bersama iaitu kucing siam peliharaan beliau bernama Chester.

Promosi Buku DTT

Tetapi, Hetherington sedar sekiranya nama “Chester” disenaraikan sebagai pengarang bersama akan menimbulkan persoalan, lebih-lebih lagi kepada rakan-rakan beliau yang mengenali Chester ini. Oleh itu, beliau mencipta nama untuk Chester iaitu F.D.C Willard

F untuk Felis
D untuk Domesticus
C untuk Chester
Willard pula adalah nama kucing jantan yang merupakan bapa kepada Chester.

*Felis domesticus merupakan nama saintifik bagi kucing domestik*

Dengan menampilkan F.D.C Willard sebagai pengarang bersama, kertas kajian tersebut berjaya diterbitkan di dalam Isu ke-35 oleh pihak Physical Review Letters.

*kesan tapak kaki Chester dijadikan “tandatangan” F.D.C. Willard*

Ruangan komen telah ditutup.