Tun Sri Hanif: Ketua Polis Termuda

802

https://bit.ky/kombowww

Menjadi seorang anggota polis sememangnya merupakan sebuah tugas yang tanggungjawabnya amat berat untuk dipikul oleh mana-mana individu. Tanggungjawab seorang anggota atau pegawai polis ini akan menjadi lebih berat apabila individu tersebut menjadi seorang pemimpin kepada pasukannya. Tidak semua orang mampu dan mahu menjadi pemimpin dan pemimpin secara kebiasaannya merupakan individu yang terbaik di antara yang terbaik.

Semangat patriotik dan cinta akan tanah air semakin hari semakin pudar, ianya semakin pudar dimakan arus pemodenan dan pengaruh dari luar. Mungkin jika ditanya kepada individu yang sudah berusia, mereka akan mengenali nama ini. Akan tetapi, saya yakin jika ditanya kepada remaja generasi kini, hanya segolongan kecil sahaja yang mampu mengenali nama ini. Nama yang dimaksudkan saya ini adalah Tun Haniff Omar, seorang jejaka bertubuh kecil tetapi tegap ini pernah menyumbang bakti dan keringatnya dengan menjadi Ketua Polis Negara kita pada beberapa dekad yang lalu.

Latar Belakang Tun Haniff Omar

Nama sebenar individu berjasa ini adalah Mohammed Haniff bin Omar dan beliau dilahirkan di Teluk Anson (kini Teluk Intan), Perak pada tanggal 16 Januari 1939. Beliau mendapatkan pendidikan awalnya di Sekolah Anglo-Chinese di ibu negeri Perak, Ipoh. Kecemerlangannya sepanjang beliau berada di sekolah rendahnya itu telah membolehkannya melanjutkan pelajaran ke Malay College Kuala Kangsar (MCKK) di Kuala Kangsar. Ketika di MCKK, beliau dikatakan merupakan seorang pelajar yang cemerlang serta aktif dalam bidang akademik mahupun kokurikulum.

Tamatnya pelajaran Tun Haniff Omar di MCKK, beliau melanjutkan pelajarannya ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sastera di Kota Singa, Singapura dan telah berjaya menamatkan pengajiannya di sana. Tidak terhenti di situ, beliau kemudian melanjutkan lagi pengajiannya tetapi kali ini ke luar negara pula iaitu di University of Buckingham di ibu kota England, London. Di sana, beliau telah berjaya mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang pada sekitar tahun 1959. Hal ini jelas menunjukkan bahawa Tun Haniff Omar merupakan pelajar yang cemerlang daripada segi akademiknya dan boleh kita teladani untuk maju dalam kehidupan.

Kerjaya Tun Haniff Omar Bersama Polis

Tun Haniff Omar telah memulakan tugasnya sebagai sebagai Kadet Penolong Penguasa Polis bermula tanggal 8 Jun 1959, pada usianya yang baru mencecah 20 tahun. Akibat daripada prestasinya sebagai pegawai polis yang cemerlang, beliau telah menerima beberapa kenaikan pangkat dalam hanya beberapa tahun kerjayanya dalam bidang kepolisan. Kisahnya bermula apabila beliau dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Ipoh pada tarikh 20 Julai 1967. Daerah dibawah tanggungjawabnya itu berjaya dijaganya dengan baik membuatkan namanya kian meningkat di kalangan pegawai atasan.

Hal tersebut kemudian menjurus kepada pelantikannya sebagai Ketua Pegawai Turus Polis Majlis Gerakan negara pada tika negara diisytiharkan darurat hasil daripada tercetusnya rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Beliau telah memegang jawatan tersebut sehingga keadaan dalam negara kembali pulih daripada kesan rusuhan tersebut. Beliau juga telah memegang jawatan Ketua Polis Melaka selama setahun sebelum dilantik pula sebagai Ketua Polis Selangor pada tanggal 6 Disember 1971. Seperti yang sudah diketahui, ciri kepimpinan kepolisannya yang baik kemudian telah menjurus kepada pelantikannya sebagai Pengarah Cawangan Khas pada 31 Januari 1973. Sehari kemudian, beliau dilantik pula sebagai Timbalan Ketua Polis Negara bagi menggantikan Tan Sri Abdul Rahman Hashim yang terbunuh dalam sebuah serangan daripada p3mb3ront4k k0mun1s seterusnya menjadikan Tun Haniff Omar antara individu terpenting dalam soal keselamatan negara pada ketika itu.

Tanggal 8 Jun 1974, lebih setahun setelah pelantikan Tun Haniff Omar sebagai Timbalan Ketua Polis Negara. Tarikh ini menjadi saksi di atas pelantikan beliau sebagai Ketua Polis Negara yang termuda pernah dilantik di negara ini. Beliau pada saat dilantik sebagai Ketua Polis Negara, barulah berusia 35 tahun. Salah satu peristiwa terpenting sepanjang perkhidmatannya sebagai Ketua Polis Negara adalah apabila beliau menjadi salah seorang wakil kerajaan Malaysia semasa pemeteraian Perjanjian Had Yai 1989 bersama dengan Parti K0mun1s Malaya di Negara Gajah Putih, Thailand. Setelah 20 tahun mencurahkan keringat dan bakti terhadap pasukan Polis Diraja Malaysia, Tun Haniff Omar akhirnya bersara pada 15 Januari 1994,setelah lebih 34 tahun tempoh perkhidmatannya dalam pasukan polis.

Tun Haniff Omar Setelah Bersara & Penganugerahan Terhadapnya

Tun Haniff Omar pernah menerima beberapa pingat kebesaran di atas jasanya dalam soal keselamatan negara. Beliau pernah menerima pingat Panglima Mangku Negara (P.M.N.) pada tahun 1976, Bintang Dato’ Seri Panglima Taming Sari Perak (S.P.T.S.) pada tahun 1978, Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Yang Pertama (S.P.M.J.) pada tahun 1980 dan banyak lagi anugerah-anugerah lain. Beliau sememangnya layak menerimanya di atas jasa beliau dalam mencurahkan baktinya bersama dengan pasukan Polis Diraja Malaysia.

Tun Haniff Omar telah berubah angina setelah bersara dengan memasuki ke dalam dunia korporat. Beliau telah memegang beberapa jawatan penting dalam beberapa syarikat besar di negara ini. Sebagai contohnya, beliau telah memegang jawatan Pengerusi dalam syarikat Maxis Communications Berhad, jawatan Timbalan Pengerusi dalam syarikat Genting Berhad & Resorts World Berhad, dan banyak lagi jawatan-jawatan lain yang telah dipegangnya setelah memasuki dunia korporat.

Tun Haniff Omar kini masih menjalani hidup yang sihat pada usia yang boleh dikatakan sudah agak lanjut iaitu 80 tahun. Semoga beliau diberikan kesihatan yang berpanjangan di atas jasanya dalam soal keselamatan negara. Harapan saya adalah agar jasa beliau akan terus terpahat dalam lembaran sejarah negara dan diketahui serta diseledik oleh generasi masa kini dan juga generasi yang akan datang supaya dapat sama-sama kita teladani jasa-jasa pejuang negara seperti Tun Haniff Omar dan ramai lagi.

RUJUKAN :

  1. Arkib Negara Malaysia (n.d.). Tun Mohammed Haniff bin Omar. http://www.arkib.gov.my/web/guest/tun-mohammed-haniff-bin-omar
  2. Orang Perak (2019). Ketua Polis Malaysia Paling Muda Dan Paling Lama. https://www.orangperak.com/ketua-polis-malaysia-paling-muda-dan-paling-lama.html
  3. Friends of PDRM (n.d.) SIAPA TUN HANIFF OMAR?. https://friendsofpdrm.blogspot.com/2018/09/siapa-tun-haniff-omar.html
Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.