Pada 30,000 tahun lalu, ketika itu Zaman Paleolitik, tanah Vietnam serta seluruh Asia Tenggara dihuni oleh kumpulan besar orang Australo-Melanesian, di mana orang Negrito (salah satu orang asal semenanjung Tanah Melayu) adalah etnik yang termasuk dalam kumpulan besar ini. Kemudian pertambahan imigran seterusnya ke Asia Tenggara memaksa orang  Australo-Melanesian ini menduduki kawasan tanah tinggi dari pinggir pantai. Berpuluh ribu tahun kemudian, tanah ini diduduki oleh orang asal di tanah tinggi Asia Tenggara dan Indochina yang berpecah mengikut perbezaan bahasa seperti kaum Austroasiatic Mon-Khmer, orang laut Austronesia, Kra-Dai, dan Hmong-Mien dari selatan China.

5,500 tahun lalu, orang laut Austronesia adalah kumpulan pertama membina penempatan di sekitar pantai Asia Tenggara, diikuti dengan migrasi orang Mon-Khmer melalui jalan darat dari Burma dan timur laut India pada 5,000 tahun lalu. Orang Kra-Dai dan Hmong Mien adalah imigran seterusnya yang menjadi orang asal berkurun lamanya.

Pada 2,000 SM, lahir kebudayaan Phùng Nguyên yang wujud pada Zaman Logan Vietnam. Mereka memperkenalkan sistem pertanian dari China ke kawasan Red River kemudian disebar ke Indochina. Sekitar 1,000 SM ke 200 M, kebudayaan Sa Huỳnh lahir di kawasan selatan dan tengah Vietnam melalui penemuan artifak besi dan aksesori yang dibuat dengan kaca dan batu-batuan unik seperti agate, carnelian, kristal, amethyst, dan nephrite. Orang Sa Huỳnh yang mengamalkan aktiviti perdagangan yang meluas berkemungkinan adalah orang pendahulu sebelum aktiviti mereka diteruskan oleh orang Champa.

Orang Champa yang menetap di pantai selatan dan tengah Vietnam di sekitar abad ke-2 Masihi berasal dari orang laut Austronesia.  Manakala kawasan delta Mekong dan sekitarnya di kawasan paling selatan Vietnam diduduki oleh orang Khmer yang membina kerajaan Funan, Chenla, dan seterusnya empayar Khmer.

FASA KUNO/VIETNAM PURBA (2879 – 111 SM)

  1. Dinasti Hồng Bàng

Menurut kisah lagenda yang ditemui dalam buku dari abad ke-14 Masihi iaitu Lĩnh nam chích quái, ketua puak bernama Lộc Tục atau Hùng Vương I (2919 – 2794 BC) menggelar dirinya sebagai Kinh Dương Vương (Raja Dương Vương) dan mengasas negeri Xích Qủy yang bertempat di utara Vietnam pada 2879 SM. Penubuhan negeri ini menyatukan seluruh kaum di tanah Vietnam, seterusnya memulakan dinasti Hồng Bàng. Hùng Vương I menjadi raja kepada kesatuan puak yang kemudian menggelar mereka sebagai orang Vietnam atau orang Kinh.

Pada 2793 SM, putera Hùng Vương I iaitu Hùng Hiền Vương atau Lạc Long Quân yang bermaksud ‘Dragon Lord of Lạc’ menjadi raja seterusnya dengan gelaran Hùng Vương II. Kemudian 18 orang raja lagi memerintah dengan gelaran Raja Hùng dan menukar nama negeri Xích Qủy kepada kerajaan Văn Lang. Ketika dinasti Hồng Bàng berlaku, ia seiring dengan Zaman Besi Awal di Asia Tenggara kerana penghasilan senjata dan peralatan logam dalam kuantiti yang banyak, ditemui dari kawasan ekskavasi Phùng Nguyên. Ini menunjukkan orang Vietnam dalam dinasti tersebut pakar dalam pertukangan besi dan gangsa terutamanya teknik peleburan dan pengukiran.

Walaupun dinasti Hồng Bàng adalah dinasti pertama menubuhkan kerajaan Vietnam Purba, namun sejarah dinasti ini bercampur-baur dengan fakta dan mitos jika diteliti dari sumber prasejarah dan sejarah awal Vietnam. Contohnya adalah kisah lagenda Thánh Gióng, seorang pemuda yang membawa kemenangan Văn Lang dengan menumbangkan penceroboh China, dan membawa kerajaan itu ke syurga. Dikatakan wira ini memakai perisai besi, menunggang kuda berperisai dan memegang pedang besi. Kisah ini secara tidak langsung menunjukkan orang Vietnam Purba amat mahir menukang senjata besi.

Tambahan lagi, Legend of the Magic Crossbow ada mengisahkan tentang senjata yang boleh menembak dengan anak panag berterusan. Kisah lagenda ini juga secara tidak langsung memperlihatkan orang Vietnam mahir dalam penggunaan senjata panah. Terdapat sekitar 1,000 buah perkampungan yang mengusahakan kraftangan tradisi di delta Red River dan Hanoi. Dinasti terawal orang Vietnam ini juga telah melahirkan masyarakat yang mengusahakan pembinaan kuil dan rancak mengadakan upacara penyembahan dan festival kebudayaan berabad-abad lamanya.

  1. Dinasti Thục

Pada abad ke-3 SM, puak baru dari selatan China iaitu Âu Việt tiba di kerajaan Văn Lang kemudian bercampur dengan orang Vietnam di sana. Pada 258 SM, ketua puak Âu Việt iaitu Thục Phán bersama bala tenteranya berjaya menggulingkan raja Hùng dan dinastinya, kemudian menggelarkan dirinya sebagai An Dương Vương atau Raja An Dương . Kerajaan Văn Lang bertukar kepada nama  Âu Lạc, kerajaan kesatuan kaum Âu Việt dan Lac Việt iaitu kaum dari bekas kerajaan Văn Lang.

Tahun berikutnya, Thục Phán meluaskan jajahannya hingga ke barat negeri Guangdong dan selatan negeri Guangxi. Baginda juga membina ibu kota baru di kota Phong Khê. Tambahan lagi, baginda menambah lagi satu penempatan berkubu sejauh 10 batu dari utara kota Phong Khê, iaitu Cổ Loa. Kota itu diselubungi oleh dinding berkonkrit yang dikawal oleh tentera pemanah bagi tujuan pertahanan dan perlindungan dari anasir luar.

C. Dinasti Triệu

Kerajaan Nam Việt pada 200 SM.

Pada tahun 207 SM, jeneral perang China iaitu Zhao Tuo atau Triệu Đà menubuhkan kerajaan persendirian gabungan negeri Guangdong dan Guangxi dan menamakan kerajaan itu sebagau Nanyue atau Nam Việt. Zhao Tuo melantik dirinya sebagai ‘Raja Nam Việt’, kemudian menubuhkan Dinasti Triệu yang berpusat di Guangdong. Pada 179 SM, Zhao Tuo dapat menggulingkan Raja An Dương dan kerajaan Âu Lạc menjadi milik dinasti Triệu.

Terdapat kontroversi dalam kalangan sejarahwan Vietnam kerana Vietnam dibawah pemerintahan dinasti Triệu adalah permulaan sejarah China mendominasi China kerana Zhao Tuo sendiri adalah bekas jeneral perang China. Ada sesetengah sejarahwan menyatakan budaya dinasti Triệu amat berbeza dengan budaya China. Dinasti ini juga membuktikan pemerintahan mereka tidak dipengaruhi oleh Empayar Han di China dengan perlantikan Zhao Tuo sendiri sebagai maharaja, setanding dengan maharaja Han.

FASA CHINA MENDOMINASI VIETNAM (111 SM – 938 M)

Pada 111 SM, Empayar dinasti Han menggulingkan kerajaan Nam Việt dan membahagikan tanah Vietnam kepada 3 negeri: Giao Chỉ (kawasan delta Red River), Cửu Chân dan Nhật Nam. Walaupun Vietnam diambil alih pemerintahannya kepada para gabenor dan pegawai atasan China, namun para bangsawan Vietnam masih berkhidmat untuk urusan pentadbiran dan hal ehwal kaum mereka.

Pada 40 M, pasangan adik-beradik perempuan Trưng (Trưng Sisters) melakukan pemberontakan bagi melawan Empayar Han dengan menggulingkan pemerintahan gabenor bernama Su Dung, sekaligus dapat merampas kembali 65 buah daerah dari tangan Han. Trưng Trắc, kakak dari adik beradik Trưng melantik dirinya menjadi Ratu Trưng Nữ manakala adiknya iaitu Trưng Nhị menjadi pegawai pentadbir kerajaan baru mereka.

3 tahun memerintah, Maharaja Guangwu dari Empayar Han menghantar jeneral terhandal, Ma Yuan dan tenteranya untuk mematahkan pemberontakan Vietnam. Setelah lama berperang, Ma Yuan berjaya menghentikan pemberontakan itu. Atas kekalahan para pemberontak Vietnam, adik-beradik Trưng membunuh diri dengan melemaskan diri di Sungai Hat Giang bagi mengelakkan mereka ditangkap tentera Han. Pengorbanan adik-beradik ini menjadikan mereka sebagai srikandi nasionalisme bagi wanita Vietnam.

Bagi mengelak sebarang pemberontakan Vietnam berlaku di masa akan datang, jeneral Ma Yuan bertindak menghapuskan segala tradisi dan budaya Vietnam dan memaksa orang Vietnam untuk mendalami budaya China. Maharaja China dari dinasti seterusnya berusaha menghapuskan kuasa para bangsawan Vietnam dengan menghantar mereka ke China untuk mempelajar politik dan budaya China.

Gabenor wilayah Wu iaitu Shi Xie dihantar oleh pentadbir Empayar Han ke tanah Vietnam pada 187 M untuk memerintah di sana dengan jawatan sebagai panglima perang selama 40 tahun. Pada tahun 225, pemberontakan sekali lagi bangkit dipimpin oleh srikandi bernama Triệu Thị Trinh yang terkenal dengan nama Lady Triệu. 23 tahun Lady Triệu berjuang, akhirnya pemberontakannya dihentikan oleh tentera China dan dia terjun ke sungai bagi mengelak dirinya ditangkap. Manakala di kawasan tengah tanah Vietnam, orang Melayu Cham berjaya memberontak melawan China dan seterusnya membina sebuah kerajaan yang kemudiannya menjadi kerajaan maritime berpengaruh di Asia Tenggara, iaitu Champa.

Pada tahun 554, China berhadapan lagi dengan pemberontakan oleh bekas pegawai daerah bernama Lý Bôn dan pewarisnya iaitu Triệu Quang Phục, kemudian berjaya menghalau tentera China. Lý Bôn menubuhkan dinasti baru iaitu Dinasti Lý Awal dan menamakan tanah yang ditakluknya sebagai Vạn Xuân yang bermaksud ‘musim bunga berkekalan’. Tahun 602 adalah tahun terakhir pemerintahan Dinasti Lý Awal kerana Dinasti Sui China telah berjaya menggulingkannya.

Sekian lama China memiliki Vietnam, pada tahun 905 puak Khúc bersama seorang pegawai daerah utara Vietnam, Dương Đình Nghệ berjaya menakluk keseluruhan Vietnam dan menjadikannya sebagai kerajaan autonomi dalam usaha memerdekakan Vietnam dari kekuasaan China. Tahun 938, kerajaan Han Selatan menghantar tenteranya untuk kempen menakluk Vietnam.  Ngô Quyền iaitu menantu Dương Đình Nghệ berjaya menumpaskan bala tentera Han Selatan dalam Perang Bạch Đằng. Dari kemenangan Ngô Quyền, berakhirnya hampir 1,000 tahun penguasaan China terhadap Vietnam dan beliau menubuhkan Dinasti Ngô dan melantik dirinya sebagai maharaja Vietnam, seterusnya bermulanya era kemerdekaan Vietnam.

FASA MONARKI ( 938 – 1858 M)

Dinasti Ngô , Đinh & Lê Awal

Era ini adalah era terpenting dalam sejarah Vietnam kerana ia mengenai penubuhan dinasti monarki berterusan seperti di era kuno tanpa penglibatan dari China. Bermula dari Dinasti Ngô, tempoh dinasti ini pendek saja kerana pada tahun 944, maharaja Ngô Quyền telah mangkat dan ini menyebabkan perang sivil berlaku iaitu ‘Anarchy of the 12 Warlords’, melibatkan konflik perebutan takhta oleh 12 orang panglima perang.

Perang ini berlangsung lama sehingga pada tahun 968, sebuah puak diketuai oleh Đinh Bộ Lĩnh berjaya mengalahkan kesemua panglima perang dan berjaya menyatukan Vietnam. Dia kemudian menubuhkan Dinasti Đinh dan melantik dirinya sebagai Đinh Tiên Hoàng yang bermaksud ‘ Maharaja Agung Đinh’. Baginda juga menamakan Vietnam sebagai Đại Cồ Việt, bermaksud ‘Tanah Besar Viet’. Baginda melaksanakan kod perintah yang ketat bagi mengelak kekacauan ambila takhta tidak berlaku lagi di masa akan datang.

11 tahun memerintah, Đinh Tiên Hoàng dan pewaris puteranya telah dibunuh, meinggalkan putera bongsu Đinh Toàn yang berusia 6 tahun sebagai pewaris tunggal dinasti ayahandanya. Apabila peristiwa ini diketahui oleh maharaja Dinasti Song dari China, baginda menghantar bala tentera menawan Vietnam. Risau akan kemaraan tentera Song, komander perang iaitu Lê Hoàn lekas mengambil takhta dan menubuhkan dinasti baru bernama Lê Awal. Kemudian baginda bersama tentera Vietnam berjaya menyekat kemaraan tentera Song dengan pembunuhan komandernya.

Tahun 981, Vietnam bebas dari ancaman Song dan pemerintahan Dinasti Lê Awal bermula. Sepanjang pemerintahan Maharaja Lê, baginda adalah maharaja pertama yang melakukan kempen menakluk kerajaan Champa. Tahun 1005, Maharaja Lê telah mangkat dan berlaku lagi perebutan takhta dalam kalangan anak lelakinya. Perebutan ini dimenangi oleh putera Lê Long Đĩnh. Pemerintahan maharaja Lê Long Đĩnh ini amat tirani dengan menyeksa para banduan sebagai hiburannya dan baginda sentiasa berseronok dengan kegiatan seks sumbangnya. Walaupun tirani, pemerintahannya hanya 4 tahun saja kerana mengidap penyakit yang membawa maut. Maharaja Lê Long Đĩnh mangkat pada tahun 1009 dalam usia 24 tahun.

Dinasti

Indochina pada 1010. Kerajaan Đại Việt (kuning) yang berjiran dengan kerajaan Champa (hijau) dan Empayar Angkor (biru)

Selepas kemangkatan Maharaja Lê Long Đĩnh, komander pengawal istana bernama Lý Công Uẩn dilantik melalui undian majoriti dari kerabat diraja. Perlantikan melalui undian adalah yang pertama dalam sejarah Vietnam. Kelebihan Lý Công Uẩn dari kerabat yang lain adalah mempunyai kekuatan tentera yang patuh kepadanya dan mampu memakmurkan Vietnam di masa akan datang, Maka, Lý Công Uẩn menjadi Maharaja dengan menubuhkan Dinasti .

Dalam Dinasti , Maharaja Lý memindahkan ibu kota dari Hoa Lư ke Hanoi dan menamakan ibu kotanya sebagai  Thăng Long yang bermaksud ‘Kebangkitan Naga’. Baginda kemudian melepaskan kuasa ketenteraan dan fokus kepada ekonomi kerajaan untuk kelangsungan ekonomi Vietnam. Maharaja ketiga iaitu Lý Thánh Tông menamakan kerajaan ini sebagai Đại Việt (Great Viet). Maharaja seterusnya membuat perubahan besar untuk kemakmuran kerajaan: membina sistem dike untuk perlindungan sawah padi dari banjir, menubuhkan sistem pengurusan pejara yang lebih kemanusiaan, menubuhkan Temple of Literature (Quốc Tử Giám) iaitu university Vietnam pertama yang melatih rakyat mendapat jawatan penting dalam kerajaan melalui peperiksaan awam yang berlangsung setiap 3 tahun.

Dinasti juga menubuhkan sistem cukai yang diurus oleh pegawai wanita. Pengurusan cukai oleh wanita memperlihatkan wanita mempunyai peranan penting dalam dinasti ini. Agama utama dinasti ini adalah Buddhisme namun kerajaan masih mengekalkan kepelbagaian agama yang dianut rakyat selain Buddhisme: Confucianisme dan Toisme.

Manakala dalam ketenteraan, Đại Việt sentiasa berhadapan dengan dua kuasa jiran: Dinasti Song China dan kerajaan Champa. Đại Việt hanya merisaukan Song kerana kekerapan invasi Song terhadap Đại Việt. Walau bagaimanapun, Đại Việt mematahkan beberapa kali invasi sehingga kedua-dua kuasa bersepakat untuk gencatan senjata. Di selatan Đại Việt pula, kempen invasi berterusan menetang kerajan Champa. Champa pula dengan kerjasama Empayar Khmer kadang berjaya menjarah selatan Đại Việt namun Đại Việt sekali lagi dapat menendang keluar penaklukan kedua-dua kuasa ini.

Di akhir Dinasti , menteri kerajaan yang berpengaruh iaitu Trần Thủ Độ mendesak maharaja terakhir iaitu Lý Huệ Tông menjadi sami Buddha dan Lý Chiêu Hoàng, anak perempuan Huệ Tông menjadi ratu. Kemudian Trần Thủ Độ mengadakan perkahwinan antara ratu kerajaan dengan anak buahnya, Trần Cảnh dan secara automatic takhta diserahkan kepada Trần Cảnh. Maka bermulanya dinasti baru di bawah telunjuk menteri berpengaruh itu, iaitu Dinasti Trần.

Dinasti Trần

Pada permulaan Dinasti Trần, Trần Thủ Độ menghapuskan mana-mana keturunan diraja bagi memastikan tiada pemberontakan berlaku. Maka para kerabat terdahulu lari ke Korea. Selepas penghapusan, Dinasti Trần memerintah seperti mana apa yang Dinasti lakukan: memajukan Đại Việt. Antara projeknya adalah menubuhkan sistem pengurusan populasi rakyat, pengumpulan sumber sejarah Đại Việt, dan memartabatkan skrip Nôm, sistem tulisan dalam bahasa Vietnam. Dinasti Trần juga menubuhkan sistem melatih maharaja baru: apabila putera maharaja masuk ke umur 18 tahun, maharaja akan turun takhta dan menyerahkan kepada puteranya, serta menjadi mentor kepada maharaja baru tersebut.

Ketika Dinasti Trần berlangsung, China berada dalam kekuasaan kaum Mongol dan menubuhkan Dinasti Yuan. Ketika pemerintahan Kublai Khan, mereka mengadakan kempen penaklukan terhadap Vietnam atau Annam. Kekuatan tentera Mongol amat besar dengan jumlah sekitar 300,000 hingga 500,000 orang. Sudah tentu mereka mudah menakluk Vietnam namun tentera Trần bijak mengatasi lawannya. Tentera Trần mengosongkan kota yang biasa tentera Mongol jadikan sebagai medan perang dan memaksa musuh berlawan di kawasan paya dan sungai. Akibat dari peperangan ini, tentera Mongol sengsara dihinggap penyakit tropika dan dijarah teruk oleh tentera  Trần. Tahun 1288, tentera Trần berjaya menghalau tentera Mongol dalam Perang Bạch Đằng.

Selain Mongol, kerajaan Champa juga adalah musuh tradisi yang harus Dinasti Trần hadapi. Pada tahun 1312, Champa menjadi jajahan ufti Vietnam namun 10 tahun kemudian, raja Chế Bồng Nga (Po Binasuor atau Che Bonguar) memerdekakan Champa dari Vietnam melalui pemberontakan dan membunuh raja Trần Duệ Tông, seterusnya membedil ibu kota Vietnam iaitu Thăng Long pada 1377 dan 1383. Walau bagaimanapun, Vietnam berjaya menakluk dua jajahan Champa di sekitar kota Huế melalui perkahwinan antara puteri Trần dan raja Champa.

Dinasti Hồ

Akibat peperangan dengan dua kuasa luar, Dinasti Trần masuk dalam fasa keruntuhan. Tahun 1400, Dinasti Trần digulingkan oleh salah satu pegawai diraja bernama Hồ Quý Ly dan menubuhkan dinasti baru iaitu Dinasti Hồ. Dalam dinasti baru ini, raja Hồ pertama melakukan perubahan drastic dengan menukar nama kerajaan Đại Việt kepada Đại Ngu dan memindahkan ibu kota ke Tây Đô. Ibu kota asal iaitu Thăng Long bertukar nama menjadi Đông Đô. Pemerintahan Dinasti Hồ singkat saja iaitu 7 tahun dan diakhiri dengan takta milik puteranya iaitu Hồ Hán Thương pada 1401, raja Hồ pertama banyak mereformasikan kerajaannya dengan perkenalan subjek matematik dalam peperiksaan awam, membuka perdebatan tentang ajaran Confucianism, penggunaan wang kertas menggantikan syiling, membuka projek pembinaan kapal perang dan meriam, dan remormasikan pengurusan jajahan.

Pada 1407, Dinasti Ming di China muncul menakluk Đại Ngu bagi membantu kerabat diraja Trần kembalikan takhtanya. Namun, tiada siapa pewaris yang layak meneruskan Dinasti Trần, jadi Vietnam diserap masuk menjadi salah satu negeri Ming. Pada 1418, seorang petani kaya bernama Lê Lợi memulakan kebangkitan rakyat Lam Sơn (negeri kediamannya) menentang tentera Ming. Dari kebangkitan itu, para pemberontak berjaya mara ke utara dan membedil Hanoi yang dijajah oleh Ming. Ibu kota Ming menghantar bantuan ketenteraan namun Lê Lợi bijak membatalkan bantuan tersebut dengan perang gerila sehingga membunuh komander Ming bernama Liu Shan. Atas kekalahan teruk Ming di Hanoi, tenteranya menyerah kalah. Tahun 1428, Lê Lợi diangkat menjadi raja baru menubuhkan Dinasti Hậu Lê. Lê Lợi menamakan kembali kerajaan Đại Ngu kepada Đại Việt dan memindahkan kembali ibu kota ke Thăng Long.

Dinasti Hậu Lê

Tindakan pertama raja Lê Lợi dalam pemerintahan pasca-jajahan Ming adalah memperbaiki ekonomi kerajaan yang sekian lama runtuh. Pada masa yang sama, Dinasti Hậu Lê adalah yang pertama menjadikan ajaran Confucianisme sebagai agama utama berbanding dinasti lepas yang berpegang kepada Buddhisme. Bukti bahawa dinasti ini mengamalkan ajaran Confucius adalah perlaksanaan kod Hồng Đức. Kod ini menetapkan peraturan yang progresif seperti hak wanita.

Manakala seni bina dan kesusasteraan dinasti Hậu Lê banyak dipengaruhi oleh budaya China. Dinasti ini9 juga memulakan projek pemetaan dan membukukan sejarah Đại Việt. Raja kelima iaitu Lê Thánh Tông memakmurkan Đại Việt terutamanya bidang perubatan dengan membuka hospital dan farmasi di kawasan pedalaman yang berisiko dihidap penyakit.

Walaupun Đại Việt berada dalam zaman kemakmuran, lambakan populasi mengakibatkan kekurangan tanah dan ini memaksa Dinasti Hậu Lê melakukan kempen penaklukan di selatan Đại Việt. Tahun 1471, tentera Lê yang diketuai oleh raja Lê Thánh Tông menyerang Champa dan merampas ibu kota Vijaya. Serangan ini sekaligus meruntuhkan kegemilangan kerajaan Champa walaupun ada sesetengah wilayah naungan Champa masih bertahan beberapa kurun kemudian. Dengan gulingnya Champa, masyarakat Champa bertebaran ke Asia Tenggara manakala kolonialisasi orang Việt ditubuhkan atas tanah bekas Champa yang kini tanah itu adalah Vietnam Tengah. Ada sesetengah kaum Champa kekal di tanah mereka sendiri sehingga menjadi masyarakat Vietnam kini.

Tentera Lê juga menakluk kawasan Sungai Mekong dimana ia tidak lagi menjadi milik kerajaan Khmer yang melalui fasa keruntuhan. Masuk tahun 1479, Đại Việt berperang dengan kerajaan Laos dalam Pertempuran Vietnamese-Lao dan berakhir dengan penaklukan ibu kota Laos, Luang Prabang. Kempen penaklukan berakhir di Sungai Irrawaddy, Burma dan kempen inilah menjadikan Đại Việt yang pertama mewujudkan ‘Empayar Pertama Asia Tenggara’ serta empayar paling berpengaruh di Asia.

Dinasti Mạc

Walapun Dinasti Lê mewujudkan empayar pertama mereka di Asia Tenggara, dinasti ini digulingkan oleh jeneral perang Mạc Đăng Dung pada 1527 melalui pembunuhan maharaja Lê, seterusnya mengisytiharkan diri sebagai maharaja dinasti baru iaitu Dinasti Mạc. Tindakan jeneral itu telah mengundang kemarahan rakyat yang setia dengan Dinasti Lê terutamanya bekas pegawai diraja Lê iaitu Nguyễn Kim. Kemudian Nguyễn Kim melakukan pemberontakan untuk merampas balik takhta maharaja mereka.

Jadi berlaku perang sivil antara kerajaan utara Dinasti Mạc dan kerajaan selatan naungan Dinasti Lê. Perang ini berakhir pada pada 1592 di mana tentera Lê berjaya menakluk Hanoi dan menghukum mati maharaja Mạc Mậu Hợp. Kerabat diraja Mạc yang terselamat melarikan diri ke utara pergunungan, negeri Cao Bằng dan sempat memerintah sehingga 1677 di mana tentera Lê menakluk benteng terakhir Mạc. Setelah berjaya menggulingkan Dinasti Mạc, para bangsawan Trịnh menjadi pemilik tanah bekas Dinasti Mạc.

Tanah Tuan Trịnh dan Nguyễn

Vietnam pada 1650. Tanahnya dibahagi oleh 4 kuasa: Mạc (merah jambu), Trinh (biru), Nguyễn (kuning), dan Champa (hijau).

Tahun 1600, anak lelaki Nguyễn Kim yang memerintah negeri Vietnam paling selatan (Annam), Nguyễn Hoàng melantik dirinya sebagai Vương yang bermaksud ‘Tuan’ dan menghentikan pembayaran cukai dan bantuan ketenteraan kepada para bangsawan Trịnh kerana tidak mengiktiraf pemilikan Trịnh. Malah dia menubuhkan ibu kota baharu iaitu Phú Xuân (kini dipanggil sebagai Huế). Setelah 55 tahun memerintah, Nguyễn Kim telah mangkat dan pemerintahan diambil alih oleh anak lelaki keenam, Nguyễn Phúc Nguyên juga berpendirian sama dengan bapanya namun masih bersekutu dengan raja Lê.

Pemerintah Utara Viet, Trịnh Tùng juga telah mangkat dan pemerintahan diambil alih oleh anak lelakinya Trịnh Tráng pada 1623. Tindakan pertama Tráng sebagai pemerintah adalah mengarahkan Nguyễn Phúc Nguyên melucutkan kekuasaannya terhadap Annam namun Nguyễn mengendahkan arahan tersebut. Tahun 1627, Tráng menghantar 150,000 orang askar menggulingkan Nguyễn namun gagal kerana kekuatan dua lapis benteng batu yang menyekat kemaraan tentera Tráng dan meminjam teknologi senjata Portugis. Dari sini berlakunya Pertempuran Trinh-Nguyễn selama 45 tahun dan para pedagang Eropah turut serta dalam perang ini untuk menguntungkan bisnes dagangan mereka: Pedagang Belanda memihak Trinh, pedagang Portugis memihak Nguyễn.

Tahun 1672, berlaku genjatan senjata kerana kedua-dua pihak melihat peperangan ini tiada kesudahan, kemudian tanah Viet terbahagi kepada dua tanah pemilikan. Trinh di utara dan Nguyễn di selatan.

Dinasti Tây Sơn

Pada 1771, pemberontakan yang dinamakan sebagai Revolusi Tây Sơn berlaku di kota Quy Nhơn yang diketuai oleh tiga adik-beradik Nguyễn: Nguyễn NhạcNguyễn Lữ, and Nguyễn Huệ. 5 tahun kemudian pemberontak Tây Sơn merampas kesemua tanah Nguyễn dan membunuh hampir kesemua kerabat diraja. Nguyễn Phúc Ánh (dikenali dengan panggilan Nguyễn Ánh) , putera keturunan Tuan Nguyễn yang terselamat melarikan diri ke Siam dan meminta bantuan ketenteraan dari raja Siam. Nguyễn Ánh kembali dengan membawa 50,000 orang tentera Siam untuk merampas kuasa kembali namun gagal atas kekalahan dalam Pertempuran Rạch Gầm–Xoài Mút. Sekali lagi putera ini melarikan diri ke Selatan Vietnam setelah hampir dibunuh oleh pemberontak.

Tentera pemberontak Tây Sơn pimpinan Nguyễn Huệ marah ke Utara Vietnam pada 1786 melawan salah satu bangsawan Trinh iaitu Trinh Khải. Tentera Trinh pimpinan Trinh Khải gagal menghalang kemaraan Tây Sơn kemudian beliau membunuh diri. Hanya 2 bulan saja Tây Sơn berjaya menakluk ibu kota tanah naungan Trinh sehingga maharaja Lê terakhir iaitu Lê Chiêu Thống melarikan diri ke China Dinasti Ming dan meminta bantuan ketenteraan mereka. Maharaja Ming memberikan 200,000 orang tentera kepada Lê Chiêu Thống untuk merampas kembali takhta Viet tapi tentera China Ming juga tidak mampu mengalahkan tentera Tây Sơn yang hanya 100,000 orang tentera selamka 7 hari berperang.

Dikatakan Nguyễn Huệmerancang untuk menakluk empayar China masih kesashihannya masih kabur lagi. Tamat peperangan menentang Trinh, Nguyễn Huệ melantik dirinya sebagai Maharaja Quang Trung dan tertubuhlah dinasti  Tây Sơn. Sepanjang pemerintahan maharaja Quang Trung, tanah Viet berpecah kepada 3 jajahan politik: ketua Nguyễn Nhạc memerintah Tengah Viet, maharaja memerintah Utara Viet, dan Nguyễn Ánh yang melarikan diri memerintah Selatan Viet.

Tempoh pemerintahan Dinasti Tây Sơn hanya pendek saja kerana kemangkatan Maharaja Quang Trung  pada usia 40 tahun menjadi penyebab kepada berlaku perang sivil. Perang sivil berlaku sesama penyokong setia Nguyễn Huệ. Nguyễn Ánh mengambil kesempatan atas perang sivil ini dengan menakluk kubu Qui Nhơn, kubu terkuat dinasti Tây Sơn. Tahun 1801, Nguyễn Ánh menakluk ibu kota Phú Xuân dan tahun seterusnya Nguyễn Ánh menghukum mati para pegawai dan jeneral perang yang setia dengan Nguyễn Huệ. Nguyễn Ánh melantik dirinya sebagai Maharaja Gia Long. Dari sini tertubuhlah dinasti Veitnam terakhir iaitu Dinasti Nguyễn.

Dinasti Nguyễn

Penubuhan dinasti Nguyễnpada 1802 ini bermaksud terhentinya perang saudara dengan menyatukan seluruh tanah Viet. Dinasti ini kemudian merevolusikan sistem pentadbiran dengan melantik orang Eropah untuk mengambil jawatan diraja sebagai penasihat. Dalam dinasti ini, para pedagang Eropah seperti Protugis dan Perancis mudah membina koloni di tanah Viet dan maharaja Nguyễn membenarkan agama Kristian Katolik diamalkan sesama mereka. Melalui bantuan para koloni, dinasti Nguyễn dapat membina jalan raya, sistem perparitan, menubuhkan sistem perubatan, dan membantu dinasti menghalang sebarang pencerobohan dari kerajaan jiran seperti Laos dan Kemboja.

Maharaja Gia Long berpendapat tindakan ini adalah perlu untuk memajukan kerajaannya dengan bertoleransi dengan pedagang Eropah yang mempunyai sumber dan teknologi yang maharaja ini perlukan tetapi tidak bagi pewaris takhta seterusnya.

Para maharaja selepas Gia Long bersifat konservatif, pengamal ajaran Konfusius yang kuat, dan menolak sebarang kemajuan dari dunia Barat. Maharaja Minh Mang (1820-1841), Thiệu Trị (1841-1847), dan Tự Đức (1847-1883) menekan pihak koloni terutamanya pengamal Kristian Katolik dengan sekatan sebaran ajaran, menghasut rakyat dengan melabel orang Barat sebagai ancaman, dan memaksa pengamalan dasar pintu tertutup sehingga menyusahkan para koloni untuk berdagang sehingga berlaku rusuhan.

Salah satu rusuhan penting adalah Revolusi Lê Văn Khôi di mana missionary Perancis iaitu Fr. Joseph Marchand, mendesak pengamal Kristian Katolik untuk memberontak dan menempatkan maharaja beragama Katolik dalam pentadbiran dinasti Nguyễn. Dari rusuhan ini, pengamal Kristian Katolik diancam lagi teruk dari rakyat Viet dan aktiviti perdagangan Barat dan Viet semakin perlahan. Rusuhan demi rusahan semakin rancak dalam konflik antara Viet dengan para koloni ini memberi peluang kepada Perancis untuk menyerang Vietnam.

Perang Tonkin pada 1883

Masa pemerintaha raja Perancis iaitu Napoleon III, kapal perang milik kapten armada Perancis iaitu Rigault de Genouily menyerang pelabuhan Đà Nẵng pada 1858 namun gagal memijakkan kaki di Vietnam kerana kebanyakkan anggota tenteranya diserang penyakit tropika. De Genouily kemudian berlayar ke selatan dan menakluk kota Gia Định (Ho Chi Minh) yang tidak dikawal ketat. Dari 1859 hingga 1867, tentera Perancis berjaya menguasai seluruh 6 buah negeri di Sungai Mekong dan menubuhkan koloni mereka bernama Cochinchina.

Beberapa tahun kemudian, tentera Perancis mendarat di Utara Vietnam, tepatnya di Tonkin dan menakluk Hanoi sebanyak dua kali pada 1873 dan 1882. Tentera Perancis bertahan di Tonkin walaupun dua orang pegawai komander mereka diserang hendap dan dibunuh oleh lanun Black Flag Army yang diupah oleh pegawai mandarin Vietnam. Selepas Perang Tonkin (1883 – 1886), seluruh Vietnam menjadi milik Perancis dan menubuhkan kerajaan baru bernama Indochina Perancis pada Oktober 1887. Kerajaan ini terbahagi kepada tiga negeri: Tonkin yang ditadbir oleh gabenor Perancis, Annam yang menjadi status autonomi yang diperintah oleh kerabat diraja Nguyễn, dan Cochinchina yang tetap sebagai koloni. Dengan penubuhan Indochina Perancis ini, terpupuslah pemerintahan dinasti di Vietnam.

RUJUKAN:

Forbes, Andrew, and Henley, David: Vietnam Past and Present: The North (History of Hanoi and Tonkin). Chiang Mai. Cognoscenti Books

Kiernan, Ben (2017). Viet Nam: A History from Earliest Times to the PresentOxford University Press

Nguyễn, Khắc Viện. 1999. Vietnam – A Long History. Hanoi, Thế Giới Publishers.

Taylor, Keith (1983). The birth of Vietnam. Berkeley: University of California Press.

Tuong Vu. 2016. State formation on Chinas southern frontier: Vietnam as a shadow empire and hegemon, HumaNetten 37


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang ulat buku dan pejuang alam sekitar. Penulis yang rajin tulis tentang flora dan fauna serta sejarah dunia. Dan tak terkecuali peminat Fate.

Comments are closed.