33 Jeneral/Pemimpin Perang Terhebat Dalam Sejarah Menurut The Patriots

2
3053
views
Gambaran Petempuran Long Island semasa Perang Revolusi

1. Nabi Muhammad S.A.W (570 M- 8 Jun 632 M)

Tidak dihairankan lagi bahawa baginda ialah seorang daripada jeneral perang yang terhebat dalam sejarah. Dalam semua peperangan yang pernah dihadapi oleh baginda, baginda cuma pernah kalah sekali iaitu Pertempuran Uhud, itu pun kerana taktikal dan strategi baginda tidak dipatuhi oleh askar di atas gunung. Bukan sahaja memainkan peranan dalam peperangan, baginda juga seorang pemimpin dan ahli politik yang hebat. Kalau tidak kerana asas yang dibuatkan oleh baginda ketika mendirikan negara Islam Madinah, kita tidak mungkin dapat melihat empayar-empayar Islam yang lahir selepas zaman baginda.

Patung Sun Tzu

2. Sun Tzu (544 – 496 SM) – Zaman Musim Bunga dan Musim Luruh

Tidak keterlaluan kalau saya meletakkan beliau sebagai Bapa Peperangan! Karya beliau, The Art Of The War digunakan oleh pelbagai jeneral dan segala taktikal yang direncenakan dalam buku ini kemudiannya diulang pakai dan sehingga ke hari ini, bukunya masih dibaca kerana semua yang dituliskannya bukan sahaja diamalkan dalam peperangan, tetapi di dalam bidang perniagaan. Pernah memimpin 50 000 orang askar Wu melawan 200 000 orang Askar Chu dan memenangi peperangan itu.

Lukisan Alexander

3. Alexander The Great (356-323 SM). Empayar Macedonia.

Menawan empayar Parsi dan Utara India. Empayarnya melebar dari timur ke barat. Salah satu calon Zulkarnain yang diceritakan dalam Al-Quran. Antara pertempuran terhebat yang pernah dihadapi oleh Alexander The Great ialah ketika dalam Pertempuran Gilgamesh. Dikatakan bahawa Alexander The Great memimpin 47000 askar Macedonia melawan 250,000 sehingga 1 juta askar Parsi di bawah pimpinan Raja Darius daripada Parsi. Beliau tidak pernah kalah dalam mana-mana peperangan.

4. Khalid Al-Walid (588-642 Masihi) – Khulafa Ar-Rasydin.

Menghancurkan pasukan Rom dan Parsi dalam tempoh 13 bulan sahaja! Khalid tidak pernah tewas dalam 100 pertempuran. Memimpin 24 000 – 40 000 orang askar Islam melawan ratusan ribu orang askar Rom dalam Pertempuran Yarmuk dan memenangi peperangan itu. Bila rasulullah S.A.W meletakkan panggilan Pedang ALLAH kepada Khalid Al-Walid, sesungguhnya dia ditakdirkan untuk tidak KALAH dalam peperangan. Masakan kalau dia kalah, itu bermaksud pedang ALLAH telahpun patah.

5. Genghis Khan (1162-1227 Masihi ) – Empayar Mongol.

Berjaya menewaskan China, Parsi, Russia, Eropah, Korea, Jepun untuk membentuk antara empayar terluas yang pernah dunia lihat. Mimpi ngeri pada setiap kerajaan-kerajaan yang wujdu pada ketika hidup Genghis Khan. Askar Mongol di bawah pimpinan beliau seumpama ombak yang menyapu pantai. Angkatan berkuda yang sangat pantas dan kehebatan bangsa Mongol yang menunggang sambil memanah dengan efisyen membantu penaklukan beliau.

6. Paul von Lettow-Vorbeck (20 March 1870 – 9 March 1964
Masihi) – German Empire dan Weimar Republic.

Salah seorang daripada jeneral perang yang tidak pernah terkalahkan dalam sejarah. Pernah memimpin 11 000 askar Jerman-Afrika melawan 300 000 orang askar British, Belgium dan Portugis dan berjaya memenangi peperangan itu. Dilabelkan oleh Edwin Palmer Hoyt, seorang sejarawan Amerika sebagai “jeneral perang paling hebat dalam perang gerilla dan selepas beliau, tidak wujud sebarang jeneral perang seperti beliau.

7. Alexander Suvorov ( 24 November 1730 – 18 May 1800) – Empayar Russia.

Salah satu daripada jeneral perang yang tidak pernah kalah dalam peperangan, Alexander Suvorov dicatatkan telah menang lebih daripada 60 buah pertempuran sepanjang hidupnya. Terkenal dengan bukunya yang bertajuk The Science of Victory. Kata-kata hikmah daripada beliau berbunyi seperti berikut:

– “Apa yang sukar dalam latihan akan menjadi mudah dalam pertempuran ”

– “Peluru adalah satu perkara yang gila; hanya bayonet yang tahu tentangnya.”

– “Binasalah diri dalam peperangan dan selamatkan kawan anda!”

8. The Duke Of Welinggton (1 May 1769 – 14 September 1852 Masihi) – British Empire

Pengasas kepada Empayar British yang hebat itu. Dan empayar ini kemudiannya menjadi empayar paling luas dalam dunia, mengatasi Empayar Mongol yang dibina oleh Genghis Khan. Dilabelkan salah seorang daripada jeneral perang yang terhebat dalam taktikal bertahan.

Mengalahkan Perancis, Moghul Sepanyol, dan banyak kuasa besar dunia dan langsung tidak pernah tewas dalam sebarang peperangan dan pertempuran pun. Berjaya membebaskan Iberia dan Portugis daripada Empayar Perancis yang dipimpin oleh Napoleon serta berjaya mengalahkan Napoleon dalam Pertempuran Waterloo.

Pertempuran Assaye di India ialah pertempuran pertama beliau apabila berjaya mengalahkan lebih 50 000 orang tentera Maratha yang mempunyai lebih 100 meriam. Ketika itu, askar di bawah pimpinannya sekadar berjumlah 10 000 orang dan mempunyai 17 meriam sahaja.

9. George Washington (1732–1799 Masihi) – Amerika Syarikat

Beliau merupakan presiden Amerika yang pertama. Antara jeneral perang yang tidak pernah tewas dalam peperangan. Di mana ketika itu, Revolusi Amerika, George Washington telah berjaya memenangi peperangan ke atas British yang merupakan kuasa dunia yang terkuat ketika itu. Tanpa George Washington, Amerika Syarikat tidak mungkin akan wujud pada hari ini. Revolusi Amerika berlaku selama 7 tahun, 11 bulan 3 minggu and 2 hari).

10. Horatio Nelson (29 September 1758 – 21 October 1805) – Empayar British

Nelson ialah watak utama di sebalik penaklukan dan perluasan kuasa Empayar British sehingga menjadi salah satu daripada empayar terhebat dalam sejarah. Dinobatkan sebagai laksamana terhebat British dalam sejarah. Antara pertempuran terhebat yang dihadapi oleh Horatio ialah dalam Pertempuran Trafalgar di mana kuasa maritim terhebat pada waktu itu iaitu Empayar Perancis dan Sepanyol dikalahkannya. Ketika itu, 33 kapal British terpaksa berhadapan dengan 41 buah kapal dari kedua-dua pihak ini. Malangnya ketika Pertempuran Trafalgar ini, Horatio telah terbunuh.

11. Sultan Muhammad Al-Fatih (1432 -1481 Masihi) Turki Uthamaniyah.

Sabda Rasulullah SAW ketika menggali parit dalam peperangan Khandaq:

“…Konstantinopel (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera…” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Menjadi raja yang dimaksudkan dalam hadis nabi apabila berjaya menawan Kota Konstatinapole ketika hanya berusia 21 tahun sahaja! Taktikal baginda masih diingati sehingga hari ini apabila membawa 70 Kapal merentas daratan.

12. Julius Caesar (100-44 SM) – Empayar Rom

Maharaja Rom ini merupakan antara jeneral perang Rom terhebat yang pernah dilihat dalam sejarah. Rom ketika di bawah pemerintahan beliau berjaya menawan 1/3 eropah. Perancis, Belgium, England, Belanda dan England hari ini semuanya berada di bawah pemerintahannya. Selepas berjaya selamat dalam perang saudara di Rom, Julius Caesar telah memulakan kempen menakluk seluruh eropah.

Dan antara kejayaan dalam sepanjangnya meneruskan kempen itu adalah berjaya membunuh lebih daripada 500 000 orang tentera Gaul. Pertempuran Alissia adalah kejayaan terhebatnya apabila dengan hanya 60 000 orang askar Roman, dia berjaya mengalahkan 330 000 orang tentera Gaul.

13. Aurangzeb (31 July 1658 – 3 March 1707) Empayar Mughal

Baginda merupakan antara maharaja teragung dalam sejarah India yang berjaya membina sebuah empayar yang sangat luas. Pada zaman pemerintahan bagindalah hampir seluruh India tunduk di kaki Mughal. Yang paling mengagumkan mengenai baginda ialah keutuhan baginda membersihkan semula empayar Mughal daripada amalan pluralisme yang diamalkan oleh maharaja-maharaja sebelum baginda. Namun sayang, selepas kemangkatan baginda, zaman kejatuhan Mughal pun bermula dek kerana pewaris takhtanya yang tidak sehebat baginda.

14. Shi Huang Ti (7 May 247 – 220 SM), Dinasti Qin

China sejak ribuan tahun sebelum pemerintahan Shi Huang Ti terdiri daripada kerajaan-kerajaan kecil yang saling berperang antara satu sama lain. Namun, bangsa yang sering bertelagah ini akhirnya disatukan dibawah pemerintahan seorang maharaja kukubesi yang telah menamatkan perang saudara yang berlangsung selama ribuan tahun. Bukan itu sahaja, baginda juga tellah membina tembok besar yang terawal dalam sejarah China, membina terusan purba yang antara paling panjang dalam sejarah, juga tidak ketinggalan membina sebuah makam yang dikenali dunia sebagai Makam Terracotta.

15. Napoleon Bonaprate (15 August 1769 – 5 May 1821) – Empayar Perancis

Bila bercakap mengenai jeneral perang terhebat dalam sejarah, agak sukar untuk meletakkan nama beliau ke tepi kerana Napoleon ialah seorang jeneral perang yang hebat. Sepanjang kariernya sebagai jeneral perang, Napoleon telah memenangi hampir kesemua pertempuran yang disertainya sebelum akhirnya tewas pada 1815. Empayar Perancis berada di zaman kemuncak pada tahun 1811, merentang dari Sepanyol sehingga ke barat Russia.

Ketika zamannya memimpin Perancis dalam Perang Napleon, dia berjaya menawan hampir seluruh eropah, namun tidak bernasib baik apabila seluruh eropah sendiri menjadi musuhnya. Seorang pemimpin dan jeneral perang yang hanya boleh ditundukkan apabila semua kuasa dunia ketika itu bergabung. Yang paling penting, Napoleon cukup meminati junjungan besar Rasulullah S.A.W.

16. Han Xin (Mati Pada Tahun 196 Masihi) – Dinasti Han

Salah satu daripada Empayar Terhebat China Purba tidak akan wujud kalau tidak kerana sumbangan jeneral perang yang boleh dinobatkan antara yang terlicik dan terbijak dalam sejarah China dan dunia. Berjaya menewaskan panglima perang China yang dipanggil sebagai panglima perang terhebat dalam sejarah China menggunakan kebijaksanaan akal.

Waqaf Saham

Antara pertempuran yang diingati melibatkan Han Xin ialah di mana beliau telah memerintahkan askar-askar Han untuk kononnya membina jalan yang sudah runtuh sementara beliau mengerahkan askar Han yang lain melalui jalan dan laluan rahsia menentang negeri berhampiran dengan Han.

3 Raja yang memerintah negeri itu tidak langsung memasang syak wasangka pada negeri Han di bawah Liu Bang ketika itu. Mereka menyangka bahawa askar Han sedang sibuk membina jalan yang telah runtuh dari negeri tempat Liu Bang memerintah.

Askar Han kemudian muncul menyerang mereka yang langsung tidak bersedia. Akhirnya, berkat kebijaksanaan akal Han Xin dalam Pertempuran Gaixia, Xiangyu berjaya dikalahkan dan Dinasti Han berjaya ditubuhkan dengan Liu Bang sebagai maharajanya. Kalau tidak kerana Han Xin, mungkin Dinasti Han tidak akan pernah wujud dalam sejarah China.

17. Joseph Stalin (1878 – 1953 Masihi) – Kesatuan Republik-Republik Sosialis Soviet

Mustahil untuk berbincang tentang Kesatuan Soviet tanpa memasukkan Joseph Stalin dalam perbicaraan. Beliau berjaya menerajui ekonomi Soviet daripada pemanduan pertanian kearah kegemilangan perindustrian, sebuah usaha panjang yang diteruskan penggantinya. Namun, usaha ini tergendala dan terjejas buat seketika.

Selepas menguasai Poland, Adolf Hitler telah mengkhianati perjanjiannya bersama Kesatuan Soviet tentang pengelakan peperangan. Jerman melaksanakan peperangan keatas Kesatuan Soviet dengan penuh keefektifan, menyekat Leningrad (kini Saint Petersburg) selama dua tahun yang mengakibatkan kematian lebih daripada sejuta rakyat dan juga menghampiri Moscow dalam lingkungan beberapa kilometer sahaja.

Tetapi Joseph Stalin berjaya merancakkan serangan balas Tentera Merah, menolak kemaraan Jerman keluar dari Rusia, memecahkan kesatuan Jerman di Seelow dan akhirnya menawan Berlin, sebuah perjuangan yang meragut 25 juta nyawa.

18. Ramses II (1303 -1213 SM) – Mesir Purba

Mesir Purba berada di zaman kemuncak kegemilangan pada pemerintahan Ramses II sehinggakan firaun yang menaiki takhta selepasnya menamakan Ramses II sebagai nenek moyang yang hebat atau “The Great Ancestor.”

Antara kejayaan Ramses II dalam sepanjang pemerintahannya ialah mengembalikan kembali Mesir yang gemilang. Segala ancaman seperti lanun yang berleluasa di perairan Mesir berjaya dihapuskan, menundukkan musuh seperti Empayar Hiiti yang berada di utara Mesir, dalam wilayah Turki dan Greece pada hari ini, dan meluaskan empayar Mesir sehingga memasuki Tanah Kanaan, iaitu Palestine hari ini. Sumbangan Ramses II dalam bidang ketentaraan Mesir juga adalah berjaya menumpaskan Libya dalam peperangan, yang berjiran dengan Mesir Purba.

Bukan itu sahaja, sepanjang pemerintahan Ramses II ini juga, didapati bahawa Ramses II melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh pemerintah Mesir sebelum baginda. Dari delta Sungai Nil sehinggalah ke Nubia hari ini, terdapat banyak binaan-binaan hebat yang dipahat atas nama Ramsess II. Merupakan calon firaun dalam Al-Quran.

19. Cyrus The Great (576-530 SM) Empayar Parsi.

Antara calon Zulkarnain dalam Al-Quran menurut para ulama selain daripada Alexander The Great. Seorang jeneral perang yang berjaya menundukkan tiga buah empayar terhebat di zamannya! Walaupun beliau telah berjaya menundukkan ratusan negara kota, belasan negara dan 3 empayar, namun dia bukanlah seorang tirani yang kejam sebaliknya dia membenarkan segala amalan dan adat agama yang pernah diamalkan sebelum ini diteruskan.

20. Peter The Great (1672-1725 Masihi) – Empayar Russia

Negara Russia yang luas hari ini harus berterima kasih kepadanya kerana Peter telah berjaya meluaskan Russia kepada sebuah empayar dan menjadi kuasa besar eropah ketika itu. Selain berjaya dalam bidang ketenteraan, Peter juga berjaya memimbing Russia kepada sebuah revolusi di mana segala amalan lama zaman pertengahan digantikan dengan amalan baru yang lebih membawa kepada kemajuan!

21. David IV of Georgia (1073 – 24 January 1125 Masihi) – Dinasti Bagrationi, Georgia

Raja yang terkenal kerana berjaya memenangi pertempuran yang dinobatkan sebagai antara keajaiban hebat dalam sejaran. Pertempuran Didgori menyaksikan bagaimana hanya 55, 600 orang askar Georgia berjaya menang ke atas lebih 600 000 orang askar Seljuk. Apa yang menariknya dalam pertempuran ini, di mana hampir 70 peratus seluruh askar Seljuk dihabiskan oleh askar Georgia di bawah pimpinan David IV.

22. Hannibal (247 – 183 SM) – Carthage

Antara jeneral perang terhebat dalam sejarah dunia. Menyaksikan bagaimana Rom hampir diperbudak-budakkan oleh kebijaksanaan beliau dalam peperangan dan hampir kalah dalam peperangan kalau tidak kerana kebijaksanaan seorang jeneral perang mereka.

Hannibal terkenal kerana telah membawa askar dengan cara yang langsung tidak dapat dibayangkan ketika itu. Dia telah memilih laluan maut untuk membawa askarnya yang berjumlah 90,000 askar pejalan kaki, 12,000 tentera berkuda dan 37 gajah perang melintasi Pergunungan Alps.

23. Maharaja Dharanindra (775 – 800 Masihi). Dinasti Sailendra, Empayar Melayu Srivijaya.

Walau bagaimanapun dan sesiapa pun yang saya cuba letakkan dalam senarai ini, saya berpendapat nama baginda perlu ada dalam senarai ini. Baginda kalau tidak keterlaluan, boleh dinobatkan sebagai raja teragung dan terbaik dalam sejarah ketenteraan bangsa Melayu.

Dipercayai bahawa Empayar Melayu Srivijaya mealui Dinasti Sailendra berada di kemuncaknya ketika di bawah pemerintahan baginda walaupun baginda tidak memerintah dengan lama. Tarumanegara, dan Sunda di Pulau Jawa, Po-Ni di Borneo beserta Kedah Tua dan Chaiya di Semenanjung Tanah Melayu, Champa serta Empayar Chenla di Indo-China ditundukkan oleh baginda. Bahkan Candi Borubudur, monumen Buddha yang terhebat itu dimulakan pembinaannya oleh baginda. Tidak hairanlah baginda terkenal dengan jolokan Wairiwarawiramardana atau bermaksud ialah “penunduk para musuh.”

24. Maharaja Asoka (273-232 SM) – Empayar Maurya

Asoka juga dikenali sebagai Ashoka dan Asoka Agung, ialah maharaja dari Dinasti Maurya di India yang memerintah hampir seluruh subbenua India. Salah satu maharaja India yang teragung, baginda memerintah hampir seluruh wilayah India kini selepas sebilangan kejayaan ketenteraan.

Empayarnya terbentang dari Pakistan kini dan Afghanistan di barat sehingga Assam di timur, dan Kerala utara serta Andhra di selatan. Asoka juga menewaskan kerajaan Kalinga yang tidak pernah ditewaskan oleh mana-mana satu maharaja dinastinya, mulai dari zaman Chandragupta Maurya.

25. Laksamana Yi Sun-sin ( 1545 – 1598) – Dinasti Joseon Korea

Seorang laksamana perang yang telah berjaya memimpin armada perang laut Korea menentang Invasi Jepun ke atas tanah Korea. Dalam Pertempuran Myeongnyang, Laksamana Yi Sun-sin yang hanya berbekalkan 12 buah panokseon, iaitu sebuah kapal perang Korea. Manakala Jepun pula hadir dengan 133 buah kapal, itupun berserta dengan 200 kapal logistik. Sepanjang hidupnya, dia telah berjaya memenangi lebih daripada 23 pertempuran laut!

26. Salahudin Al-Ayubi (1137/1138 – 1193 Masihi) – Dinasti Ayyubi

Berjaya menawan Palestine dan Baitulmaqdis daripada tangan tentera Salib. Membuatkan King Richard dan King Guy kelihatan seperti budak yang baru belajar peperangan. Dalam Pertempuran Hittin menyaksikan kehebatan Salahuddin Al-Ayyubi sebagai salah seorang jeneral perang hebat dalam sejarah Islam.

27. Tariq Bin Ziyad (670- 720 Masihi) – Dinasti Umaiiyah

Beliau ialah orang yang memimpin 7000 orang askar menakluk Sepanyol. Ketika memasuki wilayah Sepanyol, beliau harus berdepan dengan lebih daripada 25 000 orang tentera Visigoth. Masih mekar sebuah lagenda yang mengatakan bahawa Tariq telah membakar seluruh kapal tentera Muslim yang membawa mereka melintasi laut untuk sampai ke Sepanyol. Maka kata Tariq, di hadapan kalian ialah syahid di belakang ialah laut, maka pilihlah antara dua. Kejayaan Tariq ini membuka kepada penguasaan Islam di Sepanyol selama ratusan tahun.

28. Eulji Mundeok (Abad Ke-6 – 629 Masihi) – Kerajaan Goguryeo

Menjadi duri dalam daging kepada Dinasti Sui yang cuba menyerang Korea di bawah pemerintahan Kerajaan Goguryeo. Dalam pertempuran di Sungai Salsu, di mana dia terlah berjaya membawa askar Korea yang hanya berjumlah 10 000 orang menang pertempuran ke atas Dinasti Sui yang berjumlah lebih daripada 300 000 orang dengan hanya menggunakan sebuah empangan.

Ketika Askar Sui mengharungi sebuah sungai Salsu, dia telah melepaskan air bah dari empangan itu sekaligus menyapu seluruh askar Dinasti Sui. Lebih daripada 90 peratus askar Sui dihabiskan oleh air bah itu.

29. Thutmose III (1481 – 1425 SM) Mesir Purba

Thutmose III telah menghancurkan pemberontak-pemberontak dalam kalangan Kadesh, Megiddo dan puak Mesopotamia. Sebelum menyerang Megiddo, ucapannya yang meletakkan dirinya sebagai raja dikasihi Dewa Ra’ telah menaikkan semangat tentera-tenteranya untuk ikuti jalan yang susah pada ketika nasihat jeneralnya untuk ikuti jalan yang mudah diabaikan.

Tetapi, Thutmose III tetap berjaya dalam ketiga-tiga operasi itu, termasuk kesemua 16 kempen ketenteraan yang dilaksanakannya di Palestin, Syria dan Nubia. Hampir 350 bandar ditawani Thutmose III. Mudah kata, Mesir Purba berdiri teguh sebagai kuasa besar dengan ketenteraan yang luar biasa.

30. Tran Hung Dao (1228-1300 Masihi) – Dai Viet

Tran Hung Dao ialah watak utama di sebalik kekalahan tiga kali Mongol di tangan Dai Viet. Ketika itu Mongol merupakan bala tentera terkuat yang pernah dunia lihat dan Mongol tewas di tangannya. Dinasti Yuan di bawah Kublai Khan dibantai teruk terutama dalam dua pertempuran utama melawan Tran Hung Dao iaitu pada 1285 dan 1287.

31. Scipio Africanus (236–183 Masihi) – Empayar Rom

Kalau tidak kerana beliau, pastinya kita tidak akan dapat menyaksikan bahawa hari ini, mungkin empayar yang menaungi seluruh Eropah adalah Empayar Chartage. Kemaraan Hannibal yang pada awalnya seperti tidak dapat dibendung akhirnya tewas juga di tangan jeneral perang ini.

Pertempuran Zuma adalah antara pertempuran yang memahat nama Scipio Africanus dalam sejarah. Di mana ketika itu, askar perang yang digunakan oleh Hannibal yang pada awalnya seperti tidak dapat dikalahkan akhirnya tewas pada bunyi bisings eperti hon yang dihasilkan oleh beliau untuk menakutkan gajah perang tersebut.

32. Miltiades (550 – 489 SM) Athens.

Panglima perang daripada Athens ini diingati dunia dalam Pertempuran Marathon apabila berjaya mengekang invasi Parsi yang dipimpin oleh King Xerxes. Startegi beliau ketika Pertempuran Maratahon ini masih dipelajari sehingga hari ini.

33. Tun Perak (1456 – 1498 Masihi) Empayar Melayu Melaka

Siapa yang tidak kenal watak penting disebalik berkembangnya empayar Melayu Melaka. Individu yang bertanggungjawab mengekang kemaraan Siam di Batu Pahat dengan taktikal hebatnya yang menyuruh dipasangkan unggun api pada setiap pokok bakau pada waktu malam dengan menggambarkan seolah-olah seperti tentera Melaka memiliki ketumbukan tentera yang terlalu banyak. Itu belum lagi dikisahkan bagaimana kejayaan memimpin angkatan tentera Melaka menakluk Pahang dengan jayanya dari Siam dan bagaimana Tun Perak menjadi mastermind disebalik zaman kegemilangan Melaka.

Ketika Tun Perak menjawat jawatan Bendahara, beliau telah menakluk negeri-negeri di pantai Selat Melaka seperti Rokan, Siak, Kampar dan Inderagiri di pulau Sumatera serta Johor, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Perak yang menjadikan semua negeri ini sebagai jajahan takluk Melaka manakala Kedah pula menjadi negeri naungan Melaka sekaligus menjadikan Melaka antara Empayar Maritim terkuat di Asia Tenggara.

 

———–

Ciri-Ciri Yang Diambil Untuk Menghasilkan Ranking Ini: 

1. Tidak Pernah Terkalahkan Dalam Peperangan

2. Bukan sahaja seorang jeneral perang, tetapi pemimpin negara yang hebat dan ahli politik disegani. 

3. Taktikal-taktikal dan strategi perang yang dipakai dalam peperangan sehingga masih dikaji dan diajar sehingga hari ini. 

4. Kisahnya berjaya memberi inspirasi kepada bangsa, negara, empayar dan juga pemerintah-pemerintah serta jeneral perang selepasnya. 

5. Kejayaannya dalam peperangan berjaya membentuk sebuah kerajaan baru atau menghalang kerajaan lain menaklukinya. 

6. Ciri-ciri tambahan seperti seorang wanita yang mampu melakukan kerja lelaki turut diambil sebagai faktor dalam ranking ini. 

7. Tidak semestinya turun dalam setiap peperangan dan pertempuran, kadang-kala menjadi mastermind dan juga tulang belakang kepada askarnya juga saya ambil kira dalam ranking ini. 

P.S: Kami minta maaf kalau ada senarai-senarai jeneral perang dalam sejarah yang tidak dimasukkan dalam senarai ini. Senarai ini hanya memaparkan 33 Jeneral Perang Dalam Sejarah. Kami tidak mampu memuaskan hati para pembaca semua. InsyaALLAH kalau suatu hari nanti, kami akan cuba usahakan top 50 jeneral perang dalam sejarah pula.

Previous articlePenjajah Sepanyol Telah Datang Ke Alam Melayu Melalui Pelabuhan Mexico?
Next articleBendera, Ultra-Nasionalisme Dan Nusantara
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE

2 COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.