Dr Burhanuddin Al-Helmy: Pejuang Negara Yang Dilupakan

1,046

Sebut saja nama Dr Burhanuddin al-Helmy, mungkin ada yang menggaru kepala tentang siapa susuk tubuh itu. Namanya mungkin kurang dikenali berbanding tokoh-tokoh kebangsaan lain seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Dr Ismail, sumbangannya kepada usaha kemerdekaan negara juga seharusnya tidak boleh dipandang sepi. Selain dikenali sebagai seorang ahli politik dan doktor homeopati, beliau juga merupakan seorang pemikir awal Islam di Tanah Melayu selepas didedahkan kepada pelbagai bentuk ideologi dan situasi politik.

Latar belakang

Dr Burhanuddin atau nama sebenarnya Burhanuddin bin Haji Muhammad Noor dilahirkan pada 29 Ogos 1911 di Kampung Changkat Tualang, Kota Bharu, Perak dalam sebuah keluarga yang sederhana tetapi kuat pegangan agamanya. Bapanya, Haji Muhammad Noor yang mempunyai darah kerabat diraja Minangkabau bekerja sebagai seorang petani.

Merupakan sebahagian daripada tarikat sufi Naqshabandi, dia amat bertuah kerana berkesempatan berguru dengan beberapa tokoh agamawan terkenal termasuk Sheikh Mohammad Khatib Minangkabau di Makkah. Selain dikenali kerana sifat warak, Haji Muhammad Noor juga merupakan seorang yang tenang dan berhati lembut sehingga dikenali sebagai Abi Halim oleh rakan-rakannya.

Nama gelaran itu kemudian diwarisi oleh Dr Burhanuddin sebagai al-Helmy yang bermaksud seorang yang penyabar, lembut, tenang dan bukan pemarah. Ibunya, Sharifah Zahrah binti Habib Osman berdarah campuran Melayu-India Muslim dan dihormati oleh masyarakat.

Sejak dari kecil lagi, beliau didedahkan dengan pendidikan Islam. Dari tahun 1917 hingga 1923, Dr Burhanuddin belajar di Sekolah Melayu Behrang Ulu dan sebuah sekolah Melayu di Bakap, Perak. Semasa berusia 13 tahun, beliau dihantar ke sebuah pesantren di Sungai Jambu, Padang Panjang, Sumatera untuk mendapatkan pengajian Islam.

Di situ, Dr Burhanuddin dididik oleh beberapa tokoh Kaum Muda yang dikatakan mempunyai pemahaman menyeluruh terhadap Islam. Beliau berkata, “Bila saya belajar di Indonesia, saya dapat mempelajari Bahasa Belanda dan guru-guru agama saya merupakan orang Kaum Muda yang mempunyai pemahaman progresif terhadap Islam. Dari situ, pemikiran saya terbentuk selepas menerima pendekatan dan penjelasan moden.”

Selepas berkelana selama dua tahun di Padang Panjang, Dr Burhanuddin dihantar pula ke Sekolah Pondok Pulau Pisang di Jitra, Kedah. Tetapi beliau tidak lama di situ kerana kurang selesa dengan teknik pembelajaran yang mementingkan ingatan. Beliau kemudiannya berpindah ke Madrasah al-Mashhur al-Islamiyyah di Pulau Pinang pada tahun 1927 di mana di situ membantunya menguasai Bahasa Arab. Setahun selepas itu, Dr Burhanuddin melanjutkan pelajarannya ke India bukan saja untuk menimba ilmu tetapi juga untuk mencari pengalaman. Di sana, beliau didedahkan dengan pemikiran pemimpin-pemimpin India seperti Mohd Ali Jinnah dan Pandit Nehru serta menunjukkan minat terhadap pergerakan kemerdekaan yang digerakkan oleh Mahatma Gandhi.

Semasa di India, lebih banyak bahasa dikuasai Dr Burhanuddin seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Jerman dan Bahasa Perancis. Dari situ, ia membawa kepada pembelajaran dalam pelbagai bidang seperti perbandingan agama, metafizik, falsafah dan psikologi pengajaran. Dan bila menyambung pengajian Doktor Falsafah di Universiti Muslim Aligarh, beliau turut menulis satu disertasi berkenaan karya-karya ahli falsafah dan ahli sufi terkenal seperti Imam al-Ghazali, al-Qusyairi dan Ibnu Athaillah al-Sakandari. Menerusi pendedahan dari karya-karya filsuf silam dan kontemporari ketika itu, ia mempengaruhi corak pemikiran Dr Burhanuddin untuk tahun-tahun mendatang. Beliau memperoleh ijazah Doktor Perubatan Homeopati (MDH) dari Kolej Perubatan Ismaeliah, New Delhi dan Doktor Falsafah dari Universiti Muslim Aligarh. Selepas menamatkan pengajian, beliau berkelana ke negara-negara Timur Tengah seperti Mesir dan Palestin sebelum kembali ke tanah air pada tahun 1935.

Semasa di Singapura, Dr Burhanuddin mengajar Bahasa Arab di Sekolah Arab al-Junid dan turut menjadi editor penerbitan majalah Taman Bahagia. Namun tidak lama selepas keluaran pertama majalah itu, beliau ditahan oleh pihak berkuasa selama enam bulan atas alasan majalah itu menyebarkan propaganda anti-British. Namun hakikatnya, majalah itu menyebarkan mesej kebangsaan iaitu bangkitnya orang Melayu dari cengkaman penjajahan dengan menjadikan Islam sebagai tunjang utama. Selepas dibebaskan, beliau kemudiannya membuka klinik-klinik homeopati bersama Dr Rajah di Singapura dan Johor Bahru pada tahun 1939. Kedua-dua klinik ini terus beroperasi sehinggalah gelombang Perang Dunia Kedua (WWII) melanda Tanah Melayu pada tahun 1942.

Dr Burhanuddin turut aktif dalam pertubuhan Jamiyyah al-Islamiyyah Singapura, sebuah organisasi berorientasikan agama dengan beliau mengisi jawatan sebagai setiausaha. Keupayaan intelektualnya sentiasa mendapat perhatian ramai. Contohnya pada tahun 1937, beliau mengikut Haji Abbas Mohd Taha yang ketika itu mengisi jawatan sebagai Hakim Besar Singapura sebagai wakil organisasi dalam satu debat dengan ulama Kaum Tua di Istana Sri Cemerlang, Kelantan.

Penyertaan beliau menandakan ketinggian ilmu agamanya diiktiraf ramai walaupun dikenali sebagai pakar homeopati. Menjelang tahun 1942, Dr Burhanuddin sudah mula aktif memperjuangkan kemerdekaan negara bermula dengan Kesatuan Melayu Muda (KMM), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan akhir sekali Parti Islam Se-Malaya (PAS).

KMM dan KRIS

Sesiapa yang menyelusuri sejarah KMM pasti perasan kebanyakan tokoh yang terlibat datang dari pelbagai latar belakang. Ibrahim Haji Yaakob dan Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) datang dari latar belakang sekular sementara sesetengah ahli baru KMM datang dari pendidikan madrasah seperti Madrasah Ihya Al-Sharif di Gunung Semanggol, Perak. Malah pengetua madrasahnya, Haji Abu Bakar al-Baqir merupakan orang bertanggungjawab menyemarakkan semangat kebangsaan Melayu sejak madrasah itu ditubuhkan pada tahun 1934.

Rajah 1: Haji Abu Bakar al-Baqir.

KMM berorientasikan anti-British dan mempunyai aspirasi menubuhkan sebuah negara Melayu dengan menggabungkan Tanah Melayu dengan Indonesia yang belum merdeka ketika itu di bawah satu panji baru bernama Melayu Raya.

Walaupun Dr Burhanuddin kurang aktif bersama KMM, idea Melayu Raya ini terus melekat dengan dirinya dan terus diperjuangkan walaupun di atas platform parti yang berbeza (PKMM dan PAS) untuk tahun-tahun terkemudian. Penyertaan beliau dalam organisasi ini dibuat menerusi perhubungannya dengan salah seorang orang kuat KMM, Mustapha Hussein yang berkunjung ke klinik homeopatinya di Kuala Lumpur.

Menjelang WWII, ramai pemimpin KMM ditahan atas alasan disyaki bersubahat dengan Jepun. Tetapi Dr Burhanuddin tidak ditahan kerana dari sudut pandang pihak British, penyertaannya dalam organisasi itu tidak aktif. Selepas Jepun menduduki seluruh Asia Tenggara termasuk Tanah Melayu pada tahun 1942, KMM kembali aktif dengan bekerjasama dengan Jepun dan pada masa sama, membantu Parti Komunis Malaya (PKM) dan Tentera Rakyat Tanah Melayu Anti-Jepun (MPAJA) secara rahsia. Bagi menjayakan agenda kolaborasi ini, Ibrahim mencadangkan nama Dr Burhanuddin sebagai Penasihat Adat Istiadat dan Kebudayaan Melayu untuk pihak Jepun di Taiping.

Nama beliau dipilih berikutan latar belakangnya sebagai seorang doktor homeopati, mempunyai semangat Melayu yang tinggi dan latar belakang pendidikan agamanya. Semasa di Taiping, beliau turut menjalin hubungan dengan pengetua Madrasah Ihya, Haji Abu Bakar.

Madrasah tersebut merupakan markas pejuang-pejuang kebangsaan yang mempunyai latar belakang pendidikan agama dan hubungan ini membantu madrasah tersebut dari jatuh ke tangan Jepun dan ditukar peranannya sebagai markas tentera.

Sedar akan kekejaman yang dilakukan Jepun terhadap rakyat Tanah Melayu terutama orang Melayu, Dr Burhanuddin juga menasihati mereka untuk tidak menghantar orang-orang Melayu ke sempadan Thai-Burma sebagai buruh paksa Landasan Keretapi Maut.

Menerusi jawatan ini, Dr Burhanuddin mendapat beberapa keistimewaan. Setiap kali berkunjung ke perkampungan-perkampungan sekitar Taiping, beliau disambut mesra oleh penduduk tempatan. Di situ, beliau cuba memberi kata-kata semangat dalam menghadapi kesukaran penjajahan Jepun. Dengan jawatan ini juga membolehkannya mendapat bekalan makanan yang lebih banyak di mana sebahagian daripadanya diagih-agihkan kepada jiran-jiran secara senyap-senyap tanpa pengetahuan Jepun.

Bila ditanya tentang pandangannya terhadap Jepun, Dr Burhanuddin berkata, “Kekejaman, kebengisan, kedurjanaan, kezaliman facis Jepun tiada siapa yang tidak kenal dan tidak perlu dituliskan pemerintahan tangan besi Firaun kurun dua puluh. Gerakan kebangsaan diharamkan sama sekali oleh Jepun. Maka ahli-ahli kebangsaan Melayu kiri telah mengambil langkah Musa dalam istana Firaun.

Ada yang tinggal di dalam, ada yang tinggal di luar mengambil bahagian di hutan rimba jadi antifacis ada yang menjalankan gerakan rayap semut putih, harimau dan sebagainya… ada pula yang memasukkan diri dalam Bintang Tiga, Communist Party, Anti-Facist dan lain lain… kesedaran dan kemarahan kebangsaan Melayu bertambah berbangkit dengan sebab pekerti Jepun menyerahkan empat buah negeri Melayu kepada Thai.”

Menerusi keterangan itu, jelaslah Dr Burhanuddin juga menolak pendudukan Jepun dan menyifatkan mereka dua kali lima sahaja dengan British. Ini kerana kebanyakan pertubuhan politik dan nasionalisme diharamkan serta-merta termasuk KMM dan mana-mana gerakan bersenjata akan ditekan hebat oleh mereka.

Tindakan Jepun yang menyerahkan empat negeri Melayu di utara Tanah Melayu kepada Siam dan menggabungkan pentadbirannya dengan Sumatera juga menyemarakkan lagi api kemarahan orang Melayu terutama kelompok KMM yang kecewa dengan janji kosong Jepun.

Mungkin atas sebab itulah, ramai pemimpin KMM termasuk Mustapha memilih berjuang di dalam hutan dan menempelak Ibrahim kerana membelakangi organisasi itu dalam banyak hal termasuk agenda kemerdekaan. Tetapi kedua-dua Ibrahim dan Dr Burhanuddin memilih bekerjasama kerana merasakan mereka ada peluang untuk memerdekakan Tanah Melayu bersama-sama dengan Indonesia memandangkan ia sudah dijanjikan Jepun dalam propaganda-propaganda mereka sebelum WWII.

Selepas mendapat kebenaran daripada Jeneral Seishiro Itagaki, kedua-duanya berunding dengan pemimpin-pemimpin Indonesia untuk menjayakan agenda itu pada April 1945 di Indonesia. Pada 28 Mei 1945, Sukarno membawa usul memasukkan Tanah Melayu dalam kemerdekaan Indonesia dalam mesyuarat Badan Penyelidik Usaha Persiapan Kemerdekaan Indonesia.

Melalui badan ini, kata putus dan usul yang dikemukakan oleh pemimpin ulung Indonesia itu telah dipersetujui atas alasan ia memberi faedah keselamatan dan kedaulatan politik Indonesia. Seterusnya pada 12 dan 13 Ogos 1945, pertemuan lebih lanjut diadakan di Taiping yang turut dihadiri oleh Dr. Burhanuddin sendiri bersama-sama Ibrahim, Sukarno dan Mohamad Hatta dalam usaha untuk membincangkan soal-soal kemerdekaan ‘Indonesia Raya’. 

Kedatangan dua pemimpin nasionalis Indonesia itu ke Taiping secara kebetulan kerana mereka dalam perjalanan pulang dari Saigon, Vietnam selepas bertemu dengan Ketua Turus Agung Tentera Jepun bagi Asia, Field Marsyal Count Terauchi. Dalam pertemuan tersebut mereka telah berbincang, mencapai kata sepakat dan membuat perjanjian seperti Kemerdekaan Tanah Melayu turut bersatu dengan Indonesia, perisytiharan kemerdekaan akan diumumkan pada penghabisan bulan itu (Ogos), dan Tanah Melayu akan menghantar lapan perwakilan delegasi ke Jakarta untuk turut mengisytiharkan kemerdekaan dan pembentukan pemerintahan sementara negara Republik Indonesia sekali dengan Tanah Melayu.

Berikutan itu, ia memberi idea kepada Ibrahim dan Dr Burhanuddin menubuhkan sebuah lagi organisasi iaitu Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung pada tahun 1945. KRIS hakikatnya versi kedua KMM di mana ia mempunyai persamaan dari segi dasar politik, nasionalisme dan keanggotaannya. Untuk meraih sokongan mendapatkan kemerdekaan, satu persidangan diadakan di Station Hotel, Kuala Lumpur yang dihadiri wakil-wakil pemuda Melayu dari Tanah Melayu, Selatan Thailand dan Kepulauan Riau-Lingga. Hasilnya, beberapa keputusan telah dibuat:

a) Perjuangan kemerdekaan bersama Indonesia wajib diteruskan dengan IBHY (Ibrahim Hj. Yaakub), Onan Siraj, Hassan Manan dan Ramly Tahir diutus ke Jakarta (Sdr. Ramly tak jadi pergi).

b) Kongres KRIS 16-17 Ogos diserahkan kepada Dr. Burhanuddin untuk memimpinnya bersama Hassan Manan, Dato’ Onn, Tengku Hussein-Singapura dan lain-lainnya.

(c) IBHY, Onan Siraj dan Ramly Tahir dikehendaki ke Singapura malam 15.8.45 itu juga untuk menguruskan delegasi ke Jakarta, sepasukan Giyu Gun dikirim ke Kuala Lumpur untuk bersama MPAJA melawan tentera Inggeris.

d) Pagi pukul 2.00 pada 17.8.1945 kami bertiga sampai di Singapura dan terus berunding dengan wakil MPAJA Singapura di Tiong Bharu yang masih bersetuju Giyu Gun dikirimkan ke Kuala Lumpur.

KRIS dilihat sebagai penerusan cita-cita Melayu Raya dan sebahagian daripada cubaan menghalang kemasukan semula British ke Tanah Melayu. Untuk memantapkan lagi usaha pertahanan, pemuda-pemuda yang mempunyai latihan ketenteraan akan diserap sebagai tentera menentang kemasukan tentera British pasca-WWII pada Disember 1945.

Tetapi hasrat Melayu Raya itu tidak kesampaian selepas Jepun menyerah kalah berikutan serangan bom atom Amerika Syarikat di Hiroshima dan Nagasaki pada 15 Ogos 1945. Dua hari selepas itu, pemimpin-pemimpin nasionalis Indonesia mengisytiharkan kemerdekaan secara tergesa-gesa pada 17 Ogos. Pada 18 Ogos, KRIS dibubarkan serta-merta seiring dengan kekalahan Jepun. Ibrahim pula melarikan diri ke Jawa, Indonesia bersama rakan baiknya, Hassan dan ahli keluarganya tanpa membawa Dr Burhanuddin.

PKMM

Selepas tamat WWII, sebuah parti baru ditubuhkan di Ipoh, Perak pada 17 Oktober 1945 iaitu Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Pengerusi pertama PKMM ialah Mokhtaruddin Lasso dengan Dr Burhanuddin dipilih sebagai Naib Pengerusi walaupun tiada dalam mesyuarat.

Parti ini terpengaruh dengan idea-idea nasionalis-nasionalis Indonesia seperti Sukarno dan Mohamad Hatta serta mahukan PKMM menjadi seperti Partai Nasionalist Indonesia (PNI). Matlamat utamanya ialah membela nasib orang-orang Melayu yang tertindas dan akhirnya mencapai kemerdekaan bagi bangsa Melayu.

Namun selepas Mokhtaruddin menghilangkan diri secara tiba-tiba, struktur kepimpinan parti dirombak semula. Pada pertengahan 1946, Dr Burhanuddin dipilih sebagai Pengerusi, Pak Sako sebagai Naib Pengerusi dan Ahmad Boestamam sebagai Setiausaha Agung parti. Untuk dua tahun berikutnya, PKMM menjadi figura utama dalam pergerakan radikal nasionalis Melayu. Pada awalnya, PKMM turut menyokong agenda Malayan Union atas alasan dengan memasukkan Singapura dalam satu kesatuan Melayu, ia dapat merealisasikan fasa awal Melayu Raya yang direncana sebelum ini.

Rajah 2: Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako.

Tetapi selepas mendapat tahu isu sebenar menyelubungi Malayan Union, PKMM turut bekerjasama dengan UMNO yang ketika itu diketuai Dato Onn Jaafar selama lima bulan menentang perlaksanaan Malayan Union. Tetapi kerjasama tersebut tidak bertahan lama berikutan pendekatan perjuangan yang berbeza membabitkan kedua-dua parti. Yang pasti, UMNO berjaya menggembleng orang Melayu menolak agenda kesatuan yang dibawa British itu dan ia kemudiannya digantikan oleh Persekutuan Tanah Melayu berkuatkuasa pada tahun 1948.

Cadangan penubuhan persekutuan ini dibantah ramai pihak termasuk PKMM. Ini membawa kepada penubuhan pelbagai organisasi seperti Majlis Tindakan Bersama Se-Malaya (AMCJA), Kesatuan Demokratik Malaya (MDU) dan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA). Melalui PKMM, PUTERA mengadakan kerjasama dengan AMCJA termasuk membentuk perlembagaan yang dinamakan Perlembagaan Rakyat pada April 1947. 10 fasal perlembagaan ini diajukan iaitu:

i. Tanah Melayu bersatu termasuk Singapura.

ii. Tanah Melayu merupakan sebuah negara Melayu.

iii. Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

iv. Satu bendera dan satu lagu kebangsaan untuk Tanah Melayu.

v. Kerajaan Pusat dan Majlis Negeri dipilih rakyat.

vi. Mengembalikan kedaulatan sebenar para Sultan yang diletakkan di tangan rakyat.

vii. Memajukan politik, ekonomi dan sosial orang Melayu.

viii. Agama Islam dan adat istiadat Melayu diletakkan di bawah kuasa orang Melayu.

ix. Hak kewarganegaraan yang sama dan tanggungjawab semua yang menjadikan Tanah Melayu tanah airnya dan tumpuan taat setianya.

x. Pertahanan dan hal ehwal luar negeri di bawah kawalan bersama sementara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Baginda Raja Inggeris.

Namun, perlembagaan ini ditolak oleh British dan hasil kerjasama UMNO dan Raja-Raja Melayu, agenda Persekutuan Tanah Melayu direalisasikan pada 1 Februari 1948. Ternyata agenda Melayu Raya ditolak ramai pihak ketika itu. Pada pertengahan 1948, pakatan AMCJA-PUTERA retak apabila MDU dibubarkan dan Persekutuan Kesatuan Perdagangan Se-Malaya tidak lagi membuat hal.

PKMM pula menyaksikan tampuk pengerusi diambil alih oleh Pak Sako dengan Dr Burhanuddin sebagai penasihat. Beliau semakin kecewa bukan saja kerana agenda Melayu Raya yang diperjuangkan PKMM ditolak tetapi kecewa ia mula diresapi pengaruh PKM. Justeru tidak hairanlah dalam ceramahnya di seluruh negara, Dr Burhanuddin mengecam keras gerakan komunisme ketika itu.

Selepas pengisytiharan darurat pada tahun 1948, banyak gerakan berhaluan kiri diharamkan seperti Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Hizbur Muslimin. Ramai pemimpin dan ahli gerakan ini yang ditangkap dan disumbat ke dalam penjara. Bagi PKMM yang ketika itu diterajui Pak Sako, parti tersebut akhirnya musnah apabila British mengesyaki ia cuba menyebarkan pengaruhnya ke Sabah dan Labuan pada tahun sama. Ini menyebabkan ramai pemimpin PKMM ditahan dan dipenjarakan untuk beberapa lama.

PAS

Selepas musnahnya PKMM, Dr Burhanuddin muncul seketika di Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang ketika itu diterajui oleh rakan lamanya, Ahmad Boestamam. Walaupun bukanlah ahli parti ketika itu dan hanya berstatus sebagai penasihat seperti mana di PKMM, masih ramai ahli mencarinya untuk mendapatkan bimbingan dan nasihat.

Selepas kekalahan PAS pada Pilihan Raya Umum 1955, PAS mengambil keputusan membawa masuk Dr Burhanuddin sebagai pemimpin baru mereka pada tahun 1956. Kemasukan beliau ke dalam parti tersebut dilihat bersesuaian dengan aspirasi perjuangannya iaitu berlandaskan Islam dan memperjuangkan kemerdekaan.

Walaupun kehadirannya kurang disenangi sesetengah ahli dan pemimpin berikutan pendiriannya sebagai seorang nasionalis, itu tidak menghalang parti mencatat prestasi cemerlang semasa pilihan raya seterusnya. Pada Pilihan Raya Umum 1959, PAS berjaya memenangi 13 kerusi Parlimen dan 42 kerusi DUN sekaligus membolehkannya menguasai kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu dengan beliau sendiri memenangi kerusi Parlimen Besut.

Semasa Dr Burhanuddin berada di Parlimen, beliau berusaha membangkitkan pelbagai isu rakyat seperti isu ekonomi dan sosial membabitkan orang Melayu. Malah beliau juga menegur sikap Kerajaan Persekutuan ketika itu yang dilihat menganaktirikan Kelantan dan Terengganu hanya kerana ia diperintah oleh PAS.

Rajah 3: Dr Burhanuddin semasa mengadakan lawatan ke Besut. Sumber: https://pami.my/v1/uncategorized/dr-burhanuddin-al-helmi-anti-komunis/

Seperti mana di KMM dan PKMM, agenda Melayu Raya terus diperjuangkan semasa beliau menjadi Presiden PAS. Justeru, tidak hairanlah mengapa Dr Burhanuddin mengkritik Tunku Abdul Rahman semasa menggagaskan idea penubuhan Malaysia. Sebagai sebahagian daripada agenda Melayu Rayanya, beliau mencadangkan Malaysia terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Singapura, Indonesia dan Filipina. Namun, cadangan beliau itu ditolak dan Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963.

Semua maklum idea penubuhan Malaysia ini amat ditentang keras oleh Presiden Indonesia, Sukarno yang menyifatkannya sebagai satu bentuk penjajahan baru dan bertentangan dengan agenda Indonesia Raya (Melayu Raya). Justeru, ini membawa kepada kempen Ganyang Malaysia.

Akibat kempen tersebut, ramai pihak disyaki bersekongkol dengan Indonesia termasuk Dr Burhanuddin sendiri. Ini menyebabkan beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sehingga tahun 1969. Tidak lama selepas itu, beliau kembali ke rahmatullah pada 25 Oktober 1969 semasa berusia 58 tahun. Beliau meninggalkan tiga orang isteri dan lapan cahaya mata.

Pemikiran kritis Dr Burhanuddin

Sepanjang hayatnya, banyak anekdot menarik berkenaan pemikirannya termasuk isu patriotisme Melayu. Menerusi Falsafah Kebangsaan Melayu, Dr Burhanuddin berkata, “Kerajaan terkuat yang memperkenalkan bangsa Melayu sehingga hari ini bermula dari Empayar Srivijaya hinggalah Kesultanan Melayu Melaka.” Menurut beliau, kedua-dua kerajaan ini merupakan asas kepada semangat Melayu Raya.

Beliau berpandangan ia seharusnya menjadi batu asas penubuhan negeri-negeri Melayu. Tambahnya lagi, “Kita hendak membentuk sebuah wilayah Melayu, berdasarkan semangat patriotisme Melayu, berdasarkan kepada keadilan, kemanusiaan yang saksama dan meluas, bukan berdasarkan sentimen perkauman atau prejudis. Islam melihat patriotisme sebagai cara dan bukan destinasi. Sama juga seperti kehidupan di dunia, ia bersifat sementara dan sebagai cara menuju ke akhirat.”

Dr Burhanuddin sentiasa menekankan patriotisme Melayu seharusnya dilihat dari sudut positif kerana ia tidak berdasarkan kepada pertalian darah atau kaum. Sebaliknya menurut beliau, sesiapa saja yang datang dari latar belakang mana-mana kaum yang bersedia menunjukkan rasa hormat terhadap orang lain dan ketaatan kepada tanah air, maka itu sudah cukup baginya menjadi sebahagian daripada patriotisme Melayu.

Tambahnya lagi, jika ada orang Melayu yang tidak mempunyai dua ciri yang dinyatakan itu, maka Melayu itu tidak layak menjadi sebahagian daripadanya. Justeru, boleh difahami semangat patriotismenya itu bukan saja terbuka kepada orang Melayu tetapi juga kepada kelompok bukan Melayu. Tambahnya lagi, terdapat beberapa dalil yang menyokong hujahnya itu iaitu ayat 213, Surah al-Baqarah dan ayat 13, Surah al-Hujurat.

Selain menekankan soal patriotisme orang Melayu, pemikirannya sentiasa menekankan aspek ukhrawi sehingga akhir hayatnya. Menerusi Perjuangan Kita, Dr Burhanuddin memetik beberapa ayat al-Quran sebagai asas kepada pemikiran politiknya. Contohnya ayat 110, Surah Ali Imran yang menekankan soal amal maaruf nahi mungkar (berbuat baik dan menegah kejahatan).

Menurut beliau, tanggungjawab ini tidak dapat dilaksanakan dengan baik sekiranya orang Melayu dan orang Islam masih lagi dibelenggu dengan penjajahan. Justeru, menjadi tanggungjawab orang Melayu untuk bebas daripada penjajahan demi melaksanakan tanggungjawab itu.

Sebagai seorang aktivis Muslim yang komited, Dr Burhanuddin sentiasa menekankan terdapat banyak ayat al-Quran yang mengingatkan manusia agar menjadi hamba Allah yang baik. Tambahnya daripada 6,000 ayat al-Quran, 150 daripadanya menyebut ritual ibadat dengan selebihnya menyebut bagaimana sesebuah bangsa atau tamadun itu bangkit atau jatuh.

Dua contoh ayat al-Quran yang berkisar tentang hal ini ialah ayat 3, Surah Yusuf dan ayat 13, Surah al-Kahfi. Kedua-dua ayat bersama beberapa contoh ayat al-Quran lain menyatakan orang yang mengikut jalan-Nya akan dikurniakan kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan akhirat.

RUJUKAN:

1. Mat Karim, Khairulnizam dan Saili, Suzy Aziziyana. (2013). Revisiting the Life and Thought of Dr. Burhanuddin al-Helmy. International Journal of Islamic Thought. Vol. 3. Universiti Kebangsaan Malaysia. http://www.ukm.my/ijit/wp-content/uploads/2016/01/8-Suzy-Aziziyana-Saili-IJIT-Vol-3-2013.pdf

2. Omar, Muhamad Fuzi. (2005). Burhanuddin Al-Helmy: Political Activities and Ideas. Contemporary Islamic Political Thought: A Study of Eleven Islamic Thinkers. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. http://irep.iium.edu.my/41329/3/Burhanuddin_250215.pdf

3. Mohamad Noor, Mohamad Muzammil. (2017). DR. BURHANUDDIN AL-HELMI: KEGIATAN NASIONALISME DAN POLITIK DI ZAMAN PENDUDUKAN JEPUN, 1940-1945. SEJARAH: Journal of the Department of History. Universiti Malaya. https://ejournal.um.edu.my/index.php/SEJARAH/article/view/9222

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.