Kira-kira 500 tahun yang lalu, tanggal yang sama ini turut dicatat oleh tinta emas sejarah sebagai tarikh keramat kepada sebuah peristiwa agung zaman-berzaman. Selat Bosphorus atau Selat Istanbul (Istanbul Bogazi) menjadi saksi hidup kepada sejarah tersebut. Saksi berupa rupa bumi yang menjadi pemisah antara Turki-Eropah (Thrace) dan Turki-Asia (Anatolia) serta selat yang menghubungkan Laut Marmara dan Laut Hitam.

Selat yang pada masa kini, terbentang di atasnya Jambatan Bosphorus berkepanjangan 1074m dan Jambatan Fatih Sultan Mehmed (1090m) yang jarak antara keduanya adalah sekitar 5 kilometer. Kedua-dua jambatan yang masing-masing dibina pada tahun 1973 dan 1988 ini menjadi penghubung antara dunia Eropah dan dunia Asia. Selat Bosphorus terbentang sepanjang 30 kilometer, dengan kelebaran maksimumnya adalah 3700m sementara bahagian paling sempitnya hanya berukuran 750m.

Tepat di tebing paling sempit itulah, berdirinya dua buah kubu benteng yang berperanan besar dalam kempen Pembukaan Konstantinopel 1453 oleh Sultan Muhammad al-Fatih bin Murad (1432-1481). Tebing di bahagian Asia menempatkan kubu Anadolu Hisari manakala di seberangnya pula adalah Rumeli Hisari atau nama asalnya, Bogazkesen yang secara harfiahnya bermaksud “Pemotong Selat” atau “Pemotong Leher”. Nama itu sendiri menggambarkan signifikasi yang dipunyai oleh kubu benteng tersebut, yang menjadi pelengkap kepada persiapan pertahanan Uthmaniyah sebelum mereka memulakan pengepungan ke atas Konstantinopel.

Pelan Rumeli Hisari

CIRI-CIRI PEMBINAAN RUMELI HISARI

Pembinaan Bogazkesen atau Rumeli Hisari dimulakan pada 15 April 1452 dengan menggunakan khidmat 300 orang tenaga pakar yang dihimpunkan oleh Sultan Muhammad al-Fateh. Projek tersebut melibatkan kawasan yang berkeluasan sekitar 30 000 meter persegi. Kubu benteng ini dilengkapi dengan 3 buah menara pengawal dan 13 buah menara peninjau pelbagai saiz dan bentuk. Setiap menara pengawal itu dinamakan bersempena pegawai yang menyelia pembinaannya, iaitu Halil Pasya, Saruca Pasya dan Zaganos Pasya. Kesemua menara ini adalah pos pertahanan utama yang berperanan mengawal ketat laluan air di Selat Bosphorus. Setiap satunya memiliki ketebalan, diameter dan ketinggian yang sedikit berbeza.

Dari kiri, Menara Halil Pasya, Saruca Pasya dan Zaganos Pasya

Menara Saruca Pasya berbentuk silinder dengan diameter mencecah 23.3m dan ketinggian mencecah 28m menerusi 9 buah tingkat. Tembok yang bersambungan dengan menara ini berketebalan 7m. Pada masa kini, menara Saruca Pasya turut dikenali sebagai Menara Fatih. Menara Halil Pasya yang terletak di tengah-tengah dan paling terkehadapan di selat  turut mempunyai ukuran diameter dan jumlah tingkat yang sama.

Namun, ketinggiannya hanya 22m dan tebal tembok yang bersambungan dengannya pula adalah 6.5m. Menara ini berbentuk segi dua belas. Sementara itu, menara Zaganos Pasya di selatan yang berbentuk silinder adalah yang paling rendah di antara semua – 8 tingkat dengan ketinggian 21m dan berdiameter 26.7m serta tebal temboknya pula adalah 5.7m.

Ruang antara setiap menara ini dipadatkan dengan binaan-binaan kayu. Namun, kesemua kayu-kayan ini hangus dijilat api semasa berlakunya kebakaran pada kurun ke-17. Turut melengkapkan infrastruktur kubu Rumeli Hisari ini adalah rumah-rumah para tentera dan masjid kecil yang kesemuanya ini diperbuat daripada kayu. Di bawah masjid tersebut pula ditempatkan tangki besar bagi tujuan penyimpanan air. Bekalan air ini kemudiannya disalurkan menerusi tiga buah tembok air pancut yang mana hanya sebuah sahaja masih wujud sehingga ke hari ini.

Binaan-binaan kayu yang memadatkan ruangan antara setiap menara di Rumeli Hisari, kini telah musnah akibat kebakaran

Selain menggunakan jumlah tenaga manusia yang sangat kecil, masa yang diambil untuk menyiapkan pembinaan kubu Rumeli Hisari ini juga sangat singkat, iaitu hanya selama 4 bulan 10 hari – bermula dari 15 April hingga 31 Ogos 1452. Pencapaian itu sahaja sudah cukup untuk mencengangkan para sejarahwan yang kehairanan bagaimana kubu benteng yang begitu ampuh sempurna dan luas kawasan pertahanannya, dapat disiapkan dengan sebegitu cepat dan sebegitu kecil tenaga manusia.

Apatah lagi jika dibuat perbandingan, pembinaan kubu di seberang selat, iaitu Anadolu Hisari yang luas keseluruhannya hampir separuh lebih kecil berbanding Rumeli Hisari dicatatkan mengambil masa bertahun untuk disiapkan. Anadolu Hisari dibangunkan oleh datuk Sultan Muhammad al-Fateh sendiri, iaitu Sultan Beyazid I (1389-1402) 60 tahun dahulu sebelum berdirinya Bogazkesen atau tepatnya, pada tahun 1394 Masehi.

Anadolu Hisari dibina oleh Yildirim Beyazid I pada tahun 1394

PERANAN SIGNIFIKAN RUMELI HISARI DALAM PEMBUKAAN KONSTANTINOPEL

Tekad Sultan Beyazid I untuk membuka Konstantinopel ternyata menyala kuat di dalam lubuk jiwa sultan muda, Al-Fateh. Tekad tersebut diterjemahkan salah satunya menerusi penyambungan legasi berupa pembinaan kubu benteng yang berfungsi sebagai pos pertahanan yang mengawal-selia kapal-kapal yang memasuki Selat Bosforus, terutama dari Laut Hitam.

Dengan terbinanya Rumeli Hisari ini, maka peranan yang diletakkan ke atas Anadolu Hisari menjadi lengkap di mana semenjak selesainya pembinaan kubu itu, ruang paling sempit di Selat Bosphorus akhirnya diapit dari kedua-dua belah tebing. Justeru itu, Rumeli Hisari dinamakan pada awalnya sebagai Bogazkesen atau ‘Pemotong Selat’ atau ‘Pemotong Leher (Konstantinopel).

Kepemimpinan ke atas benteng Rumeli Hisari diserahkan kepada Firuz Bey yang mengepalai ratusan tentera yang berkawal. Sebahagian sumber menyebutkan bilangannya seramai 400 orang. Firuz Bey diberikan autoriti untuk memantau dan mengawal trafik di Selat Bosphorus. Kapal-kapal yang memasuki dan melalui Rumeli Hisari dikenakan cukai. Bagi yang enggan, kapal tersebut akan ditembak dengan laras-laras meriam yang diletakkan di atas menara-menara di Rumeli Hisari.

Lukisan Michael Zeno Diemer yang menggambarkan pemandangan Selat Bosforus dengan berlatarbelakangkan Rumeli Hisari

Keadaan ini secara tidak langsung mencantas perbekalan kepada Konstantinopel yang sama sekali terputus hubungan dengan dunia luar, terutama sekutu-sekutu mereka yang kebiasaannya menghulurkan talian hayat menerusi Laut Hitam. Selain menyekat pertumbuhan sumber kekuatan Konstantinopel, kawalan ketat daripada Rumeli Hisari dan Anadolu Hisari turut memaksudkan peningkatan ekonomi Uthmaniyah.

Mengapa tidak? Kapal-kapal yang memasuki radius kawalan dua kubu tersebut dituntut untuk membayar cukai atau tidak, kapal tersebut akan ditenggelamkan dan barangannya dirampas. Anak-anak kapalnya pula diberkas untuk dijadikan sebagai tawanan yang kemudiannya dijual sebagai hamba ataupun dikerah untuk kerja-kerja pembangunan.

Tambahan lagi, dengan terbinanya Rumeli Hisari di tebing Selat Bosphorus bahagian Eropah dapat memperkukuhkan lagi persiapan pertahanan dan pangkalan serangan ke atas Konstantinopel. Sejarah mencatatkan bagaimana Rumeli Hisari berupaya memenangkan Uthmaniyah dalam perang saraf, di mana mekanismenya berfungsi persis bagaimana Cao Cao memenuhkan Sungai Yangtze dengan ratusan ribu buluh yang berisi surat pengisytiharan perang ke atas Kerajaan Wu.

Jika buluh-pengisytihar perang Cao Cao berjaya memecahkan barisan menteri Wu menjadi dua kelompok – satu kelompok cenderung menyerah kalah sambil satu kelompok lagi berkeras mahu meneruskan peperangan – maka keadaan yang sama berlaku di kem Konstantinopel berikutan pembinaan Rumeli Hisari.

Muhammad Syaari Abdul Rahman, pengarang buku Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh menyatakan betapa Rumeli Hisari berhasil menjatuhkan moral Konstantinopel hinggakan perpecahan tersebut berterusan sehingga hari-hari pengepungannya, di mana hampir seluruh penduduk kota berkenaan enggan turut serta bersama para tentera dalam mempertahankan Konstantinopel daripada gempuran Uthmaniyah. Hal ini berlaku kerana ketidakpuasan hati mereka terhadap Maharaja Palaiologus yang enggan berdamai dengan Sultan Muhammad al-Fateh – suatu rayuan yang dibuat semenjak terbinanya Rumeli Hisari.

Bahkan, sumber-sumber sejarah juga menyebutkan sebuah dialog masyhur antara Sultan Muhammad al-Fateh dengan seorang utusan dari Konstantinopel. Dalam pertemuan tersebut yang berlangsung sesudah terbinanya Rumeli Hisari, si utusan itu meminta perdamaian dengan Uthmaniyah. Namun, permintaan tersebut ditolak dengan tegas oleh Al-Fateh, “Pulanglah kepada raja kamu dan maklumkan kepadanya bahawa aku adalah sultan yang berbeza berbanding datuk-nenekku. Aku memiliki kekuatan yang berbeza berbanding mereka. Semangat dan keazaman aku juga jauh berbeza dengan mereka….” Delegasi daripada Konstantinopel ini menjadi bukti betapa berjayanya Rumeli Hisari dalam memenangkan perang saraf bagi Uthmaniyah.

Bersama Anadolu Hisari, Selat Bosforus secara efisien dikawal ketat oleh Rumeli Hisari

Sekiranya meriam Urban didendang sebagai instrumen perobek tembok-temboj tebal Konstantinopel (yang tidaklah setebal Rumeli Hisari), sekiranya 70 buah kapal yang berlayar di atas daratan bukit dimasyhur sebagai titik kemenangan perang naval seterusnya kejayaan pengepungan 53 hari Konstantinopel, maka Rumeli Hisari adalah kunci yang meneutralkan faktor kegagalan Islam pada kempen pengepungan yang terdahulu terutama di zaman Sultan Beyazid.

Berdirinya Rumeli Hisari di tebing paling sempit Selat Bosphorus membenarkan armada Uthmaniyah terlepas dari gempuran lebih banyak kapal-kapal perang sekutu Konstantinopel, terutama dari Empayar Trebizond. Berkawalnya Rumeli Hisari juga membenarkan Uthmaniyah menekan Konstantinopel sehingga tercetusnya ultimatum “menyerah kepada serban orang Turki atau meminta bantuan topi Kristian-Katolik”.

Rumeli Hisari adalah manifestasi monumental kepada ucapan “Aku berbeza dengan datukku, akulah yang akan benar-benar membuka Konstantinopel” yang dituturkan oleh Al-Fateh.

Tangkap layar dari filem Fetih 1453, sebagai gambaran beliau menggertak delegasi Konstantinopel

SIGNIFIKASI UMUM RUMELI HISARI

Kurun ke-15 merupakan kurun kritikal di mana berlakunya perubahan secara ketara dalam persenjataan api dan penggunaan artileri pengepungan. Perubahan-perubahan ini membawa kepada revolusi corak peperangan dan ciri pertahanan bagi setiap empayar dan kerajaan yang berkuasa pada masa itu. Dalam situasi sebegini, Uthmaniyah di bawah teraju Sultan Muhammad al-Fateh berjaya mengungguli zaman,  baik dari segi teknologi peperangan ofensif mahupun defensif.

Piawai persenjataan meriam mengalami penyelarasan baharu apabila Uthmaniyah membina meriam Urban, meriam yang paling terkehadapan di waktu itu. Walau bagaimanapun, sudut pertahanan dan perkubuan ketika itu diungguli oleh Venetia dan kerajaan-kerajaan Eropah yang lain. Hanya menerusi pembinaan Rumeli Hisari, Uthmaniyah dapat mengimbangi secara efektif kedua-dua aspek tersebut sekaligus menjadikannya sebagai kuasa ketenteraan yang paling maju di dunia.

IKTIBAR DARIPADA PEMBINAAN RUMELI HISARI

Menelusuri sejarah dan perincian seputar Rumeli Hisari tidak hanya memperlihatkan signifikasi dan peranannya dalam pembukaan Konstantinopel dan pertumbuhan Uthmaniyah sebagai empayar terkemuka di zamannya. Malahan, monumen ini turut menyimpan ribuan iktibar yang boleh diambil. Jika dibedah dari sudut seni peperangan juga sudah tentu Rumeli Hisari berpotensi menghadirkan ulasan yang bukan sedikit panjangnya. Memandangkan artikel sudah agak panjang, maka di bawah hanya melampirkan beberapa contoh peristiwa sejarah seputar Rumeli Hisari berserta iktibar ringkas yang boleh diambil daripadanya:

Pertama, pemerintah tidak hanya mengeluarkan perintah, tetapi turut menjadi yang pertama menuruti perintah. Atmosfera pembinaan Rumeli Hisari ini secara relatif dirasakan agak sama dengan penggalian parit Khandaq yang mengelilingi kota Madinah sejurus sebelum berlakunya Pengepungan Ahzab di zaman Nabi. Seperti parit Khandaq yang menyaksikan baginda sendiri mengikat perut menahan lapar ketika mengangkat batu dan menghayun cangkul, pembinaan Rumeli Hisari juga memperlihatkan Sultan yang memikul nama yang sama, turut menanggalkan serban dan baju perang untuk terlibat sama dalam kerja-kerja pembinaan kubu benteng tersebut. Hal ini sekaligus menyalakan semangat dalam kalangan tenaga pakar dan para menteri Al-Fateh sekaligus mempercepatkan pembinaan Rumeli Hisari sehingga ia dapat disiapkan dalam masa hanya 4 bulan 10 hari.

Ilustrasi yang menggambarkan kerja-kerja pembinaan Rumeli Hisari

Kedua, persepaduan antara pengalaman golongan lebih berusia dan kekuatan azam golongan pemuda. Diterangkan oleh tuan Syaari semasa mengetuai lawatan ke Rumeli Hisari bahawa pada awal pembinaan kubu tersebut, keputusan Sultan Al-Fateh dibantah oleh Perdana Menterinya, Halil Pasya. Beberapa hujah diberikan oleh Halil Pasya, antaranya projek tersebut bakal menghabiskan perbendaharaan negara; kefungsiannya sama sahaja seperti Anadolu Hisari binaan datuknya, Sultan Beyazid I; dan bermacam lagi. Keadaannya persis seperti Zhang Zhao (Zhang Zibu) semasa menasihatkan Sun Quan agar tidak memerangi Cao Cao dalam Perang Chibi (Redcliff).

Pun begitu seperti Sun Quan yang tetap menggalaskan Zhang Zhao dengan tugas sebagai ketua pegawai perbekalan, Halil Pasya juga terus diberikan kepercayaan pembinaan Rumeli Hisari sehingga salah satu menaranya dinamakan bersempena dengan beliau. Hal ini menunjukkan persepaduan di dalam perbezaan pandangan daripada seorang yang berpengalaman luas seperti Halil Pasya dengan semangat waja seorang pemerintah genius seperti Muhammad al-Fateh.

Tangkap layar dari filem Fetih 1453, sebagai gambaran perbezaan pendapat yang berlaku antara Sultan Al-Fateh dan Halil Pasya

Ketiga, tekad dan keazaman yang membara waja tanpa berputus-asa demi mencapai matlamat yang besar. Dicatatkan di dalam sejarah bahawa ketika mengetahui Rumeli Hisari sedang dibina oleh Sultan Muhammad al-Fateh, Constantine Palaiologus mengarahkan sebilangan tenteranya untuk melakukan serangan secara senyap-senyap pada waktu malam dengan tujuan menghancurkan kubu tersebut yang masih dalam proses pembinaan. Keesokan pagi, semangat Sultan Al-Fateh dan para arkiteknya langsung tidak luntur tatkala melihat jerih-perih membina Rumeli Hisari habis diruntuhkan.

Dari semasa ke semasa, pembinaan terus dijalankan sambil kawalan pertahanan semakin diperketat. Azam dan tekad yang sama turut diperlihatkan ketika beliau menyalakan semangat kepada armada Uthmaniyah yang disekat oleh rantai besi di Selat Bosphorus. Dengan membaranya tekad beliau, seluruh perajuritnya ikut serta merasakan bara tekad yang sama sekaligus membawa kepada pembukaan Konstantinopel.

Sultan Muhammad Al-Fateh ketika melaungkan teriakan semangat agar perajurit-perajurit lautnya menahan dan memenangkan gempuran pertempuran laut

RUMELI HISARI SELEPAS PEMBUKAAN KONSTANTINOPEL

Setelah kota Konstantinopel berhasil dibuka dan diraih oleh Uthmaniyah, signifikasi dan peranan langsung Rumeli Hisari mula merudum terutama apabila sebuah lagi kubu pengawal selat dibina jauh lebih dekat di pintu masuk selat, berhampiran Laut Hitam. Menjelang waktu itu, Rumeli Hisari digunakan sebagai gudang penyimpanan dan kurungan. Pada tahun 1509, Rumeli Hisari mengalami kerosakan akibat kejadian gempa bumi dahsyat dan serta-merta dibaiki sebelum kemudiannya dijilat api pada kebakaran pada kurun ke-17. Kubu ini buat kali terakhirnya diselenggara pada masa pemerintahan Sultan Selim III (1789-1807).

Gambaran seni bina asal Rumeli Hisari dengan setiap menaranya berbumbung kon, sebelum ia mengalami kerosakan

Kemudian, sebuah perkampungan nelayan mengalami pertumbuhan berdekatan Rumeli Hisari pada lewat abad ke-18. Memasuki tahun 1953, Presiden Celal Bayar mengeluarkan arahan agar perkampungan tersebut ditinggalkan bagi tujuan pembaikpulihan besar-besaran. Projek ini diselia oleh tiga orang arkitek wanita, iaitu Cahide Tamer, Selma Emler dan Mualla Anhegger-Eyuboglu. Kemudian, sebuah muzium di Menara Saruca Pasyar dibuka oleh Menteri Kebudayaan di samping pembinaan sebuah auditorium tanpa-bumbung yang dibuka kepada umum.

Semoga sejarah Rumeli Hisari yang siap dibina pada tarikh yang sama dengan kemerdekaan Malaysia ini memberikan seribu satu pengajaran bermanfaat, penyuntikan jati diri, dan perkobaran semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia, terutama golongan pemuda yang berusia sekitar sama dengan Al-Fateh ketika beliau membuka Konstantinopel. Muhammad Syaari Abdul Rahman di dalam bukunya, Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh menggariskan sebanyak 12 modul panduan untuk membina model insan seulung Muhammad Al-Fateh. Jika berkesempatan untuk berjumpa dengan buku berkenaan, penulis sangat galakkan kepada para pembaca untuk mendapatkan buku tersebut agar dapat mengambil manfaat dan teladan dari insan yang digelarkan oleh baginda Nabi sebagai “Sebaik-baik raja yang memimpin sebaik-baik tentera.” Raja, Sultan dan Kaisar yang memiliki hubungan langsung dengan Kesultanan Melayu Melaka sebagaimana yang dirincikan oleh Ustaz Hasanuddin Yusof di dalam bukunya yang berjudul, ‘Menjejak Hubungan Daulah Uthmaniyah & Kesultanan Melaka’.

Menutup artikel ini, penulis mengucapkan “Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia kali yang ke-62!”

Auditorium terbuka di Rumeli Hisari kini dibuka bagi kelangsungan pelbagai upacara dan keraian

RUJUKAN

Archnet. (n.d.). Rumeli Hisari.
https://archnet.org/sites/1974

Nota Karamaouna. (17 Disember 2014). Rumeli Hisari Fortress at Istanbul – A New Castle and a City Between Two World. Peter Sommer.
https://www.petersommer.com/blog/archaeology-history/rumeli-hisari-istanbul

Mehmet Cercis Erismis dan Ahmet Ozan Gezerman. (4 Disember 2013). Rumeli fotress from the perspective of architecture historu. Frontiers of Architectural Research. Vol 2. Issue 4. Science Direct.
https://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S2095263513000460

Muhammad Syaari Abdul Rahman. (9 September 2014). Rumeli Hisari, Istanbul – Jejak Khalifah Al-Fateh.
https://www.youtube.com/watch?v=6hAZWVw2mqQ&list=WL&index=12&t=0s

Muhammad Syaari Abdul Rahman. (2011). Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh. PTS.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.