31 Ogos Milik Bersama Tanah Melayu, Sabah Dan Sarawak

1,279

1. Satu kesilapan utama kita sebelum ini adalah membiarkan tanggapan bahawa sambutan 31 Ogos adalah semata-mata sambutan bagi kemerdekaan Tanah Melayu (Malaya) tanpa apa-apa signifikan kepada negeri Sabah dan Sarawak.

2. Tidak ditekankan bahawa pemasyhuran Malaysia yang merangkumi Malaya, Sabah, Sarawak dan Singapura pada awalnya telah dirancang pada 31 Ogos 1963. Ditakdirkan bahawa ia akhirnya dimasyhurkan juga tetapi terlewat 16 hari disebabkan melayani bantahan dari dua buah negara berjiran iaitu Indonesia dan Filipina.

3. Tetapi Sabah tetap merayakan 31 Ogos 1963 sebagai hari pertama mereka memperoleh pemerintahan sendiri yang dikenali sebagai ‘Sabah Day’ (Hari Sabah). Perkara ini juga dilaporkan oleh akhbar-akhbar tempatan seperti The Borneo Times dan Anak Sabah.

4. Manakala Sarawak pula telah mengisytiharkan ‘Merdeka’ pada hari Sabtu, 31 Ogos 1963 bagi kelahiran Sarawak sebagai sebuah negeri dengan berpemerintahan sendiri yang direkodkan secara rasmi dimuka surat hadapan Sarawak Gazette Vol. LXXXIX No. 1266.

5. Tetapi yang tidak diketahui umum, mantan Perdana Menteri pertama Singapura iaitu mendiang Lee Kuan Yew secara sepihak juga telah mengisytiharkan kemerdekaan de facto Singapura dalam satu majlis rasmi pada 31 Ogos 1963 iaitu 16 hari lebih awal sebelum pemasyhuran sebenar Malaysia.

6. Disebabkan itu jugalah, seorang sejarahwan Singapura iaitu Thum Ping Tjin pada tahun lepas telah dikecam teruk oleh rakyat negara berkenaan apabila beliau meraikan hari kemerdekaan tidak rasmi Singapura pada tanggal 31 Ogos.

7. Justeru itu, sewajarnya Hari Kebangsaan tunggal kembali disambut pada tanggal 31 Ogos sahaja diseluruh negara. Manakala sambutan pada tarikh 16 September pula boleh dijadikan sebagai alternatif pada tahun-tahun tertentu sekiranya sambutan pada tarikh 31 Ogos tidak dapat dijalankan atas kekangan tertentu seperti jatuh di bulan Ramadhan dan sebagainya.

8. Ini kerana jika diambil contoh negara-negara jiran, Filipina merayakan Hari Kemerdekaan mereka pada tanggal 12 Jun setiap tahun iaitu bersempena dengan pengistiharan kemerdekaan Filipina oleh Jeneral Emilio Aguinaldo pada 12 Jun 1898. Sedangkan kemerdekaan rasmi Filipina daripada Amerika Syarikat sebenarnya hanya diperoleh pada 4 Julai 1946. Namun Filipina tetap memilih tarikh sambutan pada 12 Jun sedangkan pada tahun 1898 pengistiharan kemerdekaan tersebut tidak diiktiraf langsung sama ada oleh penjajah Sepanyol mahupun Amerika Syarikat.

9. Begitu juga dengan Indonesia yang tetap bertegas menyambut Hari Kemerdekaan mereka pada 17 Ogos setiap tahun bersempena dengan pengistiharan kemerdekaan Indonesia secara sepihak oleh mantan Presiden Soekarno pada 17 Ogos 1945. Sedangkan kemerdekaan Indonesia sebenarnya hanya disahkan secara rasmi oleh penjajah Belanda mulai 27 Disember 1949 iaitu hasil dari keputusan Persidangan Meja Bundar.

10. Bagi menghargai Sabah dan Sarawak, cuti umum pada 16 September dicadangkan supaya digantikan dengan Pesta Kaamatan/Hari Gawai pada tarikh 31 Mei/1 Jun untuk diangkat sebagai sambutan cuti umum di seluruh negara. Bukankah perkara ini akan lebih menggalakkan integrasi nasional?

Artikel ialah kiriman Ibnu Rusydi untuk The Patriots.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.