Bukan sekali dua mitos Melayu pemalas dijaja kepada khalayak kononnya untuk memotivasikan orang Melayu meniru sikap rajin bangsa-bangsa lain di dunia. Tetapi bukan sekali dua juga mitos ini dimusnahkan pelbagai pihak hinggalah beberapa rakan penulis The Patriots. Dan untuk memastikan mitos ini benar-benar mati, ada satu kisah menarik yang dikongsikan Profesor John Miksic dari Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) berkenaan sumbangan orang Melayu terhadap pembangunan Singapura.

Menerusi buku bertajuk ‘Singapore – The Silk Road of the Sea, 1300-1800’, ia berkisar tentang kajian dan penyelidikan yang dibuat Prof Miksic terhadap 300,000 artifak dan kaitannya dengan masyarakat Melayu. Bila menyelusuri sejarah lama Singapura, masih ada yang berpandangan ia merupakan sebuah perkampungan nelayan yang mundur dan hanya mendapat kemajuan selepas diduduki British oleh Stamford Raffles pada awal abad ke-19. Tetapi menerusi kajian ini, terdapat pelbagai bidang yang berkaitan dengan masyarakat Melayu yang tidak diketahui umum.

Kebanyakan artifak yang ditemui menceritakan sejarah perdagangan maritim negara itu dari abad ke-14 hinggalah abad ke-19. Dalam temubualnya bersama Berita Mediacorp, Prof Miksic berkata, “Jadi mereka membuat gerabak sendiri, mereka juga membuat barang-barang dari logam, mereka mengolah tembaga untuk membuat kail untuk tangkap ikan, mereka juga membuat barang-barang dari besi, mereka juga membawa barang-barang seperti keris, tombak dan senjata tajam yang lain.”

Kebanyakan artifak ini ditemui di 10 lokasi yang berbeza membabitkan ekspedisi ekskavasi yang dijalankan beliau dalam tempoh 20 tahun. Antara penemuan menarik yang menarik minat Prof Miksic ialah serpihan tembikar, logam dan batu-batu lama seperti yang dinyatakan di bawah.

Rajah 1: Serpihan tembikar ini merupakan sebahagian daripada 300,000 artifak menarik yang ditemui Prof Miksic. Sumber: https://berita.mediacorp.sg/mobilem/singapura/masyarakat-melayu-malas-pakar-arkeologi-dedahkan-kajiannya/4018542.html

Artifak-artifak ini membuktikan masyarakat Melayu bukanlah pemalas seperti yang dimomokkan sesetengah pihak bahkan merupakan pembina kota dan tamadun. Tambahnya lagi, “Orang Melayu memang dari dulu sudah terkenal sebagai orang awal yang membuat kota, yang mendirikan bandar menjadikan satu sistem perhitungan untuk perdagangan. Orang-orang Portugis yang pertama datang ke Brunei, mereka hairan melihat sistem yang dipakai akauntan di Brunei untuk menghitung perdagangan. Jadi mereka (orang-orang Melayu) sudah mempunyai kemahiran.”

Bila ditanya kepentingan mengenali sejarah Singapura pada abad ke-14, Prof Miksic menambah, “Ini merupakan satu kesempatan untuk kita melihat lebih dahulu lagi bukan hanya melihat tempoh 200 tahun, tetapi melihat 200 tahun itu sebagai satu tempoh dalam sejarah Singapura. Orang Inggeris bukan orang yang utama yang bertempat di sini yang memainkan peranan utama, orang Melayu, Bugis, Jawa, Minangkabau dan juga orang-orang Cina serta orang-orang India yang sudah lama berdagang di sini.”

Bila diminta mengulas sama ada figura Melayu yang paling terkenal tetapi masih diperdebatkan berkenaan kewujudannya iaitu Laksamana Hang Tuah, Prof Miksic membalas, “Saya yakin bahawa ada seorang laksamana yang wataknya, keperibadiannya seperti Hang Tuah yang disebut dalam sejarah Melayu kerana ada seorang laksamana yang disebutkan juga dari sumber dari Jepun pada abad-15 dan sumber Portugis. Namanya tidak pernah disebutkan tetapi wataknya dan keperibadiannya bahawa perwira itu bukan saja pandai tetapi juga mempunyai bakat untuk bertemu dengan orang lain. Itu semunya terbukti dengan sumber-sumber lain, jadi pasti ada orang seperti Hang Tuah.”

Rajah 2: Lampiran digital Hikayat Hang Tuah. Sumber: https://berita.mediacorp.sg/mobilem/singapura/masyarakat-melayu-malas-pakar-arkeologi-dedahkan-kajiannya/4018542.html

Prof Miksic turut menambah, “”Namanya tidak penting tetapi orang yang sepertinya yang jadi laksamana di mana dasar kegiatannya di Singapura ada disebut dalam Sejarah Melayu juga. Dan kami mendapat banyak sekali bukti arkeologi bahawa ada satu pelabuhan dengan armada laut yang cukup besar wujud di sini pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.”

Berikutan kajiannya yang teliti itu, ia mendorong panel anugerah Hadiah Sejarah Singapura menganugerahkan hadiah tersebut kepada beliau pada tahun 2018. Prof Miksic bukan saja mendapat hadiah bernilai S$50,000 tetapi juga menerima penerima pertama anugerah yang julung kali diadakan itu.

RUJUKAN:

Abdul Hamid, Ummu Rabbisyfina. (2018). Masyarakat Melayu malas? Pakar arkeologi dedahkan kajiannya. Berita MEDIACORP. https://berita.mediacorp.sg/mobilem/singapura/masyarakat-melayu-malas-pakar-arkeologi-dedahkan-kajiannya/4018542.html


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.