Sekitar awal abad ke-20, terdapat sebuah keluarga Melayu di Perak yang mempunyai sembilan orang anak, semuanya seibu dan sebapa. Tiga orang lelaki dalam kalangan adik-beradik mereka merupakan tokoh-tokoh negarawan Melayu di Singapura dan Tanah Melayu. Keluarga Melayu yang dimaksudkan tersebut ialah keluarga pasangan Ishak bin Ahmad dan isterinya, Aishahton binti Aminuddin. Ketiga-tiga anak lelaki mereka tersebut ialah Yusuf bin Ishak iaitu Presiden Singapura yang pertama, Abdul Aziz bin Ishak iaitu antara barisan menteri kabinet Persekutuan Tanah Melayu yang pertama, dan Abdul Rahim bin Ishak, mantan menteri dan duta Singapura. Sebelum huraian lebih lanjut berkenaan ketiga-tiga mereka, adalah lebih baik penulis menerangkan terlebih dahulu latar belakang keluarga mereka.

Latar belakang keturunan

Ayah mereka, Ishak bin Ahmad, berketurunan seorang pembesar istana diraja Minangkabau di Sumatera iaitu Dato’ Jenaton. Sekitar abad ke-18, Dato’ Jenaton bersama kira-kira 80 orang pengikutnya telah berhijrah ke negeri Kedah untuk mengelakkan pergolakan politik dan agama yang berlaku di negeri mereka ketika itu. Di Kedah, mereka telah bersumpah taat setia kepada Sultan Kedah ketika itu. Ayah kepada Aziz, Ahmad, kemudiannya berhijrah bersama keluarganya menetap di Trong, Perak. Isteri kepada Ishak iaitu Aishahton binti Aminuddin pula berketurunan Melayu Langkat di Sumatera. Ishak bekerja sebagai seorang pegawai kerajaan di Perak. Pada tahun 1923, Ishak dan keluarganya berhijrah ke Singapura kerana mendapat tawaran jawatan sebagai Penolong Inspektor di Jabatan Perikanan. Beliau juga merupakan Pengarah Jabatan Perikanan bukan berbangsa Eropah yang pertama dilantik di Singapura.

Yusuf bin Ishak (1910-1970)

Yusuf dilahirkan di Padang Gajah, Trong, Perak, dan merupakan anak lelaki sulung dalam kalangan adik-beradiknya. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kuala Kurau dan Taiping, beliau kemudiannya menuntut di Sekolah Inggeris King Edward VII di Taiping. Apabila beliau mengikuti keluarganya berpindah ke Singapura, beliau bersekolah pula di Sekolah Victoria dan Institusi Raffles (RI). Selain cemerlang dalam bidang akademik, beliau juga adalah seorang yang sangat aktif bersukan dan pernah dilantik sebagai salah seorang editor majalah rasmi RI. Oleh kerana bapanya tidak mampu membiayai yuran pengajiannya untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara, maka Yusuf telah berhijrah ke Kuala Lumpur dan menyertai Akademi Polis tetapi tidak bertahan lama kerana berlakunya salah faham antara beliau dengan pihak akademi.

Yusuf kemudiannya terlibat dalam dunia kewartawanan apabila beliau bersama rakan sekolahnya menerbitkan majalah sukan, Sportsman, tetapi majalah tersebut tidak mendapat sambutan yang menggalakkan. Beliau kemudiannya bekerja sebagai kerani dalam syarikat akhbar Warta Melayu di Singapura pada tahun 1934. Bakatnya dalam bidang kewartawanan semakin menyerlah semasa beliau bekerja dalam syarikat akhbar tersebut. Beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pengurus, kemudiannya bertindak sebagai Editor akhbar. Beliau bersama-sama dengan para wartawan Melayu yang lain ketika itu berjaya menubuhkan sebuah syarikat akhbar Utusan Melayu pada tahun 1939 di Singapura. Utusan Melayu merupakan syarikat akhbar harian pertama yang diasaskan dan dimiliki oleh orang Melayu di Tanah Melayu sepenuhnya. Walau bagaimanapun, ketika zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu, syarikat tersebut terpaksa ditutup buat sementara dan Yusuf pulang semula ke Perak. Selepas kemunduran tentera Jepun daripada Tanah Melayu, syarikat akhbar tersebut mula beroperasi semula. Pada tahun 1949, Yusuf berkahwin dengan seorang gadis Melayu dari Pulau Pinang, Noor Aishah, dan mereka menetap di Singapura.

Pada tahun 1957, Yusuf memindahkan ibu pejabat syarikat akhbar Utusan Melayu ke Kuala Lumpur dan beliau bersama keluarga turut berpindah ke sana. Pada tahun 1959, beliau telah menjual semua sahamnya dalam syarikat akhbar tersebut kepada UMNO. Beliau dan keluarganya kembali semula ke Singapura atas undangan rakannya Lee Kuan Yew, untuk menduduki jawatan sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (Public Service Commision). Pada bulan Mei 1959, apabila Parti Tindakan Rakyat (PAP) memenangi pilihanraya umum, semua anggota parlimen Singapura bersetuju untuk mengangkat Yusuf sebagai Yang Dipertuan Negara Singapura yang kedua menggantikan Sir William Goode dan Lee Kuan Yew sebagai Perdana Menteri Singapura. Selepas pembentukan Malaysia pada tahun 1963, beliau tetap pada kedudukan sebagai pemimpin tertinggi Singapura tetapi dengan gelaran Yang Dipertua Negeri.

Apabila Singapura berubah status sebagai republik selepas berpisah dengan Persekutuan Malaysia pada tahun 1965, Yusuf dilantik sebagai Presiden Singapura yang pertama. Beliau kekal menjawat jawatan tersebut selama lima tahun sehinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 1970. Beliau merupakan satu-satunya orang Melayu yang pernah dilantik memegang jawatan sebagai Presiden Singapura kerana selepas beliau tiada lagi orang Melayu pernah dilantik menduduki jawatan tersebut sehinggalah baru-baru ini (September 2017), hampir separuh abad selepas itu, seorang wanita Melayu yang juga Ahli Parlimen Singapura, Halimah Yacob berjaya menduduki jawatan tersebut setelah beliau menang tanpa bertanding untuk menjadikan beliau Presiden Singapura yang kelapan dan juga orang Melayu kedua menjawat kedudukan tersebut, sekaligus beliau sebagai presiden wanita pertama dalam sejarah republik tersebut.

Yusuf juga pernah dilantik sebagai Chancellor Universiti Nasional Singapura (NUS). Pada tahun 1963, beliau dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara daripada DYMM SPB Yang Dipertuan Agong yang membawa gelaran Tun. Potret wajahnya terpampang pada setiap wang kertas dolar Singapura sehingga kini.

Abdul Aziz bin Ishak (1913-1999)

Abdul Aziz juga dilahirkan di Trong, Perak dan merupakan salah seorang adik lelaki Tun Yusuf. Menerima Pendidikan di Sekolah Victoria dan Institusi Raffles di Singapura, beliau kemudiannya mula berkhidmat dengan kerajaan kolonial di Tanah Melayu pada tahun 1936 sehingga tahun 1945. Selepas itu, beliau bekerja sebagai penulis dan wartawan di syarikat akhbar yang ditubuhkan oleh abangnya iaitu Utusan Melayu. Ketika tahun 1940-an juga, Abdul Aziz sering terlibat dengan parti politik berhaluan kiri ketika itu iaitu Kesatuan Melayu Muda (KMM). Pada tahun 1946, beliau bersama rakannya, Abdul Samad Ismail menubuhkan sebuah parti politik berhaluan kiri iaitu Gerakan Angkatan Melayu Sedar (GERAM) tetapi parti tersebut tidak dapat bertahan lama disebabkan tidak diluluskan pendaftarannya oleh kerajaan kolonial.

Pada tahun 1950, Abdul Aziz menyertai UMNO. Apabila Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) ditubuhkan oleh Dato’ Onn Ja’afar, Abdul Aziz telah keluar daripada UMNO dan menyertai IMP. Beliau pernah bertanding dalam pilihanraya bandaran di Kuala Lumpur dan Sentul tetapi tewas dengan calon-calon Parti Perikatan. Pada tahun 1953, beliau keluar daripada IMP kerana berlaku salah faham antara beliau dengan Dato’ Onn Ja’afar. Beliau kemudiannya menyertai UMNO semula atas pelawaan Tunku Abdul Rahman sebagai Presiden parti. Pada tahun 1955, beliau dilantik sebagai Ketua UMNO Selangor dan Ketua Parti Perikatan Selangor. Pada tahun yang sama juga, beliau dilantik menganggotai barisan menteri kabinet pertama Persekutuan Tanah Melayu sebagai Menteri Pertanian. Beliau kekal dengan jawatan tersebut sehingga tahun 1962.

Walau bagaimanapun, sejak tahun 1955 lagi, beliau berbeza pandangan dengan Tunku Abdul Rahman dan menteri kabinet yang lain dalam beberapa hal pentadbiran. Antaranya, beliau memprotes cadangan supaya semua menteri kabinet memakai pakaian seragam yang sama. Beliau juga memprotes cara lembut Tunku Abdul Rahman terhadap pegawai-pegawai British semasa era pra-merdeka. Akhirnya, sebelum perlantikan beliau sebagai Menteri Kesihatan pada tahun 1963, beliau telah meletak jawatan dan tidak lama selepas itu beliau disingkir daripada UMNO. Pada tahun 1965, beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas dakwaan bersubahat dengan parti-parti dari Indonesia untuk membentuk republik Tanah Melayu. Sejak itu, nama beliau kurang dikenali oleh generasi pada masa kini. Walau bagaimanapun, sumbangannya yang besar dalam bidang politik dan kemajuan industri pertanian dan pembangunan luar bandar di Tanah Melayu pada era pra-merdeka sehinggalah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan tidaklah dapat dinafikan.

Abdul Rahim bin Ishak (1925-2001)

Abdul Rahim merupakan adik lelaki paling bongsu dalam kalangan adik-beradiknya. Tidak seperti adik-beradiknya yang lain yang lahir di Perak, cuma beliau sahaja lahir di Singapura. Beliau bersekolah di Sekolah Melayu Kota Raja, Institusi Raffles, Sekolah King Edward VII dan Kolej Raffles. Semasa pendudukan tentera Jepun ke atas Singapura, beliau bersama adik-beradiknya telah melarikan diri ke Perak dan menghabiskan persekolahan peringkat menengahnya di sana. Pada tahun 1947, beliau bekerja di syarikat akhbar Utusan Melayu mengikuti jejak langkah kedua-dua orang abangnya. Pada tahun 1950, beliau bekerja pula sebagai seorang guru di Sekolah King Edward VII di Perak setelah tamat pengajiannya di Kolej Latihan Perguruan. Selepas itu, beliau menyambung semula kariernya sebagai seorang punulis dan editor di syarikat akhbar Utusan Melayu dari tahun 1955 sehingga tahun 1959.

Beliau mula terlibat dalam dunia politik pada tahun 1959 apabila bekerja sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kebudayaan. Pada tahun 1963, beliau bertanding sebagai calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) di kawasan Singlap, Singapura dalam pilihanraya dan memenangi kerusi bagi kawasan tersebut. Beliau kekal sebagai ahli parlimen kawasan Singlap sehingga tahun 1984. Beliau juga berkhidmat sebagai Menteri Negera (Minister of State) di Kementerian Pendidikan dan juga Menteri Negara di Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura sepanjang lima penggal beliau menduduki kerusi parlimen tersebut. Selain itu, beliau juga pernah menyandang jawatan sebagai Menteri Kanan Negara (Senior Minister of State) di Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura. Beliau berkhidmat sebagai Duta Singapura di Indonesia pada tahun 1974 sehingga tahun 1977, kemudiannya dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Singapura di New Zealand pada tahun 1981-1987. Beliau bersara daripada dunia politik Singapura pada tahun 1987.

Kesimpulan

Ketiga-tiga orang adik-beradik tersebut merupakan tokoh-tokoh negarawan yang memainkan peranan besar dalam perkembangan politik dan kemajuan negara di Singapura dan Tanah Melayu ketika zaman awal kemerdekaan kedua-dua negara tersebut. Mereka membesar dan mendapat pendidikan formal di Tanah Melayu (Perak) dan Singapura, mereka merupakan orang-orang penting dalam penubuhan dan perjalanan sejarah awal syarikat akhbar Utusan Melayu dan ketiga-tiga mereka adalah orang-orang yang memainkan peranan penting dalam sejarah kemerdekaan Tanah Melayu dan Singapura. Pada saat masyarakat Melayu menjadi golongan minoriti pada masa kini di Singapura, Tun Yusuf dan adiknya Abdul Rahim bin Ishak merupakan antara tokoh negarawan Melayu dalam sejarah awal kemerdekaan Singapura yang turut sama memacu kemajuan pembangunan negara republik tersebut. Begitu juga saudara seibu sebapa mereka, Abdul Aziz bin Ishak yang merupakan salah seorang barisan menteri kabinet Persekutuan Tanah Melayu yang pertama turut sama berperanan besar dalam usaha membentuk negara Tanah Melayu yang merdeka dan maju sejak era pra-merdeka lagi walaupun pendekatan beliau dilihat lebih ke arah berhaluan kiri.

Untuk huraian lebih lanjut berkenaan ketiga-tiga orang tokoh ini, sila rujuk senarai rujukan di bawah.

Senarai rujukan

Norshahril Saat, “Progressive Malay / Muslim Singaporeans – The Thoughts of Yusuf Ishak,” dalam Zainul Abidin Rasheed & Norshahril Saat (eds.), Majulah! 50 Years of Malay / Muslim Community in Singapore, Singapura: World Scientific Publishing Co. Pte. Ltd., 2016, hlm. 3-18.

Abdullah Zakaria Ghazali, Adnan Hj. Nawang, Krishen Jit & Lee Kam Hing, Malaysia: Tokoh Dulu dan Kini, Kuala Lumpur: Perpustakaan Arkib Negara.

Abu Talib Ahmad, “Muzium, Memorial dan Perjuangan Kemerdekaan, 1945-1957” dalam Azmi Arifin & Abdul Rahman Hj. Ismail (eds.), ‘Di Sebalik Tabir’ Sejarah Politik Malaysia, 1945-1957, Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia, 2016.

Up Close With Lee Kuan Yew, Insights From Colleagues and Friends, Singapura: Marshall Cavendish Pte. Ltd., 2016.

Marsita Omar, “Yusuf bin Ishak,” dalam artikel Singapore Infopedia, Laman web rasmi Perpustakaan Negara Singapura (NLB), pautan: http://eresources.nlb.gov.sg/infopedia/articles/SIP_1097_2006-07-28.html, diakses pada 22 Ogos 2017.

Joshua Chia Yeong Jia & Nor Afidah Abd Rahman, “Abdul Rahim Ishak,” dalam artikel Singapore Infopedia, Laman web rasmi Perpustakaan Negara Singapura (NLB), pautan: http://eresources.nlb.gov.sg/infopedia/articles/SIP_1233_2007-06-14.html, diakses pada 22 Ogos 2017.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

MA. (Malaya), BUs. (IsHis&Civ)(Malaya)

Leave A Reply