3 Aliran Pemikiran Ketika Kejatuhan Uthmaniyah

1,202

Selepas kemuncaknya pemerintahan Turki Uthmaniyah di ketika Sultan Sulaiman Al-Qanuni, maka selepas itu tiada lagi khalifah yang begitu utuh dalam pemerintahan mahupun penaklukan yang baru. Khalifah selepas Sultan Sulaiman dianggap lemah dan tidak mampu membawa Turki Uthmaniyah ke tahap yang lebih tinggi, malah empayar yang menakluk 3 benua ini beransur-ansur jatuh.

Disebabkan mengalami kemunduran, maka Turki Uthmaniyah telah melakukan pelbagai pembaharuan terutama dalam sistem pemerintahan monarki menjadi pemerintahan yang punya perlembagaan (konstitutional). Bermula dari sinilah sebenarnya yang menjadi objek setiap gerakan baharu di Turki. Walaupun dilihat setiap tujuan pembaharuan itu adalah sama, tetapi berbeza dalam banyak hal. Perbezaan dapat dilihat dari segi dasar pandang dan idea perubahan. Dengan ada perubahan ini, boleh dikatakan kerajaan Turki Uthmaniyah dibahagikan kepada 3 kelompok pemikiran iaitu aliran barat (Westernisme), aliran islamis (Islamisme) dan aliran nasionalis (Nasionalisme).

Kita perlu tahu bahawa Turki Uthmaniyah telah menjadi lemah saat Sultan Sulaiman menyerahkan tampuk pemerintahan kepada anaknya. Sultan Selim II. Dengan kekalahan dalam banyak perang serta kehilangan kekuasaan pada wilayah naungan, maka ini menjadikan Turki Uthmaniyah bukan lagi empayar yang digeruni malah kedaulatannya telah dicabar.

Walaupun begitu, usaha untuk memulihkan Turki Uthmaniyah telah dilakukan oleh Sultan Ahmad III (1703-1730) yang dikenali sebagai pembaharuan sebelum Era Permodenan. Tetapi usaha ini tidak disokong penuh oleh ulama dan tentera yang akhirnya menemui kegagalan. Usaha seterusnya dilakukan oleh Sultan Mahmud II (1807-1839). Sultan Mahmud II adalah sultan yang berjaya merubah tradisi aristokrasi (bangsawan) dengan mengambil sikap demokratis. Baginda juga terkenal sebagai sultan pertama yang memisahkan urusan agama dan urusan dunia yang kita gelar Sekular.

Kejatuhan Turki Uthmaniyah menyebabkan mereka tidak percaya bahawa asas empayar mereka bermula dari Osman I adalah undang-undang Islam dan urusan agama yang tidak dipisahkan dengan urusan dunia. Kiblat mereka yang sebelum ini diletakkan prinsip agama telah diubahkan kiblatnya kepada Eropah. Padahal Eropah itu sebelumnya mempelajari segala ilmu itu dari Islam. Usaha usaha pembaharuan terus dilakukan oleh golongan intelektual iaitu        Tanzimat (1834-1871). Tujuan gerakan ini adalah untuk mereformasikan sistem pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan kebudayaan.

Seterusnya, gerakan pembaharuan diteruskan oleh gerakan Utsmani Muda dan Turki Muda. Tujuan utama dua gerakan ini adalah untuk merubah pemerintahan sedia ada kepada pemerintahan konstitutional.

Mari kita berbalik semula kepada 3 aliran pemikiran di atas tadi.

WESTERNISME

Aliran ini menunjukkan bahawa ada sebilangan golongan intelektual yang mahu membaratkan kerajaan Turki Uthmaniyah. Aliran barat ini beranggapan bahawa dunia barat telah mencapai puncak kemajuan dan berhasil mengembangkan teknologi dan ilmu. Mereka juga tela meninggalkan tradisi yang dianggap kolot termasuklah tradisi keagamaan yang tidak sesuai dengan perkembangan zaman.

Pada pandangan mereka, jika Turki Uthmaniyah nak maju, maka mereka perlu berkiblatkan barat dan meninggalkan tradisi tradisi lama kerana pada mereka kerana tradisi lama inilah yang menjadikan Turki Uthmaniyah makin mundur.

Menurut Dr Abdullah Jewdat, seorang tokoh Westernisme yang mendirikan Perkumpulan Persatuan dan Kemajuan, dia mengatakan bahawa kerajaan Utsmani bukanlah perlu mengubah sultan (sistem pemerintahan) tetapi ubah pada sistem sosialnya. Bagi dia,  kelemahan kerajaan Utsmani dan seluruh rakyatnya terletak pada kejahiliyahan, kemalasan, kepercayaan yang sangat kuat pada tahyul, juga terlalu patuh pada “ulama bodoh” yang dianggap semua ajarannya benar belaka.

ISLAMISME

Aliran ini agak keras menentang Westernisme. Aliran ini terdiri dari tiga kelompok. Kelompok yang pertama adaah kelompok kecil dan kelompok ini tergabung dalam Jamiyah Ilmiyah al-Islamiyah yang memiliki cetak Bayan al-Haq sebagai media untuk menentang segala idea barat. Polemik yang muncul diantara kelompok ini dengan Barat adalah berkaitan poligami dan fotografi, bagi kelompok ini menganggap fotografi adalah perkara yang membawa kekufuran.

Kelompok kedua dari Islamisme dipimpin oleh Said Nursi (1867-1960), dimana kelompok ini mengkehendaki penggerak suatu pemerintahan yang mengamalkan syariat sebagai perlembagaan. Mereka juga mahu syariat sebagai satu-satunya hukum bagi seluruh rakyat, menganggap majority penduduk adalah Islam.

Kelompok ketiga ini adalah kelompok yang kuat dalam aliran ini iaitu kelompok shirat al-mustaqim, tokoh utama dalam kelompok ini adalah Mehmed Akif (1870-1936). Sebagaimana kelompok sebelumnya, mereka menentang membezakan urusan agama dan urusan dunia. Mereka juga menentang fahaman yang menyamakan golongan lelaki dan wanita.

Menurut Mehmed Akif, untuk kerajaan Utsmani terus kuat tidak perlu mengambil kebudayaan Barat secara menyeluruh. Ia menolak keras bahawa kelemahan umat Islam bukan kerana agamanya. Ia juga menolak bahawa agama adalah penghalang dan melambatkan kemajuan.

Aliran Islamisme ini boleh dikatakan perjuangan untuk meletakkan syariat dalam setiap inci kehidupan. Yang dimaksudkan syariat oleh mereka bukanlah yang terdapat al Quran dan Hadis, tetapi yang terdapat dalam kitab Fiqh.

NASIONALISME

Aliran yang paling akhir ini adalah Nasionalisme. Ia merupakan idea Nasionalis Turki yang lahir di Turki sendiri. Aliran ini muncul berikutan kegagalan dua aliran sebelumnya iaitu Westernisme dan Islamisme. Bukan lagi rahsia bahawa Turki Utsmani memiliki kawasan yang luas dan mempunyai pelbagai bangsa dan agama di dalamnya.

Permulaan aliran ini bermula dengan persamaaan agama (millet), di mana semua orang Muslim, baik Eropah, Turki, Arab dan bangsa lain merupakan satu kelompok bangsa. Salah satu tokoh mereka adalah Zia Gokalp (1875-1924), di mana menurut pandangan beliau nasionalisme didasarkan bukat atas suatu bangsa (race), sebagaimana diyakini oleh Pan Turkisme, tetapi atas kebudayaannya. Menurutnya, kebudayaan dan peradaban berbeza sama sekali. Dengan demikian, Turki di bawah Utsmani merupakan satu uni nasional tersendiri dan Turki Rusia pula merupakan satu unit nasional tersendiri. Baginya, kebudayaanlah yang membezakan satu bangsa dengan bangsa yang lain.

Mungkin 3 aliran ini agak berat untuk difahami tetapi kita perlu tahu bahawa 3 aliran ini juga sedang berlegar di dalam sistem pentadbiran Malaysia, malah sehingga menjadi polemik yang membawa kepada perpecahan.

Begitulah apabila undang undang Allah dipisahkan daripada kehidupan. Maka akan muncul pelbagai aliran pemikiran yang asalnya hanya satu. Sistem pemikiran kelahiran manusia sentiasa punya kelemahan yang tak dapat disempurnakan melainkan sistem Allah yang diguna pakai oleh kerajaan Islam di zaman keemasan dahulu.

#NastiaUmmah

RUJUKAN :

1. Nasution, Harun. 1988. Pembaharuan dalam Islam, Sejarah Pemikiran dan Gerakan. Jakarta: Bulan Bintang

2. Taufiqurrahman, 2003. Sejarah Sosial Masyarakat Islam. Surabaya: Pustaka Islamika.

3. Niyazi Berkes, 1964. The Development of Secularism in Turkey. Montreal: McGill University Press.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.