Taufan Dorian Yang Membaham Bahamas

786

Bencana alam memang pemusnah jiwa. Datangnya menggeruni; perginya meratapi. Sehingga hari ini, tiada taufan menandingi Katrina yang membadai kawasan-kawasan Atlantik pada tahun 2005. Taufan Katrina membadai hanya dalam masa seminggu dengan kelajuan 280km/j, meninggalkan kawasan-kawasannya dengan kerugian sebanyak AS$125 bilion. Setakat ini, kerosakan angkara Taufan Dorian masih belum dikira lagi; namun berdasarkan kisah-kisah yang terpapar di media sosial, jiwa sesiapa pun boleh hancur.

Taufan Dorian berputik pada 24 Ogos 2019 di Lautan Atlantik sebelum menjadi taufan sebenar empat hari kemudian. Dan pada 1 September, Taufan Dorian diisytiharkan Kategori 5 dengan angin selaju 295km/j. Dalam masa sekejap Taufan Dorian membaham Bahamas dan Kepulauan Abaco. Ribuan rumah hancur dengan kos menghampiri AS$7 bilion. Sekurang-kurangnya 43 orang terkorban. Semasa kawasan ini menerima badai, beberapa negeri di Amerika Syarikat mengisytiharkan darurat dan pemindahan segera.

Kesannya sangat perit.

Rashad Reckley ditemui memakai singlet kelabu, seluar bola jaring dan sandal selama tiga hari. Dia telah melihat m4yat terapung di jalanraya yang telah banjir. M4yat-ma4yat diangkut dengan enam buah lori lagi. Dan dia bersama tunangnya terpaut di pokok semasa Taufan Dorian memuncak. Bangunan runtuh. Kereta musnah. Gereja diratakan. Dan rumah Rashad ditenggelami air setinggi 13 kaki.

Paras air semakin meningkat di semua tempat. Bagi Adrian Farrington, beliau sangka bumbung rumahnya tempat paling selamat. Dia telah melawan arus dengan kaki patah selama sejam bersama anaknya yang berusia lima tahun. Dia memberitahu anaknya, “jangan menangis. Tutup mulut. Jangan berhenti bernafas. Tutup mulut.”

Kekejangan jangan cakap. Tidak cukup dengan itu, timbulnya pula sirip-sirip ikan yang tidak lain tidak bukan jerung di persekitarannya. Secara logik, sesiapa pun akan fikir benda yang sama. Maka dia pun meletakkan anaknya yang berusia lima tahun di bumbung rumahnya. Sebelum dia sempat untuk duduk bersama, angin yang kuat menghentam dan menolak anaknya untuk dibawa arus.

Hanya r4ungan “Daddy” sahaja didengari sebelum anaknya dit3lan air. Adrian tidak dapat berbuat apa-apa. Puas dicari tanpa hasil.

Bumbung melayang. Laut menelan. Itulah realiti dialami setiap seorang mangsa taufan. Seorang lagi yang tidak bernasib baik ialah Brent Lowe. Anaknya berusia 24 tahun dengan masalah spastik. Tidak mampu berjalan, anaknya tidak mungkin boleh selamat tanpa ayahnya. Namun mereka ada satu lagi masalah. Brent merupakan seorang buta.

Menjunjung anaknya di bahu sekuat mungkin, dia menyeberangi arus dengan begitu beraninya. Selama lima minit dia berusaha – suatu masa pendek yang baginya terlalu panjang. Hujan pula semakin lebat. Walaupun selamat, masa depan dilihat sangat suram kerana seluruh Kepulauan Abaco musnah.

Nasib Angela Cooke pula jauh lebih menakutkan. Tidak sempat untuk keluar, rumahnya ranap dan menanamnya hidup-hidup. Selama 17 jam dia terperangkap dengan iparnya telahpun melaporkan kehilangannya. Jika bukan kerana anjing peliharaan mereka, mungkin Angela akan mati pun. Sedar dia berada dibawah timbunan rumah, jiran-jiran pun berpakat bersama-sama untuk mengeluarkannya.

Bukan manusia sahaja yang menerima kesan-kesan ini. Mangsa-mangsa taufan meskipun diduga teruk tidak melupakan haiwan-haiwan yang memerlukan bantuan juga. Seorang wanita menyelamatkan 97 ekor anjing, ditenangnya mereka dengan pendingin hawa dan muzik.

Berikut merupakan gambar-gambar haiwan diselamatkannya: https://www.facebook.com/chella.melnechuk/posts/10219195257973459

Enam pekerja Humane Society of Grand Bahama mengambil keputusan untuk tidak pindah untuk menjaga 200 ekor haiwan. Apabila bangunan tersebut banjir, mereka terpaksa keluar dan hanya mampu selamatkan 120 daripada 200 ini.

WashingtonPost turut meletakkan gambar-gambar yang begitu menyayatkan: https://www.washingtonpost.com/graphics/2019/world/amp-stories/bahamas-marsh-harbor-dorian-aftermath/

Apa yang pasti, Taufan Dorian sudahpun keluar daripada Bahamas. Namun kesannya boleh dikatakan akan berada di sana selama mana mangsa-mangsa hidup.

RUJUKAN:

Blind Man Carries Disabled Son to Safety During Hurricane.
https://edition.cnn.com/2019/09/06/americas/blind-man-carries-disabled-son-to-safety-during-hurricane/index.html

Hurricane Dorian: Desperate Search for missing in Bahamas. https://www.bbc.com/news/world-latin-america-49607267

Hurricane Dorian Survivors in Bahamas Face Uncertain Future. https://www.usatoday.com/story/news/weather/2019/09/07/hurricane-dorian-survivors-bahamas-face-uncertain-future-us/2246170001/

Suncoast Animal League Planning Rescue Mission and Collecting Donations for Animals in the Bahamas. https://www.abcactionnews.com/news/region-pinellas/suncoast-animal-league-planning-rescue-mission-and-collecting-donations-for-animals-in-the-bahamas

Woman Rescues Nearly 100 Dogs – Hurricane Dorian Hits Bahamas https://www.today.com/pets/woman-rescues-nearly-100-dogs-hurricane-dorian-hits-bahamas-t161838

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.