Sejak kebelakangan ini, kita sentiasa disajikan dengan berita bahawasanya negara ini mengalami hutang yang tinggi dengan kadar hutang berjumlah RM1 trilion. Tetapi jika kita melihat kadar hutang dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang dikeluarkan agensi penarafan kredit Moody’s mendapati kadar berkenaan hanyalah 50.8% dan tidaklah setinggi seperti yang digembar-gemburkan. Dan jika dibandingkan dengan 23 negara ini, kadar ini tidaklah dianggap membimbangkan seperti didakwa.

23. Brazil – 89.4%

Jika dibandingkan kadar hutang dengan KDNK kita dengan Brazil, mereka mempunyai kadar sebanyak 89.4%. Keadaan ini berlaku disebabkan masalah kemelesetan ekonomi yang melanda negara berkenaan. Dan situasi mereka sama sekali tidak dibantu dengan situasi politik tidak menentu dan beberapa skandal rasuah berskala besar yang membabitkan ramai tokoh politik termasuk bekas presiden Luiz Inacio Lula da Silva. Ini mengakibatkan kadar hutang dengan KDNK meningkat kepada beberapa peratus untuk beberapa tahun berikutnya.

22. Sao Tome and Principe – 89.5%

Negara kepulauan Afrika ini mempunyai hanya mempunyai populasi kurang daripada 200,000 orang. Tetapi negara tersebut mempunyai KDNK sebanyak $350 juta. Tetapi berdasarkan laporan Tabung Mata Wang Sedunia (IMF), negara tersebut berisiko menghadapi tekanan hutang yang tinggi. Untuk mengelak situasi berkenaan dari menjadi buruk, IMF menasihatkan kerajaan negara itu mengadakan pelbagai langkah penjimatan untuk menangani masalah tersebut.

21. Jordan – 90.6%

Dalam laporan Forum Ekonomi Sedunia (WEF) tahun 2016, bagi membolehkan Jordan terus maju dalam sektor ekonominya, negara berkenaan perlu mengatasi cabaran makroekonomi dan melihat ia sebagai kunci untuk membebaskan dana awam diperlukan bagi menjana kegiatan pelaburan bersifat kompetitif. Berikutan kedudukan Jordan yang bersempadan dengan Syria dan Iraq, ini menyukarkan usaha mereka memulihkan semula isu perdagangan dan pelaburan yang diperlukan untuk mengembalikan semula kekuatan ekonomi negara berkenaan. Ketika ini, Amman sedang melaksanakan program penjimatan bagi membolehkan kadar hutang dengan KDNK turun kepada 77% pada tahun 2021.

T19. Britain – 92.2%

Isu ekonomi sentiasa menjadi mainan parti pembangkang diketuai Parti Buruh selepas kerajaan di London diketuai oleh Perdana Menteri Parti Konservatif David Cameron dan kemudian Theresa May. Dan sejak kebelakangan ini, hutang kerajaan meningkat walaupun defisit kerajaan dapat dikurangkan menerusi langkah penjimatan yang dibuat selama tujuh tahun. Selain itu, kadar pengangguran juga turun kepada 4.2% pada Jun 2017 tetapi ini turut diikuti penurunan dari segi pendapatan sebenar.

T19. Yaman – 92.2%

Yaman menyaksikan ketidakstabilan politik dari penyingkiran Ali Abdullah Saleh sebagai presiden hinggalah isu pemberontakan Houthi yang membawa kepada campur tangan Arab Saudi di negara berkenaan. Selain terpaksa menanggung beban hutang yang besar, negara tersebut turut menyaksikan masalah kolera melanda rakyat negara itu dan memberi kesan kepada 200,000 penduduk.

18. Mesir – 92.6%

Selepas menyaksikan kenaikan kadar hutang semasa era kegawatan ekonomi dan krisis Arab Spring, kadar hutang Mesir mula stabil. Tetapi itu masih belum diterjemahkan dalam bentuk solusi sesuai bagi membantu Kaherah menangani isu pengangguran yang tinggi dan masalah kemiskinan yang tegar.

17. Perancis – 96.5%

Kadar hutang dengan GDP Perancis semakin bertambah berikutan terpaksa bergelut dengan masalah produktiviti yang lemah dan isu gaji yang tidak pernah selesai. Walaupun Perancis mempunyai ramai rakyat yang belum mendapat peluang pekerjaan, isunya di sini ialah isu gaji yang bersifat kompetitif dan kebimbangan majikan yang bimbang dibelenggu kod buruh Perancis yang bersifat menekan. Masalah itu cuba diatasi pentadbiran Emmanuel Macron menerusi reformasi kod buruhnya pada tahun lepas tetapi masih belum mencukupi untuk membantu golongan majikan dalam menangani masalah ini.

16. Kanada – 98.8%

Umum tahu Amerika Syarikat merupakan antara kuasa ekonomi dunia tetapi dari segi kadar hutang dengan KDNK, mereka diatasi Kanada yang mempunyai kadar hutang lebih daripada Washington.

15. Sepanyol – 99.6%

Memandangkan kedudukannya dalam zon hutang tinggi Eropah, kedudukan Sepanyol boleh dianggap tercabar lebih-lebih lagi dalam soal pengangguran. Ini kerana Madrid berhadapan dengan isu pengangguran yang tinggi terutama membabitkan generasi muda.

14. Mozambique – 100.3%

Mozambique ketika ini dilanda skandal apabila $500 juta daripada $2 bilion yang dipinjamkan oleh syarikat Credit Suisse dan bank pelaburan Rusia VBT Capital untuk menambahbaik industri perikanan gagal dikesan. Ini berdasarkan laporan firma audit bebas Kroll. Dalam laporan sama, Kroll turut mencela Credit Suisse kerana mengenakan yuran berlebihan dalam syarat pinjaman.

13. Cyprus – 104.6%

Berikutan kedudukannya yang hampir dengan Greece, boleh dikatakan Cyprus berada dalam bot sama dengan negara tersebut dan terpaksa menanggung beban hutang yang besar. Dan tambah memburukkan keadaan, Nicosia berhadapan kesukaran untuk meminjam berikutan tindakan agensi penarafan kredit memberi taraf kredit ‘buruk’ kepada negara berkenaan. Sekiranya Cyprus hendak meminjam, maka kos pinjamannya menjadi lebih mahal.

12. Belgium – 106.7%

Belgium sememangnya dikenali sebagai markas utama Kesatuan Eropah (EU) di Brussels dan pasukan bola sepak paling berbakat yang pernah disaksikan negara berkenaan. Tetapi dari segi hutang, mereka mempunyai kadar hutang kerajaan yang tinggi kerana terpaksa bergelut dengan peraturan cukai dan buruh yang menyusahkan.

11. Barbados – 108.9%

Negara yang dianggap syurga bebas cukai ini dianggap negara paling kaya dan paling membangun di Kepulauan Carribean. Tetapi prospek pertumbuhan ekonominya nampak lemah selepas negara berkenaan memperkenalkan pelbagai langkah penjimatan untuk membantu mereka pulih dari krisis kredit.

10. Grenada – 110%

Negara Kepulauan Carribean ini bergelut dengan masalah hutang yang melampau berikutan timbunan hutang yang tak terkawal sejak beberapa tahun. Ini menyebabkan negara tersebut beberapa kali berhadapan prospek gagal membayar hutang.

9. Singapura – 110.5%

Singapura sedar dengan kadar hutang dengan KDNK sebanyak 110.5%, ia merupakan sesuatu yang tidak boleh dibiarkan begitu saja. Justeru, mereka mengumumkan sedang mempertimbang cara terbaik untuk menambah pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan produktiviti negara.

8. Cape Verde – 116.8%

Negara pulau di mana bahasa utamanya ialah Bahasa Portugis menyaksikan peningkatan kadar hutang dengan KDNK sebanyak 70% pada tahun 2010 kepada 116.8% pada tahun 2017.

7. Eritrea – 119.8%

Negara kecil Afrika ini merupakan antara negara paling kurang membangun di dunia dan hanya mempunyai KDNK lebih $2.6 bilion. Berdasarkan laporan Bank Dunia, Eritrea mengalami masalah defisit fiskal yang kronik sejak tahun 1998 berikutan masalah keselamatan di rantau berkenaan. Ini berikutan lokasinya yang hampir dengan negara bergolak Somalia. Dalam laporan sama, Bank Dunia turut menyifatkan ia membawa beban hutang awam yang tidak mampu ditampung.

6. Portugal – 126.2%

Portugal memutuskan untuk keluar dari program jaminan keluar ekonomi pada pertengahan tahun 2014 dan sehingga kini masih bergelut dari kesan krisis hutang tinggi zon Eropah. Namun, ekonomi Portugal sudah menunjukkan pemulihan dengan penurunan kadar pengangguran sebanyak 8.5% pada tahun 2017 dan penurunan defisit belanjawan kerajaan sebanyak 4.8% pada tahun 2014.

5. Jamaica – 130.6%

Jamaica mungkin dikenali sebagai negara pengeluar atlet-atlet pecut tetapi dari segi hutang, merupakan antara negara yang paling banyak berhutang selepas berdekad-dekad mengambil pinjaman yang banyak. Masalah tersebut semakin rumit apabila negara itu turut meminjam dari IMF untuk proses pembayaran semula hutang.

T3. Itali – 132.5%

Dalam kalangan negara zon Eropah, Itali merupakan negara kedua paling banyak berhutang dan merupakan risiko ekonomi terbesar dalam blok berkenaan. Sistem kewangan Itali mengalami ketidaktentuan dengan dua bank Itali terpaksa diselamatkan pada tahun lepas. Dan sekiranya keadaan ini berterusan lebih-lebih lagi dengan krisis membabitkan EU dengan kerajaan Itali baru berfahaman populis, impaknya jauh lebih besar berbanding Greece.

T3. Lebanon – 132.5%

Menurut pakar ekonomi dari Standard Chartered Carla Slim, Lebanon berpotensi berhadapan dengan krisis hutang berikutan beberapa tanda yang lemah. Salah satu faktor yang menyumbang kepada masalah ini ialah krisis perang saudara Syria.

2. Greece – 181.6%

Negara yang pernah menjadi saksi kebangkitan tamadun hebat ini masih bergelut selepas krisis hutang luar pada tahun 2010. Dan Athens masih bergelut membuat pembayaran semula hutang selepas diselamatkan berulang kali oleh pemberi kredit antarabangsa. Ketika ini, Greece masih melaksanakan pelbagai langkah penjimatan yang tegas untuk menstabilkan ekonomi mereka.

1. Jepun – 234.7%

Tak payah nak buat AFUNDI ke apa, pemenangnya sudah boleh dijangka dengan kadar hutang dengan KDNK sebanyak 234.7% menjadikan Jepun negara yang paling banyak kadar hutang dengan KDNKnya. Ini berlaku berikutan keadaan ekonominya yang terpaksa berhadapan dengan bilangan populasinya yang semakin meningkat umur dan pertumbuhan ekonomi yang lemah akibat kadar produktiviti yang rendah dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

SUMBER

1. BBC. (2018). Brazil corruption scandals: All you need to know. https://www.bbc.com/news/world-latin-america-35810578

2. Hodgson, Camilla. (2017). Business Insider. $500 million loaned to Mozambique is currently unaccounted for, according to a new report. https://www.businessinsider.my/kroll-criticises-credit-suisse-500m-loan-missing-from-mozambique-2017-6/?r=UK&IR=T

3. Thomas, Leigh. (2018). Reuters. As France’s economy takes off, a new problem: labor shortages. https://www.reuters.com/article/us-france-economy-labour/as-frances-economy-takes-off-a-new-problem-labor-shortages-idUSKBN1FT2KG

4. Martin, Will. (2017). Business Insider. The 23 countries with the highest levels of debt to GDP. https://www.businessinsider.my/countries-with-the-worlds-highest-level-of-debt-2017-6/?r=UK&IR=T

5. Xinhua. (2018). Moody’s maintains Malaysia’s debt at 50.8 pct of GDP. http://www.xinhuanet.com/english/2018-06/13/c_137250942.htm


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.