Sada Abe: Wanita Yang Merupakan Pembunuh Kejam Jepun

10319
views

Pada 21 Mei 1936, Sada Abe seorang pembunuh yang merupakan seorang wanita warganegara Jepun, telah ditangkap oleh pihak berkuasa selepas berkeliaran di jalanan bandaraya Tokyo.

Apa yang menggerunkan serta mengerikan ialah, Sada Abe turut didapati membawa bersama kemaluan kekasih beliau yang telah dikerat di dalam tas tangannya.

Sada Abe dilahirkan serta dibesarkan oleh sebuah keluarga kelas pertengahan Tokyo yang kaya dan berjaya. Namun, malang menimpa gadis itu ketika dirinya berusia 14/15 tahun apabila beliau telah dirogol oleh kenalan keluarga. Perkara itu menyebabkan beliau mula memberontak yang akhirnya menyaksikan beliau dihantar bekerja sebagai Geisha (=escort service).

Walau bagaimanapun, untuk menjadi seorang Geisha seseorang itu perlu berlatih sejak dari kecil lagi, dan itu membuat Sada Abe yang kurang berpengalaman tidak digemari pelanggan.

Setelah beberapa ketika, Sada Abe keluar dari Rumah Geisha tersebut dan berbuat keputusan bekerja sebagai seorang pelacur demi untuk meneruskan hidup kerana bagi beliau, kerjaya sebagai pelacur lebih mudah untuk memperolehi wang.

Namun, kerjaya sebagai seorang pelacur juga tidak memberi kesenangan kepada Sada Abe dan pelanggan juga tidak menggemari kelakuan beliau yang ketagih seks dan gemar mencuri wang. Pada suatu hari, beliau ditangkap setelah rumah pelacuran tanpa lesen itu diserbu pihak berkuasa, tetapi beliau akhirnya dilepaskan tidak lama kemudian.

Seterusnya, Sada Abe menemui peluang pekerjaan baru iaitu kerjaya sebagai seorang pelatih masakan di sebuah restoran yang dimiliki oleh lelaki yang dikenali sebagai Kichizo Ishida. Kichizo Ishida ini walaupun sudah berkahwin, beliau terkenal oleh masyarakat tempatan dengan sikap kaki perempuannya.

Seperti ungkapan “Apabila berdua, pasti ada yang ketiga”, timbul bibit-bibit percintaan di antara Sada Abe dan pemilik restoran Kichizo Ishida akhirnya menyaksikan mereka mula terlibat dalam hubungan sulit. Hubungan sulit ini diketahui bermula pada April 1936. Menurut pengakuan Sada Abe sendiri, mereka berdua obses terhadap satu sama lain, dan itu lah kali pertama Sada Abe betul-betul mencintai seorang lelaki.

Mereka berdua dikatakan kerap bertemu diantara satu sama lain untuk melakukan hubungan terlarang. Hubungan seksual yang dilakukan mereka berdua juga boleh dikatakan aneh, kerana Sada Abe pernah mengacukan pisau kepada Kichizo Ishida semasa hubungan seks, namun perkara itu dilihat seolah merangsang kekasihnya.

Seperti lelaki lain yang ingin menyembunyikan hubungan terlarang itu dari dihidu isteri beliau, Kichizo Ishida dikatakan kerap kembali pulang ke pangkuan isterinya. Tanpa diketahui beliau, kekasih gelapnya Sada Abe, cemburu akan perkara tersebut.

Seolah tidak boleh berjauhan d iantara satu sama lain, pasangan kekasih gelap itu kembali bertemu pada pertengahan bulan Mei 1936 untuk melempiaskan nafsu serakah mereka yang pelik itu.

Ia pada waktu malam 18 Mei 1936, Sada Abe menggunakan balutan pinggang (obi) beliau, bertindak membalut leher Kichizo Ishida yang pada ketika itu sedang dibuai mimpi dan akhirnya menjerut leher kekasih kesayangannya itu sehingga mati.

Sada Abe kemudian bertindak memotong kemaluan Kichizo Ishida dan bertindak menggunakan darah untuk menulis perkataan “Sada,Kichi Together” (*dalam bahasa jepun) pada peha kekasihnya. Selain itu, beliau turut mengukir nama beliau “Sada Abe” dalam karakter Jepun pada lengan mayat kekasihnya yang sudah kaku itu.

Selepas selesai nya “ritual cinta” tersebut, Sada Abe kemudian meninggalkan ryokan (=chalet) itu. Tidak lama kemudian, mayat Kichizo Ishida yang telah dikerat kemaluan itu ditemui oleh pihak ryokan.

Ukiran nama Sada Abe pada mayat Kichizo Ishida memudahkan pihak berkuasa untuk mengenal pasti penjenayah yang terlibat. Seterusnya, usaha menjejaki Sada Abe dikerahkan serta merta.

Pencarian Sada Abe mencetuskan panik kepada orang ramai diseluruh negara berikutan kelibat wanita itu seringkali dilaporkan berkeliaran di bandaraya.

Beberapa hari kemudian, Sada Abe dikesan menginap di sebuah lagi ryokan di bandaraya Tokyo. Pihak berkuasa dengan serta merta menggerakkan anggota untuk memberkas pembunuh itu dan operasi tangkapan tersebut berjaya dilaksanakan.

Ketika soal siasat, Sada Abe mengaku terlibat dalam pembunuhan kejam Kichizo Ishida dan memberitahu pihak berkuasa akan motif beliau bahawa beliau tidak rela perempuan lain bersama dengan kekasih hatinya itu. Apabila disoal tentang mengapa beliau mengerat kemaluan Kichizo Ishida, Sada Abe berkata bahawa, “Saya ingin menyimpan bahagian badan yang telah memberikan memori yang indah kepada saya.”

(Dah macam keychain atau pelekat peti ais dia buat.)

Dengan pengakuan dan bukti yang kukuh, Sada Abe disabitkan kesalahan membunuh dan merosakkan mayat Kichizo Ishida menyebabkan beliau dihukum penjara. Namun pada tahun 1941, beliau telah dibebaskan serta terus menghilang dari tumpuan khalayak ramai.

Insiden pembunuhan penuh skandal ini menghantarkan kejutan ke seluruh negara Jepun yang dikenali dengan budaya konservatif nya serta menjadikan nama Sada Abe terkenal di Jepun pada waktu itu.