Melawat Semula: ‘Internalized Racism’ – Sifat Rasis Terhadap Kaum Sendiri

0
478
views

Dua minggu lepas dalam rancangan Dr.Phil, seorang wanita Afrika Amerika berumur 16 tahun yang dikenali sebagai Treasure telah diwawancara oleh Dr. Phil. Sebabnya? Treasure mendakwa bahawa beliau bukannya seorang Afrika Amerika tetapi seorang Caucasian, malah dalam rancangan tersebut beliau telah menyuarakan kebenciannya terhadap kaum Afrika Amerika.

Salah satu klip video wawancara tersebut telah dimuatnaikkan ke Youtube dan telah mendapat sebanyak 4 juta views. Penulis berpendapat bahawa Treasure ini, bukan sahaja delusional tetapi sedang juga menghidapi masalah Internalized Racism.

Apa itu ‘Internalized Racism?’

‘Internalized Racism (IR)’ merupakan kesan psikologi yang dialami oleh mangsa-mangsa perkauman atau rasisme di mana mangsa-mangsa ini menerima dan mempercayai apa-apa stereotaip atau kenyataan negatif yang dilemparkan terhadap kaum mereka (Cort et.al 2013 dan Liao 2016). Liao (2016) menambah lagi dan berkata ‘internalized racism’ merupakan pembatinan stereotaip, nilai, dan ideologi negatif ke dalam sesebuah bangsa yang diakibatkan atau dilemparkan oleh bangsa yang lebih dominan terhadap bangsa tersebut. Malahan, jika komen atau kenyataan rasis dan menindas dilemparkan terhadap  bangsa tersebut, mangsa-mangsa ‘internalized racism’ ini akan menerimanya dan membatinkannya (Choi, Israel, and Maeda 2017).

Bagaimana boleh wujudnya ‘Internalized Racism’?

Liao (2016) berkata ‘internalized racism’ dibangunkan dari dua sumber. Sumber pertama datang daripada penindasan oleh bangsa atau komuniti dominan. Sumber kedua pula datang daripada mangsa-mangsa yang telah melalui atau mengalami ‘internalized oppression’ dalam kehidupan mereka. Contoh ‘internalized oppression’ menurut Liao (2016) termasuklah kanak-kanak berkulit gelap diberitahu oleh ibu bapa mereka bahawa mempunyai kulit gelap tidak cantik atau tidak menarik. Manakala Choi, Israel, dan Maeda (2017) mencadangkan bahawa IR wujud akibat kolonialisme yang secara tidak langsung telah mewujudkan mentaliti dijajah atau colonial mentality.

‘Internalized Racism’ di Amerika Syarikat

Amerika Syarikat walaupun sejarahnya ‘White-centric’ atau hanya berkisarkan sejarah bangsa berkulit putih sahaja, merupakan negara yang berbilang bangsa, agama, dan budaya. Bangsa berkulit putih yang merupakan bangsa dan budaya dominan di sana merupakan keturunan peneroka Perancis, Inggeris, Sepanyol, German, dan lain-lain dari Eropah.

Bangsa berkulit gelap pula datang kemudian sebagai hamba-hamba kepada para peneroka ini dan keturunan mereka kini dikenali sebagai ‘African Americans’ manakala orang Asia yang terdiri daripada Cina, Jepun, Korea, dan lain-lain telah datang ke Amerika Syarikat sebagai kuli, imigran, atau pelarian. Keturunan orang Asia yang menetap di Amerika Syarikat ini dikelompokkan dalam satu kumpulan sebagai ‘Asian Americans’. Namun tidak dinafikan ada yang lebih gemar dipanggil sebagai ‘Korean’, ‘Vietnamese’, ‘Indian’ ‘Chinese’, ‘Cambodian’, dan lain-lain. Selain daripada bangsa-bangsa yang disebut di atas terdapat juga minoriti lain seperti Yahudi, Pribumi Amerika dan Pribumi Polynesia.

Walaupun Amerika Syarikat dipaparkan sebagai negara moden, maju, dan toleran terhadap kehidupan berbilang bangsa, budaya, dan agama namun masih wujudnya sifat perkauman atau rasisme dalam kalangan warganegara Amerika Syarikat. Ramai sarjana berpendapat yang rasisme yang berlaku di Amerika Syarikat ini secara tidak langsung telah menyumbang kepada ‘Internalized Racism’ yang wujud dalam kalangan warganegara Amerika terutamanya dalam kalangan ‘African Americans’ dan ‘Asian Americans’.

Sejarah ‘Internalized Racism’ dalam kalangan komuniti Afrika Amerika

Di Amerika Syarikat, satu gerakan sosial telah disemai dalam kalangan aktivis sosial yang memperjuangkan hak bangsa berkulit gelap yakni kaum ‘African-Americans’. Gerakan sosial seperti Black Power Revolution yang bermula pada tahun 1960-an bertujuan untuk mencabar norma White Supremacy atau ‘Keagungan Bangsa Berkulit Putih’ yang masih lagi menular dalam kalangan masyarakat berkulit putih pada masa itu (Hooks 1994: 202-3).  White Supremacy merupakan sebuah ideologi yang meletakkan bangsa berkulit putih sebagai bangsa yang lebih tinggi dan mulia daripada bangsa-bangsa lain.

Selain itu, agenda revolusi Black Power termasuklah membasmi ‘internalized racism’ yang berlaku dalam kalangan kaum Afrika Amerika. Seterusnya, Hooks (1994) berkata bahawa gerakan ini juga bertujuan untuk membebaskan minda dan pemikiran kaum Afrika Amerika daripada dijajah White Supremacy yang jelas telah membentuk dan menjejaskan identiti serta jati diri kaum Afrika Amerika di Amerika Syarikat untuk sekian lama.

Contohnya, Hooks (1994) mendakwa bahawa dalam kalangan komuniti Afrika Amerika sendiri, mereka berpendapat bahawa mereka yang berkulit cerah sedikit mempunyai status yang lebih tinggi daripada mereka yang berkulit gelap. Perkara ini seakan-akan menunjukkan bahawa wujudnya sebuah sistem kasta warna dalam kalangan komuniti Afrika Amerika.  Hal ini demikian kerana seawal abad ke-19, pemilik hamba yang majoritinya terdiri daripada bangsa berkulit putih telah melayan golongan hamba berbangsa berkulit gelap yang cerah dengan lebih baik berbanding golongan hamba yang berkulit gelap. Akibatnya, pemikiran bahawa “berkulit cerah lebih baik daripada berkulit gelap” telah ditanam dalam kalangan komuniti Afrika Amerika untuk sekian lama.

Sejarah ‘Internalized Racism’ dalam kalangan komuniti Asia Amerika

Komuniti ‘Asian Americans’ menariknya sering distereotaip sebagai komuniti atau bangsa minoriti yang berjaya dalam semua aspek termasuklah akademik dan perniagaan. Walau bagaimanapun mereka juga dikaitkan dengan stereotaip negatif seperti anti-sosial, nerda, tidak mahu berasimilasi, tidak pandai berbahasa Inggeris, dan pendatang.

Stereotaip-stereotaip ini sering dimainkan dan dipaparkan dalam pelbagai medium terutamanya media massa seperti Hollywood. Di dalam beberapa kajian berkaitan ‘Internalized Racism’ yang dipetik oleh Liao (2016), beliau mendapati bahawa terdapat sesetengah Asia Amerika yang melihat diri mereka sebagai less American, memetik kata-kata beliau:

“The same study […] also provided evidence that Asian Americans internalized the perception that they are less American than their White counterparts.

Liao (2016) berpendapat mereka berasa less American akibat rasisme yang dialami oleh mereka. Pyke (2007) menambah dan berkata bahawa dalam beberapa wawancaranya, responden-responden beliau yang terdiri daripada kaum Asia Amerika memberikan komen negatif tentang keluarga mereka dan berpendapat keluarga mereka “tidak normal” dan “berlawanan” kehidupan normal sebuah keluarga Amerika. Melalui wawancara Pyke (2007) beliau juga mendapati institusi sosial seperti media massa dan rakan sebaya memainkan pengaruh yang besar ke atas cara responden-responden beliau mendefinisikan “keluarga yang normal”.

Contohnya, sesetengah responden memetik rancangan sitcom The Brady Bunch (1969-1974) sebagai contoh keluarga Amerika yang “normal” manakala satu bahagian lagi memetik keluarga rakan-rakan mereka yang berkulit putih dan berasa iri hati kerana berpendapat keluarga rakan-rakan berkulit putih mereka itu menjalani kehidupan yang “normal”. Dalam satu wawancara dengan seorang responden lelaki Korea Amerika berumur 24 tahun, responden tersebut mengakui yang beliau iri hati dengan keluarga Amerika berkulit putih dan sangat berharap keluarganya menjadi “sempurna” seperti itu. Memetik kata-kata beliau:

“I still see myself envying White American families and wishing that my family was perfect like theirs. So basically, I find myself suckered into this ideal image of the American family. And I realise, sadly, that my family is not the American family and never will be. God, you know, this really upsets me when I keep striving for this intangible thing because then I never really feel happiness or satisfaction.” – (Pyke 2007: 107).  

Kembali kepada hujah Liao (2016) tentang rasisime yang dialami oleh kaum Asia Amerika, beliau menjelaskan bahawa seawal abad ke-19, ramai imigran dari benua Asia terutamanya China telah datang ke Amerika Syarikat untuk mencari pekerjaan dan kehidupan yang lebih baik. Walaupun kebanyakan keturunan mereka telah berintegrasi dan berasimilasi malah menjadi warganegara Amerika Syarikat, namun, mereka masih dipandang sebagai pendatang oleh sesetengah pihak.

Sedemikian rupa sehingga budaya mereka juga dianggap sebagai lebih rendah daripada budaya dan tamadun Barat akibat ‘Orientalism’ (Said, dipetik Liao 2016). ‘Orientalism’ merupakan satu pemahaman yang wujud semasa zaman kolonial Barat di benua Asia yang bertujuan untuk mencipta perbezaan antara yang “biasa (Barat/Eropah)” dan yang “pelik (Timur/Asia)”.

Pemahaman ini juga telah mewujudkan idea “us vs. them” yang mengakibatkan orang Barat melihat diri mereka sebagai lebih bertamadun berbanding orang Asia. Oleh kerana hal yang demikian, pelbagai stereotaip negatif telah dilemparkan oleh orang Barat terhadap orang Asia termasuklah “kuli kuning”, “pengotor”, “penyimpang”, dan lain-lain.

Persekitaran rasis ini telah menyumbang kepada kewujudan ‘internalized racism’ yang ditanam dalam kalangan kaum Asia Amerika. Ramai Asia Amerika yang mengalami ‘internalized racism’ didapati menerima dan mempercayai stereotaip-stereotaip negatif yang dilemparkan terhadap kaum mereka.

Waqaf Saham

Kesan-Kesan ‘Internalized Racism’

1. Penerimaan dan kepercayaan stereotaip mengarut

Sebelum bermulanya ‘Black Power Revolution’, stereotaip mengarut seperti mereka yang lahir berkulit cerah mempunyai masa depan lebih cerah berbanding mereka yang berkulit gelap dipercayai dan diterima oleh ramai orang African Americans. Memetik kata-kata Hooks (1994):

“Those black folks who come of age before Black Power faced the implications of colour caste either through devaluation or overvaluation. In other words, to be born light meant that one was born with an advantage recognized by everyone. To be born dark was to start life handicapped, with a serious disadvantage.

Dibandingkan dengan komuniti berkulit putih pula, Hooks (1994) berkata perkara pertama yang dilihat ialah jantina manakala bagi komuniti berkulit gelap pula adalah warna kulit.

Selain itu, melalui kajian oleh Liao (2016), beliau mendapati bahawa terdapat jumlah ramai Afrika Amerika yang mempercayai dan menerima stereotaip dan komen negatif tentang komuniti mereka termasuklah “Orang Afrika Amerika malas”, “Kebanyakan penjenayah terdiri daripada lelaki Afrika Amerika”, dan lain-lain. Pendek kata, dari lahir lagi komuniti ‘African Americans’ dilahirkan dalam persekitaran yang mengalakkan ‘internalized racism’.

Isu ‘internalized racism’ dapat diperhatikan di Asia Tenggara juga seperti di Malaysia dan Fillipina. Contohnya, di Malaysia terutamanya dalam kalangan orang Melayu di media sosial, orang Melayu dilabel dan dikaitkan dengan pelbagai stereotaip negatif. Hal ini demikian kerana semasa zaman penjajahan, orang Melayu untuk sekian lama telah dilabel sebagai pemalas oleh peneroka dan pegawai jajahan British dan Belanda. Stereotaip negatif ini walaupun telah disangkal oleh Syed Hussein Alatas dalam bukunya The Myth Of The Lazy Native, masih lagi menular dalam sesetengah generasi muda Melayu dan bukan Melayu juga sehingga kini.

Di Fillipina pula, terdapat sesetengah orang Fillipino yang menyokong sikap negatif terhadap saudara dan saudari sebangsa mereka. Sedemikian rupa sehingga terdapat juga mereka yang menyokong diskriminasi terhadap Filipino lain, membenci rupa fizikal Fillipino yang tidak dekat dengan ciri-ciri Eropah, dan menganggap warisan Barat sebagai lebih hebat dan menarik untuk diikuti (David dan Okazaki, dipetik Choi, Israel, dan Maeda 2017).

Pemerhatian ini menurut sesetengah pakar merupakan kesan daripada penindasan dan rasisme yang telah dialami oleh nenek moyang mereka semasa era penjajahan kolonial.

2. Konsep kecantikan diubah

Berkait hubung dengan hujah di atas juga, pada awalnya, ramai orang Afrika Amerika yang berkulit cerah dipandang lebih cantik dan menarik berbanding mereka yang berkulit gelap dalam komuniti mereka. Hooks (1994) mendakwa bahawa sebelum tercetusnya revolusi ‘Black Power’, ramai orang yang berkulit gelap telah mencari atau memahukan pasangan yang berkulit cerah akibat konsep kecantikan yang diubah akibat rasisme bangsa berkulit putih dan juga stereotaip-stereotaip mengarut yang disebut sebelum ini. Antara sebab kenapa konsep kecantikan komuniti berkulit gelap berubah adalah akibat penjajahan minda yang ditekankan oleh bangsa berkulit putih ke atas mereka seawal abad ke-19 lagi.

Bagi komuniti Asia Amerika pula, terdapat sesetengah individu yang tidak suka dengan rupa muka dan badan mereka. Seorang murid Korea Amerika yang diwawancara oleh seorang professor telah mengadu dan berkata sejak beliau kecil lagi beliau membenci rupanya yang berbeza dan benci dilahirkan sebagai seseorang yang mempunyai ciri-ciri fizikal bangsa Korea (Osajima, dipetik Liao 2016).

Di India juga isu kecantikan ini telah membuat sesetengah wanita India, tua dan muda, untuk melunturkan kulit mereka untuk menjadi lebih cerah. Hal ini demikian kerana seperti yang dialami oleh kaum Afrika Amerika di Amerika Syarikat, wanita-wanita India telah melalui ‘internalized racism’ di India.

Konsep kecantikan mereka telah dibentuk akibat penjajahan dan kolonialisme Barat yang sudah sekian lama menjejaskan pemikiran mereka. Selain itu menurut Mishra dan Hall (2017), keinginan untuk mendapat kulit yang lebih cerah telah ditanam dalam kalangan orang India melalui media massa seperti majalah kecantikan dan Bollywood yang sering dibintangi oleh pelakon-pelakon atau model-model berkulit cerah. Kes-kes pelunturan kulit untuk kelihatan lebih cantik dan menarik tidak terhad di India sahaja, tetapi berlaku hampir di seluruh Asia dan juga Afrika (Mishra dan Hall 2017).

3. Kewujudan Kompleks Rendah Diri

Kompleks Rendah Diri atau Inferiority Complex akan mula wujud akibat ‘Internalized Racism’. Di Amerika Syarikat contohnya, sesetengah individu Asia yang mengalami atau menerima ‘internalized racism’ akan mencari jalan untuk menjadi atau mendekati bangsa berkulit putih. Sedemikian rupa sehingga keinginan mereka ini juga akan membuatkan mereka untuk menjauhi saudara sebangsa mereka yang mereka percaya tergolong dalam stereotaip negatif dan ada yang menyatakan bahawa mereka kadangkala berharap tidak dilahirkan sebagai orang Asia (Pyke 2007: 105; Liao 2016; Choi, Israel, dan Maeda 2017). Budaya dan warisan Asia juga telah menjadi mangsa kompleks rendah diri yang diakibatkan oleh IR menurut pemerhatian Choi, Israel, dan Maeda (2017). Mereka mendapati bahawa mangsa-mangsa IR mempunyai prejudis terhadap kebudayaan dan warisan Asia mereka. Contohnya, kepercayaan bahawa budaya dan warisan Asia adalah keterbelakangan dan tidak sehebat budaya Barat merupakan satu tindakan untuk merendahkan budaya Asia sendiri. Hairannya, mereka akan mengangkat budaya Barat lebih tinggi daripada budaya dan warisan Asia mereka.

Media sebagai alat berpengaruh untuk membanteras ‘Internalized Racism’?

Berdasarkan pemerhatian Pyke (2007) dan laporan Mishra dan Hall (2017) yang menyebut bahawa media massa merupakan salah satu institusi yang bertanggungjawab menyebarkan IR, penulis berpendapat bahawa media juga boleh digunakan untuk melawan dan membanteras IR. Cara-cara media boleh membanteras dan melawan arus IR termasuklah:

1. Mengiktiraf kewujudan dan kehadiran sesuatu kaum atau komuniti di persada nasional dan antarabangsa

Filem-filem popular Hollywood seperti Black Panther (2017) dan Crazy Rich Asians (2018) telah mendapat sambutan hangat terutamanya daripada komuniti Afrika Amerika dan Asia Amerika. Hal ini demikian kerana, sudah sekian lama watak-watak utama dan sampingan dipegang atau dimainkan oleh seseorang yang berbangsa berkulit putih.

Tambahan pula, kebanyakan filem-filem yang dikeluarkan dalam dekad sebelum ini berkisarkan perwatakan dan watak utama yang berbangsa kulit putih sahaja. Kehadiran atau kewujudan wira dan srikandi daripada kalangan kaum Afrika Amerika dan Asia Amerika jarang dilihat atau tidak wujud langsung.

Gambar: Filem Black Panther mendapat sambutan hebat dan dilihat sebagai satu filem yang meraikan budaya Afrika dan Afrika Amerika. Sumber gambar: Johnson (2018)

Walaupun tidak dinafikan terdapat filem-filem hangat sebelum ini yang ada mempaparkan watak-watak Asia Amerika dan Afrika Amerika namun filem-filem tersebut sering bermain dengan stereotaip seperti francais filem Rush Hour. Contohnya, Jackie Chan yang memegang watak Inspektor Lee dalam francais filem tersebut dikaitkan dengan stereotaip Asia iaitu Fu-Manchu yang berpendapat semua orang Asia mempunyai ilmu atau pandai dalam seni bela diri seperti Kung Fu, Taekwando, dan lain-lain.

Manakala Chris Tucker yang memegang watak James Carter telah dikaitkan dengan pelbagai stereotaip Afrika Amerika. Lee (2016) mendakwa bahawa terdapat sebanyak 29 stereotaip negatif kaum Afrika Amerika dan 51 stereotaip negatif Asia yang dipaparkan dalam francais Rush Hour. Menariknya, Lee (2016) juga mendapati bahawa bangsa berkulit putih telah diberikan stereotaip positif dan negatif seperti kaum Asia Amerika dan Afrika Amerika di dalam francais filem tersebut. Antara sebab kenapa stereotaip-stereotaip ini sering dimain dan diulangi dalam francais tersebut termasuklah untuk tujuan komedi (Lee 2016).

2. Melawan dan mencabar stereotaip

Kewujudan filem-filem seperti Black Panther dan Crazy Rich Asians telah cuba melawan dan mencabar stereotaip ini dengan menunjukkan sisi sebenar dan kehidupan sebenar kaum Asia dan Afrika. Black Panther contohnya, walaupun latar tempatnya terletak di Afrika, ia telah menyedarkan penonton tentang penindasan yang dialami oleh negara-negara Afrika dan penindasan yang pernah dialami oleh watak Killmonger dan ayahnya yang merupakan orang Wakanda yang pernah bermaustautin di Amerika Syarikat sebagai kaum African Americans.

Johnson (2018) berpendapat filem ini juga telah membangunkan rasa bangga kaum Afrika dan Afrika Amerika terhadap budaya dan warisan Afrika dan Afrika Amerika atau lebih dikenali sebagai Black Culture. Selain itu, Johnson (2018) menambah lagi yang filem ini telah menyedarkan masyarakat daripada bangsa lain tentang kewujudan dan kehadiran kaum Afrika Amerika dan isu-isu yang dialami oleh mereka. Pendek kata, walaupun Black Panther merupakan filem fiksyen ia telah membangunkan dan mewujudkan rasa bangga dalam kalangan kaum Afrika Amerika akan warisan dan budaya mereka sekaligus melawan stereotaip-stereotaip negatif yang sering dipaparkan dalam arus perdana.

Filem seperti Crazy Rich Asians dan rancangan sitcom Fresh Off The Boat pula telah memberikan para penonton perspektif baru dalam kehidupan seharian orang Asia Amerika dan orang Asia dari Asia. Stereotaip-stereotaip negatif seperti yellow peril dan yellow coolie tidak wujud dan tidak dipaparkan langsung dalam filem dan rancangan tersebut. Malahan, ramai netizen berpendapat yang filem Crazy Rich Asians telah membuat kaum Asia Amerika untuk berasa bangga dilahirkan sebagai orang Asia dan pada waktu yang sama menghargai budaya dan warisan Asia mereka.

Walau bagaimanapun, stereotaip seperti “all Asians are Chinese” telah diperkukuhkan dan dipaparkan di dalam filem hangat Crazy Rich Asians. Contohnya, Mitra (2018) dalam The Washington Post telah memuji pilihan pengarah filem untuk memaparkan pelakon-pelakon yang terdiri daripada orang Asia sahaja. Namun begitu, beliau juga telah menyatakan bahawa ramai orang termasuk orang Singapura sendiri telah mempersoalkan ketiadaan etnik-etnik minoriti Singapura lain seperti orang Melayu, India, dan Eurasia dalam filem tersebut.

Tetapi bagi Mitra (2018) ini bukanlah satu isu yang besar kerana beliau berpendapat bahawa filem ini merupakan satu permulaan yang baik untuk mengiktiraf kewujudan orang Asia dalam layar perak Hollywood. Tambahan pula, sebab kenapa watak-watak utama Crazy Rich Asians dipegang oleh orang Cina sahaja adalah kerana realitinya di Singapura, majoriti orang kaya terdiri daripada orang Cina (Mitra 2018).

Kesimpulan

Sudah terang lagi bersuluh bahawa ‘Internalized racism’ merupakan satu kesan psikologi yang diakibatkan oleh rasisme dan penjajahan kolonial. Selain itu, kaum penindas jelas memainkan peranan dalam menanam sikap ‘internalized racism’ dalam kaum-kaum lain sepertimana kaum berkulit putih dalam sejarah Amerika Syarikat telah menindas dan menunjukkan prejudis terhadap kaum Afrika Amerika dan Asia Amerika. Kesan-kesan internalized racism jelas telah mengakibatkan sesetengah orang untuk menerima dan mempercayai segala penghinaan dan stereotaip negatif yang dilemparkan terhadap kaum mereka sendiri. Sedemikian rupa sehingga terdapat mereka yang sanggup menghina dan membenci saudara dan saudari sebangsa mereka untuk menjauhkan diri mereka daripada budaya dan warisan kaum atau bangsa mereka.

Namun begitu, seperti yang telah dihujahkan oleh beberapa sarjana di atas tadi, antara punca wujudnya ‘internalized racism’ termasuklah wujudnya kaum dominan yang telah menindas kaum minoriti yang lain – persoalannya, di dalam konteks Malaysia siapakah kaum dominan yang menindas sekian rupa sehingga wujudnya ‘internalized racism’ dalam kalangan kaum Melayu, Cina, dan India? Malahan, jika tidak adanya kaum dominan di dalam Malaysia, jadi siapakah yang patut dipersalahkan untuk mewujudkan ‘internalized racism’ dalam kalangan masyarakat Malaysia kita ini dan apakah yang sedang menghalang kita daripada membasmikannya?

Rujukan:

  1. Choi, A.Y, Israel, T., and Maeda, H. (2017). ‘Development and Evaluation of the Internalized Racism in Asian Americans Scale (IRAAS)’.  Journal of Counseling Psychology. American Psychological Association [online] 64, (1) 52–64 available from <http://www.ovid.com/site/index.jsp> [22 September 2018]
  2. Cort et.al (2013) ‘The differential gender effect of internalized racism on abdominal obesity in KwaZulu-Natal, South Africa’. The Social Science Journal. Sciencedirect [online] (50) 557- 564 available from <https://www.sciencedirect.com/> [18 September 2018]
  3. Hooks, B. (1994) Outlaw Culture. Routledge: London
  4. Johnson, T. (2018) ‘Black Panther is a gorgeous, groundbreaking celebration of black culture’. Vox [online] 23 February. available from <https://www.vox.com/culture/2018/2/23/17028826/black-panther-wakanda-culture-marvel> [18 September 2018]
  5. Lee, M. (2016) ‘The Manipulation and Roles of Stereotypes in Rush Hour Trilogy’. Elon Journal of Undergraduate Research in Communications, 7 (2)
  6. Liao, L. (2016) Development of the Internalized Racism Scale for Asian Americans. Unpublished PhD thesis. Arizona: Arizona State University
  7. Mishra, N., and Hall, R. (2017) ‘Bleached Girls: India And Its Love For Light Skin’. Huffington Post [online] 21 July 2017. available from <https://www.huffingtonpost.com/entry/bleached-girls-india-and-its-love-for-light-skin_us_59720722e4b06b511b02c2aa> [18 September 2018]
  8. Mitra, M. (2018) ‘Crazy Rich Asians’ misses the big picture in Singapore — but it’s still a step forward’. The Washington Post [online] 21 August. available  from <https://www.washingtonpost.com/news/global-opinions/wp/2018/08/21/crazy-rich-asians-misses-the-big-picture-in-singapore-but-its-still-a-step-forward/?utm_term=.4cd5c8397748> [18 September 2018]

Bibliografi

  1. Kim, W.L, et.al. (2010) Media, Culture And Society In Malaysia. Routledge: New York.
  2. Malcolm, A.C., Ephraim, T.G., et.al. (2013) ‘The differential gender effect of internalized racism on abdominal obesity in KwaZulu-Natal, South Africa’. The Social Science Journal [online] 50, (4) 557-564 available from <https://www.sciencedirect.com/> [18 September 2018]

Nota kaki: Treasure didapati telah hanya berpura-pura dan ramai netizen berpendapat beliau berbuat sedemikian hanyalah untuk dapatkan perhatian dan populariti. Walau bagaimanapun, tindakan Treasure ini tetap tidak waras dan berbaur rasis terhadap kaumnya sendiri.