Agenda utama yang dipegang oleh majoriti rakyat Malaysia khususnya dalam kalangan bangsa Melayu sedang bertemu dengan satu arus penentangan. Ketuanan Melayu seringkali dicabar, mungkin kerana sifat kelembutan dalam bangsa majoriti sendiri. Itulah antara jaminan liberalisme yang sentiasa didendangkan, iaitu pemansuhan Hak Bumiputera. Sepanjang 3,324 hari Najib Razak mengetuai kerajaan, tiada penafian ernah dibuat oleh golongan liberal. Jika ada sekalipun, sememangnya penafian sedemikian tidak mempunyai semangat yang diperlukan.

Disebabkan itulah Melayu tidak menabur kepercayaan kepada agenda liberalisme, lebih-lebih lagi dengan usaha pencairan pengaruh Islam. Perlembagaan negara telah lama menjadi tulang belakang kepada Malaysia, yang mana Ketuanan Melayu pula boleh dikatakan sebagai asid folik kepada pertumbuhan suatu saraf tunjang iaitu Hak Bumiputera. Sekitar 1970-an, kerajaan telah memandatkan beberapa dasar tindakan afirmatif (diskriminasi positif) yang menguntungkan Melayu terutamanya. Kata kunci di sini ialah “tindakan afirmatif”

Maka tidaklah janggal untuk mengatakan yang Hak Bumiputera telah menabur bakti dalam masyarakat terpecah dari segi sosioekonomi sejak Merdeka lagi. Melayu yang merana akibat dasar pecah perintah telah ditolak jauh oleh penjajah British, sementara India pula menetap di estet. Manakala Cina mempunyai rezeki yang baik di kawasan bandar. Jurang sebegini semakin melebar selama mana British menjajah tanahair. Kata kunci di sini pula ialah “jurang sosioekonomi”.

Saban hari sejak pentadbiran (Tun) Abdul Razak Hussein, golongan minoriti semakin gah berjaya atas keringat dan kerjasama masing-masing. Bangsa yang mendominasi golongan ini ialah Cina yang hidup secara berfalsafah. Bukan semua akan menggigit tangan yang menyuapkan mereka, melainkan segelintir yang sememangnya tidak bermoral. Hukum perniagaan Cina pula ialah biar untung sikit, jangan rugi langsung. Perniagaan ialah punca kejayaan bangsa Cina yang bermula secara runcit sehinggalah borong. Secara kiasan, jika dahulu penghantaran ais dibuat Cina, pada hari ini mereka sudah memiliki kilang ais.

Apa yang menimbulkan tanda tanya ialah propaganda menentang Hak Bumiputera. Umumnya, golongan yang menentang mempunyai perasaan takut yang luar biasa. Istilah politik bagi radang emosi ini ialah kiasu. Namun mereka menyuarakan pendapat mereka tentang Hak Bumiputera seolah-olah golongan majoriti yang masih bertongkat tidak mempunyai sebarang perasaan. Radang yang sama juga membadai Melayu. Golongan T20 dalam kalangan Melayu turut menyokong Hak Bumiputera untuk menopangkan ketiak golongan B40/M40 yang masih berusaha. Tetapi golongan ini dilabel sebagai parasit yang memperkudakan Hak Bumiputera demi kepentingan sendiri pula.

Di sini jelas sekali bahawa bukan sahaja pertembungan pendapat sedang menguji ketegangan negara. Adab juga sedang beradu antara satu sama lain. Kata kunci terakhir disini ialah “kurang ajar” yang jelas dalam topik sebab sebuah syarikat British memilih Singapura. Apabila berbincang, Singapura dikatakan sangat strategik kerana tidak mempunyai pekerja-pekerja yang culas kerana sembahyang Jumaat. Lebih lantang lagi, hukum syariah dijadikan cemuhan sebagai punca Singapura dipilih, sedangkan simpanan harta yang menggunung dalam hakmilik mereka dimulakan melalui pelaburan di sebuah negara bersolat Jumaat.

Dikumpulkan segala kata-kata kunci, sebuah ayat dapat dirangkapkan: “tindakan afirmatif” (dibuat untuk merapatkan) “jurang ekonomi” (yang diterima secara) “kurang ajar”. Inilah masalah perkauman dalam Malaysia, berdasarkan tiga kata-kata kunci ini sahaja. Antara propaganda penentang ialah Hak Bumiputera sebenarnya menenggelamkan Melayu lebih dalam kerana dieksploitasi golongan tertentu. Perkara ini boleh diakui. Tetapi yang menjadi persoalan apabila Hak Bumiputera dicemuh seolah-olah negara lain di dunia ini tidak melaksanakannya.

Amerika Syarikat telah lama menjadi tombak kepada hak asasi dan kepelbagaian kaum. Tidak pelik jika negara ini digunakan sebagai contoh. Tetapi hakikatnya Amerika Syarikat turut mempunyai Hak Bumiputera tersendiri. Perbezaannya golongan bukan majoriti yang menikmatinya. Jika ditelusuri berkenaan dengan tindakan-tindakan afirmatif di seluruh Amerika Syarikat, boleh dikatakan elemen-elemennya sudah wujud seawal 1865 lagi ketika pentadbiran Presiden Abraham Lincoln. Sokongan abolitionisme (anti-penghambaan) telah meletuskan sebuah perang saudara. Dan bekas-bekas hamba pasca-Pembebasan mendapati masing-masing tanpa kemahiran, kepakaran dan kewangan.

Menyedari akan perkara ini, Jeneral William Sherman mendrafkan suatu mandat di Georgia supaya perkongsian tanah dan barangan dibahagikan kepada keluarga-keluarga kulit hitam. Tindakan ini tidak popular malangnya. Pada ketika negara sedang terbelah angkara ideologi yang menitiskan darah, sokongan rakyat sememangnya didahagakan. Maka dasar “40 Ekar dan Seekor Keldai” terpaksa dibatalkan di peringkat eksekutif oleh Presiden Andrew Johnson sendiri.

Disini jelas bahawasanya Jeneral Sherman sedar yang suatu “tindakan afirmatif” diperlukan untuk merapatkan “jurang ekonomi” antara dua warna kulit. Hampir 100 tahun kemudian barulah matlamat beliau timbul semula. Gerakan Hak Sivil telah memanaskan politik Amerika Syarikat akibat pencabulan sistem buruh tidak adil. Beberapa agensi kerajaan ditubuhkan untuk mengambil tindakan afirmatif terhadap majikan yang tidak bayar gaji pekerja (majoritinya kulit hitam).

Pentadbiran John F. Kennedy pula memutuskan bahawa tindakan afirmatif diperlukan kepada semua rakyat tidak kira bangsa, agama dan warna kulit. Presiden Lyndon B. Johnson turut menghapuskan diskriminasi terhadap jantina pun. Satu demi satu presiden melaksanakan dasar-dasar diskriminasi positif sehingga hari ini untuk melonjakkan golongan rendah. Jika hidup merupakan sukan lompat tinggi, tindakan afirmatif hanya merendahkan palang kepada golongan yang kurang kemahiran.

Namun apabila terlalu ramai sedang berjaya melompat, senarai calon atlet semestinya terlalu panjang. Ahli-ahli sukan yang melompat lebih tinggi terpaksa bersaing dengan golongan berkelebihan. Barangkali ada yang lebih mahir terpaksa disingkirkan daripada senarai. Ini yang berlaku pada tahun 2008. Sistem kuota dan algoritma di Universiti Texas telah menolak permohohan seorang wanita kulit putih bernama Abigail Fisher. Setelah meneliti keputusan sekolah, Abigail didapati merupakan seorang pelajar cemerlang.

Tetapi beliau melihat golongan minoriti bangsa yang kurang dari segi pencapaian pula memasuki Universiti Texas. Tidak berpuas hati, beliau membuka kes undang-undang kerana Universiti Texas telah melanggar Hak Pindaan Ke-14 iaitu layanan samarata kepada semua. Defendan iaitu pihak universiti pula didapati mengamalkan sistem terperinci. Pertama, pengurusan akan menyerap 10% pelajar-pelajar terbaik daripada semua sekolah-sekolah awam:

Sekolah Tinggi A, B dan C masing-masing menghasilkan 1,000 graduan yang berbeza purata kumulatif. 100 pelajar terbaik bagi setiap sekolah ini mendapat tempat di universiti. Isu bermula apabila lebihan yang tidak berjaya di Sekolah Tinggi B sebenarnya mendapat markah kumulatif lebih baik daripada 100 orang dari Sekolah Tinggi A. Perkara yang sama berlaku antara C dan A atau B. Abigail Fisher tergolong dalam kalangan “lebihan” tersebut yang tidak berjaya angkara sistem 10% ini.

Namun Abigail Fisher tidak mencabar tatacara ini. Sebaliknya, tatacara kedua yang beliau berpendapat melanggar hak. Universiti Texas turut mengambil hitung kira berasaskan bangsa dan sosioekonomi pula. Maka dua tatacara ini memberikan peluang yang lebih besar kepada golongan minoriti bangsa. Pakar-pakar akademik turut berbelah bahagi perihal ini. Ketidakadilan sosial mengganggu imbangan secara positif serta negatif yang bakal merembeskan impak terhadap tenaga kerja.

Jika kulit hitam tidak mendapat tempat sepatutnya dalam pendidikan, semestinya haluan kedua ialah kongsi gelap. Sebab itu juga kerajaan Amerika menubuhkan biasiswa bola jaring supaya golongan kulit gelap boleh menjauhi dadah, darah dan maut. Begitu juga dengan warganegara Amerika Syarikat berketurunan Mexico yang turut mempunyai perhubungan besar dengan dadah. Tekanan hidup akan mengeluarkan syaitan paling jahat dalam jiwa manusia. Akhirnya padah menanti seluruh negara.

Abigail Fisher turut mengheretkan Universiti Texas ke Mahkamah Negara. Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, keputusan berat tipis (4-3) menyokong tindakan afirmatif. Tetapi lapan negeri yang tidak menggunakan bangsa sebagai kayu ukur pengambilan hanya menghasilkan graduan sebanyak 29% sahaja dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah tinggi. Lebih daripada 80% daripada universiti-universiti swasta pula menyokong tindakan afirmatif. Dan bagi negara yang 60% pelajar kolej berkulit putih, semestinya bebanan 40% akan memberikan impak yang meluas.

Malaysia turut mempunyai Abigail-Abigail Fisher tersendiri. Ramai Cina menyuarakan kekesalan apabila keputusan 4.0 tidak membuahkan tawaran universiti bagi jurusan perubatan. Walhal Melayu yang mendapat keputusan 3.75 pula diberikan tempat. Sesungguhnya perkara ini bersifat separa benar. Terdapat juga Melayu (dua orang sepupu penulis sendiri) yang mendapat 4.0 sebenarnya gagal diberikan tempat dalam mana-mana universiti berjurusan perubatan, sehingga terpaksa memilih universiti-universiti swasta. Maka pengambilan universiti sebenarnya memberikan kesan yang lebih universal. Ada juga Melayu yang perlu belajar di luar negara dengan kos ditampung keluarga sendiri.

Kekesalan ini boleh diterima akal. Pertikaian kepada Hak Bumiputera turut difahami juga. Setelah bertahun menitikkan keringat untuk belajar, malang sekali golongan markah rendah pula diterima. Itulah dikatakan rezeki yang tidak pernah salah alamat. Disebabkan itulah Melayu yang tidak diterima menerimanya dengan hati terbuka. Namun kerajaan Malaysia tidaklah begitu buta kepada lambakan graduan sekolah dalam kalangan minoriti.

Benar bukan semua minoriti misalnya berpendapatan tinggi. Masih ramai yang hidup ibaratkan susah juga. Disebabkan itulah program matrikulasi dikembangkan supaya 1,000 kerusi akan diberikan kepada pelajar Cina daripada keluarga B40. Keputusan ini akan mengurangkan ibu bapa Cina yang perlu menangis di hadapan “Yang Berhormat” agar dapat menjalinkan kabel demi kebaikan anak mereka. Tindakan penambahan ini juga tidak sama sekali menyentuh kuota Melayu di peringkat matrikulasi.

Sungguhpun begitu, masih ramai yang melampiaskan rasa marah mendakwa daya kerja mereka diberikan ganjaran seolah-olah pengemis. Stigma bahawa Melayu tidak layak kian menebal di dada yang dibuai nafsu amarah, dendam dan benci. Perkara ini berlaku angkara kerajaan lama juga yang menyatakan Melayu terbangsat tanpa mereka. Seringkali tongkat disebut secara berulang-ulang, yang melahirkan persepsi bahawa semua Melayu perlu bertongkat. Dan tindakan afirmatif yang dibuat untuk merapatkan jurang ekonomi semakin teruk dipertikaikan secara kurang ajar.

Penentang ternyata salah jika fikir Melayu takut kehilangan tongkat. Tiada sekelumit takut pun bersarang dalam jiwa Melayu. Selama 400 tahun bangsa ini telah mengharungi penjajahan tanpa menghampiri kepupusan. Dan 400 tahun itulah menyaksikan Melayu bangkit menuntut kemerdekaan.  Di mana asalnya penggunaan tongkat hanya untuk keperluan, kini telah menjadi seperti prestij pula. Sifat biadab yang dilampiaskan itu membuatkan Melayu pandang Ketuanan dan Hak Bumiputera sebagai maruah. Itulah ajaran Melayu berikan akibat golongan yang kurang ajar.

Akibat penjajah timbulnya Ketuanan Melayu. Kerana penentang lahirnya Hak Bumiputera. Sejarah mendidikkan bahawa penentangan terhadap Ketuanan Melayu hanya akan mendatangkan dasar baharu yang lebih mengutamakan Melayu sendiri.

Dan akhir sekali, kelemahan dalam bangsa Melayu yang tersekat dalam kelompong-kelompong dadah dan jenayah bukanlah salah Ketuanan. Sepertimana Islam tidak bersalah atas peristiwa-peristiwa berdarah pengganas, masakan Ketuanan pula menanggung aib bila individu gagal membendung nafsu. Ketuanan Melayu membuka tirai kepada Hak Bumiputera yang memastikan tiada siapa menetak di ladang orang.

Sumber:

Alexander, H. (2015, Disember 9). What is affirmative action in American universities? Diterima dari https://www.telegraph.co.uk/news/worldnews/northamerica/usa/12040823/What-is-affirmative-action-in-American-universities.html

Lord, D. (2016, Jun 23). What you need to know about affirmative action in the United States. Diterima dari https://www.ajc.com/news/national/what-you-need-know-about-affirmative-action-the-united-states/EflSpjNIDne8QUKdl6uTYK/

BBC. (2017, Ogos 3). Affirmative action: Do white American students really get a bad deal? Diterima dari https://www.bbc.com/news/world-us-canada-40804848

CNN Library (2018, Oktober 23). Affirmative Action Fast Facts. Diterima dari https://edition.cnn.com/2013/11/12/us/affirmative-action-fast-facts/index.html

Stewart, A. W. (2012, Oktober 10). 5 things to know about affirmative action. Diterima dari http://inamerica.blogs.cnn.com/2012/10/10/5-things-to-know-about-affirmative-action/

Fun, P. (2018, Jun 28). Extra 1,000 Matriculation Spots Now Allocated For B40 Chinese Students, says Maszlee. Diterima dari https://www.worldofbuzz.com/extra-1000-matriculation-spots-now-allocated-for-b40-chinese-students-says-maszlee/

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Comments are closed.