Darul Quran (DQ) ialah kenangan terindah bagi setiap banin & banat. Masjidnya yang monumental ala-ala Andalusia, tasiknya yang menenangkan bagai di Eden dan alunan al-Quran daripada para huffaz bisa mengusik nurani. Oh, bak bayangan firdausi! Tahukah anda, ‘taman syurga’ ini terletak dalam laluan migrasi burung. Maka tidak hairanlah kicauan unggas sering bercindai merdu. Sebagai seorang bekas ‘budak DQ’, memori pahit manis di sini sentiasa segar di ingatan serta menyuluh makna kehidupan.

Kredibiliti lepasan DQ sememangnya dipandang tinggi dan diiktiraf masyarakat, bukan sahaja dalam negara tetapi juga di luar negara. Besar tanggungjawab menjaganya, agar tidak mencemarkan nama baik hamalatul quran.

Darul Quran ialah sebuah institusi pengajian tahfiz Al-Quran di Malaysia. Ia dikelola sepenuhnya oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Perdana Menteri, Malaysia. Institusi pengajian Tahfiz Al-Quran ini terletak di Jalan Hamzah, Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu, Selangor Darul Ehsan.

Sejak penubuhannya pada 1966 sehingga 2018, ia telah melahirkan seramai 7,134 lulusan Huffaz al-Quran melalui Program Diploma Tahfiz al-Quran dan al-Qiraat, sama ada dari kampus Darul Quran sendiri mahupun kerjasama Maahad Tahfiz al-Quran Negeri (MTQN), Persijilan Tahfiz al-Quran Jakim – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Kolej Universiti Perubatan Cyberjaya (CUCMS). Sembilan pelajar CUCMS bergelar ‘Doktor Al-Hafiz’  telah dianugerahkan Sijil Tahfiz Al-Quran Jakim-CUCMS pada 2018.

Pengajian

Terdapat lima program pengajian yang dijalankan iaitu Ijazah Sarjana Muda Al-Quran & Al-Sunah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)-Darul Quran Jakim, Diploma Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat selain program Pensijilan Tahfiz Profesional, program Pengujian Darul Quran, Sijil Tahfiz Malaysia (STM) dan Sijil Tinggi Tarannum Al-Quran (STTQ). Mendapat sambutan pelajar dari dalam dan luar negara antaranya Singapura, Kemboja, Indonesia, Thailand dan Brunei.

Diploma pula terbahagi kepada:

  1. Tahfiz Al-Quran Syukbah Qiraat.
  2. Tahfiz Al-Quran Syukbah Dakwah.
  3. Tahfiz Al-Quran Syukbah Syariah
  4. Tahfiz Al-Quran Syukbah Hadis.
  5. Tahfiz Al-Quran Syukbah Muamalat.
  6. Tahfiz Al-Quran Syukbah Pengurusan Halal.

Pelajar di sini perlu mencatatkan hafazan mereka dalam Buku Rekod Hafazan yang akan disahkan oleh guru tasmik. Setiap hari, diwajibkan hafalan tidak kurang daripada dua atau tiga mukasurat. Kelas al-Quran berjalan selama dua jam setiap pagi, seterusnya disambung dengan kuliah akademik sehinggalah ke petang.

Kemahiran multitask yang dimiliki ex-DQ ternyata adalah hasil pengalaman berpersatuan yang giat dijalankan. Kelab Maktabah, Persatuan Kebajikan Maahad Tahfiz Darul Quran (PERKEMAT), Language Club (LC), Kelab Fasilitator Darul Quran (KEFDA) dan lain-lain telah berjaya mencungkil bakat kepimpinan dan pengurusan di kalangan mahasiswa. Berpersatuan bukanlah kerja sia-sia. Natijahnya dapat dituai esok lusa. Bukan sahaja mahsyi, malah pandai membawa diri.

“Tertutup tidak jumud, terbuka tidak hanyut,” inilah kata-kata sakti haluan siswa yang masih menjadi azimat bagi saya, batch 11/14, Nizamul Qiadah Lil-Ummatil Huffaz (NUQLIUZ).

“Ngulang quran selalu,” nasihat Ustaz Thoriq. Pesanan daripada guru tasmik saya di DQ ini, diperturunkan pula kepada anak-anak Madrasah Tahfiz Hajah Halimah di Kota Tinggi, apabila diri sendiri menjadi guru tasmik. Kata-katanya masih saya simpan kemas sampaikan ke hari ini.

Sejarah

Darul Quran ditubuhkan pada tahun 1966 apabila Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj melahirkan hasrat untuk mewujudkan sebuah Institut Pengajian al-Quran di Malaysia. Hasrat ini telah dinyatakan sewaktu perasmian Masjid Negara di mana idea ini timbul ekoran daripada Musabaqah Al-Quran yang diadakan semenjak tahun 1960 serta lawatan Rektor Universiti Al-Azhar Sheikh Mahmud Syaltut di perasmian Masjid Negara tersebut.

Sebagai permulaan, Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat ditubuhkan sebagai salah satu unit di Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur. Dengan penubuhan tersebut maka bermulalah pengajian dalam bidang Tahfiz al-Quran di Dewan Syarahan Masjid Negara pada 1 Mac, 1966 dengan bilangan pelajar pada masa itu seramai 8 orang sebagai perantis yang dipilih dan dihantar oleh negeri-negeri di Malaysia.

Dari tahun 1966 hingga tahun 1978 pengajian ini diletakkan di bawah kelolaan Jawatankuasa Tadbir Masjid Negara dan Urusetia Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, pada tahun 1972 dan ianya diberi nama “Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat”.

Awal tahun 1979, Maahad Tahfiz diletakkan pula di bawah kelolaan Pusat Penyelidikan Islam, Bahagian Ugama, Jabatan Perdana Menteri sehingga tahun 1980. Selepas itu Maahad Tahfiz dipindahkan ke Bangunan JKR 588/33, Jalan Chenderasari, Kuala Lumpur dan dan kemudiannya diletakkan di bawah kelolaan Institut Dakwah dan Latihan Islam (INDAH) Bahagian Ugama, Jabatan Perdana Menteri sehingga tahun 1983.

Sehinggalah pada tahun 1984, Maahad Tahfiz telah lahir sebagai sebuah Cawangan di Bahagian Agama, Jabatan Perdana Menteri dengan organisasinya yang tersendiri.

Pada Tahun 1992 Maahad Tahfiz kemudiannya dipindahkan ke Taman Tun Dr. Ismail bagi penempatan pelajar lelaki dan pelajar perempuan pula ditempatkan di Jalan Ledang. Pada Tahun 1994, pelajar perempuan kemudiannya dipindahkan ke Taman Tun Dr. Ismail, manakala pelajar lelaki dipindahkan ke Batu 14, Sg. Semungkus, Hulu Langat, Selangor.

Pada tahun 1997, Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat telah dinaikkan taraf sebagai salah satu bahagian di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan diberi nama Darul Quran. Akhirnya pada 1 November 1998, Darul Quran ditempatkan ke kampus tetap di Kompleks Darul Quran di Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu, Selangor.

  • Objektif: Melahirkan huffaz, (Hafiz & Hafizah) yang mahir dalam pembacaan dan pengajian ilmu al-Quran dan pengajian Islam bagi memelihara kesucian dan kesahihan al-Quran serta menyelesaikan isu-isu keagamaan dalam masyarakat. Melahirkan qurra’ (Ahli Qiraat) yang mahir dalam bacaan al-Quran dan al-Qiraat. Melahirkan du’at (Pendakwah), pendidik dan imam yang terlatih serta profesional melalui pengajian ilmu-ilmu al-Quran dan pengajian Islam.
  • Visi: Melahirkan generasi Al-Quran yang bertaqwa, berilmu dan bermanfaat kepada pembangunan Negara dan Ummah.
  • Misi: Mendidik dan melatih pelajar dalam bidang Tahfiz Al-Quran, Qiraat dan Ulum Islamiyyah.
  • Falsafah: Jalinan antara Hifz Al-Quran dan Ulum Islamiyyah serta akhlak mahmudah pemangkin ke arah membentuk huffaz yang cemerlang dan ummah yang dinamik.
  • Dasar Kualiti DQ: Komited terhadap pengendalian Program Diploma dan Sijil Tahfiz Al-Quran dilaksanakan dengan penuh sistematik, mematuhi keperluan syariah, cekap dan berkesan. DQ akan memastikan keperluan pelanggan dipenuhi serta penambahbaikan yang berterusan dilaksanakan berasaskan piawaian MS ISO 9001:2015 dan MS 1900:2014.

Kejayaan

  1. Diploma Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat Darul Quran JAKIM juga diiktiraf oleh universiti-universiti tempatan dan luar negara untuk mengikuti pengajian di universiti berkenaan. Antara institusi tersebut ialah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Islam Negeri Sultan Syariff Kasim Riau, Indonesia dan Universiti Al-Azhar, Mesir.
  2. Darul Quran telah mengadakan kerjasama dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia untuk merealisasikan program Persijilan Tahfiz al-Quran. Program ini ditawarkan kepada pelajar lulusan SPM yang mendapat keputusan cemerlang untuk ditempatkan di Darul Quran. Pelajar-pelajar ini akan melalui tempoh pengajian selama 18 bulan di Darul Quran. Selepas tamat pengajian mereka akan terus ditempatkan di Pusat Asasi UIAM dalam bidang profesional seperti perubatan, farmasi, kejuruteraan, senibina, ekonomi dan sains pengurusan.
  3. Menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS) bagi menjalankan Program Pensijilan Tahfiz Al-Quran. Melaksanakan program Ijazah Sarjana Muda Pengajian al-Quran dan Sunah dengan Kepujian secara kerjasama dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
  4. Kelayakan sijil Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat telah diberi pengiktirafan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam setaraf dengan Diploma Institut Teknologi MARA (sekarang UiTM) bagi membolehkan pemegang sijil tersebut menjawat jawatan dalam Perkhidmatan Awam.
  5. Sijil Asas Tahfiz al-Quran telah menerima kemasukan pelajar saudara baharu daripada bangsa India, Cina, pribumi Sabah dan Sarawak Orang Asli.
  6. Memperkenalkan Program Persijilan Tinggi Tarannum al-Quran yang dirangka khusus untuk melahirkan generasi al-Quran yang dapat mengembalikan tradisi kegemilangan ilmuwan Islam dalam usaha memartabatkan agama bangsa dan negara di mata dunia. Program ini dikhususkan kepada semua masyarakat Islam terutama kepada mereka yang mempunyai pengalaman mewakili daerah dan negeri dalam ujian tilawah al-Quran. Program yang diadakan di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) ini akan meliputi kaedah pengajian secara kuliah,tutorial, latihan praktikal dan perbincangan.
  7. Menaik taraf persijilan MS 9001:2000 kepada MS 9001:2008 QUALITY MANAGEMENT SYSTEM – Requirement. Hasil usaha kumpulan audit dalaman Darul Quran, jabatan ini telah berjaya memperoleh sijil MS 9001:2008 pada 18 November 2010 dan terus dikemaskini sehingga 25 Jun 2017.
  8. Memperkenalkan program baru iaitu Sijil Kemahiran Malaysia Bidang Pengurusan Masjid Tahap 3. Dipilih sebagai Pusat Latihan Sistem Latihan Dual Nasional oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia. Dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran terutama di bawah seliaan Bahagian NOSS (National Occupational Skills Standard) dan SLDN (Sistem Latihan Dual Nasional).
  9. Menawarkan pengajian di peringkat sijil khususnya bagi bidang tahfiz dan OKU Penglihatan dalam usaha memartabatkan pengajian Braille al-Quran di Malaysia. Program pengajian tersebut ialah program Pensijilan Tahfiz Al-Quran Orang Kurang Upaya Masalah Penglihatan(OKUMP). Program ini mula diperkenalkan pada tahun 2008 dengan pengambilan seramai 18 orang pelajar. Calon yang berkelayakan diperingkat sijil akan ditawarkan mengikuti pengajian diperingkat diploma pada tahun berikutnya.
  10. Pada 30 Mac 2015 Darul Quran telah dianugerahkan Sijil MS 1900: 2014 SYARIAH BASED QUALITY MANGEMENT SYSTEM-Requirements with Guidence iaitu standard yang berasaskan syariah.
  11. Melaksanakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) menerusi kerjasama strategik bersama Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri (MTQN) untuk memperkembangkan dan meluaskan bidang pengajian al-Quran negara.

Al-Hafiz Yang Autisme


“Saya mahu menjadi pakar komputer Islam yang menghafaz al-Quran. Rasanya macam belum ada lagi. Saya bercita-cita hendak menjadi pakar komputer kerana saya hendak membangunkan umat Islam,” kata Ahmad Zahiruddin Zailani.

Zahir ialah seorang penghidap autisme yang berjaya menghafaz 30 juzu’ al-Quran sekaligus mengharumkan nama DQ. Dia lazim bangun tidur satu jam sebelum Subuh untuk menghafaz al-Quran kerana ketika itu tidak ada gangguan dan orang lain. Juga amat dikenali kawan-kawan sebagai seorang yang mengulang-ulang hafazan dengan kuat sambil berjalan menuju ke kelas.

Ustaz Ahmad Fuad Jamil, guru tasmiknya berkata, “Saya tidak pernah mengajar pelajar autisme sebelum ini tetapi alhamdulillah berjaya melakukannya. Zahir seorang yang rajin dan mempunyai keupayaan menghafal tahap tinggi. Bahkan, dia antara pelajar saya yang terawal menghabiskan hafazan 30 juzuk dan mendapat gred cemerlang pada setiap semester.”

Zahir telah khatam menghafal al-Quran di DQ dalam masa dua tahun enam bulan iaitu dari Mei 2014 hingga November 2016.

Amanat

Dr. Sidek Baba berkata:

“Darul Quran JAKIM telah memulakan tradisi hafazan yang baik dan menghasilkan ramai huffaz yang menyumbang ke arah peningkatan syiar Islam. Melihat cabaran globalisasi kini, sudah sampai masanya bidang pengajian di Darul Quran ditingkatkan supaya mampu menghasilkan graduan yang bersedia menghadapi cabaran zaman.

Sekiranya bidang pengajian di Darul Quran diperluaskan skopnya dan institusi itu dinaikkan ke taraf Jamiah al-Quran Malaysia, ia tidak saja menawarkan program pensijilan dan diploma saja malah bakal menawarkan diploma lanjutan, ijazah dan ijazah lanjutan.

Permulaan kepada langkah itu sudah pun berjalan. Pengambilan pelajar terbaik dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) mengikuti kursus persijilan al-Quran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan kerjasama JAKIM dan JPA adalah suatu usaha baik ke arah cita-cita besar menggerakkan proses integrasi dan Islamisasi ilmu di Malaysia.

Pelajar lulusan persijilan ini disalurkan ke Kulliyyah Perubatan, Farmasi, Sains, Kejuruteraan, Ekonomi, Ilmu Wahyu dan Kemanusiaan dan lain-lain bakal tampil dalam sistem dengan kemampuan dan watak berbeza. Tetapi pelajar ini memerlukan perhatian dan tumpuan UIAM supaya tidak sahaja mereka ini huffaz tetapi pada masa sama penguasaan bahasa Arab dan asas tafsir, usuluddin, syariah dan fikah perlu diberi supaya menjadi landasan untuk peningkatan masa depan.

Bayangkan sebahagian dari mereka yang terbaik dipilih sebagai calon pensyarah untuk melanjutkan pengajian ke tahap tinggi, mereka adalah calon terbaik untuk membawa perubahan di Jamiah al-Quran Malaysia mahupun UIAM. Kalau ini dapat dilakukan, proses integrasi dan Islamisasi ilmu dapat berjalan dengan baik.

Binaan pendidikan integratif ini harus bermula dengan binaan kurikulumnya. Kurikulum integratif memerlukan olahan para pendidik dan pensyarah yang memiliki peribadi holistik. Islam bukan sekadar agama rohaniah tetapi kekuatan rohaniah kelihatan terpancar dalam watak dan diri.”

Rujukan:

  1. Blog Syukbah Dakwah DQ 11/14. http://sinergiislah.blogspot.com/?m=1
  2. Nuqliuz dalam kenangan. Youtube. https://youtu.be/Bm1aJS0eHGw
  3. Laman Sesawang Rasmi Darul Quran JAKIM. http://www.darulquran.gov.my/xs/page.php?id=4
  4. https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Darul_Quran?wprov=sfti1
  5. MEMPERKASA DARUL QURAN KE ARAH MEMARTABAT PENDIDIKAN TAHFIZ DI MALAYSIA. Oleh: Dr. Nordin Bin Ahmad.

http://eprints.um.edu.my/13634/1/kertas_kerja_multaqa_huffaz.pdf

  1. Tiga OKU antara saudara baharu di Darul Quran. http://www.sinarharian.com.my/mobile/kampus/tiga-oku-antara-saudara-baharu-di-darul-quran-1.798683
  2. Masjid tumpuan penerbit drama. Oleh Mona Ahmad. https://www.bharian.com.my/node/257975
  3. Zahir hafal al-Quran dua tahun setengah. Oleh Adham Shadan. http://www.kosmo.com.my/k2/rencana-utama/zahir-hafal-al-quran-dua-tahun-setengah-1.561894
  4. Apa salah pusat tahfiz? http://m.utusan.com.my/mega/agama/apa-salah-pusat-tahfiz-1.725896
  5. Ke Arah Huffaz Professional. Oleh Dr Sidek Baba. http://m.utusan.com.my/rencana/utama/ke-arah-huffaz-profesional-1.711132
  6. Pelajar Darul Quran – Dibiayai kerajaan sepenuhnya. http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0921&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
  7. Darul Quran naik taraf kolej universiti. http://m.utusan.com.my/berita/nasional/darul-quran-naik-8232-taraf-kolej-universiti-1.367312
  8. Darul Quran lahirkan 3,000 hafiz bidang profesional. http://m.utusan.com.my/berita/nasional/darul-quran-lahirkan-3-000-hafiz-bidang-profesional-1.157680
  9. Ke arah melahirkan huffaz profesional. http://m.utusan.com.my/pendidikan/ke-arah-melahirkan-huffaz-profesional-1.570603
  10. Anugerah ingatan luar biasa. http://m.utusan.com.my/mega/agama/anugerah-ingatan-luar-biasa-1.734934
  11. NGO mahu JAKIM dan tahfiz diperkasa. https://www.utusanborneo.com.my/2018/06/05/ngo-mahu-jakim-dan-tahfiz-diperkasa
  12. Darul Quran komited lahir huffaz profesional. http://www.kosmo.com.my/negara/darul-quran-komited-lahir-huffaz-profesional-1.763240
  13. Kerjasama Darul Quran-IPT lahir 1,790 huffaz profesional. http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/kerjasama-darul-quran-ipt-lahir-1-790-huffaz-profesional-1.889181
  14. 615 pelajar Darul Quran bergraduasi. http://m.utusan.com.my/pendidikan/615-pelajar-darul-quran-bergraduasi-1.511481
  15. Hafaz 30 juzuk dalam 22 jam. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/08/367128/hafaz-30-juzuk-dalam-22-jam

Sumbangan Darul Quran (Jakim) Terhadap Pengajian al-Quran dalam Kalangan Orang Kurang Upaya Penglihatan. Oleh Yusri bin Chek1 & Sabri bin Mohamad. http://www.darulquran.gov.my/xs/dl.php?filename=Kajian%20Sumbangan%20DQ%20terhadap%20OKU%20Penglihatan.pdf


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Penceramah Bebas dan Guru Al-Quran Tauliah Khas. Aktif memenuhi jemputan kuliah agama di 10 buah masjid dan surau dalam sebulan. Bertugas mengajar kelas tahfiz di Pondok At-Tanzil serta mengajarkan al-Quran kepada orang ramai dalam Kelas Al-Quran Dewasa Kg Kelantan dan Kelas Al-Quran Dewasa TIC Kota Tinggi. Diijazahkan sanad 10 Qiraat Al-Quran termasuklah Riwayat Hafs an Asim dari Mesir. Graduan Diploma Qiraat & Tahfiz Al-Quran, Darul Quran JAKIM. Mahasiswa Sarjana Muda Usuluddin & Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Comments are closed.