Islam “Diasaskan” Pada Abad Ketujuh Masihi?

0
531
views

Pertama sekali, penulis ingin mengucapkan selamat tahun baharu Hijrah kepada semua umat Islam di seluruh pelusuk dunia. Kalender Hijrah telah berubah ke tahun 1440. Harapnya, kita sama-sama menggunakan nikmat kehidupan yang masih dikurniakan kepada kita ini untuk melakukan amal dengan lebih baik lagi dan menyimpan “saham” untuk akhirat. Pada artikel kali ini, penulis ingin membincangkan satu perkara berkenaan salah faham umum yang dipercayai oleh kebanyakan orang-orang non-muslim di serata dunia iaitu Islam hanya bermula sekitar 1,400 tahun yang lalu (mengikut kalender Masihi).

Terdapat satu kefahaman umum yang salah bagi orang bukan Islam di seluruh dunia yang menyatakan bahawa agama Islam diasaskan pada awal abad ketujuh Masihi oleh Nabi Muhammad SAW. Seolah-olah mereka menyatakan bahawa sebelum abad ketujuh Masihi, Islam tidak wujud kerana “pengasas” agama tersebut iaitu Muhammad bin Abdullah yang lahir pada akhir abad keenam menyebarkan “agama baharu” tersebut pada awal abad ketujuh Masihi. Ini merupakan suatu kefahaman umum yang salah sama sekali dan perlu diperbetulkan.

Sebelum kita membincangkan isu ini dengan lebih lanjut, sebaiknya kita selidiki dahulu maksud “Islam” itu sendiri dari segi bahasa dan istilah. Tidak seperti kebanyakan agama di dunia ini yang namanya berdasarkan nama individu ataupun tempat geografi, Islam dinyatakan namanya dalam al-Qur’an beberapa kali dalam pelbagai bentuk sebutan yang berasal daripada satu perkataan kata kerja atau kata perbuatan (verb, fi’l). Perkataan kata kerja tersebut ialah daripada bahasa Arab iaitu (سلم salima) yang bermaksud selamat, sejahtera. Daripada perkataan tersebutlah, terbitnya perkataan (أسلمaslama) yang kemudiannya membentuk perkataan kata nama (إسلامIslam). Ketiga-tiga perkataan tersebut membawa maksud selamat, aman, damai, sejahtera, tunduk patuh, berserah diri dan taat. Oleh itu, Islam dari segi istilah ialah tunduk, patuh dan taat sepenuhnya pada perintah dan kehendak Allah SWT iaitu satu-satunya Tuhan yang layak disembah dan tidak sesekali menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun.

Islam adalah satu-satunya agama dan cara hidup yang diredai oleh Allah SWT sebagaimana dalam firman-Nya dalam al-Qur’an:

Sesungguhnya satu-satunya agama (yang diredai) di sisi Allah ialah Islam.” (Ali ‘Imran: 19).

“Pada hari ini telah Aku sempurnakan agamamu untukmu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku redai Islam sebagai agamamu.” (al-Ma’idah: 3)

Asas paling utama dalam ajaran Islam ialah tidak menyembah Tuhan yang lain selain Allah SWT. Ini adalah ajaran semua para nabi dan rasul kepada umat masing-masing (al-Mu’minun: 32; al-Anbiya’: 25; an-Nahl: 36) dan semestinya setiap umat yang beriman pada Allah SWT juga wajib beriman dan mengikuti rasul masing-masing (asy-Syu’ara’: 105-179; Ali ‘Imran: 32). Al-Qur’an menegaskan perkara tersebut berulang kali. Nuh AS menyeru kaumnya menyembah Tuhan yang satu, Hud AS menyeru kaumnya menyembah Tuhan yang satu, Soleh AS menyeru kaumnya menyembah Tuhan yang satu, begitu juga sekalian rasul yang lain. Mereka yang tunduk, patuh dan menyembah hanya kepada Tuhan yang satu iaitu Allah SWT digelar “Muslim” (ism fa’il daripada perkataan “aslama”).

Oleh itu, semestinya semua para nabi dan rasul adalah muslim. Ini dinyatakan sendiri dalam al-Qur’an bahawa Ibrahim AS seorang muslim (Ali ‘Imran: 67), Ishak AS seorang muslim, Ya’akub AS seorang muslim (al-Baqarah: 132; Yusuf: 36), Yusuf AS seorang muslim (Yusuf: 101), Musa AS seorang muslim (Yunus: 84), Isa AS dan pengikutnya (hawariyyun) mereka juga adalah muslim (Ali ‘Imran: 52). Bahkan, Firaun pada zaman Nabi Musa AS ketika akhir hayatnya apabila dia dan bala tenteranya hampir lemas ditenggelamkan oleh laut melaung mengaku dirinya seorang muslim tetapi pengislaman dan taubatnya itu tidak lagi diterima oleh Allah SWT (Yunus: 90).

Perkara ini tidak hanya dinyatakan dalam al-Qur’an, bahkan Bible juga menyatakannya; Moses (Musa AS) mengajar kepada kaumnya Bani Israel bahawa Tuhan mereka adalah satu (Deuteronomy, 6:4), begitu juga Jesus (Isa AS) mengajar kepada kaumnya Bani Israel bahawa Tuhan mereka adalah satu (Mark, 12:29), bukan tiga dalam satu dan sebagainya. Bahkan Isa AS dinyatakan dalam Bible tunduk dan patuh pada perintah dan kehendak Tuhan yang satu (Matthew, 26:39; John, 5:30). Jika kita diberi kesempatan bertemu dengan Nabi Musa AS dan Nabi Isa AS yang dikatakan umum sebagai “pengasas agama Yahudi (Judaism) dan Kristian (Christianity)” dan bertanya kepada kedua-dua orang rasul yang mulia tersebut; apakah agama mereka berdua.

Waqaf Saham

Adakah mereka akan menyatakan bahawa agama yang mereka anuti ialah agama Yahudi ataupun Kristian? Jawapannya tidak. Ini kerana sepanjang hayat mereka, kedua-dua orang rasul tersebut tidak pernah mendengar kedua-dua istilah tersebut. Kedua-dua istilah tersebut hanya wujud selepas zaman mereka apabila orang luar menggelar pengikut mereka dan agama mereka berdasarkan nama individu dan tempat mereka (Christian = Acts, 11:26). Jawapan yang akan diberikan oleh kedua-dua orang rasul tersebut ialah agama mereka ialah tunduk dan patuh sepenuhnya pada perintah dan kehendak Tuhan yang maha esa iaitu Allah SWT dan tidak menyekutukan-Nya sepertimana ajaran utama mereka kepada umat masing-masing. Dalam erti kata lain, mereka ialah muslim yang menyebarkan akidah Islam kepada umat mereka.

Masalah bagi sebahagian golongan orientalis Barat ialah mereka cuba menamakan agama Islam dengan panggilan “Mohamedism / Mohamedanism” dan penganutnya dikenali sebagai “Mohamedan.” Bukan sahaja para orientalis Barat menggunakan istilah tersebut, bahkan jika kita lihat dokumen-dokumen laporan pegawai kolonial British di Arkib Negara, mereka menulis berkenaan orang Islam atau muslim sebagai “Mohamedan”; “Mohamedan cemetery,” “Mohamedan Chinese,” “Mohamedan Indian,” “Mohamedan Punjabi,” “Mohamedan Siamese Settlers,” “Mohamedan religion,” “Mohamedan law,” “Mohamedan community,” “Teams of Mohamedan Football Association,” bahkan ada pula istilah “non-Mohamedan”? Kejahilan ini berlaku kerana menurut kefahaman mereka, Muhammad bin Abdullah adalah pengasas agama tersebut, sepertimana “Christianity” diambil daripada nama gelaran Jesus Christ (Isa al-Masih AS).

Padahal, sama seperti para nabi dan rasul yang diutuskan sebelum baginda yang kesemua mereka mengajarkan Islam kepada umat masing-masing, baginda juga mengajar perkara tauhid yang sama (al-Ikhlas: 1-4). Semulia-mulia kedudukan Nabi Muhammad SAW dalam ajaran Islam, umat Islam tidak pernah menyembah baginda sebagai Tuhan, tiada satu pun aliran akidah dalam kalangan umat Islam sepanjang sejarah yang pernah menjadikan baginda sebagai Tuhan sebagaimana umat Kristian menyembah Jesus (Nabi Isa AS) sebagai salah satu Tuhan dalam konsep Triniti mereka.

Oleh itu, jika kita amati kalimah syahadah umat Islam, ayat pertamanya ( أشهد أن لا إله إلا اللهAku bersaksi bahawa TIADA Tuhan melainkan Allah) dimulakan dengan kata penafian yang menegaskan bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah SWT, tetapi ayat kedua tidak dimulakan dengan kata penafian (وأشهد أن محمد رسول الله… dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah Pesuruh Allah). Dengan itu, kita juga boleh menyatakan Nuh rasulullah, Ibrahim rasulullah, Musa rasulullah, Isa rasulullah, tiada masalah, kerana mereka juga rasul yang mengajar akidah tauhid yang sama. Sebagai umat Islam, kita wajib beriman dengan kesemua para nabi dan rasul daripada zaman Nabi Adam AS sehinggalah penutup sekalian para nabi dan rasul iaitu Nabi Muhammad SAW.

Jika kita amati kisah beberapa umat yang mendustakan rasul masing-masing dalam al-Qur’an, Surah asy-Syu’ara’, seperti kaum Nabi Nuh AS, kaum ‘Ad iaitu kaum Nabi Hud AS, kaum Tsamud iaitu kaum Nabi Soleh AS dan kaum Nabi Lut AS, al-Qur’an menyatakan: “Kaum Nuh telah mendustakan para rasul mereka,” “Kaum ‘Ad telah mendustakan para rasul mereka,” “kaum Tsamud telah mendustakan para rasul mereka.” Persoalannya mengapa “para rasul” (al-mursalin, lebih daripada tiga orang)? Bukankah setiap kaum tersebut diutuskan hanya seorang rasul dalam kalangan mereka? Ini kerana al-Qur’an ingin menyatakan bahawa apabila mereka mendustakan seorang rasul yang diutuskan dalam kalangan mereka sendiri, maka secara tidak langsung mereka juga mendustakan para rasul yang lain, tidak kira sebelum atau selepas zaman mereka kerana semua para nabi dan rasul menyeru akidah tauhid yang sama iaitu Islam.

Akhir kata, jika mereka benar-benar mengikuti ajaran sebenar Moses (Nabi Musa AS) dan Jesus (Nabi Isa AS), begitu juga ajaran para nabi dan rasul yang lain iaitu taat, tunduk dan patuh sepenuhnya pada perintah dan kehendak satu-satunya Tuhan yang maha esa dan layak disembah iaitu Allah SWT, tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun, maka mereka tidak boleh lari daripada menjadi seorang muslim. Hakikatnya, Islam telah ada sejak azali lagi, itulah agama Nabi Adam AS dan isterinya, Hawa AS, akidah tauhidnya tetap sama sehingga kini iaitu mengesakan Allah SWT, cuma istilah “Islam” sebagai agama hanya muncul setelah pengutusan Nabi Muhammad SAW sebagai rasul 1,400 tahun yang lalu. Bahkan, semua manusia ketika berada di alam roh lagi iaitu belum dilahirkan di dunia ini telah mengakui tunduk dan patuh pada keesaan Allah SWT sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Qur’an, Surah al-A’raf, ayat 172.

Sumber rujukan:

– Al-Qur’an.

– Bible Versi King James.

– H. Abuddin Nata, Studi Islam Komprehensif, Jakarta: Kencana Prenada Media Group, 2011.

– Khurshid Ahmad, “Islam: Basic Prinsiples and Characteristics,” dalam Khurshid Ahmad (ed.), Islam: Its Meaning and Message, United Kingdom: The Islamic Foundation, 2010.

– Video syarahan Shaykh Ahmed Deedat bertajuk “Christianity, Judaism or Islam: Which Has The Solution to The World’s Problems?” di Acton Town Hall, United Kingdom.