Melawat Semula Tragedi 3 Mac 1946: Revolusi Sosial Sumatera Timur

0
1468
views

Artikel yang ditulis oleh Al-Semantani Jones sebelum ini yang bertajuk ‘3 Mac: Tragedi Runtuhnya Kesultanan Melayu di Indonesia’, hanya fokus kepada malam pembantaian Raja-Raja Melayu Sumatera Timur, namun tidak menjelaskan faktor-faktor yang mencetuskan tragedi yang berdarah ini dengan lebih terperinci. Walaupun sesetengah orang berhujah bahawa Raja-Raja Melayu jatuh akibat serangan komunis sahaja, artikel ini akan berhujah sebaliknya.

Kekayaan Sumatera dan sejarah kemasukan kuli ke Sumatera.

Sumatera pada zaman kolonialisme Belanda terkenal sebagai salah satu pulau terkaya Indonesia. Kebanyakan penanaman tembakau, getah, teh, dan kelapa di Sumatera dipelopori oleh penanam Belanda. Industri-industri ini kemudian telah berkembang dan menarik pelabur-pelabur dari Amerika Syarikat, Perancis, Belanda dan Switzerland. Sumatera boleh dikatakan sebagai pulau terkaya di seluruh Nusantara pada masa itu. Penjajah Belanda telah cuba menarik atau memujuk penduduk tempatan Sumatera untuk bekerja di ladang-ladang atau estet mereka tetapi menemui kegagalan.

Oleh kerana itu, bermula pada 1870-an, penjajah Belanda telah mula mengimport buruh dan kuli Cina dari China, Pulau Pinang, Singapura, dan hamba dari kepulauan Jawa. Jumlah kuli Cina dipercayai meningkat apabila industri tembakau berkembang dengan pesat pada tahun 1880-an. Imigrasi kuli Cina ke Sumatera mula berhenti pada tahun 1930-an apabila penjajah Belanda lebih suka mengimport hamba dan buruh dari pulau Jawa. Pada tahun 1926 sahaja, terdapat seramai 194,189 orang buruh Jawa yang bekerja di ladang-ladang atau estet-estet di Sumatera Timur dan jumlah mereka melebihi jumlah buruh Cina dan India di sana (Reid 2005).

Dikatakan begitu ramai hamba dan buruh telah diimport dari pulau Jawa sehinggakan terdapat banyak tanah kosong dan tidak berpenghuni di pulau Jawa. Sinuhaji (2007) memetik catatan Reid dan mengatakan bahawa pada pertengahan abad ke-19, separuh populasi penduduk Sumatera Timur terdiri daripada pendatang. Demografi yang tidak stabil ini akhirnya akan membawa kepada konflik kerana setiap suku ini mempunyai kepentingan ekonomi dan politik sendiri yang berbeza dengan penduduk asli Sumatera Timur (Sinuhaji 2007).

Kekayaaan Sumatera ini juga disebut oleh Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Beliau berkata salah satu sebab Sukarno melancarkan konfrontasi terhadap Malaysia termasuklah kerana Sumatera, pulau yang terkaya berbanding 3,000 pulau Indonesia yang lain pada masa itu berminat terhadap Malaysia. Selain itu, Tunku berpendapat yang rakyat Melayu Sumatera berasa lebih dekat dengan Semenanjung Tanah Melayu berbanding Pulau Jawa, memetik kata-kata Allahyarham Tunku Abdul Rahman sendiri:

“Sukarno was difficult because at the back of his mind he always wanted to crush us, because I think, chiefly, he was suspicious of the strong Malay feeling which existed between us and the Sumatrans. No doubt there was a strong feeling for us in Sumatra. He felt that the people of Sumatra were closer to us than they were in Java. Most of the Malays in Sumatra felt they should be linked with us…”  – Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, dipetik Ahmad (2016:68).

Pada awalnya, ramai orang menolak dakwaan Tunku malah berasa skeptikal. Namun begitu, perkara ini juga diakui oleh Menteri Luar Negara Indonesia, Subandrio, yang menyatakan bahawa Indonesia takut bahawa Sumatera akan jatuh ke tangan “neo-kolonialisme Malaysia” (Suyin, dipetik Ahmad 2016:54).

Pada tahun 1930-an sahaja, dianggarkan terdapat seramai 11,000 orang Eropah yang tinggal di Sumatera. Orang Eropah ini tidak suka bergaul dengan penduduk tempatan Sumatera dan sering memencilkan diri mereka kepada komuniti berkulit putih sahaja. Akibatnya, berlakunya jurang sosial yang besar antara rakyat tempatan dengan orang Eropah ini. Jurang ini juga disebut oleh Tan Malaka melalui pemerhatiannya semasa beliau berada di kota Deli, di mana beliau mengatakan bahawa orang Eropah ini bersifat kejam dan sombong terhadap penduduk tempatan Deli.

Tan Malaka berkata lagi yang buruh-buruh di Deli sering dizalimi dan dieksploitasikan oleh orang Eropah, dan inilah yang telah mengeruhkan lagi hubungan antara orang Eropah dengan golongan buruh.  Contohnya, gaji yang diberikan oleh majikan Eropah mereka sangat sedikit, dalam satu hari para pekerja akan hanya dibayar 30 sen atau 55 sen sahaja. Selain itu, penjajah Belanda telah meluluskan Ordinan Kuli 1880, yang menghalang para pekerja daripada meninggalkan tempat kerja mereka. Jika mereka didapati cuba untuk berbuat begitu, para pekerja akan dikenakan hukuman saman atau penjara.

Keadaan menjadi semakin teruk terutamanya pada tahun 1929 apabila seorang wanita Eropah telah dibunuh oleh beberapa penduduk Deli yang terdiri daripada golongan buruh. Pembunuhan ini telah mengegarkan seluruh Sumatera dan menakutkan orang Eropah sedemikian rupa sehinggakan kerajaan Hindia-Belanda telah menyuruh penanam Eropah di Sumatera untuk mempertahankan diri sendiri jika perlu.

Status dan keadaan Kesultanan Melayu di Sumatera Timur semasa era kolonialisme Belanda.  

Pada abad ke-19, menurut (Reid 2014), penjajah Belanda melihat monarki-monarki Melayu Sumatera sebagai sekutu yang ideal kepada mereka. Hal ini demikian kerana, mereka boleh mengimplementasikan pemerintahan mereka secara tidak langsung ke atas Sumatera Timur dengan bantuan monarki-monarki ini. Kesultanan Melayu di Sumatera Timur pada masa itu lemah dari segi ekonomi dan ketenteraan dan perlu bergantung kepada sekutu Batak mereka. Populasi orang Melayu juga sangat sedikit berbanding populasi Batak, dan menurut Milner (2016), semasa Anderson mengembara ke Sumatera Timur pada tahun 1823, beliau mendapati Sumatera Timur dipopulasi oleh dua kumpulan: Melayu dan Batak.

Orang Melayu menduduki dan mendominasi kawasan persisiran pantai manakala Batak mendominasi kawasan pedalaman. Menurut Milner (2016) lagi, Anderson mendapati bahawa populasi Batak melebihi populasi orang Melayu iaitu dalam jumlah berpuluh ribu manakala orang Melayu hanya berjumlah beberapa ratus sahaja. Namun begitu, beberapa tahun kemudian pada tahun 1860-an dan 1870-an, kebanyakan kawasan-kawasan yang sebelum ini Batak serta mempunyai penduduk Batak telah menjadi Melayu (Milner 2016:136). Hal ini demikian kerana telah berlakunya proses Melayunisasi atau Malaynisation di mana orang Batak yang memeluk Islam telah juga memeluk identiti Melayu. Migrasi Melayu ke kawasan pedalaman juga telah membantu dalam menyebarkan Melayunisasi ini (Milner 2016:137).

Reid (2014), juga menyatakan bahawa terdapat beberapa puluh raja lain yang bersaing antara satu sama lain untuk mendapat kawalan ke atas laluan perdagangan yang meliputi kawasan Batak sehingga ke pantai timur Sumatera. Justeru, terdapat raja-raja Sumatera yang bekerjasama dengan Belanda untuk mendapatkan perlindungan dan mencapai cita-cita mereka ini (Reid 2014). Kerjasama Kesultanan Melayu Langkat, Deli, Serdang, Siak dan Asahan dengan Belanda telah membuahkan ganjaran kepada kesultanan-kesultanan ini dalam bentuk kekayaan, keselamatan, serta kawalan yang dipertingkatkan ke atas jajahan takluk mereka dan ke atas kawasan-kawasan Batak.

Gambar: Putera-Putera Deli, Langkat, dan Serdang. Sumber gambar: Wikipedia: https://ms.wikipedia.org/wiki/Fail:COLLECTIE_TROPENMUSEUM_De_prinsen_van_Deli_Langkat_en_Serdang_TMnr_10001178.jpg

Menurut Said (1973), terdapat seramai 25 raja di Sumatera Timur. Daripada 25 raja terdapat lima kerajaan Melayu Sumatera iaitu Langkat, Serdang, Deli, Siak, dan Asahan yang telah diberi berstatus Lange Politiek Contract (Kurnia 2015). Status ini bermaksud sebahagian kuasa kerajaan mereka seperti undang-undang sivil ditadbir dan dikawal oleh Hindia-Belanda manakala sebahagian besar lagi seperti adat, tanah, dan undang-undang syariah ditadbir dan berada di bawah pentadbiran kerajaan Melayu Sumatera (Kurnia 2015). Manakala menurut Omar (2015), Sumatera Timur telah dibahagikan kepada 41 negeri dan setiap negeri mempunyai kontrak politikal yang berbeza dengan Belanda. Namun secara umumnya, setiap negeri ini telah menyerahkan kedaulatan mereka kepada Hindia-Belanda dan mengiktiraf bahawa mereka adalah sebahagian daripada Hindia-Belanda (Omar 2015).  Menurut Reid (2014) berkenaan kontrak politik ini pula, kontrak ini membolehkan raja-raja Melayu mempunyai kuasa autonomi dan mempunyai kuasa ke atas beberapa aspek pentadbiran. Memetik kata-kata Reid (2014):

Their Political Contracts allowed them autonomous administrative and juridical structures of completely aristocratic-Malay composition, with full nominal responsibility in a number of areas. One of these areas was land, which of course explained the special concern of the estates for the welfare of the rulers. By paying large sums to the rulers personally as persen tanah when each land concession was made, the states ensured that the annual rental was fixed very low.” – Reid (2014:45).

Tambahan pula, menurut Tengku Jafizham, pakar undang-undang dan seorang ahli kerabat diraja Serdang, beliau berkata bahawa di bawah Belanda, kerajaan-kerajaan Melayu diiktiraf sebagai zelfbestuur atau self-government dalam Bahasa Inggeris dan mempunyai autonomi yang lebih hebat (Tengku Jafizham, dipetik Omar 2015).

Di Sumatera, Sultan merupakan pemerintah tertinggi dan di bawahnya adalah Luhak yang dipimpin oleh pangeran. Di bawah Luhak pula terdapat kejeruan yang dipimpin oleh Datuk dan di bawah kejeruan ini adalah pemerintahan distrik yang dipimpin oleh seorang kepala distrik. Tingkat atau aras pemerintahan yang paling rendah dalam sistem kerajaan ini terdiri daripada penghulu kampung yang dipimpin oleh rakyat biasa (Kurnia 2015).

Tetapi bagaimana pula dengan 20 lagi raja? Adakah mereka menikmati kontrak yang sama seperti raja-raja Melayu Sumatera Timur? Said (1973) berkata mereka tidak menikmati status yang sama. Dari segi pendapatan pula, pendapatan raja-raja ini lagi rendah daripada raja-raja Melayu Langkat, Deli, Serdang, Asahan, dan Siak. Sesetengah raja ini menerima gaji yang hanya berjumlah beberapa ratus rupiah sahaja dan jawatan mereka pada mata penjajah Belanda adalah rendah dan bersamaan jawatan seorang setiausaha. Memetik kata-kata Said (1973) sendiri yang menjelaskan betapa rendahnya jawatan mereka:

“If even a low-level Dutch official summoned one to his office, he would obey the summons.”

Sumatera Timur Di Bawah Penjajahan Jepun

Semasa penjajahan Jepun, Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu telah disatukan di bawah pentadbiran Tentera Jepun ke-25 atau Japanese 25th Army (Reid 2014). Pada masa ini juga, tentera Jepun telah mengharamkan berkibarnya bendera merah-putih Indonesia, dan juga telah mengharamkan dan menolak keluar parti-parti politik. Hal ini demikian kerana, pemerintahan Jepun pada masa itu tidak mahu tercetusnya semangat nasionalisme Indonesia di Sumatera (Reid 2014:102).

Walaupun kegiatan politik telah dilarang, penjajahan Jepun ini telah menyemarakkan lagi nasionalisme dalam kalangan penduduk tempatan (Sinuhaji 2007).  Kuasa monarki Melayu semasa penjajahan Jepun juga telah dikurangkan, kerana menurut Reid (2014), Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera perlu menurut polisi Hansaki hokan yang bermaksud semua domain atau jajahan takluk perlu menyerahkan kuasa mereka kepada satu kuasa sahaja yakni Maharaja Jepun.

Pada fasa awal pentadbiran Jepun, Sultan-sultan Melayu telah diminta untuk menyerahkan hak-hak dan kedaulatan mereka kepada Maharaja Jepun, namun, polisi ini berubah apabila Jepun ingin memenangi hati rakyat tempatan lalu mereka mengekalkan pendapatan, panggilan kehormat, dan kuasa keagamaan dan adat milik Sultan-sultan Melayu ini. Dalam kata-kata lain, status quo raja-raja Melayu dikekalkan di bawah pentadbiran Jepun (Reid 2014 dan Omar 2015). Omar (2015) juga berhujah yang tindakan Jepun ini ada tujuan yang lebih besar iaitu untuk mengimplementasikan polisi pecah dan perintah.

Setiap pihak baik Islamis, pergerakan, dan kerajaan Melayu telah dilaga-lagakan untuk melanjutkan lagi penjajahan Jepun di Sumatera Timur. Apabila Jepun mengawal situasi ini mereka juga telah mengawal setiap pihak di dalamnya – kerajaan Melayu dilindungi Jepun daripada pihak Islamis dan pergerakan tetapi pada waktu yang sama kerajaan Melayu tidak boleh ambil sebarang tindakan terhadap pihak Islamis dan pergerakan (Omar 2015 dan Reid 2014).

Di akhir Perang Dunia Kedua, Jepun sebenarnya telah cuba mengangkat sebuah idea di mana Sumatera akan menjadi negeri yang merdeka dan mempunyai ibu kota yang terletak di Bukittinggi. Perkara sama sebenarnya cuba diangkat oleh Belanda pada tahun 1948 dan 1949. Namun kedua-dua idea pihak Jepun dan Belanda tidak disokong oleh majoriti penduduk Sumatera kerana sejak tahun 1920-an lagi mereka berpendapat bahawa semua etnik yang berpelbagai di Sumatera hanya boleh bersatu di bawah semangat kebangsaan Indonesia (Reid 2005:18). Malahan, Jepun telah menghantar satu delegasi yang terdiri daripada beberapa wakil Sumatera ke Jakarta pada 11 Ogos 1945 agar mereka terlibat sama dengan prosiding yang akan akhirnya membawa kepada pengisytiharan kemerdekaan Indonesia (Omar 2015).

Kekayaan Raja-Raja Melayu Sumatera

Gambar: Istana Langkat di Tanjungpura ketika banjir pada tahun 1921. Sumber gambar: Wikipedia:https://id.wikipedia.org/wiki/Berkas:COLLECTIE_TROPENMUSEUM_Paleis_van_de_Sultan_van_Langkat_tijdens_een_banjir_Tandjoengpoera_TMnr_60021731.jpg

Menurut Reid (2014), pada tahun 1915 sahaja 39.2 peratus daripada hasil Deli, 37.9 peratus daripada hasil Langkat, dan 51.9 peratus daripada hasil Serdang telah masuk ke dalam perbendaharaan raja-raja Melayu Sumatera dan golongan bangsawan dalam bentuk royalti dan elaun. Sultan Langkat, Tuanku Machmoed (Mahmud) merupakan Sultan Melayu terkaya kerana menerima royalti minyak daripada Pengkalan Brandan. Pendapatan peribadinya pada tahun 1931 dianggarkan berjumlah f.472,094. Sultan Deli pula, Sultan Amaloedin, mempunyai pendapatan berjumlah f.184,568 manakala Sultan Serdang, Sultan Soeleiman (Sulaiman) mempunyai pendapatan berjumlah f.103,346 (Reid 2014:51).

Kekayaan ini telah membolehkan raja-raja Melayu membina istana-istana yang besar lagi gah, memiliki kereta-kereta mewah, kuda-kuda lumba, dan melawat negara-negara Eropah. Reid (2014) juga menyatakan bahawa pada awalnya perbelanjaan raja-raja Melayu ini agak terkawal, namun begitu disebabkan mereka sering bersaing antara satu sama lain mereka telah boros berbelanja sehinggakan mereka mengumpul hutang yang sangat tinggi. Semasa tercetusnya The Great Depression atau Zaman Meleset, harga bahan mentah telah merosot dan telah menjejaskan ekonomi Sumatera Timur terutamanya industri tembakau dan perkara ini juga telah menjejaskan pendapatan raja-raja Melayu sekaligus meningkatkan lagi hutang-hutang mereka. Hutang-hutang ini membuat kerajaan Belanda berasa kecewa kerana mereka terpaksa masuk campur untuk menjelaskan hutang-hutang tersebut (Reid 2014).

Seterusnya, kekayaan raja-raja Melayu ini telah mengundang rasa tidak puas hati beberapa pihak terhadap raja-raja Melayu Sumatera. Tetapi menurut Reid (2014) kebanyakan perasaan tidak puas hati dan komen ini adalah daripada penduduk di luar Sumatera dan bukannya penduduk tempatan. Menurut Reid (2014) lagi, bagi rakyat jelata mereka yang terdiri daripada orang Melayu dan Karo, ini bukan satu masalah bagi mereka. Hal ini demikian kerana, menurut beliau, Kurnia (2015), dan Windari (2017), rakyat Melayu dan Karo menerima manfaat daripada raja-raja Melayu mereka. Manfaat atau kebaikan yang mereka terima termasuklah:

1. Kaum pribumi dilarang bekerja sebagai kuli

Menurut (Kurnia 2015), Sultan Langkat telah melarang rakyat pribumi untuk bekerja sebagai kuli atau buruh kasar di kebun atau ladang. Oleh kerana itu, Belanda telah mengimport kuli-kuli atau buruh kasar dari pulau Jawa atau dari kawasan lain. Antara salah satu sebab mungkin kenapa Sultan Langkat melarang rakyat pribumi menjadi kuli atau buruh kasar pada masa itu ialah kerana penanam Eropah yang memiliki ladang atau estet di Sumatera telah melayan para pekerja mereka dengan buruk sekali dan tanpa berperikemanusiaan. Kezaliman ini boleh juga dapat diperhatikan di Semenanjung Tanah Melayu semasa era penjajahan British apabila ramai orang Melayu telah menjauhi industri perlombongan dan penanaman getah kerana kuli-kuli yang bekerja di dalam industri-industri tersebut dilayan dengan buruk sekali seakan-akan mereka itu dilayan seperti haiwan oleh majikan mereka (Alatas, dipetik Khalid 2014: 53).

2. Bantuan dana, beras, minyak dan tanah diberikan kepada rakyat pribumi yang kurang mampu.

Menurut Kurnia (2015) lagi, Sultan Langkat juga telah memberikan bantuan kepada rakyat pribumi yang kurang mampu dalam bentuk dana, beras, minyak, tanah, peminjaman, dan geran pemilikan tanah untuk tujuan komersial perladangan.

Selain itu, setiap tahun pada malam 27 Ramadhan, Sultan Langkat akan mengumpulkan seluruh rakyat jelata di masjid atau istana dan akan mengeluarkan sedekah atau zakat bernilai f. 2.50 untuk setiap orang. Walaupun jumlah ini bernilai sangat sikit pada zaman kini, tetapi pada zaman itu, wang berjumlah itu sebenarnya cukup untuk membeli beras sebanyak 50 kati (30 kg). Selain daripada bantuan zakat ini, Sultan Langkat akan mengedarkan minyak lampu yang digunakan oleh rakyat jelata sebagai penerangan di bulan Ramadhan.

3. Rakyat yang menyerahkan tanah-tanah mereka kepada raja atau datuk telah mendapat pampasan dan keuntungan.

Pada abad ke-19, kebanyakan penduduk pribumi Sumatera, terutamanya para petani yang tinggal di Deli dan Langkat, telah diminta untuk menyerahkan tanah-tanah mereka kepada raja-raja mereka. Menurut Reid (2014), para penduduk yang berbuat sedemikian akan diberi kontrak dan dalam kontrak tersebut ada klausa khas yang menyatakan tanah sebanyak 4 hektar akan diberikan (kemudian berubah kepada 2.8 hektar) kepada rakyat pribumi untuk mereka bercucuk tanam. Kontrak tersebut juga menyatakan bahawa para petani perlu bertukar tanah dengan pemilik estet tembakau secara bergilir.

Tujuannya ialah untuk mengimplementasikan sistem penanaman secara giliran. Setiap 8 atau 9 tahun, satu petak tanah akan dikhaskan untuk penanaman tembakau sahaja. Oleh kerana itu, sistem penanaman secara giliran ini membolehkan para petani untuk menuai hasil pertanian dalam jangka masa satu tahun selepas estet menuai hasil tembakau mereka. Setiap tahun, sebuah keluarga akan diberikan jaluran atau tanah subur sebanyak 0.6 hektar oleh estet. Menurut Reid (2014), tanah yang diberikan ini boleh memberikan sebuah keluarga hasil penuaian padi sebanyak 600 gantang atau 1,920 kilogram dengan menggunakan tenaga buruh yang sikit sahaja:

“Each family was allotted each year a jaluran of 0.6 hectare of this ‘heavily fertilized, beautifully prepared, and generally superior land’. Such a plot could provide a generous harvest of 600 gantangs (1920 kg) of rice for a minimal amount of labour.”

Ternyata insentif untuk mendapat tanah sebanyak 4 hektar atau 0.6 hektar ini telah menarik minat para petani Melayu. Kebanyakan petani Melayu yang mendapat tanah ini telah mengubah tanah ini menjadi dusun atau memajak tanah tersebut kepada orang Cina dan Jawa (Reid 2014). Pada awalnya, kontrak yang ditawarkan oleh pihak estet tidak mempunyai piawaian yang khas berkaitan beberapa banyak tanah yang patut ditawarkan. Oleh kerana itu, terdapat penduduk pribumi yang berdegil dan menolak tawaran estet yang mengakibatkan pihak estet menawarkan lebih banyak jaluran atau tanah untuk memujuk mereka. Justeru, akta-akta baru telah diperkenalkan yang meminta estet-estet untuk menawarkan tanah berdasarkan piawaian yang ditetapkan (Reid 2014).

4. Cukai yang rendah dan kehidupan yang selesa?

Cukai-cukai yang dikenakan ke atas penduduk dalam kawasan kerajaan-kerajaan Sumatera Timur agak rendah. Menurut Reid (2014), kebanyakan golongan bangsawan telah dikecualikan cukai herendienst iaitu cukai yang perlu dibayar kepada pemerintah. Malahan, raja-raja pada masa itu tidak mengenakan cukai ini ke atas rakyatnya kerana berpendapat cukai ini ialah bebanan. Orang Melayu pada masa itu hidup selesa dan berasa terjamin kerana masih memiliki tanah tradisi atau tanah adat mereka. Tambahan pula, kewujudan estet-estet ini telah memberikan orang Melayu satu sumber pendapatan yang terjamin yang seterusnya memberikan mereka kehidupan yang selesa (Reid 2014).

5. Reformasi pendidikan dan pentadbiran.

Di Siak, Sultan Sjarif Kasim (1915-1946) dikenali oleh rakyatnya sebagai seorang pemerintah yang telah menjalankan reformasi ke atas sistem pendidikan dan pentadbiran Siak. Setelah Indonesia merdeka, baginda telah mengambil langkah untuk mendemokrasikan pentadbirannya supaya ia sejajar dengan prinsip dan semangat Republik. Tindakan Sultan Siak menjalankan reformasi telah mengundang rasa tidak puas hati Belanda yang melihat tindakan Sultan Siak sebagai tindakan “merdeka” dari pengaruh Belanda, keterbelakang, dan korup (Reid 2014:49).

Di Langkat, Sultan Abdul Aziz (1897-1927) telah membangunkan banyak institusi atau fasiliti keagamaan seperti masjid-masjid dan santri (sekolah berasrama penuh). Madrasah Maslurah merupakan sekolah khas untuk kaum wanita manakala Madrasah Aziziah dan Madrasah Muhamudiyah khas untuk kaum lelaki. Guru-guru yang bertugas di dalam madrasah-madrasah ini juga pernah menuntut di Timur Tengah seperti di Mesir, Mekah, dan Madinah. Pada tahun 1930 sahaja terdapat seramai dua orang ribu orang murid yang menuntut di madrasah-madrasah ini (Windari 2017).

Gambar: Masjid Azizi, Tanjungpura, pada tahun 1921. Sumber gambar: Wikipedia: https://ms.wikipedia.org/wiki/Fail:COLLECTIE_TROPENMUSEUM_De_Azizi_Moskee_Tandjoengpoera_TMnr_60021732.jpg

Pada tahun 1904, sekolah-sekolah Belanda telah didirikan dengan memakai nama Langkat School.  Sekolah ini khas untuk para bangsawan Melayu dan beberapa murid yang terpilih daripada pejabat tinggi pemerintahan. Kemudian, pada tahun 1916 sekolah ini dinamakan semula sebagai Hollandsch Inlandsche. Perubahan ini menurut Windari (2017) merupakan hasil bentuk kerjasama kerajaan Langkat dengan Belanda. Reformasi pendidikan yang dijalankan oleh Sultan Langkat boleh dikatakan sebagai permulaan pendidikan formal di Sumatera Timur. Ramai tokoh-tokoh hebat telah lahir daripada reformasi pendidikan ini termasuklah Sheikh H. Abdullah Afifuddin, Sheikh H. Abdurrahim, Abdullah, Sheikh H. Salim Fakhri, Sheikh H. Abdul Hamid Zahid, H. Adam Malik (Mantan Naib Presiden Indonesia ke-3), Prof. Dr. H. Abdullahsyah (Ketua MUI Sumut) dan Tengku Amir Hamzah (Kurnia 2015 dan Windari 2017).

Gambar: Potrait Adam Malik, Mantan Naib Presiden Indonesia ke-3. Sumber gambar: Wikipedia. https://id.wikipedia.org/wiki/Berkas:Adam_Malik_Batubara_Official_Portrait.jpg

Dengan semua kebaikan dan keistimewaan yang diberikan oleh Sultan Melayu kepada rakyatnya, kenapa akhirnya Kesultanan-kesultanan Melayu Sumatera Timur dijatuhkan dalam Revolusi Sosial Sumatera Timur?

1. Raja-Raja Melayu didakwa sebagai tali barut Belanda yang juga dipergunakan oleh Belanda sebagai alat penjajahan.

Di Sumatera Timur, penjajah Belanda telah mengimplementasikan penjajahan secara tidak langsung atau dalam Bahasa Belanda, indirect besturr melalui kerajaan-kerajaan Sumatera Timur termasuklah kesultanan-kesultanan Melayu (Said 1973). Penjajah Belanda telah membantu raja-raja Sumatera Timur mencapai kepentingan mereka dan perkara ini telah mengundang perasaan marah dalam kalangan penduduk tempatan terhadap raja-raja mereka (Said 1973). Selain itu, menurut Said (1973) dan Omar (2015), raja-raja ini telah digunakan oleh penjajah Belanda untuk mengenakan cukai yang membebankan ke atas rakyat mereka dan mengaut hasil bumi Sumatera Timur.

Walau bagaimanapun, hujah mereka tentang bebanan cukai bercanggah dengan kenyataan Reid (2014) yang telah dinyatakan di atas apabila Reid (2014) berkata cukai yang dikenakan ke atas rakyat Sumatera Timur adalah ringan dan kadangkala cukai herendienst juga telah dikecualikan. Memetik kata-kata Reid (2014) sendiri:

“The tax burdens on subjects of the major sultanates was also relatively light. Most aristocrats were exempt from herendienst, and the rulers did not usually press it on subjects for whom it was a burden. For Malays content with their traditional lot, the estates had made life both secure and comfortable.”

2. Kemusnahan bidang pertanian dan tanah milik penduduk Batak Karo.

Menurut Said (1973), pada tahun 1863, raja-raja Sumatera Timur telah memusnahkan bidang pertanian pribumi dengan menyerahkan tanah-tanah milik rakyat mereka kepada penanam Eropah atau syarikat konsesi dengan syarat yang longgar hanya untuk meningkatkan pembukaaan ladang-ladang tembakau, kopi, dan lada di Sumatera Timur. Kebanyakan tanah-tanah yang diserahkan oleh raja-raja kepada penanam Eropah ini adalah milik rakyat tempatan dan tindakan ini berlawan dengan adat yang menyatakan bahawa tanah milik seseorang individu tidak boleh diambil tanpa persetujuan individu tersebut atau tanpa persetujuan masyarakat tempatan. Akibatnya, tindakan raja-raja ini telah menanam rasa marah dalam rakyat tempatan terutamanya rakyat Batak di Kesultanan Deli. Kemarahan ini kemudian bertukar menjadi satu pemberontakan yang dipimpin oleh Datuk Ketjil, Datuk Djalil, dan Sulung Laut pada tahun 1872 yang mahu menghalau Belanda keluar dari tanah-tanah mereka. Penjajah Belanda akhirnya telah masuk campur dan telah mengambil masa selama 7 bulan untuk menamatkan pemberontakan ini.

Namun begitu, menurut Reid (2014), konflik ini berlaku kerana terdapat perbezaan adat dan sistem pemilikan tanah antara orang Melayu dengan Batak Karo. Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, orang Melayu di Deli telah menyerahkan tanah mereka dengan sukarela kepada estet kerana mereka akan mendapat jaluran atau tanah sebagai pampasan. Menariknya, pada awalnya terdapat juga petani Batak yang menyerahkan tanah mereka untuk mendapat jaluran tembakau daripada estet.

Reid (2014) menjelaskan lagi yang unit sosio-politik Batak Karo terdiri daripada kampung (dipanggil kuta atau huta) yang dimiliki oleh sebuah klan atau marga. Pada peringkat ini Kuta yang juga bertanggungjawab mengawal pemilikan dan penggunaan tanah. Perbezaan adat Melayu dengan Batak Karo inilah yang telah menjadi punca konflik kerana Sultan-Sultan Melayu berpendapat bahawa tanah-tanah ini berada di bawah jajahan takluk mereka dan rakyat wajib menyerahkan tanah apabila diminta oleh pemerintah mereka. Persoalan bagaimana tanah-tanah Batak Karo ini termasuk ke dalam kawasan kerajaan Melayu adalah kerana semasa pemerintahan awal Belanda, Belanda telah membuat keputusan untuk memasukkan dusun-dusun dan tanah-tanah milik Batak Karo ke dalam kawasan kerajaan Melayu (Reid 2014:53).

Akhirnya, Belanda telah berbincang dengan orang Batak Karo pada tahun 1888 dan memberikan ketua-ketua Batak Karo 1/6 royalti estet sebagai pampasan. Seterusnya, orang Batak Karo juga telah menikmati kontrak yang sama seperti orang Melayu di mana mereka menerima jaluran atau tanah sebanyak 4 hektar (Reid 2014:53).

Waqaf Saham

Namun begitu sentimen ‘raja-raja adalah tali barut kepada penjajah’ masih lagi wujud dalam kalangan penduduk Batak untuk sekian lama sehinggakan semasa Jepun memasuki Sumatera Timur, tentera Jepun telah diminta oleh penduduk Batak Karo dan Simalungun untuk memansuhkan monarki (Omar 2015). Namun, memetik kata-kata Tengku Luckman Sinar (Tengku Lukman Sinar), yang merupakan seorang ahli kerabat diraja Serdang, beliau mendakwa bahawa kerajaan Serdang walaupun diancam penjajah Jepun, tidak menerima kutukan yang sama oleh rakyat tempatan kerana Serdang adalah anti-Belanda (Omar 2015).

3. Sumatera Timur tidak mahu menjadi sebahagian daripada Republik Indonesia?

Menurut Omar (2015), raja-raja Sumatera Timur tidak menyukai idea nasionalisme Indonesia dan melihatnya sebagai satu ancaman kepada kedudukan dan kepentingan mereka. Nasionalisme Indonesia menekankan kesamarataan untuk semua dan memperjuangkan satu identiti yakni Bangsa Indonesia, dan perkara ini akan membawa kepada pemansuhan monarki yang juga akan memadamkan jurang antara rakyat dan pemerintah (Omar 2015:27). Tambahan pula menurut Omar (2015), raja-raja Melayu pada awalnya melihat nasionalisme Indonesia sebagai satu ancaman kepada hak pribumi Sumatera Timur terutamanya kepada orang Melayu, dan raja-raja Melayu melihat diri mereka sebagai pelindung suku Melayu dan adat.

Pada tahun 1930-an, munculnya persatuan-persatuan Melayu yang ditaja oleh raja-raja Melayu. Persatuan-persatuan seperti Bangsawan Sepakat, Persatuan Sulaiman, Persatuan Kita, Bangsawan Langkat Sedjati, Persatuan Boemi Poetra Deli (Persatuan Bumiputera Deli), dan Persatuan Anak Deli Islam (PADI) telah menekankan pemeliharaan identiti kebangsaan dan kebudayaan Melayu. PADI cenderung kepada militan dan memujuk orang Melayu Deli untuk mempertahankan hak-hak mereka (Omar 2015). Idea-idea yang diperjuangkan persatuan-persatuan ini berlawan dengan nasionalisme Indonesia yang majoritinya didukungi oleh golongan bukan pribumi Sumatera Timur. Malangnya, persatuan-persatuan ini tidak pernah bersatu dalam menghadapi musuh mereka.

Kekalahan dan ketiadaan Jepun di Sumatera Timur setelah tamatnya Perang Dunia Kedua telah dilihat sebagai satu peluang oleh raja-raja dan para bangsawan Melayu untuk menjalankan pemerintahan feudal dan mengambil semula hak milik perkebunan dan estet mereka yang telah hilang semasa penjajahan Jepun (Sinuhaji 2007). Tambahan pula, Raja-raja Melayu juga telah cuba berhubung dengan Tentera Berikat, terutamanya Belanda yang telah membuat golongan Republik dan pergerakan berasa sangsi terhadap mereka (Omar 2015).

Setelah Indonesia mencapai kemerdekaan, beberapa orang tokoh Sumatera yang terlibat dalam delegasi ke Jakarta untuk melihat pengisytiharaan kemerdekaan Indonesia telah dilantik untuk menjawat jawatan tinggi dalam kerajaan. Tokoh-tokoh ini termasuklah Teuku Mohammad Hasan, Dr. Mohammad Amir, dan Abdul Abbas. Teuku Mohammad Hasan telah dilantik menjadi Gabenor Sumatera manakala Dr. Mohammad Amir telah menjadi pembantunya. Setelah mereka bertolak dari Pulau Jawa, mereka telah berhenti di Sumatera Selatan dan mengarahkan anak-anak buah mereka untuk menubuhkan cawangan Komite Nasional Indonesia (KNI) di seluruh Sumatera.

Namun begitu, semasa ketiga-tiga tokoh ini berada di Taratung, Tapanuli Utara, mereka telah dikejutkan oleh berita yang dibawa oleh seorang rakan seperjuangan mereka yang mengatakan bahawa ramai ketua nasionalis Indonesia di Sumatera Timur telah lari keluar dari sana kerana para pemerintah tradisional telah mengambil kesempatan ke atas kekosongan kuasa dengan merampas kuasa daripada Jepun dan sedang memburu sesiapa sahaja yang pernah bekerjasama dengan Jepun (Omar 2015).

Berita ini telah membuat mereka berasa sangat kecewa terhadap raja-raja Sumatera Timur. Namun begitu, tidak diketahui oleh mereka, dakwaan tersebut tidak benar dan merupakan satu khabar angin sahaja. Dakwaan tersebut mula muncul apabila Tengku Mansoer (Mansor), yang merupakan seorang kerabat diraja Asahan telah menjemput wakil-wakil kerajaan Melayu dan wakil-wakil pergerakan untuk satu mesyuarat. Dalam mesyuarat tersebut, mereka sebulat suara untuk menubuhkan satu jawatankuasa untuk menjelaskan kepada tentera bersekutu, terutamanya Belanda, kenapa penduduk tempatan telah bekerjasama dengan Jepun. Malangnya, disebabkan berita dan informasi mengenai jawatankuasa ini tidak begitu jelas, terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab yang telah menyebarkan khabar angin dan fitnah. Oleh kerana hal yang demikian, ramai orang yang mendengar berita ini tidak tahu untuk membezakan fakta dari auta (Omar 2015).

Pada bulan September, Teuku Mohammad Hasan dan Mohammad Amir telah menjemput pihak kerajaan Melayu sebanyak dua kali untuk memujuk mereka dalam membantu menubuhkan cawangan-cawangan KNI. Namun, kedua-dua percubaan mereka telah gagal dan perkara ini membuatkan mereka berasa curiga terhadap kerajaan-kerajaan Melayu. Bagi mereka, tindakan ini seakan-akan menampakkan yang kerajaan-kerajaan Melayu tidak berminat untuk menyertai Republik yang lebih rela untuk menunggu kembalinya Belanda.

Rententan insiden ini, pihak pergerakan dan golongan pemuda telah menubuhkan Badan Pemuda Indonesia (BPI) yang kemudian telah mengisytiharkan kemerdekaan secara terbuka di kota Medan. Ketiadaan wakil kerajaan-kerajaan Melayu di pengisytiharaan kemerdekaan tersebut membuatkan BPI dan para penyokong Republik berasa marah terhadap raja-raja Melayu. Perkara ini juga telah memarakkan lagi api kemarahan di mana golongan pergerakan dan sesetengah peyokong Republik ingin memansuhkan monarki Melayu di Sumatera Timur.

Namun begitu, Teuku Mohammad Hasan tidak mengalah dengan begitu sahaja, beliau telah cuba menggabungkan atau memasukkan kerajaan Melayu ke dalam Republik dengan harapan perkara ini akan mewujudkan kerjasama antara dua pihak ini. Beliau telah melantik beberapa wakil kerajaan atau ahli kerabat diraja untuk menjawat jawatan dalam pentadbiran Republik. Contohnya, Tengku Mansoer telah dilantuk menjadi Inspektor Kesihatan Sumatera manakala Tengku Bahriun dan Tengku Dhamrah telah dilantik menjadi pegawai kerajaan yang akan membantu gabenor.  Teuku Mohammad Hasan berharap tindakan ini dapat memujuk kerajaan-kerajaan Melayu untuk menyertai Republik. Malangnya, harapannya tidak dapat direalisasikan kerana kerajaan-kerajaan Melayu pada masa itu masih tidak mahu meyesuaikan diri dan tidak mahu menyertai Republik kerana perbezaan politik (Omar 2015).

Satu mesyuarat telah dianjurkan oleh Sultan Langkat pada 12 Januari 1946 atas permintaan Dr. Amir yang juga dihadiri oleh wakil-wakil kerajaan Melayu lain seperti Deli dan Serdang. Wakil-wakil Republik pun dijemput ke mesyuarat tersebut. Di dalam mesyuarat tersebut, Dr. Amir telah menyatakan bahawa kerajaan Solo dan Jogja, walaupun masih beraja, mempunyai hubungan yang baik dengan Republik. Hal ini demikian kerana, kedua-dua kerajaan tersebut diberikan status daerah istimewa oleh kerajaan Republik. Seorang lagi wakil Republik, Luat Siregar, meminta agar kerajaan-kerajaan yang diberikan status daerah istimewa ini untuk mengimplementasikan demokrasi secepat mungkin (Omar 2015). Mesyuarat tersebut berterusan dengan kedua-dua pihak mengemukakan pelbagai cadangan dan idea.

Akhirnya, anggota-anggota mesyuarat tersebut telah bersetuju untuk mengambil dua tindakan. Pertama, Sultan-Sultan Melayu serta pembesar mereka akan menubuhkan Majlis Perwakilan Rakyat, dan kedua, sebelum Majlis ini ditubuhkan, mereka perlu menerima KNI yang ditubuhkan di daerah-daerah mereka sebagai Majlis Perwakilian Rakyat untuk sementara waktu. Walau bagaimanapun, menurut Omar (2015), mesyuarat tersebut tidak menjelaskan tindakan yang akan diambil untuk menegaskan pengimplementasian ini.

Masih keliru?

Omar (2015) sempat mewawancara beberapa kerabat diraja yang terselamat daripada pembunuhan Revolusi Sumatera Timur. Antara sebab-sebab lain kerana kerajaan-kerajaan Melayu Sumatera Timur menolak idea untuk mendemokrasikan kerajaan-kerajaan mereka termasuklah:

  1. Ketidakupayaan dan kegagalan Republik mengekalkan undang-undang dan ketenteraman secara efektif di Sumatera.
  2. Jika kalau kerajaan-kerajaan Melayu mendemokrasikan pemerintahan mereka tanpa sebarang jaminan yang hak-hak pribumi Sumatera Timur akan dilindungi, anak Sumatera Timur atau pribumi Sumatera Timur akan diancam dan dibanjiri oleh kaum bukan pribumi Sumatera Timur terutamanya orang Jawa (Tengku Mochtar Aziz, Tengku Razali Hafaz, Tengku Ziwar, dan Tengku Aziz Putra, dipetik Omar 2015).
  3. Tidak ada sesiapa yang tahu pihak yang mana akan menang dalam konflik antara Belanda dan Indonesia di Sumatera. Belanda pada awalnya dapat mengawal dan mententeramkan situasi di Medan. Kerajaan-Kerajaan Melayu pada masa itu tidak mahu terlibat dalam mana-mana konflik atau memilih pihak. Mereka melihat konflik ini seperti peribahasa ‘Gajah sama Gajah berjuang, pelanduk di tengah-tengah’. Oleh kerana hal yang demikian, kerajaan-kerajaan Melayu memilih untuk menunggu dan memerhati sahaja (Omar 2015).
  4. Kerajaan-kerajaan Melayu telah meminta Republik untuk memberikan mereka pesuruhanjaya tinggi seperti yang terdapat di kerajaan-kerajaan Jawa supaya mereka dapat berhubung terus dengan kerajaan Republik di Jawa dan bukan berhubung melalui pentadbiran daerah (Tengku Jafizham, dipetik Omar 2015). Walau bagaimanapun, permintaan mereka ini ditolak pada awalnya oleh Mohammad Hasan kerana beliau ingin melihat suatu kerjasama dibentuk antara kerajaan Melayu dan Republik sebelum meluluskan permintaan tersebut. Mohammad Hasan juga berkata bahawa kerajaan-kerajaan di Jawa mendapat pesuruhanjaya tinggi sebagai balasan untuk membantu Republik (Reid 2014).

Namun begitu bukan semua Sultan Melayu Sumatera menolak Republik. Contohnya, Sultan Sjarif Kasim dari Siak, bersama-sama dengan kaum kerabatnya serta para pembesar Siak telah menyatakan sokongan mereka kepada Republik. Baginda memeluk prinsip kedaulatan rakyat yang ditekankan oleh Republik malahan telah menderma sebanyak 20,000 rupiah untuk menyokong kerajaan Republik (Reid 2014 dan Omar 2015).

Tambahan pula, baginda juga telah berjanji untuk menjual barang-barang peribadinya untuk membantu Republik sekiranya diperlukan. Seterusnya, dalam satu majlis yang berlangsung di Medan pada 25 Januari 1946, Sultan Sjarif Kasim telah berikrar bahawa baginda dan kerajaan Riau akan menyokong Republik Indonesia serta mengubah struktur pentadbiran Siak supaya ia sejajar dengan semangat dan prinsip-prinsip demokrasi yang dinyatakan di dalam Perlembagaan. Majlis tersebut dihadiri oleh wakil-wakil kerajaan lain seperti Tengku Mansoer, Tengku Dzulkarnanin, Tengku Amir Hamzah, Tengku A. Hamid, dan Tengku Dhamrah.

Sultan Sjarif Kasim juga berpendapat bahawa dengan menyertai dan menyokong Republik, kesultanan-kesultanan Melayu akan menjadi lebih hebat dengan adanya kedaulatan rakyat:

The policy of people’s sovereignity in the administration of the Republic of Indonesia, in reality, will enhance the greatness of the sultanates and not lessen it as perceived by certain quarters. In the days of Dutch colonialism and during the Japanese subjection, the position of the sultans and rajas was not more than that of a concubine…and certainly not as the lady of the house. If during the days of my ancestors. The rakyat had to obey all the raja’s commands, now this must of itself cease because the rakyat are now capable and have the right and duty to be responsible for the progress of government. The consciousness of the rakyat eases the efforts to run the nation’s administration and smooths the wheels of government.”- (Soeloeh Merdeka, dipetik Omar 2015).

Disebabkan tekanan untuk mendemokrasikan kerajaan-kerajaan Sumatera Timur semakin hebat, satu mesyuarat telah diadakan pada 3 Februari 1946 yang dihadiri oleh kelima-lima kerajaan Melayu Sumatera Timur. Kehadiran mereka menurut Teuku Mohammad Hasan, menunjukkan bahawa mereka menyokong Republik dan beliau menyakinkan mereka bahawa kerajaan-kerajaan Melayu tidak akan dihapuskan dan sebaliknya akan diterima dengan baik oleh kerajaan Indonesia kerana Perlembagaan Indonesia mengiktiraf kerajaan zelfbestuur iaitu daerah berkerajaan sendiri atau self-governing districts dalam Bahasa Inggeris. Mohammad Hasan juga berkata yang para pemerintah tradisional akan menyimpan pangkat-pangkat mereka tetapi peranan-peranan mereka adalah ‘constitutional’ (Omar 2015). Dalam kata-kata lain para pemerintah tradisional ini akan menjadi raja berperlembagaan.

Menariknya, Sultan Mahmud (Sultan Langkat) yang berperanan sebagai jurucakap bagi pihak kerajaan-kerajaan Melayu pada masa itu berkata dan telah berikrar untuk menyokong Republik malahan telah mengakui keperluan untuk mendemokrasikan pentadbiran mereka supaya ia sejajar dengan prinsip kedaulatan rakyat yang dipegang oleh Republik. Manakala menurut Tengku Mochtar Aziz, adik Sultan Langkat, beliau menjelaskan bahawa raja-raja dan Komite Nasional Pusat Sumatera Timur telah bersedia untuk bekerjasama dengan pemerintah republik di Yogyakarta (Zuhra 2016). Dalam mesyuarat ini juga, mereka bersepakat untuk membentuk daerah Sumatera Timur dengan memakai konsep demokrasi. Pemerintahan baru ini disasarkan untuk bermula pada bulan Mei tahun tersebut, namun malangnya tidak terjadi kerana berlaku pembantaian pada bulan Mac:

“Pada 1 September 1947, Tengkoe Mochtar Aziz, adik dari Sultan Langkat menyampaikan pidato di Pusat Radio Resmi Indonesia. “Di sini, bukan maksud saya hendak membuat propaganda, melainkan menerangkan apa yang sebenarnya terjadi. Supaya seluruh rakyat di Kepulauan Indonesia dapat mengetahui dan menimbangnya dengan sebaiknya,” ujar Mochtar Aziz membuka pidatonya…”

Bagian awal pidato Mochtar Aziz berisi penjelasan tentang kesediaan kesultanan-kesultanan di Sumatera Timur bekerja sama dengan pemerintah republik di Yogyakarta. Dia menerangkan, sebulan sebelum pembantaian dilakukan, raja-raja dan Komite Nasional Pusat Sumatera Timur mengadakan pertemuan di Kota Medan. Pertemuan itu menghasilkan kesepakatan untuk membentuk daerah Sumatera Timur dengan demokrasi.

Para raja menargetkan pemerintahan yang baru bisa berjalan mulai Mei tahun itu. Sayangnya, pembantaian membuat apa yang mereka sepakati tak pernah terjadi.” – (Pidato Tengku Mochtar Aziz bertarikh 1 September 1947, dipetik Zuhra 2016).

Selepas mesyuarat ini, kerajaan-kerajaan Melayu telah mengambil langkah-langkah dalam mendemokrasikan pentadbiran mereka malahan telah menubuhkan jawatankuasa untuk berbincang mengenai struktur-struktur demokratik yang dicadangkan untuk kerajaan mereka. Seterusnya, setelah jawatankuasa tersebut selesaikan tugas pertama, mereka telah menyediakan satu draf tentang jenis Majlis Perwakilan Rakyat yang akan ditubuhkan dan siapa yang layak untuk menganggotainya (Omar 2015).

Walau bagaimanapun, perubahan yang lambat ini tidak disukai oleh golongan pergerakan, malahan terdapat beberapa orang yang berfikiran untuk melancarkan perubahan yang radikal untuk mengatasi halangan yang dibawa oleh kerajaan-kerajaan Melayu ini. Dalam kalangan pendokong Republik dan pergerakan sendiri juga terdapat perpecahan antara dua pihak – Pihak sederhana dan pihak radikal.

Pihak sederhana mahu menekankan pendekatan yang tidak ganas dan ke arah bekerjasama dengan raja-raja dan bangsawan Melayu serta memujuk mereka untuk menjadi sebahagian daripada Republik manakala pihak radikal mahu menggunakan kekerasan (Sinuhaji 2007). Seorang tokoh KNI Sumatera yang bernama Saleh Umar, dengan beraninya telah beritahu wakil-wakil kerajaan Melayu di depan muka mereka bahawa mereka itu kolot dan berbau feudal (Omar 2015).

Malangnya, jalan penyelesaian yang dibawa oleh pihak radikal disokong oleh golongan pemuda. Golongan kuli pada masa ini juga ingin membalas dendam terhadap penjajah Belanda dan Jepun dan terhadap sesiapa sahaja yang mereka anggap telah bekerjasama dengan penjajah terutamanya golongan pemerintah dan para bangsawan Melayu. Akhirnya, perbezaan dan pertembungan kepentingan penyokong Republik, monarki Melayu, dan golongan kuli telah membawa kepada konflik bersejarah Sumatera Timur.

Gambar: Pengenalan ringkas Tengku Amir Hamzah. Sumber gambar: tirto.id https://tirto.id/bagaimana-amir-hamzah-dibunuh-71-tahun-lalu-cltB

Bangsa Sumatera Timur atau Bangsa Indonesia?

Para pemerintah tradisional apabila berbincang dan berunding dengan Republik sering membahaskan diri mereka sebagai bangsa Sumatera Timur dan menegaskan beberapa kali yang mereka ingin mempertahankan hak dan identiti bangsa Sumatera Timur. Perkara ini mengundang rasa sangsi dalam kalangan golongan pergerakan dan Republik yang melihat kenyataan ini sebagai satu cubaan untuk memisahkan diri mereka daripada Bangsa Indonesia.

Tambahan pula, Tengku Mochtar Aziz berpendapat bahawa pentadbiran Sumatera Timur hanya perlu diwakili oleh ‘anak Sumatera Timur (baca: pribumi dan orang asli Sumatera Timur)’ sahaja manakala orang luar tidak patut diberikan peluang ini sehinggalah mereka berasimilasi dengan masyarakat Sumatera Timur serta memahami realiti politik zelfbestuur (Mochtar Aziz, dipetik Omar 2015).

Bagi penyokong Republik, perkara ini tidak masuk akal langsung kerana mereka percaya mereka semua adalah satu bangsa yakni Bangsa Indonesia dan mempunyai hak sama rata.

Revolusi Sosial Sumatera Timur 1946

Gabenor Sumatera, Teuku Mohammad Hasan bersama dengan pembantunya, Dr. Mohammad Amir telah cuba sedaya upaya untuk menjadi perantara antara golongan pergerakan dan golongan kerajaan Melayu. Namun begitu mereka sering menemui kegagalan dan selalu dipaksa untuk menurut permintaan golongan pergerakan.

Seperti yang telah dinyatakan oleh Sinuhaji (2007) di atas, dalam kalangan pendokong Republik dan pergerakan sendiri terdapat perpecahan antara dua pihak – Pihak sederhana dan pihak radikal.

Pihak sederhana mahu menekankan pendekatan yang tidak ganas dan ke arah bekerjasama dengan raja-raja dan bangsawan Melayu serta memujuk mereka untuk menjadi sebahagian daripada Republik manakala pihak radikal mahu menggunakan kekerasan (Sinuhaji 2007). Pihak radikal ini diketuai oleh Persatuan Perjuangan, sebuah organisasi komunis yang ditubuhkan oleh Tan Malaka. Organisasi tersebut diwakili anggota dari Parti Komunis Indonesia (PKI), Parti Nasionalis Indonesia (PNI), dan Pemuda Sosialis Indonesia (PESINDO).

Selain itu, disebabkan reformasi mengambil masa yang sangat perlahan dan terdapat juga golongan daripada pihak pergerakan yang berasa risau bahawa sekiranya Republik berkrompomi dengan kerajaan, ia mungkin akan menghidupkan semula kerajaan-kerajaan Melayu (Reid 2014).

Dr. Mohammad Amir telah cuba memujuk golongan pergerakan untuk tidak mengangkat senjata terhadap raja-raja Melayu dan memahukan perubahan melalui perundingan aman. Beliau telah meminta golongan pergerakan untuk menunggu kembalinya Teuku Mohammad Hasan yang pada masa itu berada di luar Medan. Namun begitu dalam satu pertemuan antara ketua-ketua Persatuan Perjuangan, para ketua telah mengutarakan beberapa bukti yang menunjukkan bahawa Raja-Raja Melayu ada berhubung dengan Belanda. Bukti-bukti ini telah memarakkan lagi kemarahan golongan pergerakan yang memahukan kemerdekaan (Reid 2014). Oleh hal yang demikian, golongan pergerakan telah mengangkat senjata dan seterusnya mengambil tindakan. Menurut Reid (2014), mereka ada tiga agenda termasuklah:

  • Memansuhkan dan membuang raja-raja Melayu yang dilihat penghalang kepada kemerdekaan dan sebagai tali barut Belanda.
  • Menangkap penyokong-penyokong kerajaan Melayu
  • Merampas kekayaan raja-raja Melayu dan menggunakannya untuk perjuangan mereka.

Fitnah?

Walau bagaimanapun, terdapat dakwaan bahawa bukti-bukti yang diutarakan oleh ketua-ketua Persatuan Perjuangan tidak betul seperti yang dijelaskan oleh Bakti (2016). Menurut beliau, pada 22 Oktober 1945, beberapa tentera berikat telah menduduki beberapa daerah-daerah penting di Langkat untuk melucutkan senjata dari askar-askar Jepun yang masih lagi berada di situ. Mereka juga telah mengadakan kunjungan kehormatan kepada Sultan Langkat yang merupakan pemerintah daerah-daerah tersebut. Kunjungan kehormatan ini dikatakan telah digunakan oleh pihak komunis dan sekutu mereka untuk memfitnah Sultan Langkat sebagai anti-Republik (Sinar, dipetik Bakti 2016). Walaupun begitu, ini tidak bermaksud Bakti (2016)  menafikan faktor-faktor lain yang mungkin telah mengakibatkan jatuhnya kesultanan-kesultanan Melayu.

Korban dan kezaliman

Penangkapan para bangsawan dan penyokong kerajaan dilakukan di seluruh Sumatera Timur oleh Barisan Harimau Liar (BHL) yang merupakan pasukan militan pergerakan. Di Tanjung Balai dan Tanjung Pasir, semua bangsawan telah ditangkap dan kemudian dibunuh. Menariknya juga, terdapat segelintir raja-raja Batak di Sumatera Utara yang telah menjadi sasaran BHL semasa tercetusnya revolusi ini.

Contohnya, menurut Reid (2014), Raja Pane dan Raja Purba yang merupakan antara raja-raja di Sumatera Utara telah ditangkap oleh BHL. Raja Pane ditangkap bersama-sama keluarganya oleh BHL, semua harta Raja Pane telah dirampas sebelum baginda dibawa ke salah satu kubu BHL dan dibunuh di sana bersama-sama para pengikutnya. Raja Purba bernasib baik kerana telah berjaya diselamatkan oleh sebuah unit Tentera Republik Indonesia (TRI).

Di Silimakuta pula, Raja Silimakuta bernasib baik kerana tidak berada di sana semasa istananya dikepung BHL. Walau bagaimanapun, istananya telah dibakar hangus oleh BHL. Selain itu, menurut Reid (2014), di Binjai, Sumatera Utara, PESINDO telah bertindak menangkap wakil-wakil kerajaan Melayu dan orang Batak yang berpendidikan Belanda. Kebanyakan raja-raja Batak telah melarikan diri ke markas Tentera Keamanan Rakyat (TKR) di Permatang Siantar. Malangnya, terdapat beberapa ahli keluarga mereka yang tidak sempat melarikan diri dan telah menemui tadkir yang tidak bernasib baik.

Kesultanan Langkat

Pada malam revolusi, pasukan pejuang pergerakan telah bertempur dengan Penjaga Istana Langkat (PIL) yang merupakan pasukan keselamatan peribadi Sultan Langkat. Namun disebabkan jumlah mereka yang sangat kecil, mereka dengan mudahnya telah dikalahkan oleh pasukan pejuang pergerakan. Dua orang puteri Sultan Langkat telah diperkosa di depan mata Sultan Mahmud manakala Tengku Amir Hamzah yang merupakan seorang penyair dan intelektual Melayu terkemuka juga telah dibunuh (Omar 2015, Bakti 2016 dan Zuhra 2017). Bangsawan-bangsawan Langkat yang telah ditangkap pada malam itu dipercayai telah diseksa sebelum dibunuh (Bakti 2016). Dianggarkan seramai 38 orang bangsawan Langkat telah dibunuh semasa tercetusnya pembantaian ini (Reid 2014).

Kesultanan Asahan

Beberapa unit Tentera Republik Indonesia (TRI) atau Tentera Keamanan Rakyat (TKR) pada awalnya telah berjaya menghalang pejuang pergerakan daripada memasuki halaman Istana Kesultanan Asahan. Walau bagaimanapun, disebabkan jumlah mereka yang sangat kecil berbanding pasukan pejuang pergerakan, mereka telah berjaya dikalahkan (Sinuhaji 2007). Tengku Mansor yang merupakan ahli kerabat Asahan terselamat kerana tidak berada di Tanjung Balai pada masa itu (Zuhra 2016).

Namun begitu, Tengku Musa bersama isterinya yang berbangsa Belanda serta keluarga mereka telah ditangkap oleh pasukan pejuang pergerakan sebelum dibunuh (Reid 2014 dan Omar 2015).

Tengku Hananiah, seorang lagi kerabat diraja Asahan, pada masa itu hamil tujuh bulan. Semasa pembantaian sedang berlaku, beberapa pejuang pergerakan telah pergi ke rumahnya dengan niat untuk membunuh Tengku Hananiah, namun membatalkan hasrat mereka selepas mendapat tahu beliau sedang hamil.

Rancangan mereka kemudian berubah dan telah mengambil keputusan untuk menahan Tengku Hananiah. Tengku Hananiah cuba melawan dan berkata beliau sedang menunggu suamiya, Mad Drail, yang pada masa itu sedang membeli ubat di Medan. Malangnya, tanpa pengetahuan beliau, suaminya telah dibunuh oleh pasukan pejuang pergerakan semasa dalam perjalananya kembali ke Tanjung Balai (Zuhra 2016). Pejuang-pejuang pergerakan mengendahkan alasan beliau dan telah mengangkut Tengku Hananiah bersama-sama ahli keluarganya yang lain ke rumah tahanan.

Di rumah tahanan terdapat beratus-ratus orang yang ditahan dan dimasukkan dalam bilik yang sempit. Semua barang kemas mereka dirampas. Tengku Hananiah telah melahirkan anaknya di rumah tahanan tersebut (Zuhra 2016).

Sesiapa yang bernama Tengku atau Wan akan ditangkap dan dibunuh.

Semasa Mad Drail berada di Medan untuk membeli ubat untuk isterinya, beliau kebetulan telah terserempak dengan Tengku Mansor. Tengku Mansor telah menasihati Mad Drail untuk tidak balik ke Tanjung Balai kerana revolusi sedang berlaku dan berkata mereka yang bernama Tengku atau Wan akan ditangkap dan dibunuh.

Beliau kemudian menambah dan berkata mereka yang bukan Melayu tetapi dekat dengan kesultanan pun telah menjadi korban revolusi. Malangnya, Mad Drail bertegas ingin kembali kepada isterinya yang sedang hamil. Pertemuan itu merupakan kali terakhir Tengku Mansor melihat kelibat Mad Drail.

Dianggarkan jumlah korban di Tanjung Balai adalah seramai 140 orang. Sultan Deli terselamat kerana dilindungi tentera British di Medan manakala Kesultanan Serdang terselamat kerana dilindungi TRI.

Kesimpulan

Revolusi Sosial Sumatera Timur 1946, tercetus kerana beberapa sebab termasuklah wujudnya ketegangan antara Republik, pergerakan (Komunis), dan kerajaan-kerajaan Melayu, bukan hanya kerana angkara komunis sahaja seperti yang pernah ditulis dalam artikel sebelum ini. Keadaan menjadi semakin keruh apabila golongan kuli yang sudah sekian lama dieksploitasi dan dizalimi oleh penjajah Belanda telah berdendam terhadap mereka yang dianggap sebagai tali barut penjajah terutamanya terhadap golongan pemerintah dan bangsawan.

Terdapat dakwaan yang mengatakan bahawa kerajaan-kerajaan Melayu pada masa itu tidak mahu kemerdekaan, namun perkara ini ternyata tidak betul kerana seperti yang dinyatakan di atas, wujudnya insiden-insiden di mana terdapat para pemerintah tradisional  yang telah menyatakan sokongan mereka untuk bekerjasama dengan Republik ke arah kemerdekaan.

Walaupun kerajaan-kerajaan Melayu pada awalnya tidak menunjukkan kerjasama dengan Republik tetapi melalui perundingan dan diplomasi mereka akhirnya telah bersetuju untuk menyertai Republik. Seterusnya, ternyata pihak pergerakan yang majoritinya diwakili organisasi komunis seperti PESINDO, PKI, dan PNI merupakan pihak ekstremis yang bertanggungjawab melancarkan revolusi ganas ini untuk mempercepatkan kemerdekaan dan pada masa yang sama menghapuskan monarki.

Mangsa-mangsa mereka bukan sahaja terdiri daripada raja-raja dan bangsawan Melayu Sumatera Timur, bahkan raja-raja dan bangsawan Batak di Sumatera Utara juga. Jika benar dakwaan bahawa monarki-monarki Sumatera tidak mahu merdeka dan tidak mahu bekerjasama dengan kerajaan Republik seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak, ia tetap tidak menjustifikasikan pembunuhan, penyeksaaan, penangkapan, dan pemerkosaan terhadap rakyat yang tidak berdosa semasa tercetusnya revolusi tersebut.

Revolusi ini seharusnya menjadi pengajaran kepada para pemerintah kini untuk tidak mengasingkan diri daripada rakyat dan sentiasa mendengar keluhan rakyat. Pada masa yang sama revolusi ini seharusnya menjadi pengajaran kepada kita semua untuk bersyukur dengan kemerdekaan kita yang telah dicapai melalui rundingan yang aman dan diplomasi bukannya dengan mengangkat senjata.

Rujukan

Abdullah, A. (2016) Conversations With Tunku Abdul Rahman. Singapore: Marshall Cavendish.

Bakti, A. (2016) ‘Konstruksi Melayu Saat Revolusi Sosial Sumatera Timur Di Kesultanan Langkat Di Dalam Surat Kabar’ Universitas Sumatera Utara [online] 2 (13), 1-9. available from < https://jurnal.usu.ac.id/> [29 August 2018]

Kurnia, R.D. (2015) ‘Sistem Pemerintahan Kesultanan Langkat’ Universitas Islam Negeri Sumatera Utara [online] 4 (1), 1-12. available from <http://jurnal.uinsu.ac.id/> [13 June 2018]

Khalid, M.A. (2014) The Colour of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia. Kuala Lumpur: MPH Group Publishing.

Milner, A. (2016) Kerajaan: Malay Political Culture on the Eve of Colonial Rule. Petaling Jaya: Gerakbudaya.

Omar, A. (2015) Bangsa Melayu: Malay Concepts of Democracy And Community, 1945-1950. 2nd edn. Petaling Jaya: Strategic Information and Research Development Centre.

Reid, A. (2014) The Blood of the People: Revolution and the End of Traditional Rule in Northern Sumatra. 2nd edn. Singapore: National University of Singapore.

Reid, A. (2005) An Indonesian Frontier: Acehnese and Other Histories of Sumatra. Singapore: National University of Singapore.

Sinuhaji, W. (2007) Patologi Sebuah Revolusi: Catatan Anthony Reid tentang Revolusi Sosial di Sumatera Timur, Maret 1946. Unpublished dissertation. Medan: Universitas Sumatera Utara.

Said, M. (1973) ‘What Was the “Social Revolution of 1946” in East Sumatra?’. trans. by Anderson, B. and Siagian, T. Southeast Asia Program Publications at Cornell University [online] 15, 145-186.  available from <www.jstor.org/> [12 June 2018]

Windari, S. (2016) Kesultanan Langkat Di Sumatera Utara Pada Masa Sultan Abdul Aziz (1897-1927 M). Unpublished dissertation. Yogyakarta: Universitas Islam Negeri Sunan Kalijaga.

Zuhra, W.U. (2016) Sumatera Timur Tanah Kucinta, Sumatera Timur Indonesia [online] available from <https://tirto.id/sumatera-timur-tanah-kucinta-sumatera-timur-indonesia-bBg7> [15 June 2018]

Zuhra, W.U. (2017) Bagaimana Amir Hamzah Dibunuh, 71 Tahun Lalu [online] available from <https://tirto.id/bagaimana-amir-hamzah-dibunuh-71-tahun-lalu-clt> [16 June 2018]

Bibliografi

Devita, S. (2014) Peranan Kejeruan Bingai Keberadaan Kesultanan Langkat Tahun 1824-1896 Abad Ke XIX. Unpublished Undergraduate thesis. Medan: Universitas Negeri Medan.

Kahin, G. (2003) Nationalism and Revolution in Indonesia. New York: Cornell Southeast Asia Program Publications.

Lagenberg, M. (1982) ‘Class and Ethnic Conflict in Indonesian’s Decolonization Process: A Study of East Sumatra’ Southeast Asia Program Publications at Cornell University [online] 33, 1-30. available from <www.jstor.org/> [12 June 2018]

Reid, A. (1971) ‘The Birth Of The Republic In Sumatra’ Cornell University [online] 12, 21-46. available from <ecommons.cornell.edu/> [13 June 2018]

*Artikel akan dikemaskini dari masa ke masa untuk menambah dan membetulkan informasi sekiranya diperlukan.