Negeri Terengganu Darul Iman yang terletak di bahagian pantai timur Semenanjung Malaysia, merupakan sebuah negeri yang bersempadan dengan negeri Kelantan Darul Naim di bahagian utara dan barat laut, manakala pada bahagian selatan dan barat daya, Terengganu bersempadan dengan negeri Pahang Darul Makmur. Negeri Terengganu ini secara keseluruhannya mempunyai lapan buah daerah utama, iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang, Dungun, Kemaman, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut.

Negeri Terengganu yang terkenal dengan keropok lekor serta kedudukannya sebagai bandaraya persisir pantai merupakan salah satu negeri yang sering menjadi tumpuan para pelancong dari dalam dan luar negara. Namun, tahukah anda bagaimanakah negeri Terengganu ini mendapat namanya?

Secara umumnya, sejarah sebenar mengenai bagaimana Terengganu ini mendapat namanya tidaklah begitu jelas. Namun, terdapat pelbagai kisah menarik yang boleh dikaitkan dengan penemuan kawasan dan nama Terengganu ini. Apa yang pasti, nama Terengganu yang ada kini adalah kekal sejak kali pertama ia diberi, berbeza dengan negeri-negeri lain seperti Pahang yang berasal daripada nama Inderapura. Antara kisah dan peristiwa menarik yang dikaitkan dengan penemuan nama Terengganu ialah:

1. Taring anu

Kisah ini dikatakan diketahui daripada Al-Marhum Sultan Umar, iaitu Sultan yang kesembilan memerintah negeri Terengganu, pada sekitar tahun 1839 hingga tahun 1876. Berdasarkan kisah baginda, pada zaman dahulu, sebelum kawasan tersebut dikenali dengan nama Terengganu, terdapat satu rombongan daripada negeri Pahang datang mengembara ke bahagian Hulu Terengganu, bertujuan untuk memburu.

Setibanya rombongan tersebut ke Sungai Terengganu Mati, salah seorang daripada mereka menemui sebatang taring yang yang berbeza daripada apa yang pernah mereka temui. Salah seorang telah berkata bahawa itulah ‘taring anu’, kerana telah lupa apakah nama asalnya. Dan perbualan ini berakhir di situ sahaja.

Beberapa hari kemudian, rombongan ini bertemu pula dengan seekor rusa di kawasan tersebut, lalu dibunuh oleh mereka. Apabila mereka membawa rusa itu pulang ke tempat perhentian mereka, terdapat beberapa orang lain yang tidak mengikuti aktiviti perburuan telah bertanya, “Di manakah kamu menemui rusa ini?” Maka telah dijawab oleh orang-orang yang berburu itu, “Di tempat taring anu.” Lama kelamaan nama tempat tersebut telah dipanggil sebagai Terengganu, seperti mana yang diceritakan dalam kisah ini.

2. Terangnya ganu

Kisah ini merupakan antara kisah terkenal yang dikaitkan dengan penemuan nama Terengganu. Menurut cerita orang-orang tua, pada zaman dahulu, terdapat suatu peristiwa di mana kelihatan ‘cahaya kilat memancar, di kaki langit’. Kejadian ini dikatakan berlaku pada suatu malam, di mana ramai penduduk duduk di tepi pantai di negeri Kelantan untuk menyaksikannya. Para penduduk berkumpul semata-mata untuk memerhatikan cahaya kilat yang terang benderang di langit, yang disertai dengan bunyi yang  dahsyat seumpama petir membelah langit, dan sinar cahaya yang terang itu dikatakan telah sampai hingga ke kawasan Kuala Terengganu.

Oleh kerana masyarakat pada waktu itu ingin memperingati had sempadan di mana berlakunya peristiwa cahaya terang benderang itu, maka, dinamakan tempat tersebut sebagai ‘Terang Ganu’ yang bermaksud terang hingga ke sana (terang ga nu – terang hingga nu = terang hingga ke sana). Lama kelamaan, nama tempat ini telah dikenali sebagai Terengganu.

Perkataan terang ganu ini turut merujuk kepada suatu lagi peristiwa lain, di mana suatu ketika dahulu, terdapat rombongan daripada Kelantan yang belayar hingga sampai ke kawasan Kuala Sungai Taring Anu (Kuala Terengganu). Sesampainya mereka di situ, cuaca begitu redup dan hujan turun renyai-renyai. Dan, pada waktu itu kelihatan suatu cahaya terang di langit yang dipanggil pelangi. Maka, bertanyalah rombongan Kelantan kepada masyarakat di situ, “Apa panggilan untuk cahaya tersebut di sini?” Dan mereka menjawab, “Kami memanggilnya ganu.”. Dan orang Kelantan membalasnya dengan berkata, “Terang sungguh ganu di sini.” Apabila rombongan tersebut pulang ke Kelantan, maka mereka terlah bercerita mengenai kisah ganu yang begitu terang di kawasan yang mereka singgah itu.

3. Sungai Terengan

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Persatuan Sejarah cawangan Terengganu, yang telah melawat kawasan sebuah sungai pada Julai 1975, terdapat kemungkinan bahawa nama Terengganu ini terbit hasil daripada nama Sungai Terengan. Muara sungai Terengan dikatakan telah berpecah dua, di bahagian kanan mudik telah menghala ke Sungai Kerbat, manakala di sebelah kirinya pula ialah Kuala Terengan dan Sungai Terengan. Terengan pada masa dahulu merupakan salah sebuah kampung di Hulu Terengganu.

Oleh kerana keadaan Sungai Terengan ini telah berpecah kepada dua bahagian, maka pada zaman dahulu, apabila ada orang yang mengembara daripada sebelah Hulu Pahang atau Hulu Kelantan dan sampai ke pecahan sungai tersebut, maka penduduk tempatan akan bertanya, “Ke manakah arah yang hendak dituju? Ke Terengan ni atau ke Terengan nu (Terengan sebelah sana)?”. Begitulah panggilannya sehinggalah nama tersebut bertukar menjadi Terengganu.

4. Terenggani

Terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa kemungkinan juga nama Terengganu ini berasal daripada perkataan Terenggani, iaitu suatu perkataan dalam bahasa Tamil yang bererti ‘tanah berbukit’. Nama ini dipercayai diberikan oleh para pelayar daripada India, yang sampai ke Terengganu pada masa itu, dan melihat keadaan muka bumi kawasannya yang berada di sepanjang laut dan berbukit bukau.

5. Ting Chia Hsia Lu, Ting Ka Ha Lou

Berdasarkan catatan sejarah, dikatakan bahawa para pelawat Cina yang datang ke kawasan Terengganu memberikan nama ‘Ting Chia Hsia Lu’ atau ‘Ting Ka Ha Lou’ (Kantonis) kepada kawasan tersebut. Selain itu, menurut catatan seorang ahli sejarah China, iaitu Chao Ju Kua, yang menulis pada tahun 1225 Masehi, telah menyebut Terengganu sebagai Tong Ya Nong dan Kelantan sebagai Kai Lan Tan, dan menamakan kedua-dua kawasan ini sebagai dua buah pelabuhan di kawasan pantai timur semenanjung. Terdapat juga nama-nama lain dalam bahasa Cina yang berkaitan dengan negeri Terengganu, iaitu Tin Ko Nou, Ting Kia Lou dan Ting Ko Lo.

6. Terenkanu

Nama Terenkanu ini telah ditemui tercatat pada Batu Bersurat yang ditemui di Kampung Buloh, Kuala Berang pada sekitar tahun 1887. Malah, terdapat juga catatan yang ditemui pada duit timah (pitis) yang bertarikh 1310H (1891 Masehi) di mana ia ditulis sebagai ‘terqanu’.

Kesimpulan

Ini merupakan antara kisah serta peristiwa menarik yang telah dicatatkan mengenai bagaimana negeri Terengganu ini mendapat namanya. Kebanyakan peristiwa ini telah banyak diceritakan oleh masyarakat dahulu kala dan diperturunkan kepada cucu cicit mereka sebagai suatu simbolik dan memperingati asal usul negeri tercinta. Penggunaan ‘Darul Iman’ sebagai gelaran bagi negeri Terengganu juga masih tidak dapat diketahui bila dan bagaimana ia bermula. Namun, sebagaimana yang dicatatkan dalam catatan sejarah Terengganu, Al-Marhum Sultan Umar yang memerintah Terengganu sekitar tahun 1839 hingga 1876, dikatakan telah menggelarkan negeri ini sebagai ‘Darus-Salam’.

Begitulah sedikit sebanyak sejarah dan asal usul nama negeri Terengganu sebagaimana yang diceritakan oleh masyarakat setempat dan catatan sejarah. Walau apapun sejarah dan asal usul yang diceritakan, ia haruslah dipelihara agar anak-anak pada masa akan datang tetap kenal dan mengetahui akan kisah unik di sebalik nama Terengganu ini.

Rujukan

Dato’ Setia Jasa Haji Muhammad Saleh Haji Awang (Misbaha). (1992). Sejarah Darul Iman Hingga 1361H = 1942M (Edisi Ketiga). Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Terengganu: Kuala Terengganu.

Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM). (2002). Warisan Terengganu: The Heritage of Terengganu. KUSTEM: Kuala Terengganu.

Warisan (1999). Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Terengganu: Kuala Terengganu.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Telah selesai viva untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan dan bakal bergraduat pada akhir tahun nanti. Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyata rasanya lebih kepada penulisan. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem).

Comments are closed.