Klaus Barbie: Dari Nazi Kepada CIA & BND

0
499
views

Sepanjang Perang Dingin atau lebih tepat pada tahun 60-an dan 70-an, lelaki ini merasa aman bila berada di Amerika Selatan. Dia merasakan dirinya kebal kerana tiada siapa dapat mengekstradisinya kembali ke Perancis untuk berhadapan dengan tuduhan jenayah perang dan kemanusiaan. Dan dia amat berterima kasih kepada Agensi Perisikan Pusat (CIA), Agensi Perisikan Jerman (BND) dan junta tentera Bolivia kerana tidak berbuat demikian. Ini kisah ketua polis rahsia Nazi bertukar menjadi aset perisikan dan rakan kongsi kartel dadah Amerika Selatan, Klaus Barbie.

Anak jati Godesberg, Wilayah Rhine, Jerman ini lahir pada 25 Oktober 1913. Satu sebab mengapa Barbie amat membenci orang Perancis berkemungkinan datang dari ayahnya sendiri, Nikolaus Barbie. Nikolaus dikerah menyertai tentera Jerman semasa Perang Dunia Pertama dan pengalaman perang mengubah kehidupannya 360 darjah. Dia cedera di leher semasa terlibat dalam Pertempuran Verdun dan dijadikan tawanan perang oleh pihak Perancis. Pengalaman tersebut menjadikannya seseorang yang pemarah dan kaki botol yang mendera anak-anaknya terutama Barbie sendiri. Atas sebab itu juga, untuk menjauhkan dirinya daripada sebarang unsur Perancis, Barbie menukar nama keluarganya Barbier kepada Barbie yang kita kenali sekarang.

Selepas menyertai Schutzstaffen pada tahun 1935 dan bergelar ahli rasmi parti Nazi pada tahun 1937, nama Barbie mula mencuri perhatian kepimpinan tertinggi Nazi Jerman. Selepas tentera Wehrmacht melancarkan kempen Blitzkrieg (Perang Kilat) dan menawan banyak negara Eropah dalam masa singkat, Barbie dihantar ke Amsterdam, Belanda dan ditugaskan mengesan dan menahan pemberontak dan orang Yahudi. Ketika inilah, kesadisannya sebagai penyeksa dan pembunuh mula dikenali tetapi ia naik ke satu tahap baru bila dihantar bertugas ke Perancis.

Pada tahun 1942, Barbie dihantar terlebih dahulu ke Dijon sebelum akhirnya dipindahkan ke Lyon dengan markas utamanya sebuah hotel bernama Terminus. Hotel tersebut menjadi pusat tahanan dan penyeksaan Barbie dan orang-orangnya dengan Penyembelih Lyon itu melakukan sendiri penyeksaan ke atas mangsanya. Dia gemar menggunakan kejutan elektrik ke atas mangsanya tetapi kadangkala turut menggunakan ancaman seksual dan memukul tahanan. Misalnya, seorang anak perempuan pemimpin penentangan Perancis menceritakan bapanya bernasib malang kerana ditahan oleh Gestapo. Selepas dibawa ke Terminus, Barbie memukul dan membuang kulitnya tatkala bapanya masih hidup sebelum merendam kepalanya dalam baldi berisi ammonia.

Figure 1: Jean Moulin

Berdasarkan kajian sejarawan dan penyelidik, seramai 14,000 tahanan mati di tangan Penyembelih Lyon itu. Salah satu mangsanya yang terkenal ialah figura penentangan Perancis, Jean Moulin. Moulin bukan saja ditahan, malah diseksa dan dibunuh Barbie. Sebagai membalas jasa menjahanamkan keupayaan pemberontak Perancis, Adolf Hitler mengurniakan Pingat Iron Cross Kelas Pertama kepada Barbie. Selain itu, dia juga bertanggungjawab menghantar 44 anak yatim piatu Yahudi ke kem tahanan Auschwitz selepas didapati bersembunyi di sebuah rumah anak yatim di sebuah perkampungan berhampiran Lyon pada 1944. Dan tatkala pihak Bersekutu semakin hampir menguasai Perancis semula, Barbie diarah mengumpul dan membunuh penentang partisan dan orang awam di Rehaupal.

Selepas tamat perang, Barbie segera melarikan diri ke Jerman untuk mengelak ditahan pihak berkuasa Perancis. Setibanya di situ, dia dan beberapa pegawai Nazi direkrut sebagai aset perisikan oleh pihak perisikan Amerika atau lebih tepat, Kor Risikan Balas Tentera (CIC) pada tahun 1947. Barbie ditugaskan memantau pergerakan perisik agensi perisikan Perancis yang beroperasi di blok Jerman yang dikawal Perancis. Ini disebabkan kebimbangan pihak Bersekutu bahawa agensi perisikan negara itu sudah ditembusi aset-aset blok komunis. Bila perkara tersebut diketahui Paris, ini menimbulkan kemarahan mereka kerana Barbie dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah sana tanpa kehadirannya atas tuduhan jenayah perang dan kemanusiaan. Untuk mengelak status Barbie terjejas, CIC dengan bantuan Vatican menyediakan identiti palsu Barbie di bawah nama Klaus Altmann dan membantunya melarikan diri ke Bolivia pada tahun 1951.

Berdasarkan fail BND, kerjasama Barbie dengan agensi berkenaan bermula dengan maklumat yang disediakan oleh Wilhelm Holm. Memandangkan ketika itu BND mempunyai anggota yang pernah berkhidmat bersama SS dan Gestapo, maka tidaklah mengejutkan bagaimana mereka mengenali Barbie semasa hari-hari pemerintahan Nazi Jerman. Salah seorang daripada mereka, Emil Augsburg yang juga bekas pakar SS di Eropah Timur pernah bekeerja dengan Penyembelih Lyon semasa di CIC. Pertubuhan Gehlen yang ditubuhkan bekas pegawai kanan perisikan Jerman, Reinhard Gehlen yang juga pelopor BND turut sedar kewujudan Barbie di Augsburg sebelum melarikan diri ke Bolivia. Ini berdasarkan satu dokumen BND bertarikh 1964 yang menunjukkan dia berkemungkinan tinggal di ibu negara Bolivia, La Paz.

BND yang hanya beroperasi di Eropah ketika itu mula mempertimbang mengembangkan operasi mereka di Amerika Selatan. Ini kerana pihak Barat ketika itu bimbang Bolivia yang diperintah junta tentera akan mengikut telunjuk Soviet. Dan melihat kepada kehadiran Altmann di La Paz, Altmann/Barbie dianggap orang paling sesuai untuk tugas itu. Pada tahun 1965, pemberi maklumat BND iaitu Holm melawat Barbie di rumahnya menerusi satu pertemuan yang diatur kenalan kedua-duanya. Semasa perjumpaan, Holm menggunakan alasan mahu mencari seorang ejen untuk sebuah syarikat di Hamburg dan ingin tahu sama ada Altmann/Barbie berminat atau tidak.

Berdasarkan dokumen BND, dia mempercayai pelawat itu dan kedua-duanya menjadi rakan baik sehinggakan Holm sentiasa makan malam bersama keluarga Barbie di La Paz. Tetapi itu tidak bermakna dia menyembunyikan kecenderungan politiknya dan ini disedari oleh Holm. Altmann/Barbie misalnya menceritakan dia telah menghalang orang Yahudi dari menyertai keahlian Kelab Jerman. Sementara isterinya yang bertanggungjawab menguruskan perpustakaan kelab berkenaan merasa bangga menunjukkan Holm koleksi karya sastera Nazi.

Selepas berpuas hati dengan laporan Holm, Jabatan 934 BND merekrut bekas kapten SS itu. Alasannya, mereka merasakan boleh menggunakan senarai panjang kenalan Barbie dalam kerajaan Bolivia seperti Menteri Dalam Negeri dan ketua perisikan negara itu. Untuk merealisasikan hasrat itu, seorang lelaki bernama Solinger dilantik sebagai pengendalinya dan terbang ke Santiago, Chile pada tahun 1966 untuk merekrut dan melatihnya dalam perisikan. Sebarang maklumat yang diraih oleh Barbie akan dihantar dalam artikel berita ekonomi dari sektor pembalakan sebelum dihantar kepada seorang guru di Bad Bevensen, Jerman. Dari situ, guru berkenaan akan menghantar surat tanpa dibuka ke sebuah peti surat di Hamburg.

Barbie diklasifikasikan sebagai aset politik dan kebanyakan laporannya masih tidak diketahui. Peranannya hanya sekadar memerhati perkembangan di Bolivia atau lebih tertumpu kepada tentera Jerman, Bundeswehr. Beberapa minggu selepas direkrut sebagai aset BND, Barbie menjadi wakil Bolivia untuk syarikat Merez AG. Syarikat yang berpangkalan di Bonn itu menjual lebihan bahan ketenteraan Bundeswehr di seluruh dunia bagi pihak BND. Menurut rekod BND, Barbie seharusnya memberitahu Merex bila orang Bolivia kekurangan senjata atau peluru. Dan melihat kepada rekod, BND amat berpuas hati dengan hasil kerjanya. Ini kerana mereka menggambarkannya sebagai bijak, mudah beradaptasi dan pandai menyimpan rahsia.


Figure 2: Serge Klarsfeld

Tetapi sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Selepas identiti sebenar Altmann terbongkar menerusi pendedahan dibuat pemburu Nazi Perancis, Serge Klarsfeld menerusi akhbar Perancis, L’Aurore pada tahun 1971, BND tergesa-gesa cuba mengelak sebarang kaitan yang dibuat antara Altmann/Barbie dengan BND. BND menerusi satu sidang media menyatakan mereka hanya tahu identiti sebenar lelaki itu di media. Hakikatnya, kenyataan tersebut sukar dipercayai kerana pasti Barbie akan mendedahkan siapa dirinya atau BND melakukan kerja rumah dari segi latar belakangnya.

Waqaf Saham

Solinger sendiri dalam catatannya berpandangan Altmann pernah bekerja di Pejabat Keselamatan Reich, salah satu cabang SS yang menguruskan Holocaust. Ini ditambah keengganannya kembali ke Eropah untuk menjalani latihan perisikan sudah mencetuskan rasa curiga dalam kalangan pegawai BND. Tetapi kemuncak semua ini ialah bila Barbie tidak sehaluan dengan Duta Jerman ke Bolivia, Gunther Motz. Motz dituduh melebihkan orang-orang Jerman berketurunan Yahudi melebihi warga Jerman dari komuniti lain. Sebagai tindak balas, Barbie berhubung dengan parti komunis Jerman Timur (SED) melalui orang tengah untuk mendapatkan sebarang maklumat memalukan berkenaan Motz dari era Nazi. Semua ini sudah cukup untuk BND menamatkan perkhidmatan Barbie pada tahun 1966 atas alasan mahu mengelak lebih banyak kerumitan di kemudian hari.

Figure 3: Che Guevara

Tapi itu tidak bermakna pula karier Barbie dalam dunia perisikan sudah berakhir. Melalui sokongan CIA dan junta tentera Bolivia, dia berkhidmat dalam tentera Bolivia dan diberi pangkat sebagai kolonel. Antara legenda yang menyelubungi bekas kapten SS ini ialah penglibatannya dalam pembunuhan ikon revolusi Che Guevara. Ini berdasarkan keterangan teman rapatnya, Alvaro de Castro terhadap pengarah dan pembikin dokumentari, Kevin Macdonald.

Dia berkata, “Dia bertemu dengan Mejar Shelton dari Tentera Darat Amerika Syarikat. Tiada keraguan Altmann (Barbie) memberi nasihat kepada Shelton bagaimana menghadapi perang gerila. Dia menggunakan kepakarannya yang diraih semasa Perang Dunia Kedua dan kebanyakan fakta menunjukkan dia amat arif dengan perkara itu.” Malah, de Castro menambah, “Altmann pernah berkata, ‘Lelaki malang ini tidak akan bertahan lama sekiranya dia bertempur dalam Perang Dunia Kedua. Dia hanyalah seorang pengembara yang memalukan, tidak seperti imej popularnya. Mereka menjadikan dia seorang tokoh mitos. Tetapi apa sebenarnya yang dicapai? Tiada langsung.’”

Walaupun ada meragui kesahihan cerita de Castro itu, bagi Macdonald, kisah Guevara dan Barbie berkemungkinan benar kerana datang dari pelbagai sumber. Selain itu, kerjanya bersama pihak Nazi Jerman pasti mengundang rasa kagum tentera Bolivia terutama berkenaan pembunuhan Jean Moulin. Malah, tidak mengejutkan sekiranya cara penahanan dan pembunuhan Moulin itu turut memberi inspirasi kepada Barbie berkenaan cara menjejak Guevara. Menurut Macdonald, ikon revolusi itu pastinya tiba di La Paz dalam keadaan menyamar sama seperti pejuang partisan Perancis bagi membolehkan mereka bergerak ke mana-mana tanpa disedari pihak berkuasa. Ditambah pula dengan kecenderungannya yang anti-komunis, kedua-dua pihak memerlukan kepakaran Barbie menjejak Guevara. Agenda tersebut tercapai apabila tentera Bolivia dengan bantuan CIA berjaya menahan dan membunuh Guevara pada tahun 1967.

Figure 4: Pablo Escobar

Selain berkhidmat dalam pasukan tentera Bolivia, Barbie turut dibayar $2,000 sebulan untuk khidmat nasihatnya dengan pihak kerajaan. Dan selepas pendedahan Klarsfeld pada tahun 1971, Paris mendesak La Paz menghantar Penyembelih Lyon itu kembali ke Perancis tetapi ditolak atas alasan tiada perjanjian ekstradisi membabitkan kedua-dua belah pihak. Dan dengan Amerika Selatan mula kecoh dengan gelombang kartel dadah, sesetengah daripadanya dilindungi oleh CIA, tidak mengejutkan jika ada cap jari Barbie dalam semua ini. Salah seorang kenalannya ialah Raja Dadah Colombia, Pablo Escobar. Escobar memonopoli import pes koka Bolivia ke Colombia dan bertanggungjawab untuk 80% kokain yang diseludup ke Amerika Syarikat. Dengan erti kata lain, Barbie juga pasti pernah melawat kediaman Escobar seluas 5,000 ekar iaitu Hacienda Napoles yang dilengkapi dengan zoo dan lapangan terbang peribadi.

Figure 5: Roberto Suarez Gomez

Selain Escobar, sekutu rapat Barbie di Bolivia ialah pengedar dadah dan panglima perang Bolivia, Roberto Suarez Gomez. Gomez merupakan inspirasi di sebalik watak Alejandro Sosa lakonan Paul Shenar dalam filem Scarface. Walaupun tidaklah sekaya Escobar, Gomez dianggap berpengaruh di sana dan Barbie sentiasa menjadi perantara antara raja dadah dengan kelompok tentera yang korup. Namun, kedua-duanya tidak mahu berpuas hati dengan keadaan ketika itu. Kedua-duanya merancang menggulingkan kerajaan Bolivia ketika itu atas sebab berbeza-beza. Barbie tidak mahu diekstradisi ke Perancis atas tuduhan jenayah perang. Sementara Gomez pula mahukan kebebasan untuk mengembangkan empayar kokainnya tanpa rasa bimbang didakwa pihak berkuasa.

Untuk menjayakan rancangan ini, mereka melancarkan rampasan kuasa tentera dan melantik Jeneral Luis Garcia Meza Tejada sebagai komander dan presiden pada tahun 1980. Rampasan kuasa ini dibiayai melalui duit penyeludupan dadah dan mendapat sokongan rahsia CIA. Malah, keupayaannya mengurus perjuangan gerila berhaluan kanan terhadap rejim komunis mendapat pujian mereka terutama gerila yang berjuang dalam hutan. Pada tahun sama, Barbie turut menubuhkan kumpulan Fiances of Death di mana keahliannya bukan dari kalangan orang Bolivia. Sebaliknya, bekas kapten SS itu merekrut individu yang mempunyai latar belakang Jerman, Perancis dan Itali. Pakaian seragam mereka tiada sebarang tanda pengenalan tapi majoriti memakai gelang tangan dan insignia swastika Nazi.

Peter McFarren yang menulis buku biografi Barbie bertajuk The Devil’s Agent menambah, “Belum pernah terjadi dalam sejarah sebuah kerajaan demokratik digulingkan dengan duit pengedaran dadah. Ia akan mewujudkan duluan merbahaya bahawasanya demokrasi boleh diganggu oleh dana dan keganasan kartel-kartel dadah. Di Colombia dan Peru, wujud sesetengah pegawai kerajaan dan polis tentera yang terlibat dalam perdagangan kokain. Tetapi saya tidak boleh fikir mana-mana rejim lain yang terlibat secara langsung dalam pengedaran dadah dan Barbie memainkan peranan penting dalam perkara itu.” Barbie juga tidak kisah mengkhianati rakannya sendiri demi memastikan dia tidak kembali ke Perancis untuk menghadapi perbicaraan. Apabila anak perempuan rakannya, Hans Ertl menyertai gerakan gerila anti-kerajaan, dia tidak teragak-agak menyelarnya supaya dia boleh ditahan dan dibunuh.

Keadilan yang tertangguh bukan bermakna ia akan terus dinafikan untuk selama-lamanya. Dalam kes Barbie, nasibnya berubah selepas rejim tentera yang menyokongnya dan Gomez tumbang pada tahun 1983. Dan sebagai menghormati permintaan Perancis, La Paz mengekstradisinya ke Paris untuk menghadapi pelbagai tuduhan jenayah perang dan kemanusiaan. Pada ketika itu, Barbie sudah berusia 70 tahun tetapi nyata masa tidak sedikit pun menimbulkan rasa keinsafan dalam dirinya. Dalam satu deklarasinya kepada mahkamah, Barbie berkata, “Bila saya berdiri di hadapan takhta Tuhan, saya akan dihakimi sebagai tidak bersalah.” Bekas aset BND dan CIA itu menghadapi 41 tuduhan jenayah dan dipenjarakan seumur hidup di Lyon oleh mahkamah pada 1987. Barbie meninggal dunia dalam penjara akibat penyakit leukemia, kanser tulang belakang dan kanser prostat pada usia 77 tahun. Ironinya, tiada siapa yang mengutus salam perpisahan termasuk dua agensi perisikan yang pernah merekrutnya, BND dan CIA.

Bagi McFarren, beliau melihat kebanyakan penjenayah perang Nazi yang melarikan diri memilih menjalani kehidupan secara sederhana dan enggan membiarkan diri mereka dikenali terutama di Amerika Selatan. Tetapi dalam kes Barbie, ianya unik kerana dia merupakan tokoh awam di Bolivia. Dan walaupun sudah didesak untuk menyerahkan bekas kapten SS itu kepada Paris untuk berhadapan dengan tindakan kehakiman, Barbie masih mampu hidup dengan bebas di La Paz lebih 30 tahun. Dan menurut McFarren, suka atau tidak, Amerika Syarikat terutama Langley dan BND sendiri perlu menjawab banyak soalan berkenaan Barbie.

SUMBER

1. Smith, David. (2007). The Guardian. Barbie ‘boasted of hunting down Che’. https://www.theguardian.com/uk/2007/dec/23/world.secondworldwar

2. Bosnich, Georg dan Wiegrefe, Klaus. (2011). Spiegel Online. From Nazi Criminal to Postwar Spy German Intelligence Hired Klaus Barbie as Agent. http://www.spiegel.de/international/germany/from-nazi-criminal-to-postwar-spy-german-intelligence-hired-klaus-barbie-as-agent-a-740393.html

3. Budanovic, Nikola. (2017). War History Online. The Notorious Klaus Barbie: The Butcher of Lyon. https://www.warhistoryonline.com/world-war-ii/klaus-barbie-butcher-lyon.html

4. Callan, Paul. (2008). Daily Express. The Nazi cocaine connection. https://www.express.co.uk/expressyourself/60629/The-Nazi-cocaine-connection

5. Manger, Warren. (2015). Daily Mirror. How Nazi butcher Klaus Barbie helped kill Che Guevara and unleash global cocaine scourge. https://www.mirror.co.uk/news/world-news/how-nazi-butcher-klaus-barbie-6828080

Previous articleLegenda Perang Sumpit Tampun Juah
Next articleSultan Osman II: Mangsa Kekejaman Kaum Janissaries
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE