Isu pemberian kerakyatan ini bukanlah satu isu yang baru dan ia membabitkan pelbagai negara termasuk negara kita, Malaysia. Isu ini dianggap isu sensitif kerana ia banyak berkait bukan saja soal keselamatan negara tetapi juga membabitkan soal keamanan dan keharmonian sosial masyarakat. Di sesetengah negara terutama negara jiran Brunei, mereka amat tegas dalam soal pemberian kerakyatan kepada mana-mana pihak yang mahu memohon kerakyatan negara itu.

Pada tahun 1961 Undang-Undang taraf kerakyataan NBD  mula dibuat dan undang-undang itu  dipanggil sebagai Undang-Undang Taraf Kebangsaan Brunei (UUTKB) 1961 dan berkuat kuasa pada 1. Januari 1962.  Apabila Undang-Undang Taraf Kebangsaan Brunei itu dikuatkuasakan, barulah lahir takrifan tertentu untuk rakyat dan penduduk negara ini. Menerusi undang-undang tersebut rakyat Brunei dipanggil sebagai rakyat Sultan. Istlah rakyat Sultan itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu Rakyat sultan dengan kuatkuasa mutlak undang-undang dan rakyat sultan secara pendaftaran.

Mengikut definisi UUTKB 1961, rakyat sultan dengan kuat kuasa mutlak undang-undang ialah mereka daripada puak jati bangsa Melayu iaitu Belait, Bisaya, Brunei, Dusun, Kedayan, Murut dan Tutong. Perkara itu disebut dalam Bab 2, Perkara 4(1)(a). Rakyat Sultan seperti maksud perundangan itu adalah rakyat bertaraf mutlak. Status rakyat mutlak ini juga dipanggil sebagai warganegara sultan. Sementara iaitu rakyat Sultan secara pendaftaran disebutkan dalam  perkara 5(1) mereka yang berkelayakan memohon untuk menjadi rakyat Sultan dengan beberapa syarat tertentu. Antara syarat yang dikenakan ialah:

  1. Sudah berada di negeri Brunei selama 15 tahun atau terus-menerus menetap di negeri berkenaan.
  2. Mempunyai darjah kelayakan penguasaan Bahasa Melayu yang baik.
  3. Boleh bertutur dengan fasih dalam Bahasa Melayu.
  4. Berkelakuan baik iaitu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
  5. Mengangkat sumpah kesetiaan.

Istilah Penduduk pula ialah mereka atau penduduk tetap yang tidak bernegera atau ‘stateless’ bagi negara Brunei. Mereka ini dianggap sebagai rakyat penaungan melalui syarat-syarat sama yang dinyatakan di atas. Penduduk yang diterima sebagai rakyat akan diperakui secara pendaftaran di bawah Bab 5(1), Bab 5(6) dan Bab 8(1) dari Akta Taraf Kebangsaan Brunei. Syarat-syarat mengikut akta ini hampir sama di atas dengan sedikit tambahan:

  1. Tempoh menetap di negeri selama 25 tahun atau terus-menerus menetap di negeri itu.
  2. Berkelakuan baik iaitu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
  3. Tidak menjadi beban kepada negara.
  4. Mempunyai darjah kelayakan penguasaan Bahasa Melayu yang baik.
  5. Boleh bertutur dalam Bahasa Melayu dengan fasih.
  6. Mengangkat sumpah kesetiaan dan akan tinggal selama-lamanya di negeri Brunei.

Mereka yang diiktiraf sebagai rakyat sultan multlak undang-undang, rakyat sultan secara pendaftaram dan penduduk akan diuruskan pendaftarannya oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) melalui Jabatan Imigeresen dan Pendaftaran Kebangsaan. Tanpa mengira status sama ada sebagai rakyat atau penduduk, mereka disyaratkan membuat kad pengenalan diri bila mencecah usia 12 tahun di Jabatan Imigeresan dan Pendaftaran Kebangsaan. Kad itu sebagai tanda yang menunjukkan nilai identiti bangsa. Rakyat dan penduduk yang ada nilai dan berdaftar secara sah dari segi undang-undang di negara ini mempunyai hak dan keistimewaan tertentu yang diberikan oleh kerajaan ke atas mereka.

Ada yang akan bertanya, mengapa syarat-syarat yang dikenakan Brunei amat ketat terutama kepada kelompok minoriti? Satu sebab yang kita boleh lihat ialah kepentingan taat setia tanpa berbelah bahagi kepada pemerintah Brunei Darussalam iaitu Kesultanan Brunei. Ini kerana kesetiaan amat penting bukan saja dari segi keselamatan dan pertahanan tetapi juga dari segi jatidiri rakyat sesebuah negara itu sendiri. Bila mana seseorang itu bersumpah setia terhadap negara yang dicintainya itu, dia akan berusaha memastikan tidak akan mencampuradukkan elemen-elemen kurang enak dalam negara berkenaan dan memastikan kestabilan Brunei sebagai sebuah negara terus terjamin. Selain itu, individu ini turut memainkan peranan mengajak orang lain terutama kelompok warga asing mengenali aspirasi dan pendirian negara Brunei yang memegang falsafah Melayu Islam Beraja (MIB). Falsafah ini mengangkat nilai teras yang membentuk kerajaan Brunei dari dahulu hingga sekarang.

Begitu juga soal penguasaan Bahasa Melayu yang amat ditekankan bagi mendapat status warganegara. Tidak seperti sesetengah warganegara negara kita yang mempunyai kad pengenalan Malaysia tetapi tidak fasih berbahasa Melayu, ianya sesuatu yang berbeza di Brunei. Ini bagi melihat sejauh mana mereka dapat hidup serasi dengan masyarakat sebagai rakyat Brunei. Dengan erti kata lain, mereka perlu menerima identiti dan adat istiadat Melayu serta agama Islam walaupun mereka bukan berbangsa Melayu dan bukan menganut agama Islam. Ini menyebabkan mereka boleh menerima sosiopolitik Brunei menerusi falsafah MIB itu sendiri. Falsafah tersebut memperlihatkan ikatan erat antara rakyat dengan pemerintah sekaligus meneruskan tradisi pemerintahan kesultanan Melayu terdahulu yang mementingkan muafakat dan kesetiaan.

Maka atas sebab itulah, jika seseorang penduduk yang berkeinginan menjadi rakyat Brunei, mereka perlu memenuhi syarat-syarat berikut:

  1. Taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
  2. Mempunyai rasa cinta yang tinggi terhadap Negara Brunei Darussalam dengan bersedia untuk menyumbang khidmat bakti bagi membangunkannya, memelihara dan mempertahankan kedaulatannya, serta berkorban apa saja sama ada dari segi material, spiritual, pemikiran dan jiwa raga demi negara yang kita cintai.
  3. Menghormati, menghayati dan mengikuti adat istiadat yang berjalan di negara ini.
  4. Menguasai dan mengamalkan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan harian, bahasa perhubungan antara kaum dan bahasa rasmi negara.
  5. Menghormati kerasmian agama Islam di negara ini. Sementara warganegara yang beragama Islam adalah dengan menghayati ajaran Islam sebaik-baiknya sebagai Muslim sejati dan tidak mencampurkannya dengan unsur-unsur yang bertentangan dengan agama itu sendiri.

Namun, ada juga merasa tidak puas hati dengan syarat ketat sebegini. Sebelum terma tanpa negara atau ‘stateless’ itu digantikan dengan gelaran penduduk tetap pada awal dekad 2000, ia merupakan satu pergelutan yang tidak berkesudahan bagi kelompok minoriti terutama kaum Cina. Lim Boon Hwa, Naib Presiden Persatuan Persahabatan China-Brunei dan seorang ahli perniagaan mendedahkan akibat situasi itu, beliau terpaksa membawa visa setiap kali hendak keluar dari atau masuk ke Brunei.

Begitu juga apabila berurusan dengan pihak kastam di luar negara, Boon Hwa terpaksa membuktikan bahawa beliau bukan pelarian setiap kali berurusan dengan mereka. Walaupun menghormati undang-undang dan perlembagaan negara berkenaan, beliau mendedahkan ujian kerakyatan yang ketat terutama membabitkan penguasaan Bahasa Melayu mendorong ramai imigran berhijrah ke luar negara. Ini sekaligus mencetuskan situasi ‘brain drain’ atau kehilangan pakar-pakar dalam bidang kritikal terutama industri gas dan minyak.

Boon Hwa sendiri pernah mempertimbang berhijrah ke Australia tetapi memutuskan untuk kekal dan cuba mengubah sistem yang ada. Selepas mengadakan perbincangan dengan masyarakat Cina, Boon Hwa dan dua rakannya menghantar satu memorandum kepada Brunei yang mencadangkan skop peperiksaan diperhalusi dan menambah kekerapan penduduk mengambilnya. Cadangan mereka itu membawa kepada reformasi undang-undang kerakyatan yang diluluskan pada awal dekad 2000. Penduduk tak bernegara yang berumur lebih 50 tahun boleh mendapat kerakyatan dengan syarat lulus ujian oral berbanding ujian bertulis biasa. Dan jika dahulu satu peperiksaan hanya boleh diambil 200 orang, bilangan tersebut kini bertambah kepada 1,000 orang.

Walau bagaimanapun, itu tidak bermakna ia memberi isyarat kepada pindaan UUTKB yang memberi ruang kepada lebih ramai penduduk tidak bernegara mendapat kerakyatan Brunei. Cadangan pindaan UUTKB ini dibuat pada tahun 2015 oleh Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin. Menerusi cadangan beliau, penduduk tidak bernegara yang berumur 60 tahun ke atas diberi kerakyatan Brunei dan akta tersebut dipinda. Alasan King Chin sebelum kemerdekaan Brunei, semua penduduk memegang pasport British tetapi selepas merdeka, hanya kelompok dari tujuh kumpulan Melayu saja yang diberi taraf kerakyatan. Beliau turut merujuk kes negara-negara bekas koloni seperti Australia, Kanada, Malaysia dan Singapura memberi kerakyatan kepada setiap penduduk apabila mencapai kemerdekaan. Namun, itu tidak terpakai kepada Brunei dan Hong Kong kerana kedua-duanya merupakan wilayah naungan British (British Protectorate).

Bagaimanapun, hujah beliau ditolak oleh Menteri Dalam Negeri Brunei, Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin Pengarah Dato Paduka Haji Awang. Menurut beliau, semua negara yang disebut King Chin turut mempunyai masalah sama seperti Brunei dan penduduk tidak bernegara ini diberi sijil identiti untuk bergerak keluar dan masuk sesebuah negara. Dato Awang kemudiannya menyatakan perjanjian yang dimeterai Bandar Seri Begawan-London pada tahun 1979.

Perjanjian tersebut yang dibuat beberapa tahun sebelum Brunei mencapai kemerdekaan membenarkan Brunei mengambil alih tanggungjawab antarabangsanya sebagai sebuah negara berdaulat. Berdasarkan nota pertukaran pendapat kedua-dua negara, Dato Awang menegaskan penduduk boleh menjadi warganegara dan menetap di Brunei apabila mereka memenuhi keperluan yang digariskan oleh undang-undang sedia ada. Dengan kata lain, kemerdekaan bukan saja tidak mengubah UUTKB tetapi sebaliknya melindungi ia dan itulah sebab mengapa ia terus relevan sehingga sekarang.

Nyata, soal kerakyatan bukan sesuatu yang harus dipandang enteng. Ya, benar dalam kes Brunei, ketegasan mereka menguatkuasakan UUTKB ini mengakibatkan berlakunya penghijrahan dan kehilangan penduduk yang pakar dalam bidang masing-masing. Tetapi pada masa sama, ia sebenarnya menunjukkan ketegasan Brunei mempertahankan jati diri mereka dan tidak rela membiarkan ia dicarik-carik begitu saja.

Jika benar mahu mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni, maka ia perlu dimulakan dengan penerimaan berkenaan hak kelompok majoriti yang membawa kepada percampuran dan kesediaan untuk hidup bersama hak kelompok ini. Tapi kalau benda ini pun susah nak buat, maka lupakanlah hasrat membina sebuah masyarakat penyayang dan harmoni. Apa saja retorik yang dikeluarkan berkenaan kecintaan dan kesetiaan kepada negara hanya bersifat menanam tebu di tepi bibir dan tidak akan memberi kesan apa-apa jika ia tidak disusuli dengan langkah bersifat konkrit.

Persoalannya, apakah kita bersedia untuk bersikap tegas demi masa depan negara bersifat jangka panjang? Atau kita terus membiarkan orang lain memijak kepala dan berterusan memperolok hak majoriti atas sebab ini era baru negara? Jika ada yang memilih yang kedua, ketahuilah orang sebegini memang tak layak menggelar dirinya rakyat Malaysia!

SUMBER

  1. Kassim, Abdul Azim. (2015). AsiaOne.com. Proposal to amend Brunei’s law on citizenship turned down. http://www.asiaone.com/asia/proposal-amend-bruneis-law-citizenship-turned-down
  2. FactsandDetails.com. Minorities in Brunei. http://factsanddetails.com/southeast-asia/Brunei/sub5_10b/entry-3610.html

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.