Selepas kegagalan kali kedua untuk mengepung Jerusalem, Richard dan bala tentera Salib kembali ke Jaffa. Walau bagaimanapun, aspirasinya terhadap Jerusalem masih kekal.

Buat masa ini, Richard mengatur kembali strategi dengan menumpukan perhatiannya kepada penguasaan kawasan persisir Syria.

Pada pendapatnya, kunci kepada penguasaan yang berkekalan terhadap Jerusalem adalah dengan terlebih dahulu menakhluki Mesir, pusat Kesultanan Ayyubi. Pengusaaan  terhadap Mesir akan menghalang penentangan bala tentera Islam dari selatan Jerusalem.

Untuk memulakan penakhlukan ini, baginda perlu terlebih dahulu menguasai persisir Syria.

Pada penghujung Julai 1192, Richard mengambil keputusan untuk menyerang Beirut yang terletak jauh di utara Jaffa. Richard melakukan serangan sedemikian dengan harapan bala tentera Salahuddin akan juga tertumpu ke kota itu. Ini memberi peluang kepada bala tentera Richard yang berada di Ascalon dan Jaffa untuk melakukan serangan ke atas Jerusalem.

Namun begitu, Salahuddin telah menghidu muslihat ini. Semasa Richard berada di utara, Salahuddin bergegas ke Jaffa dan memulakan kepungan terhadap kubu Richard itu. Dengan Richard berada jauh di utara, Raja England itu akan mengambil masa untuk kembali memberi bantuan kepada kubu utamanya itu.

Salahuddin dan bala tenteranya dengan mudah berjaya menguasai kawasan luar kubu tersebut dengan dalam masa beberapa hari. Bala tentera Richard yang tinggal hanyalah pasukan pertahanan kota itu berada di kubu kota Jaffa.

Kubu kota itu mempunyai pertahanan yang baik dan tanpa menguasai kubu kota tersebut, Salahuddin belum boleh dikira memenangi kepungan tersebut.

Selepas beberapa ketika, pasukan pertahanan di kubu kota itu mula berkira-kira untuk menyerah diri. Berapa kali mereka mahu menyerah dengan syarat tetapi Salahuddin menolak. Baginda mahu mereka menyerah tanpa syarat.

Beberapa hari kemudian, mereka akhirnya akur tetapi pada masa inilah mereka mula menyedari kehadiran sebuah armada di perairan Jaffa.

Armada tersebut dipimpin oleh Richard.

Richard Kembali

Richard dan bala tentera telah berundur dari utara dan kembali ke Jaffa untuk memberi bantuan kepada anak-anak buahnya. Perkiraan Salahuddin silap, Richard tidak menggunakan jalan darat (yang memerlukan masa yang lebih lama) tetapi sebaliknya menggunakan jalan laut untuk bergegas ke Jaffa.

Tanpa membuang masa, Richard dan anak-anak buahnya melakukan pendaratan yang dramatik ke pantai berhampiran Jaffa. Baginda menggunakan senjata kegemaran baginda iaitu kapak dan busur untuk menyerang tentera Salahuddin bersama-sama tenteranya.

Sebelum serangan Richard disedari, hakikatnya bala tentera Salahuddin sedang sibuk menjarah kubu Jaffa. Oleh itu mereka berselerak di beberapa kedudukan di sekitar kubu tersebut. Ini memudahkan bala tentera Richard untuk menggasak mereka dan menghalau mereka dari kota tersebut. Dengan tidak semena-mena, Richard berjaya mengembalikan Jaffa di bawah penguasaanya.

Gambar 1: Richard dan bala tenteranya mendarat di pantai Jaffa (Sumber: Open Source)

Tetapi Salahuddin dan bala tenteranya masih berada di luar Jaffa dan Salahuddin masih mahu cuba untuk mengalahkan Richard.

Walau bagaimanapun Salahuddin juga tahu masih ada saki baki bala tentera Richard yang sedang mara menggunakan jalan darat dari Beirut. Oleh itu Salahuddin merancang satu lagi serangan pantas sebelum ketibaan bala tentera bantuan musuh itu.

Saat itu tiba apabila baginda menyedari Richard dan hanya sebilangan tenteranya sedang mendirikan perkhemahan dan pertahanan di luar kubu Jaffa. Salahuddin mengambil peluang ini dengan mengarahkan pasukan berkudanya untuk melakukan serangan.

Sedar dengan ancaman bala tentera musuh, Richard yang mempunyai bala tentera yang lebih sedikit pada masa tersebut mengarahkan anak-anak buahnya untuk membuat formasi tembok perisai (Shield Wall).

Bala tentera berkuda Salahuddin melakukan serangan. Tetapi teknik pertahanan tradisional barat yang dipraktikkan oleh anak-anak buah Richard ini berjaya mengekang serangan-serangan tentera Salahuddin.

Kegagalan ini meruntuhkan semangat pasukan berkuda Salahuddin dan akhirnya mereka berputus asa. Salahuddin marah dengan apa yang baginda saksikan. Bagaimana satu pasukan kecil musuh boleh membuat pasukannya buntu?

Apabila melihat keadaan ini, Richard mula menunggang ke kiri dan ke kanan medan tempur dan mencabar bala tentera Salahuddin untuk cuba menyerang. Salahuddin semakin bengang dan mengarahkan pemimpin-pemimpin tenteranya yang lain untuk untuk menyerang.

Tetapi mereka enggan melakukan apa yang diperintahkan.

Mereka sudah kehilangan moral dan terlalu letih. Mereka meminta Salahuddin untuk mengarahkan pengawal-pengawal Mamluk baginda sendiri untuk menyerang Richard dan bala tenteranya.

Apabila baginda melihat tingkah laku orang bawahannya, Salahuddin tahu bahawa sebenarnya baginda telah tewas.

Salahuddin berundur ke Latrun dengan pengetahuan bahawa tempoh kempen peperangan yang berlangsung dengan agak lama telah memberi kesan terhadap disiplin anak-anak buahnya.

Baginda juga tahu bahawa peperangan itu mesti segera ditamatkan.

Perkara yang sama berada dalam fikiran Richard.

Kedudukan baginda sendiri di England semakin terancam. Berita bahawa adiknya, Putera John telah bersekongkol dengan Raja Philip II dari Perancis untuk menguasai England membuat baginda tidak dapat tidur dengan aman. Jika baginda tidak kembali ke England segera, baginda boleh kehilangan takhtanya.

Tolak Ansur dan Pengakhiran

Perjanjian damai sementara antara kedua pihak akhirnya termerai pada 2 September 1192 di Ramlah.

Menurut perjanjian itu, Jerusalem masih kekal dalam penguasaan orang Islam. Namun, penziarah Kristian akan dibenarkan untuk memasuki kota itu untuk beribadat dan menunaikan ziarah mereka.

Selain itu wilayah-wilayah persisiran pantai dari Jaffa sehinggalah ke Tyre akan menjadi milik tentera Salib. Selain itu pendapatan Ramlah dan Lydda akan dikongsi bersama oleh pihak Islam dan Kristian.

Pada 9 Oktober 1192, Richard berlayar ke kembali ke England tanpa menjejakkan kaki ke Jerusalem. Tidak seperti anak-anak buahnya yang lain yang mengambil peluang yang ditawarkan oleh pihak Salahuddin untuk menziarah kota suci itu, Richard tidak melakukan sedemikian. Baginda berjanji untuk kembali menawan Jerusalem dan pada masa itu, barulah baginda melakukan ziarahnya.

Namun niat Raja Richard itu tidak tertunai dan itulah kali terakhir baginda melihat timur tengah.

Di penghujungnya, Richard mendapat apa yang baginda mahu walaupun mungkin baginda sendiri tidak mengetahuinya. Sepanjang hidupnya, baginda tampak hidup apabila berada di medan tempur dan menghabiskan hampir keseluruhan hayatnya di luar tanah England. Kira-kira tujuh tahun selepas perjanjian damai di Ramlah, baginda mangkat di katilnya selepas dua belas hari menderita akibat kecederaan yang disebabkan oleh panahan oleh seorang tentera biasa di tanah Perancis.

Sultan Salahuddin pula mangkat kurang setahun selepas perjanjian damai dimeterai. Baginda meninggalkan harta yang sedikit selepas kemangkatan baginda. Hampir keseluruhan harta baginda telah dibelanjakan untuk tujuan jihad dan pemberian kepada orang lain. Kemangkatan baginda ditangisi oleh rakyat Syria dan Mesir. Dunia Islam telah kehilangan permata yang menyinari jalan jihad dan akan sukar diganti buat masa yang lama.

Gambar 2: Pertempuran di Jaffa (Sumber: Open Source)

Rujukan dan Bibliografi

Alatas. Syed Alwi (2014). Biografi Agung Salahuddin al-Ayubbi. Karya Bestari, Karangkraf

Gillingham, J. (1999). Richard I. New Haven: Yale University Press.

 

Lyons, M. C., & Jackson, D. E. (1982). Saladin: The politics of the holy war. Cambridge: Cambridge University Press.

Archer, T. A (1889). The Crusade of Richard I 1189-92. G. P Putnam Sons: The Knicker Bocker Press

Asbridge, T. S. (2010). The Crusades: The authoritative history of the war for the Holy Land. New York: Ecco Press.

 

Abdullah al-Maghluts, Sami (2015). Atlas Perang Salib PTS Islamika, PTS Publishing House.

 

Archer, T. A., & Kingsford, C. L. (1894). The crusades; the story of the Latin kingdom of Jerusulem. New York: G.P. Putnam’s Sons.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Walaupun sibuk dengan tugasnya sebagai pensyarah di sebuah kolej swasta di Kuching, beliau suka meluangkan masanya meneroka sejarah dunia terutama yang melibatkan pertembungan antara peradaban seperti Perang Salib. Minatnya dengan budaya masyarakat serta tokoh-tokoh Timur dan Eropah yang wujud ketika zaman pertengahan memberi inspirasi kepada beliau untuk menulis novel fiksyen sejarah dan non-fiksyen berkenaan tokoh-tokoh pada zaman tersebut.

Comments are closed.