Bali Nine: Ketegasan Indonesia Dalam Memerangi Jenayah Narkoba

441
views

Dadah sememangnya merupakan musuh utama kepada negara dan melakukan kerosakkan kepada masyarakat tanpa mengira golongan. Ketagihan dadah merupakan masalah sosial yang amat serius kerana mampu mengakibatkan jenayah seperti samun, bunuh, ragut dan sebagainya. Oleh itu, kebanyakkan negara mengenakan hukuman mati bagi pesalah yang melakukan penyeludupan dadah.

Bali Nine merupakan nama sebuah kumpulan yang ditangkap oleh pihak berkuasa Indonesia ketika cubaan menyeludup 8.3 kg heroin keluar dari Lapangan Terbang Denpasar, Bali untuk diseludup ke Australia. Seramai 9 orang warga Australia telah ditangkap oleh pihak polis Indonesia pada 17 April 2005 dan rata-ratanya berumur di bawah 30 tahun. Jadi, apakah yang membuatkan kes ini menjadi liputan antarabangsa dan menimbulkan pelbagai kontroversi?

Pertama sekali, Bali Nine merupakan kes jenayah antarabangsa yang melibatkan dua buah negara dan memberi kesukaran untuk menyelesaikan kes ini. Indonesia merupakan salah sebuah negara yang memperuntukkan hukuman mati “capital punishment” kepada pengedar dan penyeludup dadah yang ditangkap. Indonesia menjalankan hukuman mati dengan metod “firing squad” yang terdiri daripada 12 penembak tepat dan 3 daripadanya menggunakan peluru hidup. Bali Bombers 2002 yang diketuai Imam Samudera merupakan salah seorang warga Indonesia yang dijatuhi hukuman tembak pada 10 September 2003 kerana jenayah terorisme (Butt 2015).

Kes ini mendapat perhatian antarabangsa kerana kesemua anggota Bali Nine merupakan warga Australia di mana negara ini telah menghapuskan hukuman mati sejak sejak 1922 di Queensland dan diikuti Tasmania pada 1968. Death Penalty Abolition Act 1973 memperuntukkan pemansuhan hukuman mati kepada jenayah berat dan digantikan dengan hukuman penjara seumur hidup. Australia merupakan negara yang memperjuangkan penghapusan hukuman mati terutamanya di Asia. Jabatan Hubungan Luar dan Perdagangan Australia serta Parlimen Australia telah melancarkan sebuah jawatankuasa iaitu Australia’s Advocacy for the Abolition of the Death Penalty sebagai pemerhati dan pendesak untuk menghapuskan hukuman mati dan mewujudkan “a world without the death penalty”(Human Right Watch 2016). Kumpulan berkepetingan Australia menjadi “key player” dalam gerakan menentang perlaksanaan hukuman mati dengan menjalankan protes dan kempen khasnya dalam menentang perlaksanaan hukuman mati warganegaranya yang ditangkap di luar negara berikutan kes penyeludupan dadah (The Sydney Morning Herald 9 Oktober 2017).

Berdasarkan laporan Amnesty International 2015, Indonesia merupakan negara yang menjalankan hukuman mati tertinggi di Asia Tenggara dengan jumlah seramai 14 orang pesalah telah dihukum mati dan majoritinya berkaitan kes penyeludupan dadah. Bagi kes Bali Nine, Perdana Menteri Australia Tony Abbot memainkan peranan dengan melakukan rundingan serta rayuan dengan Presiden Jokowi untuk menghalang hukuman mati dilakukan keatas warganya. Walaubagaimanapun, pada tahun 2015, Pengadilan Negeri Denpasar menolak permohonan rayuan ke atas pesalah Bali Nine khasnya Andrew Chan dan Myuran Sukumaran yang dikenakan hukuman mati. Hal ini mencetuskan kemarahan warga Australia kerana Chan dan Sukumaran telah menjalani pemulihan di Penjara Kerobokan di mana Chan telah menjadi seorang paderi dan Sukumaran telah berjaya menghasilkan galeri lukisan dan mengajar warga penjara tentang seni, kemahiran dan sastera. Tony Abbot berkata hukuman mati yang dikenakan ke atas pesalah ini adalah tidak berperikemanusian dan kejam kerana kedua-dua pesalah ini telah berubah sepenuhnya menjadi manusia yang lebih berguna serta memberi sumbangan kepada institusi penjara.

Presiden Republik Indonesia mempunyai kuasa untuk memberi pengampunan kepada pesalah yang dikenakan hukuman mati, namun Jokowi dalam ucapannya ketika Pemilihan Umum Presiden dan Wakil Presiden Republik Indonesia Tahun 2014 (PILPES) tidak akan memberi sebarang pengampunan kepada pesalah narkotik. Ketegasan Jokowi untuk tidak memberi pengampunan kepada Chan dan Sukumaran telah menimbulkan protes dan kecaman dari organisasi hak asasi antarabangsa. Bagi kerajaan Australia, Abbot mengingatkan Indonesia tentang peranan dan sumbangan Australia membantu negara itu ketika dilanda tsunami 2004 dan Australia menghulurkan bantuan kemanusiaan dan bantuan pembangunan sebanyak AUD 1 bilion. Jasa dan sumbangan Australia perlu dibalas dengan memberi pengampunan kepada warganya yang menghadapi hukuman mati (The Sydney Morning Herald 15 Februari 2015).

Dari sudut ini, kita dapat melihat bagaimana Indonesia bersungguh-sungguh melindungi kepentingan nasionalnya “national interest” dalam usaha membanteras jenayah narkotik. Kepentingan nasional merupakan matlamat yang ingin dicapai oleh sesebuah negara dengan menggunakan realisme sebagai asas kepada pembentukkan dasar dan peraturan. Indonesia mengalami masalah ketagihan dadah yang amat serius iaitu hampir 50 orang mati setiap hari kerana ketagihan. Hampir 4 juta rakyat Indonesia terjebak dengan masalah ketagihan dadah ini dan jumlahnya meningkat setiap hari (Utusan Online 27 Februari 2015). Sekali lagi, Jokowi dilihat tegas dalam pendiriannya untuk memerangi jenayah dadah dengan menolak rayuan terakhir Chan dan Sukumaran pada 6 April 2015. Pada 27 April 2015, Tony Abbot mengumumkan kerajaan Australia akan menarik semua dutanya di Indonesia sebagai tanda protes jika Indonesia masih berkeras untuk melaksanakan hukuman mati keatas warganya.

Pada 29 April 2015, hukuman mati melalui kaedah “firing squad” telah dilaksanakan ke atas Chan dan Sukumaran di Penjara Nusakambangan. Pada ketika itu, Chan berumur 31 tahun dan Sukumaran berumur 34. Mereka dijatuhkan hukuman mati kerana didakwa menjadi “kingpin” dan “mastermind” dalam sindiket dadah Bali Nine. Anggota Bali Nine yang selebihnya seperti Si Yi Chen, Michael Czugaj, Tan Duc Thanh Nguyen, Matthew Norman, Scott Rush, Martin Stephens dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup manakala Renae Lawrence dijatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun.

Jenayah penyeludupan dadah Bali Nine merupakan contoh ketegasan Indonesia dalam memerangi jenayah dadah. Dadah memberi ancaman bukan sahaja kepada individu malah merosakkan komuniti khasnya golongan belia yang menjadi pelapis kepada negara. Ketegasan Indonesia dapat dilihat apabila berkeras untuk tetap melaksanakan hukuman mati ke atas pesalah jenayah dadah walaupun rundingan bilateral antara dua negara telah dilakukan. Pada 21 Julai 2017, Presiden Jokowi mengeluarkan kenyataan “Jangan Beri Ampun Pengedar Narkoba yang Melawan, Tembak Saja” untuk menggambarkan betapa seriusnya kerajaan Indonesia melihat masalah ini.

Rujukan

AMNESTY INTERNATIONAL GLOBAL REPORT. 2015. Death Sentence and Execution.

Butts, S. 2015. The Constitutional Court and Democracy in Indonesia. Boston: Brill Nijhoff.

Australia Must Breathe New Life Into The Fight Against The Death Penalty In Asia

https://www.hrw.org/news/2016/05/19/australia-must-breathe-new-life-fight-against-death-penalty-asia

Australia must continue to campaign against the death penalty in our region

https://www.smh.com.au/opinion/australia-must-continue-to-campaign-against-the-death-penalty-in-our-region-20171009-gyx4an.html

Bali nine: Tony Abbott urges Indonesia to ‘reciprocate’ for Australia’s tsunami assistance and aid generosity

https://www.smh.com.au/politics/federal/bali-nine-tony-abbott-urges-indonesia-to-reciprocate-for-australias-tsunami-assistance-and-aid-generosity-20150218-13hoty.html

Pengedar dadah tetap dihukum mati di Indonesia

http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pengedar-dadah-tetap-dihukum-mati-di-indonesia-1.64162