A.Bakar Ali: Insan Di Sebalik Layar.

0
271
views

Di dalam sesebuah filem, kebiasaannya penonton akan menfokuskan kepada siapa pelakonnya, bagaimana keadaan belakang tabirnya, apakah isi penceritaannya dan tentang kualiti seseorang pelakon tersebut dalam memainkan sesuatu watak. Namun , jarang sekali penonton ingin mengambil tahu peranan orang-orang yang di belakang tabir.

Semasa era kegemilangan filem melayu , terdapat beberapa individu yang mempunyai tugas dan peranan yang penting di belakang tabir dalam sesebuah filem. Mereka boleh dikatakan sebagai unsung heroes kerana tanpa mereka, sesebuah filem yang hebat itu tidak akan terhasil. Salah seorang daripada mereka ialah A.Bakar Ali. Di dalam kebanyakan filem keluaran di Jalan Ampas, nama beliau pasti tertera di credit title. Tetapi, Siapakah beliau yang dimaksudkan?

A Bakar Ali atau nama sebenarnya Abu Bakar Ali ialah seorang jurugambar terbaik yang pernah dimiliki oelh Malay Film Production. Dilahirkan pada 8 Januari 1928 di Singapura. Sebelum memulakan karier beliau sebagai jurugambar, beliau telah bekerja di studio tersebut pada 1947. Pada suatu hari, pihak Shaw membawa set kamera  dan jurukamera daripada Shanghai. Disebabkan minat beliau yang mendalam terhadap kamera, beliau pernah cuba untuk mendekati peralatan tersebut namun dilarang kerana pekerjaan beliau pada ketika itu hanya sebagai buruh. Namun,beliau tidak pernah sekali berputus asa, beliau mula belajar mengenai teknik-teknik penggembaeaan melalui majalah-majalah dan sesekali menonton filem-filem barat.

Ternyata, usaha beliau itu membuahkan hasil. A.Bakar Ali mula mengorak langkah dalam industri perfileman apabila beliau ditawarkan menjadi pembantu jurugambar yang bernama Koh Jee Soon di dalam filem Kembar pada tahun 1950. Bermula dari situlah, karier beliau terus menyinar. Beliau juga pernah menjadi penolong jurugambar dan menimba pengalaman bersama jurugambar dari Filipina iaitu Shantos Carvanilla. Selepas 7 tahun beliau bekerja sebagai pembantu jurugambar, peluang yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba. P.Ramlee telah memberi kepercayaan kepada beliau untuk menjadi jurugambar di dalam filem ketiga arahannya yang berjudul Pancha Delima (1957).

Bermula saat itulah, beliau telah menjadi jurugambar “favourite” P.Ramlee dan P.Ramlee terus menggunakan khidmatnya di dalam filem lakonan dan arahannya yang lain. Kemuncak kejayaan A.Bakar Ali ialah apabila beliau memenangi Best Photography  bagi filem Sumpah Orang Minyak di Pesta Filem Asia di Manila pada 1958 dan filem Ibu Mertuaku semasa di Pesta Filem Asia di Tokyo pada 1962. Selain P.Ramlee, A.Bakar Ali juga pernah menjadi jurugambar di dalam filem arahan pengarah yang ada pada ketika itu seperti Jamil Sulong dan Omar Rojik.

Waqaf Saham

A Go Go 67 merupakan filem terakhir beliau sebagai jurugambar. Setelah Studio Jalan Ampas ditutup. Beliau berkhidmat bersama Filem Negara Malaysia selama beberapa tahun sehinggalah tahun 1975 apabila Aziz Sattar menggunakan khidmat A.Bakar Ali di dalam filem arahannya iaitu Keluarga Si Comat. Hapuslah Air Matamu arahan M.Amin merupakan filem terakhir beliau bekerja sebagai jurugambar. Setelah bersara dari arena belakang tabir, beliau lebih menfokuskan masanya bersama keluarga.

Ketika umat islam sedang menyambut lebaran , dunia filem klasik Melayu sekali lagi telah kehilangan permata yang berharga. A. Bakar Ali telah kembali kepada PenciptaNya pada tanggal 15 Jun 2018 akibat sakit tua. Sungguh, walaupun peranan beliau jarang sekali diceritakan dan diketahui masyarakat, tetapi sumbangan beliau amatlah besar di dalam industri filem klasik itu sendiri.

SUMBER

Erti Yang Sakti – Tun Ahmad Sarji

Arkib Akhbar Singapura

Kelab Filem Muzik Melayu Klasik

Keluarga Artis-Artis Legenda.