Melayu: Moyang Merentasi Laut, Kami Merentasi Angkasa

0
661
views

1000 tahun lepas, Tanah Melayu diperintah oleh politik yang berbeza. Dimensi pentadbiran ketika itu pun tidak sama seperti hari ini. Namun anak-anak Melayu boleh dikatakan kekal sedemikian rupa. Mungkin ketika itu, Abu dan Siti berkumpul di tepi pantai Kedah dengan sebuah botol berisi kertas. Mungkin juga mereka telah mencampakkan botol tersebut yang dibawa arus hingga ditemui Laksamana Hang Tuah beberapa abad kemudian.

Kenyataan sedemikian sebenarnya bayangan semata-mata. Jika tidak botol, mungkin kapal kecil ataupun kayu sahaja yang ditemui orang tidak dikenali. Namun pada hari ini, perkara hampir serupa berlaku atas kejayaan dua permata Melayu UiTM. Muhammad Hasif Azami dan Syazana Basyirah tidak mencampakkan kayu ataupun botol ke lautan. Mereka telah menghantar sebuah nanosatelit ke ruang angkasa. Bekerjasama dengan sebuah institut di Jepun, mereka berganding bahu dalam projek yang dikenali sebagai UiTMSAT-1.

Nanosatelit ini disasarkan akan berada 400 km dari Bumi untuk melaksanakan beberapa misi yang penting. Namun begitu, kepentingan nanosatelit sebenarnya bukan atas kos semata-mata. Pengalaman industri angkasa yang lain tentu sekali telah diambil sebagai iktibar. Sebelum itu, klasifikasi kumpulan satelit perlu dikenali terlebih dahulu.

Apa-apa satelit yang melebihi 1,000 kg akan dikategorikan sebagai satelit besar. Nanosatelit sebenarnya diklasifikasikan dalam kategori antara 1 hingga 10 kg, kadar jisim bagi UiTMSAT-1. Dan bukan UiTM sahaja yang terkejar-kejar untuk menambahkan bilangan nanosatelit di ruangan angkasa. Satelit-satelit kecil seperti mini-, mikro-, nano-, piko- dan femtosatelit sebenarnya mempunyai keupayaan yang tidak mampu ditandingi satelit besar.

Penyelidikan tahap universiti memang akan menggunakan nanosatelit. Namun selain daripada alasan kos, nanosatelit digunakan biasanya atas tujuan untuk mengumpulkan data daripada beberapa titik kedudukan. Contohnya, penggunaan tiga nanosatelit di kedudukan berbeza tentu boleh capai matlamat yang sama dengan kos berbeza berbanding satelit besar.  Pelancarannya pun jauh lebih murah, malah mampu diselitkan dalam pengangkutan sedia ada pun.

Waqaf Saham

Maka bukan pendrive ataupun telefon sahaja yang sedang mengharungi perubahan dari segi saiz. Jabatan Penyelidikan Angkasa India (ISRO) juga menggunakan nanosatelit untuk mengkaji keupayaan dari segi bebanan (payload). Objektif utama ISRO menyentuh tentang peluang untuk membuka laluan kepada kajian-kajian kecil peringkat universiti seperti apa yang dilakukan pelajar-pelajar UiTM ini.

Sememangnya pelajar-pelajar Malaysia perlu diberikan pendedahan lagi tentang luar angkasa. Sayang sekali jika minat mereka digunakan oleh negara lain demi kepentingan industri mereka. Jelas sekali anak-anak Melayu pernah membelah laut untuk perdagangan dan sebagainya.

Peluang di ruangan angkasa walaupun menelan kos perbelanjaan yang dahsyat masih lagi boleh digunakan dalam perkadaran sedikit demi kebaikan bersama. Misalnya, Program Apollo telah menaiktaraf teknologi pengangkutan antarabangsa untuk kegunaan manusia sejagat. Penglibatan Malaysia melalui UiTMSAT-1 walaupun kecil, tentu sekali akan membuahkan hasil yang lumayan.

Antara misi UiTMSAT-1 ialah 1) mengambil gambar, 2) menguji korelasi satelit dan GPS, 3) mengukur medan magnet di ruangan angkasa untuk pemetaan geomagnetik Asia Tenggara dan 4) komunikasi radio.

200 tahun lagi, tidak pelik jika seorang Hutama dilahirkan daripada benih Melayu untuk mewakili sebuah Polystralia bernama Malaysia. Sepertima nama-nama seperti “Pembela”, “Harta”, “Kesempatan”, “Kala”, “Tenang” dan “Waspada” dijadikan inspirasi anak muda untuk menongkah arus angkasa.

Previous articleHIV 101
Next article8 Pemerintah Terkaya Sepanjang Zaman
Meskipun sibuk dengan perniagaan restoran, Ahmad Faezal tetap merupakan pengikut setia astronomi, geologi dan sejarah yang telah menjadi sebahagian daripada minat bervariasi beliau. Beliau juga mengimpikan bahawa dalam masa seratus tahun, bangsa Melayu mampu melibatkan diri dalam bidang aeroangkasa, seiringan dengan bangsa-bangsa lain. Namun, asas kepada kejayaan ini terletak kepada empat huruf utama iaitu ILMU.
SHARE