Apa Beza Cerita Seram & Thriller?

0
625
views

Baru-baru ini saya menonton filem Hereditary (2018). Selepas menulis ulasan tentangnya, saya mula membaca ulasan serta komentar daripada orang lain. Rata-ratanya ramai yang menyukai filem ini. Namun tak kurang juga yang membenci dan merasa tertipu selepas menontonnya.

Bergaduh tentang minat atau taste memang tidak akan pernah selesai. Malah kualiti karya dan taste individu pun masih ramai yang tak dapat bezakan. Jadi saya mahu lari jauh sedikit dan menulis tentang perbezaan cerita seram dan thriller. Harus diingat ini bukanlah nukilan seorang pelajar lulusan sekolah perfileman. Ini hanyalah pandangan orang biasa yang gemar menonton filem.

Genre seram dan thriller mempunyai beberapa persamaan. Kedua-duanya jika dipersembahkan dengan bijak, mampu memberikan kesan yang sama kepada penonton sehingga mereka tidak senang duduk. Inilah punca mengapa ramai orang mudah terkeliru dalam memahami dua genre ini. Asalkan takut, seram. Asalkan terkejut sana terkejut sini, seram. Tanggapan ini walaubagaimanapun tidaklah 100% benar.

Kita boleh memahami istilah seram dan thriller dengan kembali kepada takrif perkataan itu sendiri. Untuk genre thriller, filem ini bertujuan mengikat perhatian penonton dan mewujudkan rasa ‘thrill’. Ini biasanya dicapai dengan menyuntik rasa ingin tahu, misteri, cemas dan takut ke dalam jiwa penonton. Filem seram pula lebih menumpukan kepada membangkitkan rasa takut. Lazimnya ini dilakukan dengan membuat penonton terkejut, menjerit, melompat daripada kerusi dan sebagainya.

Walaupun kelihatan berbeza, namun elemen utama dalam kedua-dua genre ini adalah untuk membangkitkan ketegangan dalam diri penonton. Biasanya filem thriller akan meninggalkan persoalan dalam diri penonton dan seringkali jalan ceritanya dibincangkan dalam khalayak yang lebih luas.  Filem seram pula jarang-jarang meninggalkan kesan yang demikian. Sebaliknya penonton akan pulang bersama rasa takut dan ngeri yang lazimnya bersifat sementara.

Satu lagi perbandingan ialah pada jalan cerita dan susunan plot. Penonton filem thriller sering mendapat kepuasan apabila disajikan dengan jalan cerita yang mendebarkan. Unsur plot twist yang sinonim dengan filem thriller juga menjadi penyebab genre ini digemari ramai. Penonton harus meneka siapakah sebenarnya identiti penjahat dan apakah motifnya sejak awal cerita sehingga akhir. Filem seram pula biasanya memiliki jalan cerita yang mudah diramal. Kadangkala penonton sudah dapat menduga apa yang akan berlaku seterusnya.

Sebagai rumusan :

  1. Filem thriller memberikan tumpuan kepada perhatian penonton sementara filem seram lebih fokus kepada mengejutkan penonton.
  2. Filem thriller biasanya mengandungi naratif yang berlapis-lapis dan keterkaitan plot yang lebih baik. Filem seram pula sering memiliki jalan cerita yang mudah diramal.
  3. Konsep penceritaan di dalam filem seram biasanya kurang praktikal berbanding filem thriller. Unsur spiritual serta alam ghaib juga lebih sinonim dengan filem seram berbanding filem thriller.

Semakin industri filem berkembang, semakin banyak filem yang dihasilkan tanpa kategori genre yang jelas. Jurang antara genre semakin kabur dan walaupun hal ini ada kekurangannya, ia sebenarnya telah membuka ruang yang lebih luas untuk para penonton mula mencari kelainan dalam bentuk hiburan yang mereka mahukan.

Rujukan :

  1. Difference Between Horror and Thriller

http://www.differencebetween.net/language/words-language/difference-between-horror-and-thriller/

Artikel ini ditulis oleh Haikal Fansuri dari Ipoh Perak. Selain penulisan artikel, beliau turut menulis kisah-kisah fiksyen bertemakan thriller dan misteri. Karya nukilannya boleh dibaca secara percuma menerusi page Haikal Fansuri