15 Kapal Yang Terperangkap Lalu Menjadi Negara

12,934

Pernahkah anda mendengar tentang sebuah kisah bersejarah yang dimana terperangkapnya sebanyak 15 buah kapal pengangkut barang di Terusan Suez selama 8 tahun lamanya sehinggakan kapal-kapal ini dikenali sebagai Armada Kuning atau The Yellow Fleet?

Baik.

Terusan Suez merupakan salah satu jalur perdagangan lautan antarabangsa yang sangat sibuk di dunia kerana ia menghubungkan diantara benua Eropah dengan benua Asia. Laluan ini sering digunakan oleh kapal-kapal dagang yang membawa barang dagangan kerana ia memendekkan jarak perjalanan, menjimatkan masa dan mengurangkan kos perjalanan sesebuah kapal.

Sebelum Terusan Suez dibina, para pedagang yang ingin menghantar barang dagangan mereka dari benua Eropah ke benua Asia wajib melalui jalur perjalanan yang mengitari lautan Atlantik, benua Afrika sebelum memasuki benua Asia. Setelah laluan ini dibina, maka jarak perjalanan dianggarkan berkurang sebanyak 8,900 km.

Kapal-kapal pengangkut yang datang dari benua Eropah hanya perlu memasuki lautan Mediterranean ke Terusan Suez selama 12 jam sahaja lalu belayar ke Laut Merah sebelum tiba ke Lautan Hindi. Ia memang sebuah kenikmatan bagi para pelayar dan kapal dagang.

Pada pagi hari tanggal 5 Jun 1967, sebanyak 15 buah kapal dagang seperti biasa memasuki pelabuhan Terusan Suez dari Lautan Mediterranean. Ketika dalam pelayaran mereka yang tenang, suasana berubah drastik apabila pada hari tersebut juga telah tercetusnya pertempuran diantara pihak Israel dan pihak negara Mesir dalam peristiwa Perang Enam Hari (5 – 10 Jun 1967). Perang ini bermula apabila pihak Israel melancarkan serangan udara mengejut meletupkan beberapa kawasan penting di negara Mesir. Setelah diserang, maka pihak Mesir kembali menyerang balas serangan kepada pihak Israel.

Untuk maklumat lanjut mengenai Perang Enam Hari: https://www.thepatriots.asia/operasi-badar-keangkuhan-yahu…/

Setelah enam hari pertempuran maka, pihak Israel telah berjaya menjajah Semenanjung Sinai daripada pihak Mesir lalu menguasai Terusan Suez. Apabila kekalahan ini tidak dapat diterima oleh pihak Mesir, maka republik Mesir menyekat ekonomi pihak Israel dengan mensabotaj Terusan Suez supaya ia tidak digunakan oleh Israel untuk memanfaatkan jalur emas ini kerana kedudukan terusan ini terletak ditengah-tengah antara semenanjung Sinai dengan negara Mesir.

Pihak Mesir telah menutup Terusan Suez dan meledakkan beberapa kapal, pelabuhan dan jambatan di utara dan selatan terusan (yang merupakan jalan keluar-masuknya kapal) supaya kegiatan perdagangan di terusan ini ditangguhkan buat sementara waktu. Dengan sekatan ini, maka kapal-kapal pengangkut yang berada di terusan ini diarahkan untuk berlindung buat sementara waktu.

Periuk api dasar laut dipasang di perairan Suez sehinggakan kapal-kapal pengangkut ini tidak boleh belayar keluar dari Terusan Suez. 15 buah kapal ini diarahkan untuk berlabuh sementara di kawasan yang paling luas di Terusan Suez iaitu Tasik Buhaira al-Murrah (Great Bitter Lake).

Ketika di sinilah, kapal-kapal pengangkut yang datang dari lapan buah negara, Amerika Syarikat, Jerman Barat, Poland, British, Bulgaria, Perancis dan Czechoslovakia berkumpul dan menunggu arahan untuk melanjutkan kembali pelayaran mereka. Tetapi penantian mereka merupakan suatu penyeksaan.

Berikut adalah nama-nama kapal yang terlibat dalam kisah ini:

1. MS Norwind dan MS Munsterland dari negara Jerman Barat.

2. MS Killara dan MS Nippon dari Sweden.

3. MS Essayons dari Perancis.

4. MS Agapenor, MS Melampus, MS Scottish Star dan MS Invercargill dari British.

5. MS Djakarta dan MS Boleslaw Beirut dari Poland.

6. MS Vasil Levsky dari Bulgaria.

7. MS Lednice dari Czech.

8. SS Observer dan SS African Glen dari Amerika Syarikat.

LAPAN TAHUN PENANTIAN

Minggu pertama merupakan sebuah percutian, minggu kedua merupakan sebuah penantian dan minggu ketiga merupakan sebuah penyeksaan. Anak-anak kapal yang berada di atas 15 buah kapal dagang ini berasa sangat tertekan kerana mereka terperangkap di atas tasik, terhimpit diantara tentera Israel yang menguasai timur Suez dan tentera Mesir yang menguasai barat Suez. Mereka tiada jalan masuk atau keluar.

Sehinggalah kru-kru di 15 buah kapal ini menyatakan untuk bergabung dan mendirikan sebuah ‘negara sementara’ yang dibahagikan kepada tiga buah kelompok. Daripada orang asing menjadi sahabat, daripada sahabat mereka menjadi sebuah keluarga. Itulah suasana yang dihadapi oleh kru-kru kapal yang terperangkap selama bertahun-tahun di perairan asing. Negara sementara mereka dikenali sebagai ‘Great Bitter Lake Association’.

Setiap kapal dari negara masing-masing membahagikan tugas mereka seperti kapal MS Norwind dari Jerman Barat digunakan sebagai gereja pada setiap hari Ahad, acara menonton wayang ditayangkan di atas kapal MS Vasil Levsky dari Bulgaria, parti kolam renang pula diselenggarakan di atas kapal MS Killara dari Sweden, komuniti bercucuk tanam disediakan di atas kapal Perancis dan kapal dari British pula menyediakan permainan bolasepak kerana ruang kapal MS Invercargill mereka yang sangat luas daripada kapal-kapal yang lain. Mereka juga mengadakan perlumbaan kapal di terusan dengan menggunakan kapal-kapal penyelamat (lifeboat).

Selain hanya menyelenggarakan pelbagai aktiviti berfaedah, mereka juga mengadakan sukan Olimpik versi sendiri pada tahun 1968 yang dikenali sebagai ‘Bitter Lake Olympic Game’ berikutan pada waktu itu sedang berlangsung sukan Olimpik Musim Panas di kota Meksiko.

Apabila sudah lama berada jauh dari rumah atau kampung halaman, bagaimana kita ingin bertanya khabar berutus surat dengan keluarga atau saudara-mara di sana? Ya, selain mendirikan ‘negara sementara’, mereka juga menciptakan setem dan sistem kod pos tersendiri yang diiktiraf oleh republik Mesir. Setem-setem mereka sah digunakan untuk urusan surat-menyurat di semua negara dan setem ‘limited edition’ ini menjadi buruan berharga buat para pengumpul setem pada zaman sekarang.

Setahun berlalu. 14 buah kapal pengangkut yang terapung di Terusan Suez ditutupi oleh debuan padang pasir dari semenanjung Sinai dan Mesir. Dari kejauhan, kapal-kapal ini kelihatan berwarna kekuningan dan sebab itu, mereka dikenali sebagai Armada Kuning atau The Yellow Fleet.

Setelah 6 tahun berlalu, maka pada tahun 1973 terjadi satu lagi pertempuran diantara pihak sekutu Mesir-Syria menentang pihak Israel. Ketika peperangan berkecamuk, salah sebuah roket yang ditembak oleh pihak Israel meluncur laju ke tasik Buhairah al-Murrah dan menenggelamkan sebuah kapal milik Amerika Syarikat. Kini hanya tinggal 14 buah kapal yang masih terselamat.

Setelah 4 tahun peperangan diantara kedua belah pihak utama, Mesir dan Israel, maka mereka mengikat perjanjian damai untuk mengundurkan tentera mereka. Pihak Israel menarik semula tentera mereka dari semenanjung Sinai dan menyerahkan kembali kepada Mesir dan Mesir menjadi negara Arab pertama mengiktiraf ‘negara’ Israel. Selama 4 tahun pertempuran, Terusan Suez dipenuhi oleh pelbagai bangkai kapal dagang, kapal perang, pesawat pejuang dan periuk api dasar laut. Pihak pentadbiran Mesir mengambil masa selama dua tahun lamanya untuk membersihkan kembali laluan ini sebelum ia digunakan seperti sediakala.

Akhir sekali, setelah dua tahun negara Mesir bertungkus lumus membersihkan sisa bahan letupan sebanyak 750,000 buah, maka pada tanggal 5 Jun 1975, Terusan Suez dibuka kembali kepada dunia. Kru-kru anak kapal Armada Kuning yang terperangkap selama 8 tahun, 3 bulan dan 5 hari di tasik al-Buhaira al-Murrah dibebaskan kembali dari belenggu neraka Suez. Negara sementara Bitter Lake pun dibubarkan. Lambaian tangan dan linangan air mata perpisahan dan kebebasan mengiringi kesemua kru-kru kapal untuk pulang ke tanah air masing-masing.

Daripada 14 buah kapal tersebut, hanya 2 buah kapal sahaja yang mampu berfungsi sepenuhnya untuk keluar dan kembali ke negara mereka iaitu kapal MS Norwind dan MS Munsterland dari negara Jerman Barat. Ketika dua buah kapal ini tiba di perairan pelabuhan Hamburg, mereka disambut dengan sorakan dan tempikan gembira dari 30,000 orang penonton yang telah mengetahui kisah tragis mereka.

Kini, kisah Armada Kuning menjadi salah satu peristiwa kesesakan lalu lintas yang paling lama di dalam sejarah dunia.

Kibaran bendera negara Amerika Syarikat, Jerman Barat, Poland, British, Bulgaria, Perancis dan Czechoslovakia.
Pemandangan salah sebuah kapal dari Armada Kuning.
Permainan bole sepak yang dimainkan di atas kapal milik British, MS Invercargill.
Koleksi setem yang dihasilkan sendiri oleh Great Bitter Lake Association.

RUJUKAN:

1. Meet the searfarers who were stranded in the Six-Day War oleh Simon Edge, Express. Co. Uk.

2. The Time 14 Cargo Ships Were Trapped in the Suez Canal … for Eight Years oleh Lucas Reilly, Mental Floss.

3. How War Marooned 15 Ships in The Suez Canal For Eight Years, Amusing Planet.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.