15 Hujah Anda Kena Dahulukan Produk Muslim

1,382

1. Pengeluar atau pengilang Muslim akan berjaya menjual lebih banyak produk keluaran mereka, kerana ramai Muslim juga yang membelinya.

2. Pengeluar atau pengilang Muslim yang sama akan memiliki ‘capital’ lebih banyak hasil keuntungan yang diperolehi.

3. Keadaan ini akan memberi mereka lebih banyak ruang dan peluang untuk menghasilkan produk-produk lain, atau varian barangan lebih premium untuk mereka kilangkan, menjadikan lebih banyak pilihan untuk pengguna di luar.

4. Mereka akan memiliki kuasa penghasilan produk pelbagai yang boleh menyaingi barang pengilang atau pengeluar bukan Muslim lain.

5. Keupayaan yang sama juga akan menggalakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan produk masing-masing, sekaligus mengembangkan potensi produk dan jenama Muslim itu tadi.

6. Aktiviti penyelidikan dan pembangunan produk akan menggerakkan inovasi, menggaji pakar-pakar dan penyelidik Muslim, mewujud dan memperkasa vendor-vendor kepada kilang ini. Ia menjana peluang pekerjaan dan keusahawanan yang lebih banyak untuk semua, memakmurkan kembali ekonomi negara.

7. Ia bermakna lebih banyak peluang pekerjaan untuk pengganggur-pengganggur tempatan yang memiliki kelulusan dalam pelbagai bidang kerana berkembangnya potensi perniagaan dan keusahawanan Muslim ini. Kembali membantu kerajaan mencapai objektif menyediakan sehingga sejuta peluang pekerjaan yang dicanang dalam manifesto PRU14 yang lalu, bantu merealisasikan salah satu dari banyak lagi janji 5 tahun mereka.

8. Semua aktiviti ini akan memberi peluang supaya produk Muslim dapat dipasarkan dengan lebih baik. Ia akan bermakna kedudukan produk Muslim di rak jualan yang lebih menonjol. Pengeluar dan pengilang ini akan memiliki kemampuan mengiklan yang lebih baik, keuntungan melalui jualan secara pukal dan volume (lebih murah kos, lebih murah harga jual) untuk kembali memberi manfaat kepada pengguna Muslim.

9. Kitaran ini akan berkembang secara positif, membanteras monopoli pasaran produk tertentu, memperkasa rantaian pengeluar-pengedar-pemborong-peruncit-pengguna semuanya dari kalangan Muslim.

10. Di akhirnya, manfaat untuk semua yang terlibat, mencambahkan potensi ekonomi orang Islam secara keseluruhan, memanfaatkan juga peniaga lain secara umum.

11. Jadi begitulah, bila kita terus sama-sama fokus kepada kempen #BMF ini, jika kena caranya, pekedai dan pengusaha bukan Muslim akan kembali memilih produk Muslim ini kerana sedar potensi, kualiti, nilai per RM untuk barangan keluaran Muslim ini sama jika pun tidak lebih baik dari pengeluar bukan Muslim.

12. Kempen “Buy British Last” yang digerakkan oleh PM ke-4 sepanjang tempoh 2 Oktober 1981 hingga 31 Mac 1983 menyaksikan DEB dipacu gerak, mewujudkan lebih banyak pengilang dan pengeluar tempatan menghasilkan satu kitaran ekonomi tempatan yang lebih sihat dan mampan.

13. Sekalipun DEB ada banyak kelebihan, lebih banyak peluang untuk semua usahawan tempatan mendapat manfaat berbanding monopoli import eksport oleh syarikat-syarikat British. Kempen belilah barangan buatan Malaysia mencambahkan banyak syarikat-syarikat tempatan. Ia tamparan hebat untuk mereka kerana memandang rendah kemampuan rakyat Malaysia ketika itu.

14. #BMF adalah skala kecil dan ‘localized’ kepada kempen ‘Buy British Last’, lebih khusus untuk rantaian ekonomi dan kepenggunaan Muslim. Memanfaatkan 70% kuasa kepenggunaan Muslim di Malaysia.

15. Kita boleh buat, jika kita mahu.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.