Kita selalu mengaitkan Lionel Messi dengan gelaran pemain terbaik dunia generasi hari ini dan persaingannya dengan bintang Portugal dan Real Madrid, Cristiano Ronaldo. Dan kalau mengikut pencapaiannya secara peribadi dan di peringkat kelab, itu sudah cukup untuk menobatkannya sebagai pemain kelab terbaik dunia. Tetapi di peringkat pasukan kebangsaan, kecemerlangan yang dicapai di peringkat kelab gagal diulangi dan Messi kadang-kadang tidak menunjukkan prestasi terbaik. Terbaru semasa perlawanan kedua kumpulan Piala Dunia menentang Croatia yang berakhir dengan kemenangan 3-0 untuk Croatia, pasukan Argentina bergelut dengan Messi hanya diberi rating 3.9 atau 4 mata saja. Jadi mengapa situasi ini boleh berlaku?

Kita kena ingat sejak kemunculan awalnya, Messi sudah dianggap pewaris pemain legenda La Albiceleste, Diego Maradona dan selepas beberapa tahun, sudah menunjukkan kemahiran mengatasi legenda yang menjadi pujaan ramai di situ. Maka tidak hairanlah, ramai mengharapkan Messi mengulangi magis Maradona yang mengetuai pasukan itu menjuarai edisi Piala Dunia 1986 setiap kali melangkah masuk ke padang. Tetapi itu tidak pernah berlaku dan beberapa final kejohanan yang meletakkan dirinya sebagai protagonis berakhir dengan kegagalan. Messi gagal membantu La Albiceleste menjulang Piala Dunia pada edisi 2014 dan gagal membantu mereka menang kejuaraan serantau Copa America bukan sekali tetapi tiga kali. Dan dengan kekalahan terbaru ini, ia sebenarnya menunjukkan betapa beliau gagal mengawal tekanan dan harapan di negara tersendiri berbanding semasa bersama Barcelona.

Pasti ramai yang akan mengatakan itu mustahil kerana di peringkat kelab, Messi beberapa kali muncul sebagai penyelamat dan sebagai protagonis yang membawa Barca menjuarai kejohanan domestik dan antarabangsa. Tetapi tekanan bermain bersama pasukan kebangsaan berbeza lebih-lebih lagi dengan beban sebagai pemain terbaik dunia. Dan itu kadang-kadang menyebabkan sesetengah pemain gagal menunjukkan prestasi terbaik atau tidak lagi mencapai standard seperti tahun-tahun sebelumnya. Situasi ini tidak dibantu apabila si pemain menyalahkan dirinya kerana tidak dapat membantu pasukan dalam perlawanan penting. Semasa Argentina seri 1-1 dengan Iceland untuk perlawanan pertama kumpulan mereka, Messi berpeluang membantu La Albiceleste mencipta kemenangan dengan sepakan penalti tetapi berjaya dinafikan penjaga gol lawan. Ini sesuatu yang mengganggu fikirannya sehingga tidak mahu bersama pemain dan staf yang mengadakan barbeku dan duduk bersendirian dalam bilk hotelnya.

Isu tekanan saja tidak boleh dijadikan punca pemain ini gagal cemerlang di peringkat antarabangsa. Kadang-kadang kita kena melihat pula siapa yang bermain bersamanya. Ramai menyifatkan semasa perlawanan dengan Croatia semalam, La Albiceleste dilihat tidak mengamalkan semangat berpasukan dan dilihat saling berlawanan antara satu sama lain. Bagi bek kanan West Ham United dan finalis Piala Dunia 2014, Pablo Zabaleta menyifatkan ia sesuatu yang memalukan dan tidak seharusnya berlaku kepada pasukan yang mempunyai reputasi besar seperti Argentina. Sementara pemain tengah Chelsea yang juga bekas pemain akademi Barca, Cesc Fabregas melihat Messi berseorangan dan tidak mendapat sokongan pemain secukupnya.

Dan ini sesuatu yang harus diakui bukan saja para pemain dan pasukan kejurulatihan tetapi juga pihak pengurusan persatuan bola sepak Argentina (AFA). Maaf cakap walaupun Argentina tidak pernah ketandusan pemain-pemain berbakat besar dan ada di antaranya sudah bergelar bintang bersama pasukan masing-masing, tetapi kebergantungan mereka terhadap Messi amat tinggi. Jika anda melihat sejak kemunculannya bersama pasukan kebangsaan, bukan sekali dua Messi menyelamatkan La Albiceleste dari menerima kekalahan atau membawa mereka melepasi pusingan kejohanan antarabangsa. Tetapi keazaman, kesungguhan dan bakatnya itu gagal ditandingi rakan-rakan sepasukan lain pada perlawanan-perlawanan penting. Dan bukti kebergantungan ini semakin bertambah apabila Messi keluar dari persaraan dan membantu pasukannya melepasi kelayakan Piala Dunia 2018 kawasan Amerika Selatan. Dan mengikut statistik, mereka hanya mendapat enam mata daripada 24 mata tanpa kehadiran beliau dan 21 daripada 30 apabila Messi bermain.

Bukan itu saja, kualiti pemain yang bersama beliau juga boleh dianggap kurang berkualiti atau sudah melepasi zaman kegemilangan masing-masing. Buktinya lihat sendiri senarai 23 pemain yang dibawa jurulatih Jorge Sampaoli untuk Piala Dunia kali ini. Kelibat penjaring terbanyak Serie A, Mauro Icardi langsung tiada sementara peledak Juventus, Paolo Dybala hanya digunakan dari bangku simpanan saja. Sementara kelibat pemain berusia seperti Javier Mascherano terus digunakan walaupun sudah tidak berkemampuan mengejar pemain lebih pantas seperti Ante Rebic yang menjadi duri dalam daging kepada pertahanan La Albiceleste. Dan tidak semua pemain yang mempunyai kualiti setanding beliau sekaligus mempunyai pemahaman berbeza terhadap permainan berbanding Si Kutu Atomik (La Pulga Atomica) ini.

Dan untuk menambah pening kepala teka-teki Messi ini ialah tindakan jurulatihnya, Sampaoli semasa kelayakan dan sebelum Piala Dunia berlangsung. Bukan sekali dua bekas jurulatih Chile dan Sevilla ini mencari resepi terbaik bukan saja memastikan Argentina dapat bertahan dengan baik tetapi mengekalkan permainan menarik La Albiceleste, ini termasuk memaksimumkan potensi Messi sebagai sumber kreativiti pasukan. Bagaimanapun, tindakannya memencilkan beberapa pemain dianggap mengejutkan ramai. Penyerang Inter Milan yang menjaringkan 23 gol dalam Serie A, Mauro Icardi tidak dipilih dalam senarai 23 pemain. Sementara peledak Juventus yang menyumbat 22 gol musim lepas, Paolo Dybala pula hanya digunakan dari bangku simpanan kerana Sampaoli cenderung memilih penjaring Manchester City, Sergio Aguero. Ini ditambah dengan prestasi kurang menyakinkan beberapa pemain veteran seperti Willy Caballero dan Javier Mascherano tetapi tetap dipilih dalam pasukan kebangsaan. Kesilapan pemilihan pemain ditambah dengan kesilapan taktikal ini menyebabkan La Albiceleste bergelut dalam kumpulan D dan Messi dilihat semakin merosot berbanding pesaingnya, Ronaldo. Jika ini berterusan, maka tidak mengejutkan sekiranya Argentina tersingkir dari peringkat kumpulan dan Messi tidak akan berfikir dua kali untuk mengumumkan persaraan dari dunia bola sepak antarabangsa buat kali kedua selepas melakukannya pada tahun 2016.

Ini mengundang persoalan apakah Messi masih layak digelar seorang legenda bola sepak. Legasinya sebagai legenda dilihat tidak akan terjejas kerana ada beberapa legenda bola sepak yang mempunyai karier hebat bersama pasukan kelab tetapi tidak menyerlah bersama pasukan kebangsaan. Bekas penyerang Chelsea dan Argentina, Hernan Crespo berpandangan ia masih tidak mengubah hakikat impak Messi terhadap dunia bola sepak walaupun tidak memenangi sebarang kejohanan antarabangsa bersama La Albiceleste. Tetapi bagi pemain berkaliber seperti Messi, ia sesuatu yang tidak akan diterimanya bulat-bulat dan beliau pasti akan bermain habis-habisan melawan Nigeria untuk perlawanan terakhir kumpulan sambil mengharap ihsan Croatia untuk layak ke peringkat seterusnya. Persoalannya, masih ada lagikah magis Messi untuk La Albiceleste untuk melepasi peringkat kumpulan? Atau magis tersebut hilang gara-gara kebergantungan yang bersifat keterlaluan pada Si Kutu Atomik? Kita hanya boleh tunggu dan lihat apa berlaku seterusnya.

SUMBER

  1. Ronay, Barney. (2018). The Guardian. Lionel Messi the sun king makes Argentina blind to new tricks. https://www.theguardian.com/football/2018/jun/20/lionel-messi-sun-king-argentina-blind-world-cup
  2. BBC. (2018). World Cup: Lionel Messi carrying Argentina’s weight of expectation. https://www.bbc.com/sport/football/44570451
  3. Delaney, Miguel. (2018). The Independent. Mentally and emotionally burned out, Lionel Messi crumbles under the burden of carrying Argentina at the World Cup. https://www.independent.co.uk/sport/football/world-cup/world-cup-2018-lionel-messi-argentina-vs-croatia-result-highlights-video-can-they-qualify-a8411121.html

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.