Ikhtiar Itu Ialah Bukti Syukur

0
422
views

Berikhtiar dengan tangan sendiri

ialah tanda syukur kepada ar-Razzaq,

Jetpack Langkawi

sifat jabbariyyah pula menidakkannya.

(Mathnawi, Mevlana Rumi)

Islam menolak fatalism.

Berkata Mufti Mesir, Syeikh Ali Jumuah:

  • Bersandar kepada ikhtiar ialah Syirik.
  • Meninggalkan terus ikhtiar ialah Jahil.

Jabbariyyah tidur di tepi jalan. Jangan tidur!

Jangan tidur sehingga kamu melihat batas & babak.

(Mathnawi, Mevlana Rumi)

Jabbariyyah adalah sebuah akidah bidaah yang muncul pada abad ke-2 hijriah di Khurasan. Jabbariyyah memiliki keyakinan bahawa setiap manusia terpaksa oleh takdir tanpa memiliki pilihan dan usaha dalam perbuatannya. Tokoh utamanya adalah Ja’ad bin Dirham dan Jahm bin Shafwan.

Berkata Rasulullah ﷻ:

“Seandainya kalian sungguh-sungguh bertawakal kepada Allah, sungguh Allah akan memberi kalian rezeki sebagaimana Allah memberi rezeki kepada seekor burung yang pergi dalam keadaan lapar dan kembali dalam keadaan kenyang “ (HR.Tirmidzi)

“Akan masuk surga suatu kaum yang hati mereka seperti hati burung. ” (HR. Muslim)

Syeikh Mubarakfuri ada menguraikan dalam Tuhfatul Ahwadzi. Lihatlah bagaimana tawakkal burung-burung. Tawakkalnya tinggi. Ikhtiarnya juga tinggi. Ia tidak tahu wujud atau tidak rezekinya pada hari itu. Tetapi, tetap ia keluar mencari rezeki. Burung tidak tinggal bermalas-malasan di dalam sarang. Burung terbang keluar mencari rezeki yang Allah sediakan. Ia tidak stress, berlamun mengenangkan nasib badan. Sentiasa optimis dalam memenuhi keperluannya. Renunglah pula apa jadinya bila manusia tidak bijak mengendalikan tawakkal. Manusia yang mengabaikan ikhtiar akan duduk saja di rumah, depresi memikirkan masalah yang tak habis-habis malahan pesimis untuk membanting tulang empat kerat. Terperangkap dalam limbo.

Etimologi perkataan ‘ikhtiar’ itu sendiri signifikan.

Ikhtiar berasal dari perkataan arab إختيار  iaitu ‘ memilih’.

Berkait dengan kalimat خيرة  iaitu ‘pilihan’.

Berkait dengan kalimat خير iaitu ‘kebaikan’.

Maknanya di sini, ikhtiar itu sendiri bukan datang daripada diri kita.

Hakikatnya, ‘ikhtiar’ ialah pilihan yang Allah ﷻ berikan. Terpulang kepada kita untuk memilih yang terbaik. Dalam memilih itu sendiri dengan hidayah & taufik Allah ﷻ. Dalam gerak & diam kehidupan kita, tidak terlepas daripada kekuasaan Allah ﷻ. Membuat pilihan yang terbaik, ialah tanda syukur kita di atas pemberian ‘pilihan’ daripada Allah ﷻ. Semasa pilihan dibuat, syukur kita ialah dengan menjaga perintah dan larangan-Nya.

“Ya,” dia berkata, “sekiranya bertawakkal kepada Tuhan ialah pentunjuk jalan, ikhtiar juga sunnah Rasul. Rasulullah berkata dengan suara yang lantang, “sementara bertawakkal kepada Tuhan tambatlah lutut unta kamu.” Dengarlah pesanan penting Pesuruh Allah yang disayangi-Nya. Melalui bertawakkal kepada Tuhan, jangan cuai terhadap ikhtiar.

(Mathnawi, Mevlana Rumi)

Apabila solat, Rasulullah berdiri hingga kaki baginda bengkak. Aisyah berkata: Wahai Rasulullah, kenapa Tuan melakukan ini padahal Allah telah mengampuni dosa Tuan yang telah berlalu dan yang dikemudian. Baginda bersabda: Apakah aku tidak menjadi hamba yang bersyukur?

(HR Muslim)

Dalam Perang Uhud, Nabi Muhammad  ﷺ memakai dua lapis baju besi. Nabi ﷺ jua menyuruh kita berubat bila ditimpa sakit. Tidak menunggu sembuh sendiri.

Pada suatu hari, Iblis berjumpa Nabi Isa yang sedang berada di tepi gaung. Lantas Iblis berkata, “wahai utusan Allah, apa kata kamu terjun ke dalam gaung ini. Jangan risau, bertawakkallah. Allah pasti akan menyelamatkanmu.” Nabi Isa menjawab, “Berambus kau Iblis yang dilaknat! Tidak layak aku menguji Allah. Sepatutnya Allah lah sendiri yang menguji dan menduga aku!”

Sepertimana tawakkal ialah sunnah, ikhtiar juga ialah sunnah Rasulullah ﷺ.

“Ya, kata singa,” tetapi Tuhan meletakkan tangga di hadapan kaki hamba-hamba-Nya. Langkah demi langkah harus dipanjat untuk sampai ke bumbung. Menjadi Jabbariah ialah pandangan bodoh.”

(Mathnawi, Mevlana Rumi)

Tangga dalam allegori ini bererti rezeki. Allah ﷻ telah meletakkan rezeki di hadapan kita. Dengan syarat kita sendiri haruslah melangkah, untuk mencapai rezeki tersebut. Harus diingat, ikhtiar itu sendiri ialah rezeki dari Allah ﷻ. Kita berusaha dengan jasad, dalam masa sama wajib bagi hati bersandar pada Allah ﷻ, haram bersandar pada ikhtiar. Bukan ubat yang menyembuhkan, tetapi Allah ﷻ yang menyembuhkan.

Tetapi ubat harus dimakan. Kerana Allah ﷻ ciptakan sebab akibat. Sunnatullah ini bagi memudahkan hamba-Nya mengurus dunia. ‘Sebab’ tidak memberi kesan dengan sendiri, Allah ﷻ yang menciptakannya. Adalah bodoh bila Allah  ﷻ telah membukakan kita peluang, tetapi kita tidak mengendahkannya. Inilah kesilapan orang yang tidak berikhtiar. Mereka buta daripada rezeki Allah ﷻ.

Apa erti ‘murah rezeki’?

Walaupun barang mahal biasanya lagi berharga, mengapa orang alim ketika berdoa tidak minta dimahalkan rezeki? Sebenarnya, frasa ini menampilkan ketinggian tasawuf bangsa melayu. Murah rezeki bererti, kita beraqidah bahawa yang memberi rezeki ialah Allah ﷻ. Dialah ar-Razzaq. Bukan diri sendiri. Dengan usaha yang dikerah, kita berharap ia dapat membeli rezeki daripada Allah dengan harga yang murah. Sedikit buat hasilnya banyak. Banyak buat hasilnya berganda. Seperti barang, kalau murah dapat banyak. Usaha itu asbab. Yang ciptakan asbab itu pun Allah ﷻ. Kalau Allah tak izinkan kita mengerjakan asbab, tak jadi juga. Kita tiada apa. Memberi rezeki ialah hak Allah ﷻ . Mengerjakan ikhtiar ialah tanggungjawab kita.

لا حول ولا قوة إلا بالله

Tiada daya upaya melainkan dengan izin Allahﷻ.

Maqam Asbab & Tajrid.

Bagaimanapun, terdapat dalam kalangan hamba Allah yang dikurniakan rezeki tanpa berikhtiar. Golongan ini berbeza. Huraian berkenaannya diperincikan oleh Ibn Ataillah dalam kitab hikamnya.

Berkata Ibn Atalaillah As-Sakandari:

إرادتك التجرد يدمع إقامة الله إياك في الأسباب من الشهوة الخفية.

[Terjemahan: Keinginanmu untuk bertajrid sedangkan Allah masih menetapkan engkau pada golongan yang perlu berusaha, ada sebahagian daripada syahwat yang tersembunyi.]

Tajrid ialah menghilangkan alam ini daripada lubuk hati (sirr) iaitu suatu maqam yang tinggi. Dan Allah taala telah menetapkan dalam maqam ini sekalian hambanya yang khawas (istimewa di kalangan wali Allah) dan sekalian orang yang arif (dibukakan makrifatullah). Maka apabila Allah menempatkannya kepada maqam khawas, maka janganlah ia turun daripada martabatnya kepada martabat yang kurang. Asbab adalah bagi sekalian ahli suluk di peringkat permulaan iaitu ahli tawajuh.

Menurut syarah Tok Pulau Manis Terengganu:

Yakni sesiapa yang Allah menetapkannya supaya berusaha tetapi ia hendak keluar daripadanya kerana ingin bertajrid maka perbuatan itu merupakan syahwat yang tersembunyi.

  • Ia dianggap syahwat kerana tidak melakukan apa yang dikehendaki oleh Allah ﷻ padanya dan kehendaknya menyalahi yang demikian itu.
  • Ia dianggap tersembunyi kerana pada zahirnya ia hendak keluar daripada nafsu. Hal yang demikian memang dikendaki Allah ﷻ tetapi menurut keredhaan Allah ﷻ bukan menurut keredhaan nafsunya. Dan yang diredhai Allah ﷻ bagimu ialah kamu menetap pada apa yang ia telah tetapkan kepadamu.

Disebutkan dalam kitab at-Tanwir fi Isqat at-Tadbir: Apa yang dikehendaki Allah ﷻ daripadamu, ialah kamu diam kepada apa yang ia telah tetapkan kepadamu hingga الحق  ﷻ memerintahkan engkau keluar daripadanya seperti ia memerintahkan engkau masuk kepadanya.”

وإرادتك الأسباب مع إقامة الله إياك في التجريد انحطاط عن الهمة العلية.

[Terjemahannya: Dan keinginanmu untuk berusaha, sedangkan Allah ﷻ telah menempatkanmu dalam bertajrid, adalah suatu penurunan daripada himmah yang tinggi]

Yakni sesiapa yang Allah ﷻ telah menempatkannya dalam bertajrid sedangkan ia ingin keluar untuk daripadanya untuk berusaha, maka hal yang demikian adalah sebahagian daripada kurang semangat, serta jahat adabnya dan ia menyertai syaheatnya, kerana keinginan itu sebahagian daripada keinginan tabi’I dan kegelapan nafsu.

Perbandingan orang tajrid dengan orang asbab:

  • Orang asbab: dititahkan kerjalah dan makan dari usahamu itu.
  • Orang tajrid: dititahkan tetaplah engkau padaKu dan Akulah yang mencukupkan bagimu.

Muhammad Iqbal, tokoh pemikir Pakistan.

Pemikir graduan Universiti Cambridge ini amat mengkagumi Mevlana Rumi. Salah satu faktornya ialah dinamika dalam puisi-puisi Mathnawi. Rumi menggesa pembaca supaya tidak berpeluk tubuh. Berjuang meskipun tidak berhasil jauh lebih baik daripada tidur. Antara kata-kata inspirasi Rumi ialah: “Jikalau pokok-pokok boleh bergerak, pastinya ia dapat melarikan diri dari sengsara digergaji.” “Jangan duduk saja, mengembaralah dari dirimu ke dalam dirimu.”  Dampak dari ini, Iqbal menuliskan puisi: “Usah menoleh ke kiri ke kanan. Lihatlah ke dalam diri. Usah bersedih poketmu kosong. Di dalam dadamu seberkas rembulan mengambang tersimpan.”

Mevlana Rumi mengajarkan, dalam apa-apa ikhtiar kita bila benar jujur dan ikhlas, ialah lambang kesyukuran kepada pencipta. Dalam diri kita, terdapat tanda-tanda kekuasaan-Nya.

Dunia ini ialah lukisan Allah ﷻ dalam melakarkan kekuasaan & kasih sayang-Nya.

Dalam setiap gerak & diam kita, tidak mungkin tercipta sia-sia.

Setiap takdir-Nya ialah jalan kita mengenal pelukis alam ini, Allah ﷻ.

Nabi Daud pernah berdoa:

“Ya Tuhan, bagaimana saya bersyukur kepada-Mu, sedangkan syukurku kepada-Mu adalah (kerana) kenikmatan dari-Mu?” Allah ﷻ menurunkan wahyu kepadanya: “Sekarang engkau telah bersyukur kepada-Ku.”

Berikhtiarlah,

Dengan iktikad syukur diberi pilihan untuk berikhtiar.

Berikhtiar bukannya pergelutan dengan Takdir

Kerana Takdir sendiri yang menetapkan ini ke atas kami.

(Mathnawi, Mevlana Rumi)

Rujukan:

  1. Al-Quran
  2. Hadis Nabawi
  3. Syarah Hikam Ibn Ataillah, oleh Tok Pulau Manis Terengganu.
  4. Mathnawi, Mevlana Rumi. Terjemahan Syed Ajmal al-Aidrus
  5. Iqaz Himam Syarah Hikam. Syeikh Ibnu Ajibah.
  6. Fundamental Of Rumi’s Thought. Sefik Can.
  7. Risalah Qusyairiah. Imam Qusyairi.
  8. https://muslimafiyah.com/maksud-tawakkal-seperti-burung.html
  9. https://id.m.wikipedia.org/wiki/Jabariyah?wprov=sfti1

Previous articleBerakhirnya Perang Tapi Sukarnya Mencapai Keamanan
Next articleFalsafah Agung Pada Tarian Zapin Melayu
Graduan Darul Quran JAKIM. Ahli grup Pena Ilmiah (sQQr). Pemuisi yang patah hati. Khadam mashayeikh yang gigih bertatih, terjatuh dan bangkit kembali dalam mengenali adab & ilmu. Obses terhadap dunia penulisan, puisi dan sejarah. Believe in love like always do.
SHARE