Tengok golongan pelampau kepanasan sebab Amber Heard kalah boleh kata puas hati juga. Bukan main mereka menuduh Johnny Depp macam-macam. Siap tolak habis definisi “toxic feminity” kononnya dicipta para lelaki dengan sengaja untuk menjatuhkan mangsa dalam kalangan wanita. Hakikatnya, “toxic masculinity” juga adalah definisi ciptaan lelaki iaitu Shepherd Bliss untuk bercerita tentang perangai bapanya (Harrington, 2020). Tetapi soalnya, Amber Heard sudah tewas… jadi apa patut kita buat sekarang? Patut gelabah ya?

Apa kena mengena dengan kita?

Sebenarnya banyak.

Advertisements

Propaganda Yang Tidak Disahut

Dunia Barat sekarang sudah menjadi medan pengukuh hubungan dalam kalangan wanita. Jalinan ukhwah ini turut disokong para lelaki yang berbudi jantina (jenis tidak melampaui batasan). Jalinan ini sudah lama tercetus tetapi mencanak habis dengan kes Harvey Weinstein. Bukan main jutaan wanita turun ke jalan untuk bersuara dalam Gerakan #MeToo (Chuck, 2017). Suara ini bertambah api selepas mendapat suara ramai seperti Angelina Jolie, Gwyneth Paltrow dan Jennifer Lawrence. Api ini menyambar dan menjilat habis karier beberapa individu yang melampaui batasan.

Harvey Weinstein (Thomas Hawk/CC BY-NC 2.0)

Arus ini telah menghanyutkan Johnny Depp, yang kehilangan kontrak bersama banyak filem. Paling menyayatkan, beliau tidak boleh menyambung karier sebagai Gellert Grindelwald yang diserahkan kepada Mads Mikkelsen. Ironinya, Fantastic Beast: The Secrets of Dumbledore lebur di pawagam sepanjang tempoh perbicaraan Depp-Amber Heard. Namun sedar atau tidak, perbicaraan bukan main enam minggu – tetapi tiada seorang pun dalam semangat #MeToo menyokong Amber. Padahal tuduhan bukan main dahsyat:

  • Depp kaki pukul sampai Amber kena pakai mekap untuk tutup lebam. Pengeluar mekap keluar menafikan katanya masa Amber kena pukul, produk mekap yang dikatakan belum wujud lagi.
  • Amber kena teruk sampai Depp masukkan botol arak dalam faraj Amber (Rosner & Farberov, 2022). Tetapi peliknya, Amber yang cerdik pasal hal kewanitaan tidak pula pergi dapatkan rawatan.

Banyak lagi boleh dibicarakan. Betul, benda hanya memberi impak kepada mereka berdua. Marhaen di seantero dunia walau bagaimanapun terkesan secara tidak langsung.

Perilaku Narsisistik Dan Bahaya Keganasan

Golongan wanita di Barat terutamanya sekarang sedang risau jika keputusan mahkamah ini ditunggang macam keldai. Umumnya, Amber Heard didapati memfitnah Johnny Depp. Tetapi difahamnya pula adalah “lelaki yang ganas boleh menutup mulut mangsa keganasan (wanita) dengan ugutan saman” (Limbong, 2022).

Situasinya senang: “kau bongkarkan; aku saman kau.” Bukan senang untuk buktikan keganasan rumah tangga. Antara alasan yang biasa digunakan adalah – “eh, dia tampar diri dia.” Walaupun sifat hujah ini sekadar teori, kena bayangkan juga implikasinya.

Peninglah. (Reuters)

Tetapi apakah ini salah Depp? Tidak sama sekali. Hal yang berlaku sebenarnya sangat relatable (boleh dikaitkan) dengan rakyat marhaen tidak kira mana-mana negara mahupun jantina. Kedua-dua mereka (Depp dan Amber Heard) didakwa menunjukkan sifat narsisistik. Kalau ada yang tidak faham, narsisistik adalah masalah mental yang seseorang merasa dirinya sangat penting, perlu perhatian dan kurang empati terhadap orang sekeliling.

Pihak Depp dari awal lagi membawa bukti rakaman suara yang membuktikan Depp dipukul dengan periuk (Ashford, 2020). Kemudian pihak Amber mengemukakan bukti kiriman mesej daripada Depp yang menggelar orang perempuan “murahan” dan “gemuk dan hodoh” (Davies, 2020).

Masih tidak nampak apa kena mengena dengan kita?

  1. Jangan normalisasikan budaya pukul pasangan. Narsisistik tidak terhad pada wanita sahaja. Suami yang pukul isteri pun boleh bawa nafsu narsis.
  2. Jangan berkomunikasi ikut nafsu marah. Penyelesaian suatu masalah adalah melalui solusi… bukannya emosi.

Punca di sini bukannya perjuangan feminisme. Tetapi sifat pelampau macam si mulut murai ini (dan Amber Heard). Jiwa gila mereka menebal dalam kalangan ramai orang, tidak kira jantina… yang selamba badak main falasi dan mengulit simpati. Jadi pada dasarnya, kemenangan Depp memang amat bermakna untuk semua orang. Beliau dituduh mengkasari Amber. Beliau saman fitnah terhadap Amber. Beliau terbukti difitnah. Jadi betulkah beliau mengkasari Amber? Ini semua perspektif untuk semua buat kesimpulan sendiri.

“Pilih bini kena betul-betul.” – bukan Johnny Depp.

Pada zaman ini, kata-kata mulut boleh ditarik balik dengan permohonan maaf. Namun kenyataan bertulis adalah selamanya. Punca di sini bukannya perjuangan feminisme… mahupun sifat masyarakat yang anti-lelaki atau anti-wanita. Punca di sini adalah masalah itu sendiri. Keganasan rumah tangga tidak boleh dinormalisasikan. Dan kejadiannya jangan kita play down macam “eh, kau lelaki. Takkan nak kecoh lebih kalau kena pukul sikit?”

RUJUKAN:

Chuck, E. (2017, Oktober 16). #MeToo: Alyssa Milano promotes hashtag that becomes anti-harassment rallying cry. NBC News.

Harrington, C. (2020, Julai 17). What Is Toxic Masculinity and Why Does It Matter? Men and Masculinities.

Rosner, E., & Farberov, S. (2022, Mei 17). Johnny Depp’s lawyer grills Amber Heard on ‘bottle’ sex assault, her love notes. The New York Post.

Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Leave A Reply