Semakin berkembangnya teknologi yang diusahakan manusia, semakin banyak barangan elektrik dan elektronik untuk memudahkan kerja manusia yang perlukan kudrat. Namun teknologi semakin canggih seiring peredaran masa, manusia semakin kreatif dalam penciptaan mesin yang lebih inovatif, sehinggalah wujud penciptaan robot, mesin dibina dengan mempunyai anggota dan meniru kerja manusia.

Namun begitu, robot telah lama wujud lebih 2,000 tahun lamanya walaupun ia wujud dalam mitologi tamadun. Robot kuno itu bernama Talos, robot milik tamadun Yunani Kuno. Dari fakta ini timbul persoalan yang penting, apakah orang Yunani mengetahui tentang robot? Pernahkah mereka menciptanya sehingga wujudnya kisah lagenda mengenai Talos ini?

Asal-Usul Talos

Watak Talos dalam filem Jason and the Argonauts (1963)

Mengikut mitologi, Talos ialah robot automaton gergasi yang dibina oleh dewa Zeus dan namakan sempena nama Zeus yang kedua, iaitu Talios. Talos juga nama bagi matahari dalam bahasa Yunani. Terdapat juga versi lain tentang asal-usul Talos, antaranya Talos ialah robot ciptaan dewa Hephaestus iaitu dewa api dan pertukangan. Talos juga dikatakan anak lelaki dari dewa Hephaestus sendiri bersama pasangan bernama Cres.

Namun menurut pemuisi Yunani bernama Hesoid, Talos telah disebut pada 700 SM di mana Talos sebenarnya dicipta oleh manusia tetapi tidak diketahui siapakah penciptanya. Talos ialah dewa matahari bagi penduduk Yunani yang menetap di Pulau Crete. Dikatakan terdapat satu saluran yang menghubungkan leher hingga ke siku yang memberikan Talos ‘nyawa’. Dalam saluran tersebut ada cecair logam yang mengalir. Terdapat syiling Yunani diukir dengan rupa Talos yang mempunyai sayap. Ada sesetengah rakyat percaya bahawa Talos tidak mempunyai sayap.

Talos adalah hadiah dari Zeus, diberikan kepada raja Crete bernama Minos untuk melindungi pulau dari ancaman musuh. Tetapi menurut catatan oleh penulis Yunani bernama Apollonius Rhodius, Talos dihadiahkan dahulu kepada dewi Europa sebagai pelindung dirinya dan anaknya, kemudian dihadiahkan kepada Minos.

Tugas Talos Sebagai Pelindung Crete

Syiling Yunani yang berukiran Talos bersayap dan memegang batu. (Sumber: Ancient Origins)

Menurut catatan dari ahli falsafah terkenal bernama Plato, Talos mengelilingi Crete sebanyak 3 kali dalam seminggu. Pulau tersebut begitu besar dan memerlukan masa yang banyak untuk mengelilingi sebanyak 3 kali. Maka, Talos berkemungkinan bertubuh gergasi seperti apa rakyat Crete percaya, dan juga berkemungkinan Talos boleh terbang. Jadi tak hairan jika sesetengah rakyat percaya yang Talos mempunyai sayap.

Apabila musuh mula tiba ke Crete, Talos menghalau musuh tersebut dengan melemparkan batu. Jika musuh mendarat, Talos panaskan badannya dan menghancurkan mereka dengan sekeliling mata. Talos bukan sekadar melindungi Pulau Crete saja, ia mempunyai tugas kedua iaitu sebagai ‘pengawas’ kepada tingkah laku rakyat Crete supaya mematuhi undang-undang yang dewa laksanakan. Sebanyak 3 kali dalam setahun Talos datang melawat perkampungan rakyat Crete bagi memastikan mereka mematuhi tanpa melanggar undang-undang.

Setelah beberapa tahun Talos melindungi Crete, akhirnya ia ditumpaskan oleh pasukan pahlawan Yunani bernama The Argonauts yang diketuai oleh Jason sebagai kapten kapal. Pasukan Jason tidak melawan Talos, sebaliknya bertindak licik. Ketika tiba di Crete, salah satu ahli bernama Medea, iaitu ahli sihir wanita terkenal berbincang dengan Talos bagi minta kebenaran. Dalam masa yang sama, Medea menggunakan sihir bagi meminta Talos membuka paku di sikunya.

Paku pada siku Talos ialah ‘jantung’nya kerana paku tersebut berfungsi untuk pasti kan cecair logam dalam badan Talos tidak tertumpah. Melalui pukauan oleh Medea, Talos tanpa buang masa membuka paku itu. Cecair logam mengalir keluar dari siku dan akhirnya Talos tumpas.

Wujudkah Robot Seperti Talos Ini?

 

Lukisan kematian Talos pada permukaan pasu abad ke-5 SM. (Sumber: Ancient Origins)

 

Sejarahwan dan ahli arkeologi Yunani telah buktikan bahawa kisah Perang Trojan yang dianggap mitos dalam manuskrip Iliad adalah benar berdasakan penemuan kota Troy di Turki. Bagaimana dengan kisah Talos? Adakah para pengkaji mampu buktikan kewujudan robot gergasi ini seperti penemuan kota Troy?

Jika benar Talos itu wujud, berkemungkinan ia adalah kapal angkasa berdasarkan ciri-ciri yang ditemui pada Talos sendiri. Melemparkan batu dan panaskan badan sebelum menyerang menepati ciri peluru atau laser yang dilancarkan dari senjata kapal. Cecair logam yang mengalir dalam tubuh Talos juga berkemungkinan minyak yang memastikan enjin kapal berfungsi. Namun ini hanyalah bayangan pengkaji. Rasanya pentaksub Angkasawan Kuno juga menyokong pendapat ini dan terus mendakwa makhluk asing pernah melawat orang Yunani Crete.

Apa pun hipotesisnya, kisah Talos ini harus dititikberatkan walaupun sekadar mitos saja. Terdapat lagi kisah mitologi yang mempunyai unsur sains fiksyen, seperti kisah penukang bernama Daedalus yang mencipta sayap, dan kisah kotak Pandora yang mampu lepaskan kuasa jika dibuka. Mungkin misteri-misteri dalam tamadun ini dapat dibongkar pada masa akan datang. Kita hanya perlu tunggu saja.

RUJUKAN:

Mayor, A. 2018. Gods and Robots: Myths, Machines, and Ancient Dreams of Technology . Princeton & Oxford: Princeton University Press

Talos of Crete: A 2,000-Year-Old Tale of the First Robot God. Ancient Origins. Published on 21 May 2022.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang ulat buku dan pejuang alam sekitar. Penulis yang rajin tulis tentang flora dan fauna serta sejarah dunia. Dan tak terkecuali peminat Fate.

Leave A Reply