Mengapa Perceraian Topik Tabu Monarki British?

0
655
views

Apabila Putera Harry melangsungkan perkahwinan dengan kekasih tercinta, Meghan Markle pada 19 Mei ini, baginda akan mengikut jejak langkah Raja Edward VIII yang berkahwin dengan sosialit Amerika Syarikat, Wallis Simpson pada tahun 30-an. Dan satu lagi sejarah juga akan terlakar di mana anggota kerabat diraja menerima seseorang yang sudah bercerai. Sebelum bercinta dan bertunang dengan Putera Harry, Markle pernah berkahwin dengan penerbit, Trevor Engleson selama dua tahun sebelum berpisah pada tahun 2013. Tetapi mengapa ia merupakan satu topik tabu dalam kalangan monarki Britain?

Dari segi sejarah, Gereja Anglican tidak mempunyai masalah dari segi perceraian tetapi menolak perkahwinan semula. Ironinya semua ini bermula daripada raja kedua Dinasti Tudor, Henry VIII. Baginda mahu berkahwin dengan seorang wanita bangsawan bernama Anne Boleyn tetapi sebelum baginda berbuat demikian, isterinya iaitu Catherine dari Aragon perlu diceraikan. Alasannya, Catherine tidak mampu memberi zuriat kepada Henry VIII. Atas sebab itu, baginda merayu kepada Paus Clement VII pada tahun 1527 untuk membatalkan perkahwinan tersebut tetapi ditolak oleh Paus. Walaupun sudah dirayu berkali-kali, Paus Clement VII tetap berpegang kepada keputusan asalnya. Sebagai tindak balas, Henry VIII mengurangkan pengaruh gereja dalam istana dan memutuskan semua bentuk perhubungan formal dengan gereja Roman Katolik di Rom. Selepas itu, barulah baginda berkahwin dengan Boleyn tetapi perkahwinan tersebut hanya bertahan selama tiga tahun saja. Boleyn kemudiannya dilabel sebagai pengkhianat dan dipancung pada 19 Mei 1536.

Perpisahan yang dibuat Henry VIII ini mengakibatkan ketua gereja bukan lagi Paus yang berada di Rom. Sebaliknya ketua gereja sebenar ialah monarki Britain itu sendiri. Sejak itu, Henry VIII dan pemerintah-pemerintah seterusnya mengambil peranan sebagai pelindung gereja dan mengangkat rukun keagamaan berkenaan Gereja Anglican semasa hari pertabalan mereka. Dalam keluarga diraja itu sendiri, hampir mustahil bagi seseorang itu bercerai atau berkahwin dengan individu yang pernah berkahwin sebelumnya.

Seperti kebanyakan mazhab agama Kristian lain, Gereja Anglican turut meniru stigma sosial terhadap perceraian. Walaupun undang-undang perceraian di England semakin liberal, perkara sama tidak boleh dikatakan kepada monarki British. Pada mulanya, pasangan suami isteri boleh bercerai tetapi kuasa membenarkan perceraian terletak di tangan Parlimen. Akibatnya sepanjang abad ke-18 Masihi, hanya 131 perceraian yang dibenarkan undang-undang berlaku di England menurut penganalisis perundangan, Henry Kha. Untuk tahun-tahun berikutnya, perceraian dilihat menjadi norma dan perceraian sivil dimulakan pada tahun 1857.

Bagaimanapun bagi pihak monarki, situasi masih tidak berubah dan ini turut terpakai kepada Gereja Anglican. Sehingga tahun 2002, pihak gereja tidak mengiktiraf perkahwinan mana-mana individu yang sudah bercerai selagi mana pasangan yang diceraikan itu masih hidup. Dan terima kasih kepada Akta Perkahwinan Diraja 1772, mana-mana pemerintah yang menduduki takhta perlu membenarkan perkahwinan keturunan George II. Sekiranya mereka enggan berbuat demikian, kedua-dua badan Parlimen iaitu House of Commons dan House of Lords yang terpaksa memperkenankannya. Undang-undang ini dilihat memberi ruang kepada monarki mengawal kehidupan cinta kerabat diraja mereka dan ia berlaku apabila ada anggota kerabat diraja cuba berkahwin dengan duda atau janda.

Walau bagaimanapun, itu tidak bermakna anggota monarki tidak pernah mencuba untuk berpisah. Misalnya pada tahun 1820, Raja George IV berusaha untuk menceraikan Permaisuri Caroline dari Brunswick. Dan untuk menjayakan usahanya itu, baginda turut meminta Parlimen membentuk satu panel untuk membuktikan Caroline sudah bermain kayu tiga di belakangnya. Malangnya, usaha Raja George IV bukan saja tidak berhasil tetapi juga memberi kesan buruk kepada imej monarki British itu sendiri. Ini kerana perbicaraan permaisuri itu sebenarnya menimbulkan obsesi orang ramai melalui akhbar tabloid terhadap kehidupan keluarga diraja itu sendiri.

Figure 1: Raja George IV

Jika keluarga diraja merasakan ianya sudah berakhir, nama Wallis Simpson merupakan satu nama tabu dalam kalangan mereka. Pada tahun 1936, Raja Edward VIII mahu berkahwin dengan Simpson, jelitawan Amerika Syarikat yang pernah berkahwin sebanyak dua kali. Namun ia mencetuskan krisis perlembagaan dengan Perdana Menteri Britain ketika itu, Stanley Baldwin menyifatkan tindakan tersebut tidak boleh diterima dari segi politik dan sosial serta mencetuskan konflik dengan Gereja Anglican. Cubaan kedua-dua pihak mencari jalan penyelesaian untuk situasi ini menemui jalan buntu. Akhirnya, Baldwin memberi tiga pilihan kepada Edward VIII: tarik diri daripada perkahwinan, teruskan perkahwinan tetapi ditentang kerajaan atau turun takhta. Untuk mengelak kerajaan Baldwin tumbang dan mencetuskan krisis perlembagaan, baginda akhirnya turun takhta dan berkahwin dengan Simpson pada tahun 1937. Kedudukan baginda digantikan oleh Raja George VI sementara anak saudara baginda merangkap bakal Ratu England, Elizabeth diangkat sebagai pewaris takhta.

Figure 2: Raja Edward VIII

Selepas kekecohan itu, perceraian dilihat bukan lagi sesuatu di luar kebiasaan untuk monarki British. 17 tahun selepas pendedahan hasrat Raja Edward VIII, Puteri Margaret menunjukkan hasrat mahu berkahwin duda merangkap wira Perang Dunia Kedua, Peter Townsend. Bagaimanapun, hasrat tersebut dibatalkan kerana bimbang perlu menyerahkan kedudukannya dalam senarai pewarisan takhta. Tak lama selepas itu, Margaret juga menjadi janda dan tiga daripada anak-anak Ratu Elizabeth II bercerai. Pada tahun 1973 pula, Puteri Anne berkahwin semula di Scotland di mana gereja situ mengetepikan sekatan bagi duda atau janda berkahwin semula. Begitu juga dengan tindakan ayahanda Putera Harry sendiri, Putera Charles yang menceraikan bondanya, mendiang Puteri Diana pada tahun 1996 yang mencetuskan situasi ribut media terhadap monarki British. Walaupun mendiang bondanya tidak berkahwin semula, Charles pula berkahwin semula dengan kekasih lama merangkap janda, Camilla Parker Bowles. Ratu memberi lampu hijau kepada perkahwinan tersebut, sekaligus menunjukkan perubahan terhadap isu perceraian dalam kalangan monarki.

Sejak 2002, Gereja Anglican turut membenarkan perkahwinan semula duda atau janda sekiranya wujud situasi di luar jangkaan. Dalam kes Putera Harry dan Markle sendiri, ianya bukan satu isu pun. Malah Archbishop of Canterbury, Justin Welby turut menyatakan pasangan itu sudah mengikut langkah sepatutnya dan beliau tidak sabar untuk merasmikan perkahwinan diraja itu. Jika melihat kepada sentimen monarki terhadap isu perceraian dan perkahwinan semula, tanpa mengambil kira pendirian Gereja Anglican, ramai melihat monarki British dilihat semakin fleksibel dan bersimpati untuk masa akan datang. Dan ramai menjangkakan taktik kasar sebegini dilihat akan hilang pada masa akan datang.

SUMBER

Blakemore, Erin. (2018). History.com. Why the Royal Family Used to Forbid Marriage After Divorce. https://www.history.com/news/royal-family-divorce-remarry-meghan-markle-wallis-simpson

Previous articlePincer Movement: Penukaran Rejim Di Seluruh Dunia
Next articleOkinawa: Pertempuran WWII Paling Berdarah
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE