Perlis Indera Kayangan merupakan salah sebuah negeri beraja di Malaysia. Dengan keluasan sekitar 821 km persegi, Perlis merupakan negeri paling kecil di Malaysia yang terletak di lokasi paling utara di Semenanjung Malaysia, bersempadan dengan negara Thailand. Ibu negeri Perlis ialah Kangar dan Arau adalah Bandar Dirajanya. Terkenal dengan penanaman pokok buah mempelam Harum Manis yang sememangnya amat ditunggu-tunggu oleh penulis sendiri ketika musim buahnya, negeri Perlis juga amat sinonim dengan tanaman padi sawah.

Negeri Perlis diperintah oleh institusi raja berpelembagaan yang berdaulat, sama seperti pemerintahan kelapan-lapan buah negeri beraja yang lain di Malaysia. Sejarah institusi beraja negeri Perlis boleh ditelusuri seawal abad ke-19. Pada asalnya, Perlis merupakan antara wilayah jajahan takluk Kesultanan Kedah termasuklah Pulau Pinang dan negeri-negeri Melayu di pesisir Selat Melaka di Selatan Thailand yang pada masa kini merupakan sebahagian daripada wilayah-wilayah negara Thailand. Kesultanan Kedah merupakan kesultanan Melayu yang paling awal, masih kekal bertahan dan berdaulat di Tanah Melayu dan Malaysia, lebih awal daripada pengasasan Kesultanan Melaka pada abad ke-13. Walau bagaimanapun, Kerajaan Kedah dan jajahan takluknya sering diserang dan ditakluk oleh Kerajaan Siam terutamanya sekitar abad ke-19. Oleh itu, Kerajaan Kedah akan menghantar ufti bunga emas kepada Kerajaan Siam secara berkala sebagai tanda persahabatan dan di bawah naungan Kerajaan Siam.

Pada abad ke-17, Perlis mula dijadikan sebagai pusat pemerintahan Kesultanan Kedah apabila Sultan Kedah ke-14 iaitu Sultan Muhyiddin Mansur Shah (1653-1661) mendirikan Kota Sena yang menjadi asas kewujudan Bandar Kangar. Puteranya, Sultan Dhiauddin al-Mukarram Shah I (1661-1687) pula mendirikan Kota Indera Kayangan di hilir Sungai Perlis. Baginda dikenali sebagai Marhum Kayang I oleh penduduk Perlis, manakala di Kedah baginda dikenali sebagai Marhum Di Hilir atau Di Balai.

Ketika zaman pemerintahan Sultan Kedah ke-21 iaitu Sultan Dhiauddin Mukarram Shah II (1797-1803), apabila suatu perjanjian ditandatangani antara baginda dengan Gabenor British di Pulau Pinang bagi penyerahan wilayah Seberang Perai kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris, baginda digelar sebagai “Duli Raja Muda Perlis dan Kedah.” Ini membuktikan bahawa pada zaman baginda, Perlis mula dijadikan sebuah negeri tersendiri. Baginda telah mengahwinkan seorang puteri baginda yang bernama Tengku Sofiah kepada seorang tokoh yang bernama Syed Harun Jamalullail.

Syed Harun Jamalullail merupakan seorang pengasas mukim Arau bersama-sama para pengikutnya yang lain. Beliau berketurunan kabilah Arab Jamalullail dari Hadramaut, Yaman, yang bersambung nasab sehingga Rasulullah SAW. Ayahnya, Syed Ahmad Jamalullail memulakan penghijrahan dari Yaman ke Kedah sekitar tahun 1735. Nenda Syed Harun sebelah ibu ialah Puteri Diraja Kedah. Sebagai kurnia atas perkahwinan Syed Harun Jamalullail dengan Tengku Sofiah, baginda Sultan Dhiauddin telah mengurniakan pentadbiran mukim Arau kepada Syed Harun dan keturunannya.

Perkahwinan antara Syed Harun Jamalullail dengan Tengku Sofiah tidak menghasilkan zuriat. Syed Harun berkahwin pula dengan Wan Fatimah, cucu kepada seorang pembesar istana Kedah iaitu Dato’ Johan Lela Perkasa. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Syed Hussein Jamalullail yang dipelihara oleh bonda tirinya, Tengku Sofiah dan Sultan Dhiauddin dalam istana baginda sendiri. Syed Hussein Jamalullail menggantikan ayahnya sebagai Penghulu Mukim Arau yang kedua setelah ayahnya meninggal dunia pada tahun 1825.

Ketika Perang Kedah-Siam berlarutan daripada tahun 1821 sehingga tahun 1838, Syed Hussein bersama-sama beberapa orang kerabat diraja Kedah merintis jalan penyelesaian bagi meredakan konflik berpanjangan tersebut. Mereka telah bekerjasama dengan Kerajaan Siam secara diplomatik bagi menghentikan konflik tersebut. Di bawah pemerintahan Raja Rama III, Kerajaan Siam telah menyusun semula pentadbiran Kerajaan Kedah dan jajahan takluknya kepada empat bahagian pentadbiran (Muang) iaitu Kedah (Muang Saiburi), Perlis (Muang Polit), Kubang Pasu (Muang Kubang Pasu) dan Setul (Muang Satun). Setiap wilayah dilantik seorang gabenor oleh Kerajaan Siam. Wilayah Perlis diletakkan di bawah pentadbiran Raja Long Krok atau Paduka Seri Maharaja Lela sebagai Gabenor Perlis dan Syed Hussein Jamalullail dilantik sebagai Timbalan Gabenor. Selepas kemangkatan Raja Long Krok pada tahun 1839, Syed Hussein dilantik sebagai Gabenor Perlis menggantikannya.

Tahun 1843 merupakan tahun yang amat bersejarah bagi negeri Perlis. Ini kerana pada tahun tersebut, Kerajaan Siam telah menaiktaraf wilayah Perlis menjadi sebuah negeri dan Syed Hussein telah ditabalkan oleh Raja Rama III sebagai Raja Perlis yang pertama dengan gelaran “Phya Songkram Ramu Wichit Wilis Asmara Phya Polit” (bahasa Thai) atau ringkasannya “Phya Polit.” Dalam bahasa Melayu, baginda diberi gelaran “Raja” iaitu Raja Syed Hussein Jamalullail. Gelaran “Raja” adalah suatu gelaran yang unik berbanding gelaran Raja-Raja Melayu di negeri lain yang menggunakan gelaran “Sultan” atau “Yang Dipertuan Besar” (Negeri Sembilan). Walau bagaimanapun, penulis menggunakan tajuk “Pengasasan KESULTANAN Perlis” berbanding “Pengasasan KE-“RAJA”-AN Perlis” supaya pembaca tidak terkeliru antara “Ke-raja-an” (Kingdom) dan “Kerajaan” (Government).

Raja Syed Hussein Jamalullail memasyhurkan gelaran “Indera Kayangan” pada nama rasmi negeri Perlis sempena nama Kota Indera Kayangan II iaitu tempat di mana baginda dididik dan dibesarkan. Sejak itu, Kesultanan Perlis diasaskan dan Kerajaan Perlis menghantar ufti berupa bunga emas kepada Kerajaan Siam sama seperti Kerajaan Kedah sebagai tanda persahabatan dan di bawah naungan Kerajaan Siam. Kerabat diraja Jamalullail kekal memerintah negeri Perlis sehingga ke hari ini sepertimana dua rangkap terakhir lagu rasmi negeri Perlis iaitu “Tinggikan daulat serta adil, Kekal perintah Jamalullail.”

Selepas termeterainya Perjanjian Bangkok pada tahun 1909 yang menyaksikan Kerajaan Siam melepaskan naungannya terhadap negeri Perlis dan negeri-negeri Melayu yang lain kepada pihak British, Kerajaan Perlis terpaksa menerima seorang Penasihat British dan negeri Perlis dimasukkan dalam pentadbiran Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu. Walaupun ketika zaman penjajahan Jepun, Siam kembali menguasai negeri Perlis, namun setelah pihak Jepun menyerah kalah, pihak British kembali mengambil alih pentadbiran negeri Perlis. Pada tanggal 31 Ogos 1957, negeri Perlis bersama-sama Persekutuan Tanah Melayu berjaya mencapai kemerdekaan dan menjadi salah sebuah negeri beraja yang berdaulat dalam Persekutuan Malaysia sehingga ke hari ini.

Raja Perlis yang keenam iaitu DYMM Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail merupakan antara Raja Melayu yang paling lama bertakhta dalam sejarah Malaysia iaitu selama hampir 55 tahun (1945-2000) dan pernah ditabal sebagai DYMM Yang Dipertuan Agong Malaysia yang ketiga (1960-1965). Pada masa kini, negeri Perlis diperintah oleh DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang juga pernah ditabal sebagai DYMM Yang Dipertuan Agong Malaysia yang ke-12 (2001-2006). Negeri Perlis bertambah maju, sejahtera, makmur dan berdaulat di bawah pemerintahan Tuanku.

Untuk rujukan lebih lanjut berkenaan Kesultanan Perlis, sila rujuk rujukan-rujukan ilmiah di bawah:

SUMBER RUJUKAN:

Yazid Mat & Hazman Hassan, “Menjelang 200 Tahun Kerajaan Perlis di Bawah Pemerintahan Tujuh Orang Raja: Institusi Raja Perlis, Antara Kesinambungan dengan Perubahan,” dalam Ramlah Adam et al., Pemerintahan Raja dan Kerajaan Perlis, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2015, hlm. 3.

Ramlah Adam, “Pemerintahan Raja dan Kerajaan Perlis: Sepintas Lalu,” dalam Ramlah Adam et al., Pemerintahan Raja dan Kerajaan Perlis, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2015, hlm. 229.

– Lokmaniyah Hj. Ahmad, Usha Thiagarajah & Norizan Ishak, Negeri Perlis Indera Kayangan, Kuala Lumpur: Penerbitan Seri Utama, 1987.

– Melissa Muhammad, Salasilah Kesultanan Melayu, Selangor: Pustaka Gedung Ilmu, 2014.

Raja Berpelembagaan Malaysia, Raja-Raja Melayu dan Yang Dipertua Negeri Abad ke-21, Selangor: Kaedah Kota Management (M) Sdn. Bhd., 2012.

– Puteri Fahsyar, Perlis dan Kedah, Kuala Lumpur: Pustaka Buana, 2004.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

MA. (Malaya), BUs. (IsHis&Civ)(Malaya)

Comments are closed.