Jins Shamsudin

0
436
views

Jins Shamsuddin merupakan seorang aktor yang banyak menyumbang terhadap industri filem tanah air. Beliau telah membawa industri perfileman tanah air ke tahap yang tinggi. Terutama sekali dalam semasa beliau menjawat jawatan Ketua Pengarah Finas selama tiga tahun dari 2002-2005.

Dilahirkan di Taiping, Perak pada tanggal 5 November 1935. Beliau merupakan anak bongsu daripada 4 orang adik beradik. Pemilik nama sebenar Mohammad Zain @ Jins Bin Shamsuddin ini mendapat pendidikan awal Sekolah Kebangsaan Bendang Siam. Seterusnya beliau menyambung pelajarannya ke peringkat menengah di Sekolah Menengah King George V,Taiping, Perak. Setelah beliau menamatkan senior cambridgenya pada 1956, beliau bercadang untuk melanjutkan pelajarannya ke Universiti Malaya Singapura. Namun, hasrat beliau tersebut seringkali tergendala kerana permohonannya sentiasa bertangguh. Akan tetapi, datuk saudaran beliau membantunya untuk melanjutkan pelajaran ke universiti lain. Akhirnya, permohonan beliau diterima. Sepanjang tempoh masuk ke universiti tersebut, beliau mengambil kursus Bahasa Inggeris untuk menimba ilmu pengetahuan.

Jins Shamsuddin mula terdedah dengan dunia seni apabila beliau terlibat dalam pementasan teater berdekatan dengan tempat tinggalnya. Pada suatu hari, Jins menggantikan seorang pelakon teater yang kebetulan ibunya meninggal dunia. Sejak daripada itu, Jins mula diletakkan sebagai pelakon utama dalam setiap pementasan teater. Pementasan teater tersebut berlangsung sehinggalah ke Singapura. Ketika beliau sedang mengadakan persembahan teater di Dewan Memorial Victoria, Singapura, seorang pegawai perhubungan Shaw Brothers tertarik dengan persembahan beliau lalu menawarkan beliau untuk berlakon dalam filem Keluarga Tolol sebagai penari. Selepas itu, beliau diberi peranan dalam filem Kaseh Sayang dan watak extra dalam filem Anak Ku Sazali. Melalui filem Anak Ku Sazali lah, Jins mula mendapatkan tunjuk ajar daripada P.Ramlee. Bermula dari situ jugalah, beliau mula berlakon bersama P.Ramlee.

Karier Jins mula meniti apabila P.Ramlee mengambil beliau berlakon sebagai hero di samping Hashimah Yon di dalam filem Pancha Delima. Mulai saat itu, beliau sering diletakkan sebagai hero di dalam filem-filem melayu seperti Matahari, Azimat, Anak Pontianak dan banyak lagi. Beliau juga sempat berlakon bersama P.Ramlee buat kali terakhir di Singapura melalui filem Sargeant Hassan sebelum mereka berlakon bersama kembali di Merdeka Studio, Kuala Lumpur. Karier beliau mula memuncak pada 60 an di mana tiap tiap filem dilakonkannya mesti sebagai seorang hero. Ini membuatkan beliau sebaris dengan pelakon hero pada ketika itu seperti P.Ramlee, Aziz Jaafar dan Ahmad Mahmud. Jins juga menjadi perisik melayu pertama dalam industri perfileman tanah air melalui filem Gerak Kilat, Bayangan Ajal dan Jurang Bahaya.

Setelah Studio Jalan Ampas ditutup, beliau berhijrah ke Merdeka Studio, Kuala Lumpur. Di sana, beliau mula menjadi seorang pengarah melalui filem arahannya yang pertama, Bukan Salah Ibu Mengandung. Bagi menghargai P.Ramlee yang merupakan mentornya, beliau turut mengundang P.Ramlee untuk berlakon di dalam filem tersebut. Beliau juga sempat berlakon beberapa filem di bersama P.Ramlee seperti Kachan Tirana dan Di Belakang Tabir. Beliau tidak lama di Merdeka Film kerana beliau mendapat tawaran ke London Film School melalui biasiswa MARA.

Sekembalinya beliau dari London pada 1972, beliau mula mengarah filem filem dan membuka studio miliknya sendiri iaitu Pancha Delima Studio dan Syarikat Jins Shamsuddin Film Sdn Bhd. Filem pertama arahannya pada ketika itu ialah Menanti Hari Esok yang ditayangkan pada 1977. Filem itu juga merupakan permulaan kepada trilogi. filem “Esok”. Zaman 80’an boleh dikatakan zaman kemuncak beliau sebagai seorang pengarah. Sepanjang era tersebut, banyak filem beliau mencapai kejayaan seperti trilogi filem “Esok” sendiri dan Bukit Kepong. Filem Bukit Kepong membolot tujuh anugerah termasuk filem terbaik semasa Festival Filem Malaysia ketiga pada tahun 1982. Menjelang 90’an beliau mula kurang terlibat dalam industri perfileman tanah air kerana menumpukan perhatian dalam bidang politik.

Jins juga antara figura penting di dalam arena politik tanah air. Penglibatan beliau di dalam politik bermula apabila beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Penaja UMNO Coronation Road, Singapura pada 1959. Beliau juga dilantik sebagai Senator pada 2004. Hal ini memberi penghormatan terhadap beliau khasnya dan industri perfileman amnya kerana beliau merupakan seniman pertama yang dilantik sebagai Senator. Semasa zaman kegemilangannya juga, beliau pernah diberi mandat untuk menganggotai banyak persatuan seperti Persatuan Artis Malaya, Persatuan Seni Coronation Road dan Persatuan Seni Pasir Panjang. Beliau juga pernah dilantik menjadi Pengerusi PERSAMA pada 60-an. Beliau antara seniman yang lantang memperjuangkan nasib dan kebajikan artis pada ketika itu.

Di dalam bidang pendidikan juga, beliau tidak kurang hebatnya. Misalnya pada 1999, beliau diijazahkan Anugerah Kehormat Persuratan, Universiti Sains Malaysia. Beliau turut menghasilkan sebuah tesis pada 2004. Pada 2010, beliau menerima Ijazah Dr Falasafah (PhD) daripada Universiti Utara Malaysia. Beliau merupakan seniman pertama yang mendapat ijazah sedemikian.

Bagi menghargai sumbangan beliau di dalam industri perfileman tanah air, beliau telah dikurniakan Pingat Darjah Datuk Paduka Negeri Perak pada 1990 yang membawa gelaran “Datuk”, Panglima Jasa Negara, Anugerah Jasa Panglima Negara, Anugerah Seniman Veteran Berita Harian dan Anugerah Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran “Tan Sri” pada 2007.

Jins Shamsuddin meninggalkan kita semua pada hari Rabu pada tanggal 1 Mac 2017 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Al-Ridhuan. Sumbangan dan legasi yang ditinggalkan oleh beliau amatlah bernilai dan tidak mampu dicapai sehinggalah ke hari ini. Sebagaimana Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Bin Keruak pernah berkata “”Jins Shamsuddin adalah antara legenda terakhir negara yang telah mengubah landskap perfileman tempatan selepas Tan Sri P.Ramlee, yang juga seorang lagi legenda. Kita pasti merinduinya,”

Al-fatihah Mohammed Zain @ Jins Bin Shamsuddin
(1935-2017)

Sumber:
1) Kelab Filem Muzik Melayu Klasik.
2) Suria Kechana, Biografi Jins Shamsuddin.
3) Jins, Shamsuddin: Kembara Seorang Seniman.
4) Tengku Zakaria PRamlee.