Kisah Di Sebalik Watak Buta Kassim Selamat

0
2284
views

Dalam filem Ibu Mertua Ku, kita semua telah disajikan dengan sebuah naskah berat karya dari Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. Cerita asal dari Allahyarham Ahmad Nisfu ini telah berjaya menjentik emosi peminat filem Melayu dari dahulu sehingga kini. Melalui filem Ibu Mertua Ku, P.Ramlee telah diiktiraf sebagai Bakat Serba Boleh (Most Versatile Telent) di Festival Filem Asia Pasifik ke-10 yang berlangsung di Tokyo pada tahun 1963. Anugerah Bakat Serba Boleh ini hanya dimiliki oleh P.Ramlee sahaja di dalam dunia. Ketegori ini tidak pernah lagi dipertandingkan dimana-mana anugerah filem di dalam dunia selepas P.Ramlee menerimanya.

Saya tidak mahu mengulas panjang mengenai filem ini kerana ia sudah seringkali dikupas dari pelbagai sudut. Apa yang saya ingin kongsikan adakah anda semua tahu mengapa P.Ramlee “membutakan” watak Kassim Selamat di dalam filem ini? Sebenarnya watak Kassim Selamat yang buta matanya disebabkan menangis setiap hari kerana meratapi pemergian isterinya Sabariah (lakonan Sarimah) di dalam filem ini adalah merujuk kepada kisah benar yang berlaku kepada ayahanda P.Ramlee sendiri iaitu Teuku Nyak Puteh bin Teuku Karim.

Selepas P.Ramlee meninggalkan Pulau Pinang dan pergi ke Singapura pada tahun 1948, Teuku Nyak Puteh dikatakan sering kali berduka dan menangis kerana merindukan anak tunggalnya itu. Walaupun pada peringkat awal beliau merestui kepergian P.Ramlee dalam mengejar cita-citanya, tetapi jiwanya merintih sepi dipeluk rindu yang mendalam. Oleh kerana beliau seringkali menangis dan berduka, perkara ini telah mengakibatkan mata beliau menjadi buta. Dalam satu kejadian lain,  Teuku Nyak Puteh pernah meminta rakan-rakannya membawa beliau ke panggung wayang untuk menonton filem lakonan P.Ramlee. Walaupun beliau tidak dapat menonton filem berkenaan kerana matanya buta, dapat mendegar suara anaknya itu sudah cukup bagi melepaskan rindunya terhadap P.Ramlee.

Sejak P.Ramlee menjejakkan kaki ke Singapura beliau tidak berpeluang untuk pulang ke Pulau Pinang atas sebab kekangan jadual kerja yang padat. Pada masa yang sama P.Ramlee sedang berada di puncak kemahsyuran bermula dari tahun 1950. P.Ramlee hanya sempat mengirim wang dan surat kepada kedua ibu bapanya melalui abang tirinya Syeikh Ali. Selepas 5 tahun mengejar cita-cita di rantau orang, P.Ramlee akhirnya pulang ke Pulau Pinang menemui keluarganya pada tahun 1953. P.Ramlee tidak menyangka dan turut berduka dengan nasib yang menimpa ayahandanya itu. Tetapi Teuku Nyak Puteh tetap memberi semangat kepada anaknya itu supaya berusaha bersungguh-sungguh dalam mengejar cita-citanya. Teuku Nyak Puteh meninggal dunia pada tahun 1955 ketika berusia 53 tahun.

Begitulah pendekatan seorang seniman agung dunia Melayu dalam berkarya. P.Ramlee sentiasa melihat keadaan yang berlaku disekelilingnya dan mentauladani pengalaman yang pernah beliau lalui dalam menyatakan dan menterjemahkan seninya untuk masyarakat. P.Ramlee menjadikan filem sebagai wadah dalam menyampaikan makna, menentukan agenda, menyebar propaganda, menabur benci, membakar semangat, membaja kasih sayang dan membenih rasa cinta.

Hari ini 22 Mac 2018 genaplah 89 tahun usia seniman agung negara, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. Walaupun pada hakikatnya tarikh lahir beliau yang sebenar jatuh pada esok hari jika kita merujuk dengan kenyataan yang pernah beliau sendiri nyatakan bahawa beliau dilahirkan pada pagi Aidilfitri. Jika dirujuk kepada tarikh 22 Mac 1929, ia tidak kena dengan tarikh 1 Syawal dalam kalendar Islam tahun berkenaan.

Satu kajian telah dibuat oleh beberapa individu pengkaji tegar sejarah P.Ramlee sekitar tahun 1980-an telah mendapat satu kesimpulan bahawa tarikh 23 Mac 1928 dikatakan jatuh pada 1 Syawal menurut kalendar Islam. Perkara ini turut disahkan sendiri oleh keluarga P.Ramlee termasuk abang tirinya dan anaknya Nasir. Tetapi disebabkan tarikh 22 Mac 1929 telah tertulis sebagai tarikh lahir yang tertera di dalam kad pengenalan P.Ramlee maka fakta ini diguna pakai sehingga sekarang.

Al-Fatihah buat Allahyarham Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh. Gagak di rimba yang masih bertakhta di belantara seni.

“Alam nan luas

Banyak gunung dan banyak jurang

Waqaf Saham

Wahai anak, dan banyak jurang

Gunung tinggi engkau daki

Jurang dalam engkau jauhi

Kalaulah aku boleh MEMANDANG

Aku pandu engkau berjuang

Kalaulah besar anakku sayang

Sesal ayah kerana tidak dapat memandang”

Sumber :

Syeikh Ali (Abang tiri P.Ramlee)

Nasir P.Ramlee

Dato’ Ahmad Fauzee Samad

Omar Hashim Omara

Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik