“Kita sepatutnya dah menang di Russia, kalau tidak kerana Mussolini dan Perang Balkannya yang bodoh itu.”

Itulah kekesalan yang diluahkan oleh Chancellor Jerman, Adolf Hitler apabila beliau melihat kegagalan besar-besaran kempen peperangan Itali di Afrika dan di Balkan. Mengapa tidaknya. Rakan sejawatnya di Itali itu amat mencemburui kejayaan Jerman dalam beberapa siri peperangan di Eropah. Kerisauan Mussolini membuak-buak apabila jika Itali lambat melakukan serangan, Jerman mungkin akan membolot segala tanah-tanah yang diidamkan Mussolini seterusnya membantutkan impian beliau untuk membina Empayar Rom Ketiga yang meliputi seluruh negara-negara Balkan, Laut Mediterranean dan beberapa koloni di Afrika.

Diluar pengetahuan Mussolini, Adolf Hitler tidak berminat untuk mendapatkan konsesi tanah atau koloni di Laut Mediterranean mahupun di Afrika. Namun, setelah melihat betapa teruknya kekalahan demi kekalahan yang dihadapi oleh Tentera Itali di setiap penjuru, Hitler terpaksa untuk campur tangan. Jika tidak, musuh Jerman iaitu British yang masih lagi berdegil tidak mahu menyerah kalah, akan menggunakan tanah-tanah yang dimenanginya dari Itali untuk digunakan dalam menyerang Jerman dari arah belakang. Hal ini akan membantutkan impian Hitler untuk menyerang musuh beliau yang paling agung, Soviet Union.

Pada 9 September 1940, Itali melancarkan Operasi E, iaitu serangan keatas Mesir, sebuah koloni kepunyaan British. Itali yang mempunyai lebih 100,000 anggota tentera menyerang Mesir dari arah timur Libya, sebuah koloni milik Itali. Serangan ini dipimpin oleh hero Perang Itali-Ethiopia dan Pencincang Libya iaitu Marshal Rodolfo Graziani. Walaupun mempunyai kekuatan 5 kali ganda anggota daripada tentera British di Mesir, namun kebolehan dan teknologi tentera British jauh lebih moden berbanding Itali.         Dalam operasi ini, Graziani hanya mara sejauh 100km melepasi sempadan Mesir sebelum berhenti di sebuah pekan bernama Sidi Barrani untuk menunggu bekalan tiba base mereka di Pelabuhan Tobruk.

Pelan serangan Tentera Itali keatas Greece

Pada 29 Oktober 1940, Mussolini melancarkan satu lagi kempen ketenteraan di Balkan dimana sasaran beliau ialah Greece apabila Perdana Menteri Greece Ioan Metaxas menolak ultimatum untuk menyerahkan beberapa wilayah Greece secara ‘aman’. Serangan keatas Greece merupakan suatu malapetaka. Mussolini memandang rendah tentang bentuk muka bumi Greece yang bergunung-ganang di sempadan Albania-Greece. Tentera Itali, seperti biasa, hanya mara dan bertempur di tempat apabila tiada musuh di tempat kejadian ataupun musuh sudahpun berundur ke posisi yang lebih baik.

Pada 13 November, Tentera Itali hanya mara sejauh 40km dari sempadan Albania-Greece selepas ditentang hebat oleh Tentera Greece yang bertahan di kawasan gunung-ganang di situ. Pada keesokkan harinya, Tentera Greece dipimpin oleh General Alexander Papagos menyerang balas secara besar-besaran disepanjang barisan hadapan. Selepas mendapat tahu yang Bulgaria tidak mahu berperang dengan Greece, Papagos memindahkan separuh daripada tenteranya dari timur ke barat Greece. Tentera Itali kini berundur. Malah, berundur jauh sehingga hampir separuh Albania ditawan oleh Tentera Greece.

General Papagos merupakan Ketua Turus Angkatan Tentera Greece, menggunakan kelebihan yang dimiliki dari segi bentuk muka bumi dan kelemahan Tentera Itali sehingga menawan separuh daripada Albania.

Pada 9 Mac 1941, selepas perang memasuki bulan kelima, Tentera Itali melancarkan Ofensif Musim Luruh namun gagal memecahkan kebuntuan Tentera Greece yang kini mendapat bantuan daripada Tentera Udara Diraja British. Pada masa ini, Hitler berasakan beliau perlu untuk campur tangan dalam peperangan di Balkan ini cuma beliau memerlukan sebab yang kukuh untuk campur tangan.

Pelan Operasi 25 (Yugoslavia) dan Operasi Marita (Greece), serangan yang diketuai oleh Jerman untuk menakluk seluruh Balkan.

Peluang yang ditunggu Hitler tiba apabila Kerajaan Pro-Jerman di Yugoslavia pimpinan Putera Paul digantikan oleh Raja Peter II dalam satu rampasan kuasa. Hal ini menyebabkan Hitler mempunyai sebab untuk campur tangan. Pada 6 April 1941, Jerman melancarkan Operasi 25 (Yugoslavia) dan Operasi Marita (Greece) dengan objektif untuk menawan seluruh Balkan dan menidakkan pengaruh British di rantau itu. Bersama-sama Jerman ialah, Bulgaria, Romania, Hungary dan tidak lupa, Itali.

Colonel-General Maximilian von Weichs memimpin gabungan tentera Paksi dalam serangan keatas Yugoslavia.

Dalam Operasi 25, pasukan gabungan Tentera Paksi dipimpin oleh seorang komander Jerman dan veteran Perang Perancis iaitu Colonel-General Maximilian von Weichs. Dengan bantuan daripada Tentera Udara Jerman (Luftwaffe) dan juga Kor Kereta Kebal Jerman, Yugoslavia dengan mudahnya ditawan oleh Tentera Paksi pada 18 April 1941.

Field Marshal Wilhelm List (kanan) komander Tentera Jerman Keduabelas dalam Operasi Marita. Beliau dibantu oleh Tentera SS Jerman Divisyen “Leibstandarte” Adolf Hitler, pimpinan Sepp Dietrich yang memasuki ibu kota Greece pada 27 April 1941

Manakala di sebelah timur, Tentera Jerman Keduabelas, pimpinan Field Marshal Wilhelm List, juga seorang veteran Perang Perancis ditempatkan di Bulgaria untuk melaksanakan Operasi Marita iaitu serangan keatas Greece. Dengan saiz yang sedikit dan kesibukkan Tentera Greece bertempur di Albania, Tentera Jerman dengan mudahnya membolosi dan menawan setiap bandar-bandar di timur Greece. Kini, ibu kota Greece, Athens terbuka luas untuk Tentera Paksi menakluki. Akhirnya, pada 27 April 1941, pasukan elite Tentera Jerman iaitu Divisyen “Leibstandarte” SS Adolf Hitler pimpinan SS-Major General Sepp Dietrich berkawad masuk ke dalam ibu kota Greece tersebut.

General Kurt Student, komander pasukan elite payung terjun Jerman merupakan pelopor utama dalam membina sebuah doktrin serangan payung terjun secara besar-besaran.

Kejatuhan Greece membuatkan Tentera British dan Komanwel berundur ke sebuah pulau di selatan Greece iaitu Crete. Di sini menyaksikan serangan airborne pertama dan besar-besaran pertama di dunia. Serangan ini dipimpin oleh komander Tentera Udara Jerman iaitu Major General Kurt Student. Beliau merupakan mastermind di sebalik doktrin serangan payung terjun. Ketika Perang Perancis, pasukan payung terjun beliau menawan sebuah Kubu Eben-Emael di Belgium di mana beliau hampir hampir ditangkap dan hampir ditembak di kepala dalam pertempuran tersebut.

Operasi Utarid, serangan payung tejun besar-besaran terhadap Crete. Dengan kehilangan dan kemusnahan yang besar terhadap aset Angkatan Tentera Jerman pada hari tersebut, Hitler mengharampak operasi seperti berkenaan dilakukan di sepanjang Perang Dunia Kedua.

Pada 20 Mei 1941, Student melancarkan Operasi Utarid (nama planet) dengan menyerang Pulau Crete secara besar-besaran dengan menggunakan pasukan elite payung terjun beliau. Pulau tersebut dipertahankan oleh gabungan tentera British, Greece, Australia dan New Zealand dipimpin oleh komander tentera Australia iaitu Lt. General Bernard Freyberg. Pertempuran di Pulau Crete sememangnya sengit. Student terpaksa berdepan asakan demi asakan daripada tentera pimpinan Freyberg untuk menawan seluruh pulau berkenaan pada 1 Jun 1941. Seramai 12,000 orang tentera Jerman terkorban dalam operasi ini daripada 29,040 tentera yang menyertai Operasi Utarid ini. Hitler kemudiannya menghalang Tentera Udara Jerman untuk menggunakan serangan payung terjun selepas melihat separuh daripada tenteranya terkorban di Crete.

Negara-negara di Balkans dibahagi-bahagikan, circa 1941.

Manakala di Itali pula, populariti Mussolini semakin merundum. Jika tidak kerana kemenangan tentera Paksi di Balkan, beliau mungkin sudahpun digulingkan. Masalah yang ada pada Mussolini pada ketika ini adalah di Afrika Utara di mana tentera Itali diasak hebat oleh tentera British. Untuk menyelesaikan masalah tersebut, Hitler menghantar kontijen tentera ke Afrika Utara iaitu Kor Afrika Jerman (Deustch AfrikaKorps) pimpinan Leftenan Jeneral Erwin Rommel untuk membantu tentera Itali di sana.

Di awal bulan Jun 1941, seluruh Balkan kini dikuasai oleh negara-negara Paksi. Yugoslavia dipecahkan dan ditadbir oleh Kuasa Paksi, sama juga seperti Greece. Hitler kini boleh menarik nafas lega kerana boleh memberikan fokus sepenuhnya kepada serangan ke atas Soviet Union pada 22 Jun 1941 selepas menawan seluruh Balkan. Sungguhpun begitu, kejatuhan negara-negara Balkan membuatkan penduduk-penduduk di situ bangkit untuk melawan penjajah. Hitler terpaksa menempatkan sepasukan tentera yang besar di situ untuk mengawal populasi di situ daripada memberontak.

Rujukan:

  1. Buell, Thomas; Greiss, Thomas (2002), The Second World War: Europe and the Mediterranean, Square One Publishers, p. 101.
  2. Wright, Robert; Greenwood, John (2007), Airborne forces at war, Naval Institute Press, p. 9.
  3. Cunningham, A. B., The Battle for Crete, Despatch published in the London Gazette, 24 May 1948, Section 1, paragraph 8, and Section 2, paragraph 30.
  4. Bitzes, John (1989). Greece in World War II: To April 1941. Sunflower University Press.
  5. Ciano, Galeazzo (1946). The Ciano Diaries, 1939–1943: The Complete, Unabridged Diaries of Count Galeazzo Ciano, Italian Minister for Foreign Affairs, 1936–1943.
  6. Schreiber, Gerhard (2006). “Germany, Italy, and South-east Europe: From Political and Economic Hegemony to Military Aggression”. Germany and the Second World War, Volume III: The Mediterranean, South-East Europe, and North Africa, 1939–1941. Oxford: Oxford University Press. pp. 303–448.

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang lepasan UPNM berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Strategi yang kini berkhidmat di dalam Rejimen Renjer Diraja. Penulisan yang lebih cenderung kearah sejarah Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua.

Comments are closed.