Strategi Perang Sultan Muhammad Al Fatih

0
3513
views

“Muhammad Al Fatih telah mengubah tanah menjadi lautan dan kapal-kapalnya menyeberang di atas  puncak-puncak gunung  sebagai ganti dari gulungan ombak.”

Rasulullah   bersabda :

Jetpack Langkawi

لتفتحن القسطنطينية على يد رجل ، فلنعم الامير أميرها ، ولنعم الجيش ذلك الجيش

Terjemahan : “Sungguh, Konstantinopel benar-benar akan dapat diBUKA di tangan seorang lelaki. Maka,  sebaiknya – baik pemimpin adalah pemimpinnya dan sebaik-baik tentera adalah tentera itu”. (HR Ahmad)

Diterjemahkan DIBUKA kerana terjemahan perkataan تفتح (dibuka). Lam dan Nun yang datang sebagai taukid (penguat) makna. oelh kerana itu diterjemah secara lengkap ‘SUNGGUH (taukid 1) kota konstantinopel BENAR-BENAR (taukid 2) di BUKA’.

Kajian sejarah dan pendapat Ulama’ bersepakat bahawa Sultan Muhammad Al Fatih yang berusia 21 tahun ketika itu adalah memenuhi kriteria hadis tersebut. Lantaran kejayaan itu, Baginda mendapat julukan Al Fatih (pembuka). Baginda (30 Mac 1432-3 Mei 1481M) adalah Sultan ketujuh Kesultanan Uthmaniyah dan putera kepada Sultan Murad II. Baginda adalah penakluk (the Conqueror) dan juga pembuka al Qostantiah (Konstantinopel).

   

Penulis di hadapan Masjid Sultan Ahmed

Kota Konstantinopel
 
Kota ini dibangunkan oleh Raja Byzantium, Constatine I pada tahun 330M. Ia dianggap salah satu kota utama dan besar di dunia dan sangat istimewa. Hingga dikatakan, seandainya dunia ini hanya punyai satu kerajaan, maka Konstantinopel adalah ibu kotanya. Selain itu, kota ini juga merupakan pusat pergerakan tentera Salib.

 
Kukuhnya Benteng Konstantinopel

Kota Konstantinopel yang merupakan dikelilingi laut dari tiga sisi, iaitu Selat Bhosporus, Laut Marmara dan Tanduk Emas yang dibentengi dengan rantai besar yang bertujuan mencegah kemasukan kapal-kapal luar. Disamping itu, terdapat dua baris tembok yang mengelilingi dari daratan mulai dari Pantai Marmara hingga ke Tanduk Emas (Golden Horn).

Kota ini dikelilingi benteng-benteng yang kukuh. Benteng yang menghadap daratan, dilapisi dua tembok iaitu tembok luar dan tembok dalam. Tembok luar setinggi 25 meter dan setebal 10 meter sementara tembok dalam setinggi 40 kaki dan setebal 15meter. Di sepanjang tembok pula, dipenuhi dengan para tentera yang sentiasa siap siaga.

Kota Konstantinopel di Era Bynzantium (sumber gambar : wiki). lihat keudukan Tanduk Emas (Golden Horn)

Faktor geografi juga memberikan kelebihan. Kota ini mempunyai 7 bukit sekaligus secara alami bertindak sebagai pelindung. Melihat pertahanan kota yang kukuh, adalah tidak salah mengatakan pada ketika tu, Kota Konstantinopel mempunyai kubu dan tembok pertahanan terbaik di dunia. Maka, tersangat sulit menembusinya. Oleh kerana itu, kota itu begitu kebal dan serangan selama 1123 tahun.

Menurut Ash Shallabi, sejak pemerintahan Muawiyah bin Abu Sufyan yang telah melancarkan usaha pertama pada tahun 44H, kemudian disusuli puluhan percubaan tentera Islam dari pelbagai kerajaan menerobos Kota Konstantinopel sebelumnya, akan tetapi kesemuanya menemui kebuntuan. Uthmaniyah sendiri telah mencuba 3 kali sebelum kejayaan pada era Sultan Muhammad Al Fatih.
Justeru itu, sudah pasti bukan mudah bagi Sultan Muhammad Al Fatih menakluk (membuka) kota ini jika tanpa stratergi yang mapan dan tersusun. Strategi ini yang kita akan bincangkan bersama-sama dalam artikel ini. Sudah pasti, kejayaan Sultan Muhammad Al Fatih menakluk dan membuka kota ini kerana Baginda ialah Al Fatih yang dimaksudkan dalam hadis Rasulullah.

Strategi Sebelum Serangan 

1. Membesarkan Angkatan Tentera

Sultan Muhammad Al Fatih telah mengambil tindakan drastik dengan membesarkan angkatan tentera sehingga mencapai jumlah 250 ribu tentera. Ini suatu jumlah yang sangat besar jika dibandingkan dengan jumlah tentera negara-negara lain pada masa itu. Selain itu, Baginda juga memberi pelatihan terbaik kepada tentera-tenteranya.

2. Persiapan Kerohanian Tentera

Apabila menyentuh perihal kekuatan sebenar tentera, sudah pasti ia akan kembali kepada soal kerohanian. Hubungan dengan Allah akan melahirkan jiwa yang mantap dan semangat jihad yang luar biasa. Oleh kerana itu, selain persiapan fizikal, Sultan Muhammad Al Fatih juga telah memberi perhatian khusus akan penyediaan kerohanian tentera Baginda. Para tentera dirutinkan agar sentiasa berselawat kepada Sidna Rasulullah SAW dan bukan itu sahaja, para Ulama’ turut disediakan bagi mentarbiah tentera Al Fatih.

3. Mendirikan Benteng Rumeli Hishar

Sultan Muhammad Al Fatih telah mendirikan Benteng Rumeli Hishar yang terletak di Dataran Eropa di Selat Bhosporus yang berketinggian 82 meter. Dari sudut ilmu ketenteraan, benteng ini merupakan benteng yang sangat penting. Apatahlagi sudah terbina benteng di sisi Asia pada zaman pemerintahan Sultan Bayazid. Kewujudan dua benteng saling berhadapan ini berkemampuan untuk mengawal dan memantau penyeberangan kapal-kapal dari arah timur laut Bhosporus menuju ke sisi barat. Meriam-meriam yang diletakkan di kedua-dua benteng boleh mencegah pencerobohan kapal-kapal yang tidak sepatutnya.

4. Mengukuhkan Persenjataan Meriam

Selain pembangunan angkatan tentera, Sultan Muhammad Al Fatih turut memberi perhatian penting bahagian persenjataan terutamanya pada Meriam. Lantaran itu, Baginda telah membangunkan meriam bersaiz besar dengan bantuan jurutera dari Hongaria yang bernama Orban.

5. Menguatkan Angkatan Laut

Dalam persiapan membuka Konstantinopel, Sultan Muhammad Al Fatih telah menguatkan armada angkatan laut. Disamping itu, Baginda juga memdatangkan pelbagai jenis kapal-kapal perang. Dikatakan bahawa lebih 400 buah kapal telah disediakan oleh Baginda demi misi mengambil alih Konstantinopel.

6. Menjalinkan Perjanjian

Ternyata Sultan Muhammad Al Fatih sangat bijak, sebelum menyerang Konstantinopel, Baginda mengadakan perjanjian dengan beberapa musuhnya dari negara-negara di Eropah. Ia bertujuan agar tentera Uthmaniah boleh fokus menghadapi satu musuh sahaja. Baginda berpegang kepada prinsip “jika mereka tidak boleh menjadi sahabat, pastikan mereka tidak menjadi musuh kita”.

7. Membina Jalan

Sultan Muhammad Al Fatih telah membangunkan jalan antara Edirne dan Konstantinopel untuk memudahkan penyusupan meriam Sultan ke Konstantinopel.  Proses pemindahan meriam-meriam memakan masa selama dua bulan.

Strategi Saat Serangan

Awal serangan telah dilancarkan pada 6 April 1453 M. Sultan Muhammad Al Fatih tidak pernah kenal erti penat terus melakukan apa yang sepatutnya Baginda laksanakan.

8. Motivasi Jihad

Dalam suatu peperangan, tanggungjawab seorang panglima atau komander perang ialah menaikkan semangat atau motivasi para tentera. Ini kerana dalam situasi genting begitu, sudah pasti terkena perasaan bercampur baur, takut dan sebagainya. Maka tidak hairan, orang arab mempunyai penyair-penyair khusus sebelum memulakan sebarang peperangan. Penyair perang berperanan ‘menyihir’ jiwa-jiwa para tentera agar mereka melangkah dengan penuh semangat.

Di zaman Rasulullah   sendiri, Rasulullah akan memberi peluang kepada para sahabat untuk berpidato demi menaikkan semangat tentera Islam sebelum melangkah ke medan perang.

Sultan Muhammad Al Fatih tidak berkecuali, Baginda memotivasikan para tenteranya dengan Ayat Quran, Hadis berkaitan jihad dan menyampaikan khabar gembira tentang pembukaan Kota Konstantinopel. Baginda menekankan bahawa mereka adalah tentera yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dan mereka akan mencapai kemenangan.

“La Ilaha Ilallah, Allahu  Akbar”, laung tentera Al Fatih.

9. Membahagikan Pasukan Secara Sistematik

Sultan Muhammad Al Fatih membahagikan pasukan darat di depan tembok-tembok luar Konstantinopel. Pasukan dibahagikan kepada 3 bahagian utama agar para tentera dapat mengepung kota secara total dari segenap penjuru. Bukan itu sahaja, Baginda juga menyediakan tentera ‘standby’ di belakang pasukan utama. Tentera ‘standby’ akan mengambil alih peranan jika berlaku sesuatu kepada pasuka utama.

10. Menempatkan Meriam- Meriam di Tembok-Tembok

Sultan Muhammad Al Fatih telah menempatkan meriam-meriam di tembok-tembok Kota Konstantinopel dan yang paling penting dan besar adalah meriam Sultan yang dipasang di depan pintu Topkapi. Peluru-peluru meriam diluncurkan dari pelbagai arah menyasarkan tembok-tembok kota.

11. Peranan Unit Risikan

Sultan Muhammad Al Fatih turut mengarahkan beberapa unit risikan Baginda untuk melakukan peninjauan di tempat-tempat tinggi  dan berhampiran Konstantinopel untuk mendapatkan maklumat pergerakan pihak lawan. Perisik-perisik Uthmaniah menyerap maklumat tentang situasi, keadaan dalam Kota Konstantinopel dan sekitarnya. Dengan demikian, tindak tanduk musuh berada dalam radar pengetahuan Al Fatih.

12. Taktikal Pengepungan

Oleh kerana Kota Konstantinopel adalah bandar pesisir laut, Sultan Muhammad Al Fatih telah memilih taktik pengepungan. Melihat taktikal begitu, tentera Byzantium mengerahkan segenap pasukan mereka menpertahankan Kota. Sejajar itu juga, tentera Al Fatih memperkukuhkan pengepungan terhadap kota.
 
Strategi Saat Banyak Kehilangan Tentera

Kerajaan Genoa telah mengirimkan bala tentera bantuan ke Byzantium dengan kiriman empat kapal perang yang dipimpin oleh panglima Gustinian berserta 700 perajurit tentera sukarela dari negara-negara Eropah. Kedatangan pertolongan ini telah menaikkan semangat kembali para tentera Byzantium.

Angkatan Tentera Laut Uthmaniah mencuba dan terus mencuba melepasi rantai besar yang mengawal pintu masuk tanduk emas. Tentera Byzantium boleh tahan bijaknya apabila memasang rantai di pintu masuk tanduk emas. Serangan awal angkatan laut Uthmaniah tidak berjaya.

Tentera Al Fatih cuba menerobos tembok Konstantinopel setelah letupan meriam Turki berjaya membuka sebuah lubang di antara tembok-tembok Bynzantium. Lantaran keadaan lubang yang sempit dan serangan bertalu anak panah terhadap tentera Turki yang cuba menyusup lubang, akhirnya Sultan Muhammad Al Fatih menitahkan tenteranya berundur dan akan menyerang pada kesempatan lain.

Melihat situasi genting dan tidak menyebelahi tentera Uthmaniah, Baginda telah menukar taktikal perang serta merta dan mengambil tindakan berikut:

13. Tegas Memecat Panglima

Sultan Muhammad Al Fatih telah memecat panglima perangnya yang disifatkan Baginda telah gagal. Panglima Baginda yang bernama Balata Oghli tidak dapat mengekang kemasukan kapal-kapal Eropah lain ke tanduk emas yang datang membantu Bynzantium walaupun pelbagai usaha pencegahan telah dilakukan.

Kekalahan besar angkatan laut Uthmaniah telah mempengaruhi ahli Majlis Syura Sultan terutama Perdana Menteri, Khalil Pasha. Khalil Pasha telah cuba memujuk Sultan Muhammad Al Fatih agar menghentikan hasrat menawan Konstantin, memadai hanya meteraikan perjanjiantanpa perlu menguasai Konstantin. Baginda tetap tidak berganjak dan ini sememangnya sifat seoarang’leader’. Seorang pemimpin wajib berpendirian teguh dantidak mudah dipengaruhi.

Kunci menawan Konstantinopel adalah menerobos Tanduk Emas (Golden Horn) dan ini yang terus difikirkan Baginda berbanding cadangan berundur dari hasrat.

Replika Jalur Pemindahan Kapal Melalui Bukit

14. Pemindahan Kapal Melalui Jalan Darat

Hasil munajat kepada Allah yang berterusan, Sultan Muhammad Al Fatih telah mendapat ilham agar memindahkan kapal-kapal perang dari pengkalan di Besiktas ke Tanduk Emas (Golden Horn). Proses ini dilakukan dengan menyeret kepala-kapal itu melalui jalan darat yang terletak antara dua pelabuhan yang berjarak 3 batu. Yang paling mencabar, jalan darat yang bakal diseret kapal itu bukan tanah datar dan mudah dilalui, akan tetapi tanah perbukitan yang belum diterokai.

Nah, kita akan tertanya-tanya bagaimana kapal itu dipindahkan? Jawapannya, Baginda telah menitahkan agar tanah itu terlebih dahulu diratakan dan betapa hebatnya, proses meratakan tanah itu hanya memakan masa beberapa jam sahaja. Kemudian, papan-papan kayu yang sudah dilumuri minyak dan lemak didatangkan. Lumuran minyak dan lemak bertujuan melicinkan pergerakan kapal.

Bayangkan, hanya satu malam sahaja, lebih dari 70 buah kapal berjaya dipindahkan dan dilabuhkan di tanduk emas.

Sungguh, taktikal ini sangat pelik dan memberi kejutan. Orang Rom terkejut besar apabila mengetahui kapal-kapal Turki sudah berada di tanduk emas. Bahkan, tiada seorang mahu mempercayainya akan tetapi ia berlaku dengan penyaksian mereka. Tidak pernah terfikir di benak fikir mereka, Sultan Muhammad Al Fatih akan bertindak ‘segila’ ini. Dalam hati mereka, timbul kekaguman.

Orang Rom berkata,

“Kami tidak pernah melihat dan mendengar sesuatu seperti kejadian luar biasa ini sebelumnya. Muhammad Al Fatih telah mengubah tanah menjadi lautan dan kapal-kapalnya menyeberang di atas puncak-puncak gunung  sebagai ganti dari gulungan ombak. Sungguh, pekerjaanya ini telah menjadikan Muhammad Al Fatih lebih hebat dari Alexander The Great.”

Keberadaan kapal-kapal Turki di tanduk emas telah melemahkan semangat tentera Byzantium yang masih kaget. Tidak hanya itu, pengepungan tentera Turki terhadap Kota Byzantium di perkukuhkan lagi. Sementara itu, meriam-meriam Turki yang ditempatkan di atas gunung-ganang meluncurkan peluru menghancurkan kapal-kapal Byzantium dan ke arah pelabuhan. Pergerakan kapal-kapal Byzantium menjadi terbatas dan orang Byzantium terkepung dan buntu. Lebih parah, mereka tiada langsung berkesempatan untuk rehat akibat serangan yang berterusan.

15. Menggali Terowong

Ketika mengepung, Sultan Muhammad Al Fatih telah menitahkan sekumpulan tenteranya menggali terowong di bawah tanah dari tempat-tempat yang berbeza untuk menyusup ke dalam kota. Namun penggalian ini tidak mudah, ia telah memakan banyak korban kerana kekurangan oksigen, terbakar dalam tanah dan jatuh ke tawanan tentera Rom. Kepala-kepala mereka di potong dan dilemparkan ke tengah-tengah pasukan Turki.

16. Serangan Mengejut

Tentera Rom dalam ketakutan menunggu – nunggu apalagi elemen kejutan dari Sultan Muhammad Al Fatih. Ternyata tekaan mereka benar, sekali lagi Baginda mengejutkan mereka dengan membuat benteng dari kayu dengan ukuran yang sangat besar, menjulang tinggi dan dapat digerakkan. Benteng kayu ini terdiri dari tiga tingkat dengan ketinggian melebihi tembok-tembok Konstantinopel. Benteng kayu itu dilapisi dengan perisai-perisai dan kulit yang dibasahi air untuk menahan api. Benteng-benteng kayu itu diisi dengan sejumlah tentera pada setiap tingkat. Skuad pemanah tepat ditempatkan di tingkatan atas.

Tentera Turki meluru menyerang dengan benteng kayunya. Walaupun mendapat tentangan dan halangan dasyat dari tentera Rom, tentera Turki berjaya menempelkan benteng kayu itu di tembok-tembok kota hingga berlaku pertempuran dahsyat. Sebahagian tentera Turki berjaya memanjat tembok-tembok kota dengan selamat. Sementara itu, tentera Rom berjaya membakar benteng kayu.

Walaupun begitu, serangan meriam Turki tidak pernah berhenti. Segenap ceruk mereka di serang. Dari terowong, benteng kayu, meriam-meriam yang mengepung. Oh apa lagi boleh dilakukan.  Tentera turki berada di saat kemenangan.

Serangan penyudah boleh dilakukan untuk ‘checkmate’ akan tetapi Baginda belum memutuskan tempat untuk sekalian tentera menerobos masuk.  Sebab utamanya adalah Sultan Muhammad Al Fateh mahu memasuki kota itu dengan cara damai tanpa pertumpahan darah. Baginda telah mengutuskan surat kepada Raja Konstantin agar menyerahkan Kota Konstantinopel tanpa perlu berperang lagi dengan pelbagai jaminan keamanan dan keselamatan kepada Raja Konstantin dan ahli keluarganya. Namun, Raja Konstantin enggan berunding.

Akhirnya pada 29 Mei 1453 M bersamaan hari selasa 20 Jamadil Awal 857H, dilancarkan serangan besar-besaran terhadap Kota Konstantinopel diiringi laungan takbir. Akhirnya, selepas serangan dari darat dan laut selama 52 hari, Kota Konstantinopel dibuka oleh Sultan Muhammad Al Fatih dan tenteranya. Titah awal Baginda ialah agar berbuat lemah lembut kepada manusia.

17. Berbuat Baik Kepada Penganut Kristian (penduduk asal)

Selepas mengisytiharkan kemenangan, Sultan Muhammad Al Fatih menuju ke Gereja Hagia Sophia. Ketika itu, penduduk Konstantinopel yang beragama kristian berserta para pendeta berkumpul. Mereka ketakutan apabila Sultan mendekati pintu gereja. Mereka membayangkan akan dibunuh atau ditindas secara zalim, akan tetapi Sultan Muhammad Al Fatih menitahkan agar mereka semua pulang ke rumah seperti biasa dengan aman dan Baginda juga menjamin kebebasan kepada mereka mengamalkan kepercayaan mereka.

Melihat toleransi dan akhlak Sultan Muhammad Al Fatih, beberapa pendeta mengucapkan syahadah. Ironinya, umat kristian telah mendapat manfaat, keamanan yang lebih baik di era Uthmaniah berbanding zaman pemerintahan kaisar Rom. Adabiah perang ini membezakan penakhluk kerajaan Islam dengan kerajaan lain.

Selain bermaksud dakwah, pendekatan ini juga suatu stratergi agar tidak tercipta pemberontakan dan dendam yang berkesinambungan dari generasi ke generasi. Generasi yang lahir kemudian pasti mengenang kemuliaan akhlak Sultan Muhammad Al Fatih dan para tenteranya bukan mengapi-apikan permusuhan.

Jika berjuang di dasari kemarahan, kita akan mencipta kemarahan pertama, kemarahan kedua dan seterusnya. Jika bergerak dengan cinta, kita akan mencipta cinta pertama, cinta kedua dan berlanjutan. Cinta menyambung,  kemarahan tenggelam.

Pengaruh Besar Mursyid

Sultan Muhammad Al Fatih mempunyai seorang mursyid (guru rohani) bernama Syaikh Aaq Syamsuddin atau nama Turkinya Syaikh Aksamsettin. Beliau digelar ‘Fatih Maknawi Konstantinopel’ iaitu pembuka Kota Konstantinopel secara tidak langsung kerana atas bimbingan, restu dan petunjuk Syaikh Syamsuddin, Sultan Muhammad Al Fatih berjuang dan menyerang. Syaikh Syamsuddin juga berperanan besar membentuk keilmuan, peribadi dan kepimpinan Sultan Muhammad Al Fatih.

Menurut As Syaukani, Syaikh Syamsuddin telah melihat berkah dan wibawa Al Fatih dan beliau  sentiasa memberi kata-kata semangat bahawa anak muridnya itu akan membuka Konstantinopel.

Syaikh Syamsuddin  melalui munajatnya telah menunjukkan Al Fatih detik masa yang tepat untuk melakukan serangan kerana dalam perang, masa yang tepat melakukan serangan adalah sangat penting selain persiapan yang lain. Syaikh juga terus memberi semangat agar terus mara tatkala menteri Al Fatih bercadang berundur setelah tampak tanda kekalahan pada peringkat awal. Syaikh meyakinkan Sultan Muhammaf Al Fatih bahawa akan tibanya pertolongan Allah. Bergantung lah kepada Allah.

Sultan Muhammad Al Fatih sangat mencintai gurunya. Meskipun Baginda adalah sultan, Baginda tetap duduk lebih rendah dan mencium tangan gurunya. Kecintaan Baginda dizahirkan apabila Baginda sering menuturkan,

“Kalian melihatku gembira, kebahagiaanku bukan sahaja kerana pembukaan kota ini, kebahagianku kerana keberadaan guruku (Syaikh Syamsuddin)”.

Syaikh Syamsudin adalah orang pertama menyampaikan khutbah di masjid HagiaSophia (gereja yang ditukar menjadi masjid) dan orang yang menunjukkan dimana terletaknya kuburan sahabat Baginda SAW, Sidna Abu Ayyub Al Ansori.
 
KESIMPULAN

Sultan Muhammad Al Fatih adalah seorang genius telah menyusun strategi dengan baik dan bersedia menukar taktikal perang di saat-saat genting. Baginda juga berani mengambil risiko dengan memecat panglima Tentera Baginda di saat genting. Paling menarik, seni peperangan Baginda penuh dengan kejutan yang tidak terfikir oleh musuh.

Disini kita boleh simpulkan, kemenangan pejuang Islam bukan berdiri di atas mitos atau khayalan akan tetapi melalui penyerahan bulat kepada Allah disamping usaha, perancangan rapi dan pengorbanan harta, tenaga bahkan nyawa. Kekuatan kerohanian mesti bergabung dengan kekuatan siyasah sebagai nadi utama kemenangan. Kemudian dibantu dengan kelengkapan ketenteraan dan ekonomi.

Sebahagian pencinta akhir zaman yang bersemangat jihad, bersemangat bebaskan Baitul Maqdis akan tetapi mereka tiada perancangan. Hanya tunggu nak perang kemudian inginkan syahid. Itu sahaja dibenak mereka tanpa perancangan tersusun.

Ada pula yang berkata, tunggu Imam Mahdi sahaja, tak perlu usaha apa-apa. Apakah mereka ingat Imam Mahdi akan memilih orang-orang yang malas dan tidak berbuat apa-apa seperti mereka menjadi tentera Al Mahdi? Walaupun Sultan Muhammad Al Fatih sejak kecilnya di canang-canang orang yang akan membuka Konstantinopel, tetapi Baginda dari kecil menyediakan diri Baginda ke arah cita-cita itu dengan persiapan kerohanian (spiritual), ilmu, bahasa, sejarah dan seni peperangan, tidak hanya berserah. Apabila Baginda telah menyiapkan segala asbab dan musabab, datang pertolongan Allah.

Rujukan:

1. Syaikh Dr Ali Muhammad Ash Shallabi, As Sulthon Muhammad Al Fatih

2. http://www.theottomans.org/english/campaigns_army/Mehmed-the-Conqueror-3.asp