12 Fakta Menarik Mengenai Kehebatan Khabib Nurmagomedov

1,663

Khabib Nurmagomedov, juara kategori lightweight UFC baru sahaja melabuhkan tirai sebagai pejuang seni bela diri campuran (MMA). Beliau mengumumkan persaraannya sebaik setelah menewaskan Justin Gaethje pada acara UFC 254 di Abu Dhabi. Dengan rekod sebagai  Muslim pertama menjadi juara UFC dan kemenangan tanpa tewas 29-0, Khabib diiktiraf oleh UFC sebagai jaguh tempur no.1 dalam semua kategori (pound for pound). Ayuh kita ikuti beberapa fakta menarik mengenai pejuang handalan dari wilayah Dagestan ini:

1. Keberanian dan kemampuan menyerap serangan – Disebabkan lawan Khabib tahu mereka tidak boleh menyaingi kemampuan Khabib dalam pergelutan di atas kanvas, mereka lebih mengutamakan serangan stand-up.  Walau bagaimana pun, sepanjang karier beliau dalam MMA, Khabib tidak pernah dijatuhkan oleh tumbukan atau tendangan. Malah, salah satu perkara yang sering dinyatakan oleh pengulas mengenai Khabib adalah kekuatan dagu yang cukup ampuh untuk menyerap serangan uppercut oleh pihak lawan. Khabib dikatakan tidak mempunyai taktik pertahanan yang bagus tetapi beliau mengimbangi kekurangan tersebut dengan daya ketahanan yang tinggi. Boleh dikatakan sepanjang kariernya di UFC, Khabib tidak pernah mengalami luka atau bengkak yang teruk dalam mana-mana pertarungan.

Refleks Khabib sendiri sebegitu dahsyat, di mana beliau amat pantas dalam memberikan tindakbalas sebaik menerima pukulan. Pihak lawan perlu bersedia untuk dibalas dengan serangan atau dijatuhkan melalui takedown apabila serangan mereka mengenai Khabib.

Apa yang menarik, walaupun Khabib telah dibiasakan bergusti dengan beruang sejak kecil, beliau sebenarnya takut pada ular dan anjing.

2. Keupayaan menyerang – Ketepatan serangan Khabib hanyalah 49 peratus, jauh diatasi oleh Anderson Silva yang mencatat 63.2 peratus ketepatan serangan dan direkodkan sebagai pejuang UFC dengan ketepatan serangan terbaik dalam sejarah UFC. Tetapi tumbukan padu Khabib ke atas Conor McGregor dalam pusingan kedua perlawanan mereka pada acara UFC 229 membuktikan kebolehan Khabib dalam melakukan serangan tidak wajar dipandang rendah sama sekali.

3. Grappling dan takedown – Kemampuan Khabib mencengkam dan menjatuhkan lawan dan bergusti sememangnya diketahui umum. Penonton di Barat sering kali mendakwa bahawa taktik Khabib adalah “membosankan” kerana kecenderungan mereka pada jaguh MMA seperti Conor McGregor yang lebih mengutamakan serangan berbanding takedown dan grappling yang menjadi kepakaran Khabib. Latar belakang Khabib dalam sukan gusti, sambo dan judo juga banyak membantu beliau meningkatkan keupayaannya menjatuhkan lawan.

Apabila pihak lawan telah dijatuhkan, kesudahan yang menunggu mereka adalah submission ataupun pukulan bertubi-tubi oleh Khabib. Setakat ini, Khabib memegang rekod sebagai pejuang UFC paling banyak berhasil melakukan takedown dalam satu perlawanan. Beliau mencatat rekod terbabit dalam pertarungan menentang Abel Trujillo pada acara UFC 160.

4. Kunci kaki (leg mount) dan gari Dagestan (Dagestani handcuff) – Lebih menggerunkan, Khabib bukan sahaja bergusti menggunakan tangan, tetapi juga seluruh anggota badannya. Aksi Khabib menggunakan kakinya untuk mengunci pergerakan kaki McGregor akan sentiasa diingati oleh peminat sukan MMA. Walaupun taktik leg mount ini diejek dan disamakan dengan ikan duyung, ia menunjukkan Khabib adalah pejuang UFC yang lengkap dan unorthodox.

Satu lagi kaedah kegemaran Khabib adalah Dagestani handcuff. Secara konsep, ianya kedengaran ringkas tetapi sukar dilakukan ke atas lawan. Ketika Khabib dan lawannya berada di atas lantai kanvas, salah satu tangan pihak lawan akan ditarik oleh Khabib supaya tangan tersebut dihempap oleh badan lawannya sendiri, sementara Khabib akan menghimpit badan lawan sambil melakukan pukulan atau cubaan submission. Dominasi Khabib ke atas Michael Johnson pada acara UFC 205 menyaksikan beliau menggunakan kekunci gari Dagestan ini dengan begitu berkesan sekali.

5. Persediaan rapi – Untuk mengetahui tahap komitmen Khabib dalam memastikan beliau benar-benar bersedia menghadapi lawan, kita boleh meneliti persediaan Khabib sebelum perlawanan menentang Dustin Poirier di Abu Dhabi. Dalam perbualannya bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin, Khabib menjelaskan bahawa beliau sengaja tiba di Abu Dhabi kira-kira 20 hari lebih awal bagi menyesuaikan diri dengan suhu, cuaca, persekitaran, dan perbezaan waktu di Abu Dhabi. Dustin Poirier pula tiba di Abu Dhabi kira-kira seminggu sebelum perlawanan tersebut, sementara Khabib telah berada di situ hampir dua minggu sebelum Poirier mendarat di Abu Dhabi.

6. Menghormati guru – Ketika jurulatih Khabib Javier Mendez melawat Dagestan, salah satu perkara yang memperlihatkan sifat tertib Khabib adalah kesanggupannya membawa beg Javier, walaupun ketika itu Khabib sudah pun mempunyai rekod cemerlang sebagai salah seorang juara UFC. Sebagai individu yang menerima didikan agama sejak kecil, Khabib sudah biasa mengamalkan ajaran Islam yang menggalakkan sikap menghormati guru.

Dalam satu lagi kisah yang dikongsikan Javier, jurulatih tersebut berkata apabila hendak bersolat, Khabib meminta izin daripadanya terlebih dahulu.

Bapa Khabib, Abdulmanap Numagomedov juga memastikan beliau memberikan contoh yang baik kepada Khabib. Menurut Javier, Abdulmanap tidak pernah cuba campur tangan dalam urusan melatih Khabib, walaupun sememangnya diketahui Abdulmanap memainkan peranan penting dalam membentuk keperibadian Khabib.

7. Sifat cintakan tanahair – Setiap kali Khabib berjalan ke arah gelanggang, lagu yang dimainkan sebagai entrance music beliau adalah “Dagestan” nyanyian Sabina. Lirik lagu tersebut sendiri menceritakan rasa cinta pada Dagestan. Khabib sendiri sentiasa memakai papakha bagi menunjukkan kebanggaannya sebagai seorang warga Dagestan.

Bapa Khabib, Abdulmanap pernah berkhidmat sebagai tentera Rusia dan sering kali menyifatkan Rusia sebagai motherland.

8. Didikan ibubapa – Khabib berkata – “Apabila saya berjalan ke gelanggang bersama bapa saya, ianya umpama berjalan bersama singa.” Kesetiaan Khabib kepada bapanya bukan satu rahsia, hinggakan beliau menjelaskan bahawa persaraannya dari UFC adalah kerana beliau tidak sanggup untuk bertarung tanpa Abdulmanap berada di sampingnya.

Tetapi ramai yang tidak tahu bahawa Khabib juga amat rapat dengan ibunya. Disebabkan ibu Khabib tidak pernah tampil di depan khalayak, peranan beliau dalam membesarkan Khabib jarang dibicarakan. Menurut Khabib sendiri, ibunya tidak setegas Abdulmanap. Tetapi permintaan ibu Khabib sendiri yang menyebabkan Khabib sedar bahawa telah tiba masanya untuk beliau berundur dari UFC.

9. Komitmen yang tinggi – Javier Mendez, Daniel Cormier dan Mohamad Lawal yang pernah melatih Khabib di Akademi Kickboxing Amerika (AKA) berpandangan bahawa Khabib seorang yang sangat rajin, komited dan tidak mengambil jalan singkat untuk berjaya. Beliau berusaha bukan sahaja dalam seni pertarungan, malah mempamerkan kesungguhan dalam mempelajari bahasa Inggeris untuk memudahkan dirinya memahami perkara yang diajar oleh jurulatih di Amerika.

10. Stamina – Khabib tidak berahsia dalam mendedahkan taktik utamanya sebelum pertarungan, iaitu menekan pihak lawan sehingga mereka kepenatan dan mendedahkan diri mereka pada takedown dan serangan Khabib. Sepanjang karier MMA Khabib, beliau tidak pernah gagal ujian dadah atau didapati mengambil mana-mana bahan terlarang. Malah, sebelum pertembungan menentang Justin Gaethje pada acara UFC 254, Khabib baru sahaja sembuh dari beguk (mumps) dan tulang pergelangan kakinya yang patah juga masih belum pulih sepenuhnya.

Al Iaquinta yang menentang Khabib pada acara UFC 223 menegaskan taktik pertarungan Khabib yang mengutamakan pergelutan di kanvas sepatutnya sangat meletihkan bagi pejuang UFC biasa, tetapi seperti yang sudah diketahui, Khabib bukanlah jaguh biasa.

11. Kebijaksanan – Khabib disifatkan sebagai antara pejuang UFC yang memiliki fight IQ paling tinggi. Bukan saja beliau bijak menyusun strategi, tetapi Khabib juga memiliki adaptability yang membolehkan beliau mengubah strategi berdasarkan situasi semasa. Bukan sahaja di gelanggang, Khabib juga seorang yang berpendidikan. Pernah menuntut di Makhachkala Finance and Economics College, Khabib juga sedang dalam proses menamatkan pengajian jarak jauh dalam bidang ekonomi di Plekhanov Russian University of Economics.

Selain daripada bahasa Rusia dan Inggeris, dan bahasa ibundanya Avar, Khabib juga sedikit sebanyak boleh berbahasa Kumyk, Arab dan Turki. Sepupu Khabib, Islam Makhachev mendedahkan bahawa keluarga mereka sedang dalam proses mewujudkan pusat pembelajaran di sebelah gym MMA yang diusahakan mereka, bagi memastikan mereka “bukan sahaja melahirkan pejuang, tetapi juga doktor dan pakar.”

12.Keteguhan sebagai seorang Muslim – Tidak keterlaluan sekiranya Khabib disifatkan sebagai seorang yang warak. Beliau enggan bertarung ketika bulan Ramadhan bagi memastikan dapat menjalankan ibadah tanpa gangguan. Setiap ucapannya sebelum atau selepas perlawanan sentiasa didahului dan diselangi pujian pada Ilahi. Beliau pernah menerima kritikan kerana tindakannya membantah penganjuran konsert rap pada tahun 2018. Mentaliti Khabib mungkin dilihat sebagai konservatif dan fundamentalis mengikut kaca mata Barat, tetapi keyakinan dan pendirian beliau sebagai seorang Muslim juga menjadi daya penarik kepada peminat bukan sahaja di Barat, malah di seluruh dunia.

Khabib mengakui beliau giat dipujuk supaya membatalkan keputusan untuk bersara. Tetapi amat sukar membayangkan Khabib untuk kembali ke gelanggang setelah berjanji kepada ibunya. Lebih-lebih lagi dinasti keluarga mereka tidak tamat dengan persaraan Khabib kerana Islam Makhachev kini disasarkan untuk menjadi juara kategori lightweight UFC dalam tempoh setahun. Apa yang pasti, dunia tidak mungkin menyaksikan jaguh tempur lain yang mampu meninggalkan impak mendalam seperti dilakukan Khabib Nurmagomedov.

RUJUKAN

Khabib Nurmagomedov exclusive interview with Russia’s Channel One after UFC 242 (n.d.). Khabibmcgregor.com. Retrieved November 1, 2020, from https://khabibmcgregor.com/khabib-nurmagomedov-exclusive-interview-after-ufc-242/ 

Lee, A. (2020, August). How Khabib Nurmagomedov Achieved a Net Worth of $30 Million. Money Inc. Retrieved November 1, 2020, from https://moneyinc.com/khabib-nurmagomedov-net-worth/ 

Mayall, J. (2019, September 4). UFC 242 Breakdown: Khabib Nurmagomedov’s 3 favorite techniques. The Body Lock. Retrieved November 1, 2020, from https://thebodylockmma.com/ufc/ufc-242-breakdown-khabib-nurmagomedov/ 

McCarter, N. (2019, September 4). Can Anyone in UFC Stop Khabib? Breaking Down the Stats. Bleacher Report. Retrieved November 1, 2020, from https://bleacherreport.com/articles/2852315-can-anyone-in-ufc-stop-khabib-a-statistical-breakdown

[RT Sport MMA]. (2019, September 14). FULL: Putin meets with champion Khabib Nurmagomedov after UFC 242 win [Video file]. Retrieved from https://www.youtube.com/watch?v=J_Skmc-9JXk 

Sinelschikova, Y. (2019, November 14). 7 surprising facts about UFC champ Khabib ‘The Eagle’ Nurmagomedov. Russia Beyond. Retrieved November 1, 2020, from https://www.rbth.com/lifestyle/331279-7-facts-about-khabib 

UFC star Islam Makhachev on the importance of education alongside MMA: ‘We need good doctors and specialists as well’ (2019, September 5). RT. Retrieved November 1, 2020, from https://www.rt.com/sport/475129-islam-makhachev-khabib-nurmagomedov-new-gym/ 

William, C. (2015, February 4). Top 10 Most Accurate Strikers in UFC History. The Sportster. Retrieved November 1, 2020, from https://www.thesportster.com/mma/top-10-most-accurate-strikers-in-ufc-history/ 

Artikel dikirimkan oleh Muhammad Azraiel untuk The Patriots. 

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.