Nama Byzantine diambil dari kota bernama Byzantium, kota purba di Bosphorus, kota yang strategik bertempat antara Laut Hitam dan Laut Aegean. Pada kurun ke-4 Masihi, Maharaja Rom iaitu Constantine menamakan kota itu dengan nama Constantinople dan menjadikannya sebagai ibu kota kedua dalam empayarnya. Bahagian timur empayar Rom telah lama bertahan selama beribu-ribu tahun, melindungi Eropah dari invasi musuh di Timur seperti kaum Parsi, Arab dan Turki.

Kaum Byzantine masih terpelihara setelah kehancuran empayar Rom kerana kota mereka iaitu Constantinople mempunyai kubu yang utuh dan ekonomi perikanan masih berlangsung. Pada abad ke-6 Masihi, di zaman kegemilangan kaum Byzantine, mereka menaungi jajahan bekas empayar Rom kecuali Semenanjung Iberia (Portugal dan Sepanyol kini), Gaul (Perancis kini), dan Britain. Kaum Byzantine juga menaungi Syria, Mesir, dan Palestin tetapi pada pertengahan abad ke-7 Masihi, jajahan tersebut dirampas oleh kaum Arab. Seterusnya, empayar Byzantine hanya merangkumi tanah Balkan dan Turki kini.

Maharaja Byzantine pertama yang agung adalah Justinian I (482 – 565). Impiannya adalah kembalikan kegemilangan empayar Rom dan impian itu hampir berjaya. Baginda mengarahkan jeneral terhebat iaitu Belisarius untuk meluaskan empayar dengan menjarah ke Timur untuk kalahkan kaum Parsi, Vandal di Afrika Utara, Ostrogoth di Itali, dan kaum kesatuan Bulgar – Slav di tanah Balkan. Tambahan pula, maharaja Justinian menyediakan sebuah sistem empayar untuk kegunaan masa depan dengan menubuhkan undang-undang dan pentadbiran yang utuh, serta meletakkan kuasa melindungi gereja Kristian.

GAMBAR 1: Maharaja Justinian I

Dari segi ekonomi, empayar Byzantine adalah terkaya dalam sejarah Eropah selama berabad-abad kerana kedudukan kota Constantinople yang strategik dengan aktiviti perdagangan antara Asia dan Eropah. Kota tersebut adalah destinasi terpenting dalam laluan Jalan Sutera dari China. Mata wang Byzantine, Nomisma, menjadi piawaian dalam urusan mata wang di Laut Mediterranean selama 800 tahun. Kekuasaan Byzantine terhadap kota Constantinople membuatkan seluruh negara-kota di Itali iri hati dan memusuhinya.

Kunci utama empayar Byzantine selain mempunyai ekonomi yang utuh adalah sistem ketenteraan campuran, yang mempunyai unsur dari kaum Rom, Yunani Kuno, Goth, dan Timur Tengah dari segi budaya dan pengalaman bertempur. Sepasukan tentera yang terdiri daripada gabungan tentera infantry memanah dan tentera infantry berperisai adalah pasukan terkuat dan utama Byzantine. Tentera Byzantine biasanya diatur ke unit masing-masing dan dilatih dalam taktik peperangan dan serbuan. Para pegawai tentera pula seharusnya mempunyai ilmu sejarah dan teori ketenteraan.

Walaupun majoriti tentera Byzantine terdiri daripada rakyat yang kurang terlatih dan tiada pengalaman bertempur, mereka mampu menjadi tentera yang berkaliber setelah mempunyai disiplin yang baik dan mempelajari ilmu ketenteraan. Selain para tentera, Byzantine juga melatih pengintip dan ejen rahsia sebagai unit terpenting dalam memperoleh maklumat mengenai rancangan musuh yang boleh digunakan sebagai bahan untuk merasuah musuh ataupun memesongkan rancangan mereka.

Manakala sistem maritim Byzantine pula, tentera maritim sentiasa memastikan laluan perairan sentiasa terbuka dan terkawal untuk aktiviti perdagangan dan penghantaran sumber supaya ibu kota tidak akan mengalami kebuluran apabila dibedil oleh musuh. Pada abad ke-8 Masihi, serangan laut besar-besaran oleh kaum Arab telah ditumpaskan oleh senjata rahsia iaitu Api Yunani. Senjata kimia itu mempunyai campuran kimia yang tidak diketahui (berkemungkinan cecair napalm) disembur dari hos dan menjadi api yang marak menghanguskan armada laut Arab.

GAMBAR 2: Illustrasi kegunaan teknologi Api Yunani (Greek Fire) oleh tentera laut Byzantine semasa hadapi kemaraan tentera Arab.

Pada abad ke-7 dan ke-8 Masihi, kaum Arab (Kerajaan Bani Umayyah) telah menakluk Mesir, Timur Tengah, Afrika Utara dan Sepanyol serta merampas jajahan lain dari genggaman Byzantine. Kemenangan kaum Turki di Manzikert pada tahun 1071 membawa kepada runtuhnya Asia Kecil, tanah terpenting Byzantine yang menempatkan sumber gandum, haiwan ternakan dan ketenteraan. Pada 1204, pasukan tentera Salib yang diketuai oleh Doge of Venice telah menakluk kota Constantinople secara kejam.

Pada abad ke-14 Masihi, kaum Turki menceroboh Eropah, menakluk kota Adrianople dengan memintas kota Constantinople. Mereka menetap di Balkan dengan pasukan tentera yang ramai dan mengalahkan pasuka tentera Salib di Nicopolis pada tahun 1396. Pada bulan Mei 1453, sultan empayar Turki Uthmaniyah, Mehmed II melumpuhkan pertahanan kukuh kota Constantinople dengan menggunakan meriam gergasi. Kejatuhan kota Constantinople membawa kepada berakhirnya empayar Byzantine, penerus legasi empayar Rom.

RUJUKAN:Sejarah ringkas dari video game Age of Empires II.
Warfare, State And Society In The Byzantine World 560–1204. p. 47.
Haldon, John (1990). Byzantium in the Seventh Century: The Transformation of a Culture. Cambridge: Cambridge University Press. ISBN 978-0-521-31917-1.
Bury, John Bagnall (1923). History of the Later Roman Empire. London: Macmillan.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang ulat buku dan pejuang alam sekitar. Penulis yang rajin tulis tentang flora dan fauna serta sejarah dunia. Dan tak terkecuali peminat Fate.

Comments are closed.