Kenapa Manusia Suka Ramas Benda Comel?

382

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Pernahkah anda mengalami satu keadaan dimana anda hendak mengigit atau meramas sesuatu yang comel. Sebagai contoh ketika anda sedang melihat ‘newsfeed’ di Facebook dan tiba tiba terdapat sebuah video yang menunjukkan seekor anak kucing atau anjing sedang bermain main dan terlintas dalam diri anda untuk mengigit atau meramas binatang tersebut. Kenapa kita ingin bertindak agresif apabila kita melihat sesuatu yang comel. Pernahkan, kita berasa ingin meramas dan memicit anak kucing ataupun hamster yang kita pelihara?

Ataupun ingin mengigit mereka. Adakah kita telah menjadi gila? Sebenarnya, anda semua tidak perlu risau kerana ini adalah perkara yang dialami oleh kebanyakkan manusia dan ianya merupakan satu reaksi normal. Ianya berkait rapat bagaimana otak kita mengawal rangsangan emosi yang tinggi dengan sesuatu yang berlawanan.

Ianya disebut sebagai ekspresi dimorphous ataupun istilahnya yang terkenal adalah keagresifan kecomelan. Ianya terjadi apabila otak kita tidak dapat mengawal rangsangan emosi positif yang terlalu banyak sehingga menukarkannya menjadi emosi berlawanan, dimana bagi sebahagian besar manusia adalah menjadi agresif. Situasi ini sama seperti orang yang mengalirkan air mata kegembiraan ataupun orang yang ketawa kerana terlalu sedih.

Pernah alami tak situasi ni?

Kajian yang dijalankan sebelum ini hanya menjelaskan bahawa manusia menunjukkan emosi positif yang ekstrem terhadap gambar comel. Tetapi kajian yang dijalankan oleh Dyer dan Aragon menghasilkan beberapa hipotesis yang lain.

Berdasarkan kajian yang diterbitkan pada tahun 2015 oleh Psychological Science, ahli psikologi dari University Yale dan pasukannya telah mendapati bahawa orang yang mempunyai reaksi positif yang ekstrem terhadap gambar gambar bayi yang comel menunjukkan bahawa mereka mempunyai ekspresi agresif yang kuat seperti hendak mencubit pipi bayi tersebut.

Kajian yang dijalankan oleh Oriana Aragon dan pasukannya mendapati, orang yang menunjukkan emosi positif yang ekstrem terhadap gambar bayi yang comel, menunjukkan emosi agresif yang kuat seperti ingin mencubit pipi bayi tersebut.

yang dijalankan memerlukan para peserta untuk melihat dan menilai gambar-gambar bayi. Terdapat sebahagian gambar yang menunjukkan bayi yang mempunyai mata dan muka yang bulat. Para peserta menunjukkan keinginan yang tinggi untuk membelai bayi yang mempunyai mata dan muka yang bulat. Selain itu, mereka juga dilaporkan mempunyai emosi agresif yang tinggi terhadap bayi itu seperti ingin mencubit dan menggigit mereka.

Menurut Aragon, penemuan ini menunjukkan bahawa bagaimana manusia mengawal dan mengekspresikan emosi mereka sangat penting kerana ianya berkait rapat dengan kesihatan mental dan fizikal manusia. Ianya merupakan satu mekanisme badan untuk mengawal emosi positif yang tinggi.

Manusia mungkin menyimpan keseimbangan emosi dengan ekspresi ini. Apabila minda kita tidak dapat mengawal emosi yang positif yang berlebihan menyebabkan kita mengatasinya dengan sesuatu yang negatif. Ianya dilihat mengambil alih ketika mana manusia dikuasai oleh emosi positif yang kuat, dan manusia yang dilihat melakukan ini kembali normal dari emosi yang berlebihan ini.

Kajian lain yang pula telah dijalankan oleh pasukan penyelidik yang diketuai oleh Rebecca Dyer. Beliau telah mejalankan satu eksperimen terhadap 109 orang secara atas talian untuk melihat beberapa gambar binatang. Para responden akan melihat tiga set gambar iaitu gambar haiwan yang comel seperti anak anjing yang gebu, kedua adalah gambar haiwan yang kelakar seperti anjing dengan kepala dijengukkan keluar tingkap kereta dan ketiga adalah gambar haiwan yang neutral seperti anjing tua dengan ekspresi wajah yang serius.

Para responden akan menilai gambar itu berdasarkan kecomelan dan telatah mereka, serta bagaimana gambar itu membuat mereka hilang kawalan. Sebagai contoh, saya tidak tahan lagi! Responden juga akan menilai tahap sesuatu gambar itu yang membuatkan mereka berkata sesuatu seperti grrr! serta mengetap gigi mereka dan ingin meramas sesuatu. Dan seperti dijangka, gambar haiwan yang comel menyebabkan mereka mudah hilang kawalan berbanding haiwan yang kelakar.

Meskipun begitu, keputusan itu mungkin boleh ditafsirkan sebagai satu ekspresi verbal terhadap kecomelan berbanding perasaan sebenar. Oleh itu, Dyer dan pasukannya telah meminta 90 orang sukarelawan lelaki dan perempuan ke makmal psikologi untuk melihat slaid haiwan yang comel, kelakar dan neutral.

Mereka memberitahu bahawa kajian ini adalah berkenaan aktiviti motor dan memori dan para sukarelawan telah diberikan plastik gelembung. Para sukarelawan diberi arahan untuk memicit seberapa banyak gelembung yang mereka mahu selagi mereka merasakan ingin melakukan sesuatu yang melibatkan pergerakan.

Hakikatnya, Dyer dan rakan-rakannya ingin melihat sama ada para sukarelawan memberi reaksi kepada gambar-gambar haiwan yang comel melalui tindak balas luaran yang agresif, dengan memicit gelembung tersebut. Dan hasilnya adalah seperti apa yang mereka ramalkan. Secara purata, para sukarelawan yang melihat gambar haiwan yang comel telah memicit 120 gelumbung berbanding gambar haiwan yang kelakar sebanyak 80 gelembung dan lebih kurang seratus gelembung untuk haiwan yang neutral.

Dyer berkata, beliau tidak dapat memastikan kenapa kecomelan dilihat mencetuskan ekspresi negatif, walaupun secara relatifnya tidak membahayakan. Ianya berkemungkinan apabila kita melihat bayi yang bermata bulat ataupun anak haiwan, ianya mencetuskan naluri keibuan kita untuk menjaga makhluk tersebut.

Namun bgitu, disebabkan ianya hanya sekadar gambar, dan berkemungkinan walaupun dalam realiti kita tidak dapat membelai anak haiwan tersebut sebanyak yang kita mahu, ini menyebabkan kita berasa kecewa dan kekecewaan ini menyebabkan kita bertindak agresif secara tidak sedar.

Realitinya, manusia mencuba sedaya upaya untuk tidak mencederakan haiwan tersebut ketika menggomol mereka walaupun mereka secara tidak sedar melakukannya. Sebagaimana seorang kanak-kanak yang sangat sayang kepada kucingnya sehingga secara tidak sedar telah meramasnya dengan sangat kuat.

Situasi yang digelar sebagai ekspresi Dimorphous ataupun keagresifan kecomelan bukanlah perkara yang pelik kerana kebanyakkan manusia mempunyai perasaan ingin meramas atau menggigit sesuatu yang comel. Ekspresi Dimorphous ini bukan sahaja berkait dengan kecomelan sahaja, tetapi perasaan gemuruh yang menyebabkan kita ketawa dan juga situasi gembira yang menyebabkan kita mengalirkan air mata kegembiraan.

Dyer berkata, bagaimana emosi positif yang berlebihan terlihat negatif seperti bagaimana seseorang yang memenangi tempat pertama dalam sesuatu acara menangis teresak-esak. Ataupun ketika kita berasa terlalu sedih kita ketawa. Emosi yang terlalu tinggi menyebabkan seseorang tidak dapat mengawal diri mereka menyebabkan otak memberi tindak balas emosi yang berlawanan untuk mengawal keseimbangan diri kita.

Ini berkait rapat bagaimana kita mengawal emosi positif yan tinggi melalui emosi yang negatif dan sebaliknya. Ini mungkin merupakan cara untuk kita mengawal diri kita dan melepaskan tenaga itu. Ini sebenarnya merupakan satu mekanisma badan untuk menstabilkan emosi yang berlebihan dengan emosi yang berlawanan supaya badan kita dapat kembali dalam keadaan neutral.

Sebab itu, apabila kita berasa ingin meramas bayi ataupun haiwan yang comel, ketahuilah bahawa badan kita berasa sangat gembira dan positif yang terlampau sehingga menyebabkan kita ingin bertindak agresif. Sebenarnya otak kita sedang memberikan suntikan emosi yang berlawanan untuk mengembalikan kita ke dalam keadaan neutral. Jadi ketika melihat sesuatu yang comel, kita akan merasakan satu gelojak emosi positif dan kemdian diikuti dengan emosi yang boleh dikatakan berlawanan dan kebiasaannya emosi agresif.

Tetapi persoalannya, kenapa kita sangat tertarik kepada sesuatu yang comel? Simon Rego, Pengarah di Psychology Training di Montefiore Medical Centre berkata ciri-ciri mereka mengingatkan kita kepada bayi manusia. Antara ciri-ciri tersebut adalah kecil, mata yang bulat, kepala yang besar, gebu, dan pipi yang tembam.

Pengkaji sejak beberapa dekad yang lalu berkata manusia daripada pelbagai bangsa dan budaya menganggap ciri-ciri tersebut sebagai comel. Saintis percaya bahawa perkara ini tertanam di dalam proses evolusi kita. Kita telah diprogramkan untuk membelai dan menyayangi bayi kerana mereka adalah makhluk yang lemah dan ini membuatkan kita berasa ingin melindungi mereka. Perasaan ini hadir kerana bayi memerlukan penjagaan yang rapi daripada orang dewasa untuk hidup.

Naluri ini telah tertanam di dalam kedua dua jantina begitu juga dengan orang yang tidak mempunyai anak. Jika kita ternampak seorang bayi yang telah ditinggalkan di tepi jalan, walaupun mereka bukan ibu atau ayah mereka akan merasakan dorongan untuk menyelamatkannya.

Kanna Kamui merupakan antara watak loli yang terkenal

Naluri ini terlalu kuat sehingga kita akan memberi reaksi yang sama kepada spesis berbeza yang mempunyai ciri-ciri tersebut. Ini menjelaskan kenapa kita mempunyai obsesi terhadap benda yang comel.

Sebagai contoh, bagi peminat anime atau manga, kita dapat lihat bagaimana pelukis mengolah watak-watak dalam cerita tersebut mempunyai mata yang besar untuk menunjukkan simpati apabila mereka ingin mengekspresikan emosi belas kasihan. Secara tidak sedar, perkara ini akan membuatkan kita terbayangkan bayi dan mencetuskan naluri untuk menjaga mereka (mungkin sebab itu wujud lolicon). Begitu juga dengan anak patung haiwan yang gebu di kedai hadiah. Patung itu sangat comel menyebabkan kita ingin memeluk mereka.

Platelet chan, watak yang comel dalam Hataraku Saibo

Adakah perkara ini baik? Sebenarnya, jika menurut teori evolusi Darwin, “survival of the fittest”, perkara ini membazirkan masa dan tenaga kita untuk menjaga setiap haiwan yang kita jumpa. Namun dari sudut belas kasihan, perkara ini sangat menakjubkan untuk kita menjaga dan melindungi sesuatu yang bukan manusia. Kita boleh katakan bahawa ianya adalah kapasiti kita sebagai manusia kita untuk mencintai dan menyayangi.

Kesimpulannya, jika ada mak cik yang mencubit pipi anda kerana terlalu geram. Maka ketahuilah bahawa anda sebenarnya sangat comel dan orang lain tidak dapat menahan diri mereka daripada melakukan sesuatu yang agresif terhadap anda.

RUJUKAN:

Oriana R. Aragón, Margaret S. Clark, Rebecca L. Dyer, and John A. Bargh. (2014). Dimorphous Expressions of Positive Emotion: Displays of Both Care and Aggression in Response to Cute Stimuli. Association for Psychological Science. Yale University.

Association for Psychological Science. (2014). Tears of joy may help us maintain emotional balance.https://www.psychologicalscience.org/news/releases/tears-of-joy-may-help-us-maintain-emotional-balance.html

Christopher Hooton. (2014). So cute I could eat it: The science behind ‘cute aggression’. https://www.independent.co.uk/news/science/so-cute-i-could-eat-it-the-science-behind-cute-aggression-9860440.html

Christine Dell’amore. (2014). Baby Giant Panda Debuts in D.C.: Why Do We Find It So Cute? https://www.nationalgeographic.com/news/2014/1/140117-giant-panda-national-zoo-animals-cute-evolution-science/

Leigh Campbell. (2017). Why Do We Want To Squeeze Cute Things? https://www.huffingtonpost.com.au/2017/06/25/why-do-we-want-to-squeeze-cute-things_a_23001167/

Liam Tinoco. (2017). Do You Know What Dimorphous Expressions Are? https://mavpulse.com/4777/humor/do-you-know-what-dimorphous-expressions-are/

Liz Langley. (2015). When We See Something Cute, Why Do We Want to Squeeze It? https://www.nationalgeographic.com/news/2015/10/151010-science-psychology-babies-animals-culture-behavior/

Shaunacy Ferro. (2013). Why Do We Want To Squeeze Cute Things? https://www.popsci.com/science/article/2013-01/science-says-adorable-animals-turn-us-aggressive/

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.