“International history junkie” macam aku tak akan lupa semalam hari apa – ulang tahun ke-100 permulaan persidangan Paris Peace Conference pada 18 Januari 1919.

So, apa penting dengan tarikh yang penuh dengan habuk ini?

Ceritanya, Paris Peace Conference diadakan oleh 27 negara pemenang Perang Dunia Pertama (1914-1918) dari 18 Januari 1919 hingga 21 Januari 1920 untuk membentuk “new world order” pasca perang.

Negara-negara pemenang terutamanya UK, Perancis dan US mendominasi persidangan ini. Secara retorik, mereka mahu membentuk sebuah “world order” yang lebih stabil dan adil, dengan memberi hak “self-determination” kepada bangsa-bangsa yang hidup di bawah pemerintahan Empayar Jerman, Austria-Hungary dan Turki Uthmaniyyah yang tewas dalam perang.

Tapi secara realiti, persidangan ini adalah untuk mengabsahkan kawalan negara-negara pemenang ke atas tanah negara-negara pakatan Central Powers (Jerman, Austria-Hungary dan Turki Uthmaniyyah) yang tewas.

Sehingga hari ini, kesannya masih dapat dirasai. Negara-negara di Timur Tengah yang ada pada hari ini: Syria, Iraq, Lubnan, Jordan dan Turki semuanya merupakan hasil persidangan Paris Peace Conference.

Mengambil kesempatan ke atas kekalahan Turki Uthmaniyyah, khilafah terakhir dalam sejarah umat Islam, UK dan Perancis masing-masing membahagikan wilayah Uthmaniyyah dan mewujudkan Syria dan Lubnan di bawah pengaruh Perancis, dan Jordan dan Iraq di bawah pengaruh UK. Ini merupakan sebahagian daripada Perjanjian Sykes-Picot yang dicapai oleh UK dan Perancis pada tahun 1916.

Seterusnya, UK juga menjadi penjaga Palestin dengan mandat yang diberikan oleh Liga Bangsa yang diwujudkan semasa Paris Peace Conference. Selaku penjaga, UK telah membuka Palestin kepada pendatang Yahudi, demi memenuhi janjinya kepada kaum Yahudi yang berbunyi “membantu kaum Yahudi mewujudkan ‘national home’ di Palestin” dalam Deklarasi Balfour 1917.

Asalnya UK cuma nak bagi Yahudi menetap di Palestin, tapi tak lama kemudian Yahudi minta untuk berkongsi Palestin dengan orang Arab, dan last-last Yahudi nak merdeka dari UK dan mendirikan negara sendiri pula. Maka UK cuci tangan pada tahun 1948, dan Israel ditubuhkan.

Kejatuhan Uthmaniyyah dan kelahiran Israel merupakan tragedi yang boleh dielakkan, sekiranya elit Uthmaniyyah ketika itu (yang diketuai oleh Tiga Pasha yang berideologi secular nationalism) tidak gelojoh memihak kepada Jerman, dan orang-orang Arab tidak gelojoh menentang pemerintahan Uthmaniyyah yang mereka anggap korup dan tidak semulia mereka (khalifah Uthmaniyyah berketurunan Turk, bukan Arab).

Pemberontakan Arab terhadap Uthmaniyyah diketuai oleh Sharif Husayn yang keluarganya telah memerintah Hijjaz (termasuk Mekah dan Madinah) sejak tahun 1201. Beliau berketurunan Sayyidina Hasan, berdarah Quraisy, maka beliau diangkat oleh nasionalis Arab untuk menentang kerajaan Uthmaniyyah.

Disebabkan Uthmaniyyah ialah sekutu Jerman, maka ia ialah musuh kepada UK. Musuh kepada musuh ialah kawan, maka UK menghantar Henry McMahon dan T.E. Lawrence untuk membina pakatan dengan Sharif Husayn.

McMahon janji bulan dan bintang, memujuk Sharif Husayn bahawa UK akan menyokong beliau menjadi khalifah sekiranya beliau bantu menjatuhkan Uthmaniyyah. Sharif Husayn berangan-angan beliau akan menjadi khalifah yang memerintah tanah Arab dari Laut Mediterranea hingga Teluk Parsi, mengembalikan kegemilangan bangsa Arab.

Malah pegawai UK bernama Mark Sykes siap tolong mencipta bendera Arab berwarna merah-hitam-hijau-putih untuk membantu menyemarakkan semangat nasionalisme Arab.

Tapi Sharif Husayn tidak sedar, Mark Sykes ini juga yang mempunyai perjanjian rahsia dengan Perancis untuk membahagikan wilayah dari Laut Mediterranea hingga Teluk Parsi yang Sharif Husayn idamkan. Korang rasa UK nak tunai janji dengan Perancis ke dengan Arab?

Habis madu sepah dibuang. Selepas Uthmaniyyah ditewaskan, keluarga Sharif Husayn habuk pun tak dapat di Paris Peace Conference. Malah keluarga Sharif terpaksa meninggalkan Hijjaz selepas ditawan oleh Bani Saud pada tahun 1924 (yang mendirikan negara Arab Saudi sehingga hari ini).

Keluarga Sharif lari ke Jordan dan Iraq yang dikuasai oleh UK. UK kesianlah juga dengan bekas sekutu mereka ini, jadi anak-anak Sharif Husayn, Abdullah ditabalkan sebagai Raja Jordan, dan Faisal ditabalkan sebagai Raja Iraq (cucunya Faisal II digulingkan dalam kudeta tahun 1958 yang menamatkan monarki di Iraq). Tapi bukan “khilafah” yang mereka harapkan daripada kerjasama dengan UK.

Sempadan negara-negara yang dihasilkan oleh Perancis dan UK ini juga bermasalah. Tak tau sengaja ke tak sengaja, penduduk Syiah dan Sunni telah disatukan dalam sebuah negara (Syria, Iraq, Lubnan), membawa kepada konflik yang tak pernah selesai dalam 100 tahun. Sedangkan semasa pemerintahan Uthmaniyyah, mereka dipisahkan di bawah “sanjak” yang berbeza.

Kurd juga dijanjikan sebuah negara, tetapi tidak ditunaikan. Malah mereka dipisahkan oleh sempadan 3 negara: Turki, Iraq dan Syria. Ini menyebabkan mereka sehingga hari ini masih memperjuangkan kemerdekaan melalui senjata dan menjadi ancaman kepada kestabilan Timur Tengah.

Maka tidak hairan, pakar dalam geopolitik dan hubungan antarabangsa semua sepakat melihat Perjanjian Sykes-Picot yang direalisasikan oleh Paris Peace Conference sebagai punca kepada segala masalah di Timur Tengah hari ini. Malah penggarisan semula sempadan negara dilihat sebagai penyelesaian terbaik kepada konflik serantau yang tiada kesudahan.

Inilah “100-year challenge” yang telah ditanggung oleh generasi-generasi yang hidup di Timur Tengah. Dan semuanya bermula pada hari ini, 100 tahun yang lepas. Memahami sejarah ini ialah kunci kepada memahami segala pergolakan yang berlaku di Timur Tengah.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Pegawai Tadbir Dan Diplomatik, graduan dalam bidang Hubungan Antarabangsa Dan Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.

Comments are closed.