Ejen Oren – Menang Jadi Arang, Kalah Jadi Abu

0
3387
views

“In war..there is no room for pity. Kill, or be killed.”

(Di dalam peperangan, tidak ada ruang untuk belas kasihan..bunuh..atau dibunuh).

– Allahyarham ASP Mohd. Zabri Abd. Hamid, 1975

Ia adalah kata-kata yang pernah diungkapkan oleh sosok lagenda salah satu pasukan elit negara – VAT69 Komando, yang masih diingati anak-anak buahnya sehingga sekarang. Bunyinya keras dan dingin – tanpa sebarang gelombang perasaan dan menggambarkan seolah-olah si penuturnya tidak mempunyai perikemanusiaan.

Tapi, itulah hakikat yang harus dihadapi sebenarnya di dalam sesebuah peperangan – samada ia diisytiharkan atau tidak. Di antara pasukan-pasukan yang bertentangan sesama sendiri, akan wujud juga pihak yang menerima kesan langsung akibat pertelagahan tersebut, atau kita sebutkan sebagai collateral damages (kerosakan sampingan), yang tidak dapat lari daripada terjebak.

Kerana itulah, ketika ada pihak-pihak tertentu yang begitu ghairah hendak melancarkan atau terlibat dengan peperangan, bagi pihak-pihak yang pernah mengalami atau memahami natijah sesebuah peperangan itu, keghairahan itu tidak disambut dengan keterujaan. Kalaulah anda benar-benar pernah berada di tengah-tengah kancah sebegitu, anda akan faham, bahawa peperangan – kepada yang waras, adalah pilihan terakhir yang sebolehnya cuba dielakkan. Akan ada perkara-perkara tidak mampu dicerna akal, yang melawan sifat perikemanusiaan, yang akan terpaksa kita hadap, dan menerimanya bukanlah semudah yang disangka.

From rocks to rocket (daripada batu ke roket), elemen persenjataan di dalam peperangan telah berkembang semakin maju daripada zaman ke zaman. Semua perkembangan ini, sesungguhnya datang akibat tujuan yang sama – usaha bagi memenangi perebutan atas tujuan tertentu. Di dalam perebutan itu, pasti akan ada korban – samada korban terus yang terdiri daripada mereka yang mewakili pihak yang berebut itu, atau korban sampingan yang terperangkap di tengah-tengahnya.

Untuk menang, tidak mustahil sebarang usaha dilakukan dengan apa cara sekalipun samada betul atau salah. Dan bagi setiap apa saja teknologi yang digunakan di dalam sesebuah peperangan, ia pasti akan meninggalkan kesan – samada kepada yang terlibat secara langsung atau tidak. Kesan sesuatu peperangan itu pula ternyata tidak terhad hanya kepada kematian dan kecederaan saja.

Kematian itu boleh ditakrifkan dengan pelbagai cara – ada yang otaknya berhenti berfungsi, ada yang berhenti denyut jantungnya, ada yang tubuhnya sudah kehilangan rupa. Malah, ada pula yang mati dalam bernyawa – otaknya bekerja, jantungnya berfungsi, tapi jiwanya mati. Kecederaan juga boleh ditakrifkan oleh pelbagai maksud. Ada yang cedera kerana tubuhnya luka, tapi ada yang cederanya tidak di luar, sebaliknya di dalam jiwa. Lebih parah, luka itu dibawa seumur hidup dengan parut yang takkan sesekali sembuh.

Antara kes kematian dan kecederaan yang mungkin paling sadis untuk dibicarakan (perhatikan perkataan ANTARA ya… bukan YANG PALING) adalah kesan yang ditanggung oleh penduduk Vietnam semasa perang Vietnam (1954-1975) dulu. Kesan dan akibatnya merangkumi bukan sahaja mereka yang terlibat di garis hadapan, tetapi juga komuniti am seluruhnya – hinggakan alam semulajadi juga terlibat sama.

Secara ringkasnya, Perang Vietnam, yang juga dikenali sebagai Peperangan Indochina Kedua atau juga sebagai Peperangan Penentangan Vietnam terhadap Amerika, atau juga dikenali sebagai Perang Amerika, sebenarnya adalah konflik yang meliputi Vietnam, Laos, dan Kemboja bermula pada 1 November 1955 sehingga kejatuhan Saigon pada 30 April 1975. Ia mempertembungkan Vietnam Utara – yang mana tenteranya disokong oleh Soviet Union, China dan lain-lain sekutu komunis, menentang Vietnam Selatan yang disokong oleh oleh Amerika Syarikat, Korea Selatan, Australia, Thailand dan lain-lain sekutu blok anti komunis, dan dianggap juga sebagai peperangan di antara proksi semasa era Perang Dingin (Cold War).

Pasukan Viet Cong (juga dikenali sebagai National Liberation Front/Barisan Pembebasan Kebangsaan, atau NLF), adalah barisan ketumbukan komunis Vietnam Selatan yang dibantu oleh sekutu dari Utara, berjuang secara gerila menentang pihak yang menentang komunis, manakala People’s Army of Vietnam/Tentera Rakyat Vietnam , atau dikenali juga sebagai North Vietnamese Army/Tentera Vietnam Utara (NVA), bertempur melalui mod peperangan konvensional, di mana ada masanya mereka menggerakkan unit-unit besar ke medan pertempuran yang berlangsung.

Semakin peperangan itu berlanjutan, semakin peranan pasukan Viet Cong menyusut, sejajar dengan pembabitan NVA yang lebih mendalam dan serius. Ini telah memaksa pihak AS dan Vietnam Selatan untuk bergantung kepada kekuatan kuasa udara dan tembakan berkekuatan tinggi bagi operasi-operasi cari dan musnah yang dijalankannya, yang turut menggabungkan pasukan darat, artileri dan serangan udara.

Melihat kepada perang yang berlanjutan, dan tentangan secara gerila oleh pasukan Viet Cong yang seolah-olah menjadi duri dalam daging kepada keseluruhan usaha ketenteraan tersebut, pada tahun 1962, pihak AS telah mengambil keputusan untuk melancarkan satu siri operasi udara terhad di dalam kawasan Vietnam Selatan itu sendiri, dengan tujuan untuk menawarkan bantuan udara kepada pasukan Vietnam Selatan, memusnahkan pengkalan-pengkalan Viet Cong, dan menyembur racun tumbuhan untuk memusnahkan kawasan hutan yang digunakan secara khusus oleh pasukan Viet Cong sebagai perlindungan untuk operasi gerila mereka.

Penggunaan racun perosak sepanjang operasi Ranch Hand
Sumber: Chicago Tribune

Antara campuran racun perosak yang paling berkesan digunakan ketika itu adalah Agen Oren (Agent Orange). Nama ini datang daripada jalur berwarna oren yang dicat pada tong dram 55-gelen yang digunakan untuk menyimpan bahan ini, dan ia merupakan salah satu daripada siri kumpulan Racun Pelangi (Rainbow Herbicides). agen-agen lain termasuklah Agen Putih, Ungu, Pink, Hijau dan Biru. Kesemua racun perosak ini dikeluarkan oleh syarikat Monsanto, Dow Chemical dan beberapa syarikat-syarikat lain, dan setiap satunya terdiri daripada bahan kimia pelbagai campuran dan kekuatan.

Di antara kesemuanya, Agen Oren adalah yang paling meluas digunakan dan dikatakan yang paling berkesan. Ia sendiri mempunya beberapa beberapa variasi kekuatan, dan dirujuk sebagai Agen Oren I, Agen Oren II, Agen Oren III dan “Super Orange.” Penyemburan racun ini – yang meliputi sehingga 4.5 juta ekar tanah Vietnam yang merangkumi kawasan hutan dan pertaniannya dijalankan di antara tahun 1961 to 1971, dengan tujuan untuk memusnahkan perlindungan dan sumber makanan bagi terup-terup Vietnam Utara dan Viet Cong, dijalankan melalui Operasi Ranch Hand.

Pesawat-pesawat AS digerakkan untuk menyembur jalan, sungai, terusan, sawah dan kebun di sekitar Vietnam, dan di sepanjang proses ini, sumber makanan berasaskan pertanian serta sumber air bagi penduduk Vietnam Selatan yang terlibat dengan peperangan itu, turut menerima kesan.

Kesan akibat semburan racun perosak tersebut

Keseluruhannya, pasukan AS telah menggunakan lebih daripada 20 juta gelen racun perosak di Vietnam, Laos dan Kemboja semasa Operasi Ranch Hand tersebut. Selain melalui pesawat, ia juga disembur melalui trak dan juga menggunakan tong penyembur manual di sekitar kawasan pengkalan tentera AS. Sesetengah veteran perang tersebut sehingga ke hari ini masih menggunakan gurauan “Only you can prevent a forest/ hanya awak mampu menghalang sebuah hutan”– yang berasal daripada kempen melawan kebakaran hutan yang dilancarkan oleh pihak Perhutanan AS yang menggunakan Smokey The Bear sebagai maskotnya

Waqaf Saham

Apakah bahayanya?

Agen Oren mengandungi bahan aktif yang menyebabkan pokok-pokok kehilangan atau luruh daunnya. Pada masa yang sama, ia turut mengandungi kandungan signifikan sejenis dioksin, iaitu 2,3,7,8-tetrachlorodibenzo-p-dioxin, yang biasanya digelar sebagai TCDD. Menurut jabatan Perhubungan Veteran Tentera AS (VA), dioksin ini – berdasarkan hasil kajian di makmal, disahkan sebagai sangat bertoksik, walaupun dalam jumlah yang kecil. Pendedahan kepada manusia mampu mengakibatkan isu kesihatan yang serius seperti kegagalan otot, keradangan, kecacatan kelahiran, gangguan sistem saraf dan juga kanser.

Dioksin ini tidak ditambah secara sengaja ke dalam racun perosak tersebut. Sebaliknya, ia adalah hasil sampingan yang wujud semasa proses pemprosesan racun itu sendiri, dan ia dijumpai dalam pelbagai jumlah kepekatan di dalam racun yang telah digunakan semasa Operasi Ranch Hand terbabit. Selain daripada itu, dioksin juga terhasil daripada pembakaran sampah, gas, minyak dan arang, serta rokok dan semasa pelbagai lagi proses penghasilan seperti pelunturan. TCDD yang dijumpai di dalam Agen Oren adalah dioksin yang paling bahaya di antara kesemuanya.

Dioksin adalah bahan kimia yang kesannya kekal selama bertahun-tahun pada alam sekitar, terutamanya di dalam tanah, seldimen pada tasik dan sungai, dan seterusnya – di dalam rantaian makanan itu sendiri. Ia terkumpul di dalam tisu lemak haiwan seperti ikan dan burung, dankemudiannya tersebar kepada manusia melalui makanan seperti daging, ayam, produk tenusu, telur, kerangan dan ikan. Karsinogen di dalamnya membawa potensi kanser yang amat tinggi.

Pendedahan jangka pendek kepada toksin ini mampu membuatkan kulit menjadi hitam, limpa menjadi bermasalah, dan timbulnya penyakit kulit melalui penumbuhan jerawat serius yang dipanggil chloracne. Kesan lanjut – selain daripada yang disebut di atas, juga melibatkan kencing manis jenis 2, kegagalan sistem imun, gangguan hormon dan penyakit jantung. Janin yang sedang berkembang di dalam rahim adalah sangat sensitif terhadap dioksin ini, dan ia dikaitkan dengan keguguran, spina bifida dan lain-lain masalah berkaitan perkembangan otak dan sistem saraf janin itu sendiri.

Kesannya, Menurut Vietnam Association of Victims of Agent Orange/ Persatuan Mangsa Agen Oren Vietnam, 4.5 juta daripada 18 juta penduduk Vietnam telah terdedah secara terus kepada racun perosak ini. Dianggarkan 3 juta telah menerima kesan terus, manakala 150,000 orang bayi dilahirkan dengan kecacatan kekal akibat ibu mereka terdedah kepada racun tersebut. Selain itu, kesan kepada alam sekitar adalah tidak mampu dihuraikan -ianya terlalu berat dan serius. Beratus-ratus spesis pokok telah terjejas dengan teruk ; begitu juga dengan kawasan paya. Antara kawasan yang paling terjejas adalah Ma Da, Phu Binh, Sa Thay, A Luoi dan sepanjang Laluan 19/Route 19.

Namun, ia tidak terhenti di situ semata. Sejurus mereka pulang daripada peperangan tersebut, ramai di kalangan veteran perang dan ahli keluarga mereka turut menunjukkan kesan buruk akibat pendedahan kepada racun itu. Jumlah laporan penyakit kulit seperti ruam dan lain-lain kegatalan, keguguran kandungan, simptom psikologi, diabetes jenis 2, kecacatan pada anak dilahirkan dan kanser seperti penyakit Hodgkin’s serta kanser prostat dan leukemia meningkat dengan mendadak di kalangan mereka.

Pada tahun 1988, Dr. James Clary – seorang penyelidik Tentera Udara yang pernah terlibat dengan Operasi Ranch Hand, telah menulis kepada Senator Tom Daschle, “Ketika kita memulakan program racun perosak itu pada tahhun 60an, kita sudah tahu tentang potensi akibat daripada pencemaran dioksin di dalam racun tersebut. Namun, kerana ia digunakan ke atas musuh kita, kita tidak ambil endah perkara itu. Kita tidak pernah terlintas bahawa akan berlaku senario di mana anggota kita sendiri akan turut terkesan dengan racun itu .”

Pada tahun 1979, satu saman telah dikemukakan bagi pihak veteran yang telah terdedah kepada Agen Oren semasa perkhidmatan mereka di Vietnam. 5 tahun kemudian, dalam satu penyelesaian di luar mahkamah, 7 syarikat kimia yang telah mengeluarkan racun itu telah bersetuju untuk membayar $180 juta kepada veteran tersebut atau waris mereka. Kontroversinya walaubagaimanapun, masih belum berakhir. Sehingga Jun 2011, debat masih berlangsung tentang samada veteran Tentera Laut yang berkhidmat dengan kapal laut dalam semasa Perang Vietnam juga patut menerima pampasan yang sama seperti veteran-veteran yang bertugas di darat atau laluan air lain. Pelbagai sama dimajukan kepada pihak berkaitan, dan pada tahun

1991, Presiden George H.W. Bush telah menandatangani Akta Agen Oren yang menyatakan bahawa kesan daripada pendedahan Agen Oren dianggap sebagai salah satu kecederaan akibat perang, dan membantu VA mengendalikan kes-kes veteran yang menanggung kesan tersebut.

Di pihak Vietnam pula, kesedaran setelah tahun-tahun berlalu itu telah membuatkan mereka mula menyuarakan hak mereka. Pada tahun 2004, satu kumpulan rakyat Vietnam telah memulakan saman kepada lebih 30 syarikat kimia, termasuk syarikat yang sama yang telah menjelaskan pampasan kepada veteran sebelum ini. Saman tersebut yang berjumlah berbilion dollar ditujukan kepada kesan yang diakibatkan oleh Agen Oren dan lain-lain racun perosak, yang telah mengakibatkan pelbagai masalah kesihatan dan juga merupakan satu pelanggaran undang-undang antarabangsa. Ia bagaimanapun, telah ditolak oleh seorang hakim di Brooklyn pada tahun 2005, dankemudiannya oleh satu lagi mahkamah AS pada tahun 2008, menyebabkan ramai yang terkesan menjadi marah.

Fred A. Wilcox, penulis Scorched Earth:Legacies of Chemical Warfare in Vietnam, berkata “Kerajaan AS enggan membayar gantirugi kepada mangsa Vietnam akibat peperangan kimia itu kerana dengan berbuat begitu, ia bermaksud yang AS mengaku mereka telah melakukan jenayah perang semasa di Vietnam. Ini akan membuka laluan bagi saman yang akan mengakibatkan mereka terpaksa membayar berbillion dollar.”

Perangnya sudah lama tamat. Tapi, semua yang terlibat, samada menjadi abu atau arang..=WRA=

Sumber: 

Out of sight, out of mind:Vietnam’s forgotten Agent Orange victims, VN Express International.

Dioxins and their effects on human health, World Health Organization.

Dioxins, National Institute of Environmental Health Sciences.

Lind, Michael (1999). “Vietnam, The Necessary War:A Reinterpretation of America’s Most Disastrous Military Conflict.” The New York Times. Retrieved 17 January 2014

Digital History; Steven Mintz. “The Vietnam War.” Digitalhistory.uh.edu. Archived from the original on 30 October 2011. Retrieved 31 October 2011

Thee, Marek (1976). “The Indochina Wars:Great Power Involvement – Escalation and Disengagement.” Journal of Peace Research. Sage Publications. 13 (2):117. doi:10.1177/002234337601300204. ISSN 1460-3578

Moore, Harold. G and Joseph L. Galloway We Are Soldiers Still:A Journey Back to the Battlefields of Vietnam

Vietnam The Ten Thousand Day War, Thames 1981, Michael Maclear,

Lynne Peeples (10 July 2013). “Veterans Sick From Agent Orange-Poisoned Planes Still Seek Justice.” The Huffington Post.

Michael F. Martin (13 November 2015). U.S. Agent Orange/Dioxin Assistance to Vietnam (PDF) (Report). Congressional Research Service