Tidak lama dahulu, saya ada nyatakan beberapa cubaan bunuh ke atas Adolf Hitler termasuk plot 20 Julai 1944. Tetapi entah bagaimana, Hitler boleh terselamat dari semua cubaan bunuh ini. Dan ini berkemungkinan ada kaitan dengan kepercayaan beliau terhadap Vorsehung (takdir/providence). Hitler percaya Tuhan menyimpan takdir yang hebat untuknya dan beliau tidak akan mati kerana dibunuh atau akibat kemalangan sehinggalah berjaya mencapai takdir tersebut. Nampak mustahil tetapi lihat anekdot-anekdot peristiwa yang berlaku sepanjang hayatnya.

Pada tahun 1933, tidak lama sebelum Hitler dipilih sebagai Kanselor, beliau terlibat dalam satu kemalangan jalan raya apabila keretanya berlanggar dengan sebuah lori. Ajaibnya, Hitler terselamat dari kemalangan tersebut. Dan selepas keluar dari kereta, beliau berikrar tidak akan mati sebelum semua misi yang dinyatakannya itu tercapai. Apakah misi Hitler? Misi-misi beliau terkandung dalam memoirnya, Mein Kampf (My Struggle/Perjuanganku).

Begitu juga dengan cubaan-cubaan bunuh. Hitler tahu ramai orang tidak menyukainya tak kiralah pihak asing atau rakyat Jerman sendiri. Namun beliau menganggap semua cubaan mereka tidak akan berjaya terutama jika pelakunya datang dari kelas pekerja. Antara satu kenyataan kepada stafnya berkenaan mereka ialah, “Mil tut kein deutscher Arbeiter was.” (Tiada pekerja Jerman akan dapat melakukan apa-apa terhadap aku.) Keyakinan ini diperkukuhkan dengan satu kisah ini. Pada satu ketika, Hitler melawat sebuah kilang untuk bertemu dengan sekumpulan pekerja kilang yang marah. Bimbang dengan keselamatan beliau, ketua polis mahu mengaturkan Hitler masuk ke kilang melalui pintu belakang. Namun, permintaan tersebut ditolak Hitler sambil menambah, “Aku takkan guna pintu belakang untuk bertemu dengan pekerja-pekerja aku!”

Kebencian golongan bangsawan terhadap Hitler bukan sesuatu yang baru dan begitu juga sebaliknya. Maka tidak hairanlah, sejak beliau berkuasa, golongan ini berusaha keras untuk menyingkirkan atau menghapuskan Hitler. Atas sebab itu, beliau mengharapkan perlindungan Tuhan daripada malapetaka yang cuba dicetuskan mereka ini. Buktinya, semua cubaan bunuh membabitkan Hitler berakhir dengan kegagalan di mana kebanyakan perancang pelaku ditahan atau dibunuh termasuk plot 20 Julai 1944.

Atas sebab ini juga, staf-staf keselamatan Hitler berusaha melindungi beliau sebaik mungkin termasuk menggunakan kaedah-kaedah rahsia. Dari segi makanan, makanan beliau sentiasa diperiksa setiap hari sebelum dihidangkan. Dan ini turut menjadi rutin kepada doktor peribadi Hitler untuk memastikan makanan tersebut benar-benar bersih dan bebas dari racun. Setiausaha Hitler dan parti, Martin Bormann pula akan memeriksa air yang diberi setiap hari bagi memastikan ia bebas dari toksin. Bormann turut mengusahakan sayur-sayuran di laman rumahnya di Berchtesgaden untuk memenuhi keperluan makanan Hitler. Staf-staf beliau turut tidak membenarkan hasil pertanian dimasukkan dalam menu vegetariannya. Dan mereka melakukannya atas sebab yang kukuh.

Pada satu ketika semasa Hitler menaiki kereta Mercedes di mana bumbungnya dibuka, seseorang membaling sejambak bunga mawar ke dalam kereta tersebut. Bila salah seorang pengawal SS cuba mengambilnya,  pengawal tersebut menunjukkan tanda keracunan sehari selepas itu. Selepas diperiksa, bunga mawar tersebut telah dicampur dengan racun yang boleh diserap melalui kulit. Untuk mengelak insiden sama berulang, staf-staf keselamatan mengeluarkan arahan rahsia mana-mana peminat beliau tidak lagi dibenarkan mencampakkan jambak bunga dalam kenderaannya. Selain itu, mereka turut mengarahkan mana-mana pengawal bertugas memakai sarung tangan. Pada satu masa yang lain, Hitler diberi hadiah seekor anak anjing oleh seorang peminat. Tetapi tanpa disedari beliau, anak anjing tersebut sebenarnya telah disuntik dengan virus penyakit anjing gila. Bagaimanapun, beliau terselamat kerana anak anjing tersebut menggigit pembantu rumahnya sebelum sempat menggigitnya.

Bagi pihak Bersekutu, kegagalan setiap plot untuk membunuh Hitler merupakan sesuatu yang cukup memalukan. Atas sebab itu, Perdana Menteri Britain ketika itu, Winston Churchill memutuskan untuk membunuh Hitler dan menyerahkan tugas tersebut kepada ketua unit pengebom Tentera Udara Diraja Britain, Sir Arthur ‘Bomber’ Harris. Harris melihat Hitler seharusnya dibunuh dari kediamannya sendiri. Dengan situasi tidak lagi memihak kepada Nazi Jerman, perisik-perisik pihak Bersekutu melihat sekiranya beliau melarikan diri dari Berlin, pasti Hitler akan menuju sama ada ke Berchtesgaden atau pangkalannya di timur Prussia. Kemungkinan beliau melarikan diri ke timur Prussia tipis berikutan pangkalan tersebut kini dikawal Tentera Merah. Ini menyebabkan pihak perisikan berpandangan sama ada beliau kekal di Berlin atau lari ke Berchtesgaden.

Figure 2: Sir Arthur ‘Bomber’ Harris

Laporan-laporan yang diterima Pejabat Perkhidmatan Strategik (OSS) dari Switzerland menyatakan pihak Nazi Jerman membina pertahanan saat akhir mendorong ramai melihat ini taktik terakhir Hitler. Ini disusuli pula laporan sesetengah pegawai tinggi Nazi turut berada di sana termasuk Menteri Udara, Hermann Goring dan Menteri Luar, Joachim von Ribbontropp. Pihak Bersekutu turut menerima laporan Tentera Keenam yang dipimpin Jeneral SS Sepp Dietrich sedang berundur ke Austria dari Hungary dan sedang menuju ke kawasan berhampiran Berchtesgaden. Satu lagi laporan yang mengukuhkan firasat Hitler berada di situ ialah laporan rizab emas Reichsbank dibawa ke situ untuk disembunyikan.

Bagaimanapun, jika Harris dan pasukan pengebomnya mahu mengebom Berchtesgaden, mereka berhadapan tugas sukar. Ini kerana kompleks Sarang Helang (Eagle’s Nest) merupakan kediaman ramai pemimpin Nazi yang dilindungi dari udara dan darat. Kawasan tersebut dikawal secara tetap oleh sepasukan batalion SS dan disokong oleh pasukan tentera gunung dari bandar Bad Reichenhall, pihak SS meronda kawasan tersebut 24 jam setiap hari. Info ini yang menyebabkan kepada Operasi Foxley yang dirancang pada tahun 1944 sebagai tidak munasabah dan hanya menjadikan beliau syuhada dan wira dalam kalangan penyokong Nazi dan sesetengah rakyat Jerman. Selain itu, Bormann turut mengarahkan bunker-bunker disediakan bukan saja untuk pemimpin-pemimpin Nazi tetapi juga untuk tentera dan pekerja termasuk sebuah pawagam yang boleh menampung 8,000 orang. Syarikat kimia diletakkan di tempat-tempat strategik untuk mengeluarkan asap sebagai isyarat sekiranya berlaku serangan. Malah, untuk memastikan cubaan serangan tentera udara Bersekutu berakhir dengan kegagalan, Bormann turut memastikan pangkalan pesawat seperti Furstenfeldbruck di Munich bersiap sedia untuk menggerakkan pesawat bagi mematikan ancaman udara dari barat atau dari Alps dari pangkalan baru tentera udara Bersekutu di Itali.

Walaupun cabaran yang dihadapi cukup menggentarkan, bagi Harris ia bukan satu halangan. Untuk tugas ini, beliau memilih Komander Basil Templeman-Rook, seorang komander tentera udara yang mempunyai pengalaman sebanyak 40 misi penerbangan sejak bersama mereka dari tahun 1943 untuk mengetuai Skuadron 170. Templeman-Rook terlibat dalam banyak misi termasuk misi pengeboman pra-D-Day dan pengeboman kontroversi di Dresden. Bagi Harris, Templeman-Rook ialah orang terbaik untuk menjayakan misi ini. Bagi penghuni Berchtesgaden, walaupun siren udara sentiasa berbunyi dan asap dilepaskan ke udara berikutan kehadiran pesawat-pesawat pengintip di situ, mereka yakin Berchtesgaden tidak akan menerima nasib sama seperti Dresden, Rotterdam atau Warsaw. Pada mereka, puncak gunung bukanlah tempat sesuai untuk medan perang.

Namun semua itu berubah pada 25 April 1945, jam 9.30 pagi. Seperti biasa, siren berbunyi dan penghuni-penghuni seperti biasa berlindung di bunker dan percaya tiada apa-apa akan berlaku. Dengan kabus menyelubungi kawasan, agak sukar bagi pesawat-pesawat menyerang kawasan tersebut. Namun tidak bagi Skuadron 170 yang jadi sebahagian daripada ketumbukan 318 buah pesawat Lancaster bertekad untuk melaksanakan misi yang diamanahkan. Dalam tempoh setengah jam, bom-bom mereka mula menghujani Berchtesgaden. Dan untuk serangan kedua pula, mereka menggugurkan bom-bom seberat 500 paun dan ia memusnahkan banyak tempat termasuk kediaman Hitler, Berghof dan kediaman Bormann. Hanya Sarang Helang saja yang terselamat dari cubaan unit Templeman-Rook. Tetapi itu tidak menghalang mereka mensasarkan unit SS di Bad Reichenhall. Dalam serangan tersebut, 200 orang terbunuh dan pihak SS terpaksa berundur sambil melaksanakan arahan Nero yang dikeluarkan Hitler.

Jika Templeman-Rook menyangka Hitler berada di Berchtesgaden, sangkaan beliau dan RAF meleset sama sekali. Beliau tidak pernah berada di sana, sebaliknya berada dalam bunkernya, sekali lagi terselamat kerana percaya pada perlindungan Tuhan yang dikurniakan padanya. Dalam bunkernya, Hitler memberitahu staf-staf yang masih setia bahawa beliau tidak akan mati dibunuh orang ramai seperti mana yang dialami diktator Itali dan rakan rapatnya, Benito Mussolini atau ditawan dan diarak sekitar bandar Moscow. Akhirnya, Hitler mati membunuh diri dalam bunker (masih belum pasti kesahihannya) dan perlindungan yang diterimanya juga berakhir.

SUMBER

Whiting, Charles. (2017). Warfare History Network. National Interest. The Real Story Behind the Allies Many Failed Plans to Assassinate Adolf Hitler. http://nationalinterest.org/blog/the-buzz/the-real-story-behind-the-allies-many-failed-plans-23794?page=show


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.